Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 26 Mei 2018

Mek Kelate pandai buat kek lapis Sarawak

Gadis manis, Nurul Jannah Rusli Zahari menunjukkan sebahagian kek lapis Sarawak yang ditempah pelanggan di rumahnya di Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Bulan Ramadan membawa rezeki tambahan buat seorang remaja perempuan dari Kubang Kerian, di sini yang mahir membuat kek lapis Sarawak, sejak enam tahun lalu.

Gadis manis, Nurul Jannah Rusli Zahari, 19, mempelajari cara dan resepi asli kek yang sukar dibuat itu semasa berada di Tingkatan Satu daripada rakan baik ibunya yang berasal dari Bumi Kenyalang.

Walaupun perniagaan kek lapis Sarawak itu hanya dijalankan pada bulan Ramadan dan melalui promosi dari mulut ke mulut, sambutan diterima menggalakkan apabila Nurul Jannah menerima tempahan hampir 1,000 biji kek untuk Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Seminggu sebelum Ramadan saya sudah mula menerima tempahan dan sibuk membuat kek Sarawak dengan pelbagai perisa.

“Setakat ini saya sudah mendapat tempahan lebih 100 biji kek dan biasanya pada penghujung Ramadan tempahan meningkat berkali ganda.

“Kos bahan mentah semakin mahal tetapi saya masih mengekalkan harga lama kerana untungnya tetap ada, lagipun ibu berpesan supaya menjual sambil niat bersedekah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Nurul Jannah yang merupakan anak pertama daripada empat beradik mendapat bantuan ibu bapanya, Hasnurmy Mat Nor, 43 dan Rusli Zahari Abdullah, 45, yang menguruskan bahagian tempahan dan pembungkusan.

“Saya ambil tempoh dua tahun memahirkan diri dalam pembuatan kek lapis ini kerana ia rumit dan memerlukan kesabaran tinggi.

“Setiap kek memerlukan masa antara dua setengah jam hingga tiga jam bermula daripada proses mengadun sehinggalah siap,” katanya.

Nurul Jannah menjual kek lapis Sarawak perisa oreo, masam manis, ‘traffic light’, keju dan ‘evergreen’ pada harga antara RM15 hingga RM56 mengikut timbangan.

Gadis berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ini bakal melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Pengajian Perbankan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang pada Julai ini.

Untuk sebarang tempahan kek boleh menghubunginya di talian 0199541454. 

Sumber: Utusan Online | 25 Mei 2018

Khamis, 24 Mei 2018

Segerakan projek pembesaran LTSIP

Hanifa (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit kronik di Dun Pengkalan Pasir.
PASIR MAS: Kerajaan Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan baharu yang dipimpin Pakatan Harapan dapat mempercepatkan projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, pembesaran projek itu dilihat mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Bukan itu sahaja, projek ini mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pesakit kronik di Dun Pengkalan Pasir.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, kerajaan negeri sedia memberikan kerjasama bagi memastikan projek tersebut dapat berjalan dengan lancar.

Katanya, pembesaran LSTIP merupakan projek berimpak tinggi yang mampu memberikan kesan positif kepada negeri ini untuk tempoh jangka masa panjang.

Kerajaan sebelum ini di bawah teraju bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan melaksanakan projek itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) membabitkan kos RM483 juta.

Dalam perkembangan lain, Hanifa turut berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Saya percaya projek ini tidak akan dibatalkan, sebaliknya dirundingkan harga dan tender semula.

“Ini bagi mengelakkan kerajaan menanggung kerugian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Mei 2018

Rabu, 23 Mei 2018

MB Kelantan mahu bertemu PM

Datuk Ahmad Yakob
KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merancang mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan hala tuju kerjasama di antara Kerajaan Pas Kelantan dan Kerajaan Pusat.

Ahmad berkata, bagi memastikan nasib rakyat negeri ini terus terbela, kerjasama sedia ada menerusi konsep kerajaan dengan kerajaan (G2G) ketika negara di bawah pentadbiran terdahulu wajar diteruskan.

“Hubungan Kelantan dengan Pusat sama seperti negeri-negeri lain. Kita hormati kerajaan yang dipilih rakyat dan bersedia menjalinkan hubungan G2G dengan Pusat. Kita tunggu dulu apa dasar kerajaan baharu ini.

“Kita juga sedang tunggu waktu sesuai untuk melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahmad dalam pada itu berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat menaikkan tuntutan royalti minyak terhadap Kerajaan Pusat daripada lima kepada 20 peratus,

Katanya, perkara itu juga merupakan antara topik utama bakal dibawa dalam pertemuan dengan Dr. Mahathir.

“Kita kekal dengan tuntutan lima peratus sebagaimana terkandung dalam perjanjian. Jika kerajaan Persekutuan berjiwa besar dan enggan beri 20 peratus, kita terima, tetapi yang penting, yang kita pohon cuma lima peratus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad mengumumkan pihaknya mewujudkan pasukan khas dikenali sebagai Bahagian Koordinasi dan Program Khas (BKPK) bagi memastikan janji kepada rakyat dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ditepati.

Beliau turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju menganugerahkan sebuah rumah kepada pemuda kelahiran Kelantan, Abdullah Fahmi Che Nor yang menjadi johan qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-60 baru-baru ini.

Sumber: Utusan Online | 23 Mei 2018

Beberapa agensi, institusi dibubarkan - Dr Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan institusi berkaitan kerajaan dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Antara yang akan dibubarkan ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN), dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

"Kebanyakan institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.

"Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya fikir kita pun ada kepintaran," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Perdana Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan memansuhkan agensi dan insitusi terbabit dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tersebut yang memberi tumpuan kepada hutang negara yang mencecah RM1 trilion, dengan mengurangkan perbelanjaan dalam bajet kerajaan terdahulu.

Mengulas pembubaran SPAD, Dr Mahathir berkata tugas suruhanjaya itu akan dikembalikan semula kepada Kementerian Pengangkutan.

Mengenai rasional pemansuhan MPN dan JKKKP pula, beliau berkata kedua-dua institusi itu dipengaruhi unsur-unsur politik ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Pada mulanya, MPN satu badan yang kita guna untuk dapat maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi tetapi akhir-akhir ini banyak unsur politik sehingga mereka dipergunakan untuk mendokong kerajaan. Sebab itu kita tidak mahu ulang amalan-amalan tidak baik yang dibuat kerajaan terdahulu," katanya.

Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran. Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu," katanya.

Ditanya mengenai projek seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan Lebuh Raya Pan Borneo, Perdana Menteri berkata: "Kita sedang mengkaji mana satu kita batalkan, mana satu diteruskan, mana satu saya akan tangguhkan sehingga satu tarikh yang akan datang."

Dr Mahathir berkata langkah memansuhkan institusi dan mengkaji semula projek-projek terbabit dibuat sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan melibatkan nilai berbilion ringgit.

"Kita sudah kenal pasti banyak perbelanjaan dalam bajet yang lama, projek yang lama yang boleh kita kurangkan, jumlahnya berbilion juga tetapi tidak dapat beri secara terperinci.

"Sebanyak mana yang kita dapat kurangkan perbelanjaan kerajaan, sudah tentu ada projek yang mungkin gugur ada yang mungkin kita hentikan ada juga mungkin kita adakan rundingan semula untuk kurangkan kos setakat kita mampu bayar sahaja," katanya.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2018

Majlis Perunding Pertanian Negara ditubuh

PUTRAJAYA: Majlis Perunding Pertanian Negara akan ditubuhkan bagi menjana idea ke arah memperkasa dan meningkatkan produktiviti industri asas tani seiring keperluan semasa, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata majlis itu akan dipengerusikan oleh seorang tokoh ternama sektor pertanian selain akan turut melibatkan beberapa nama besar lain yang berupaya memberi nilai tambah.

"Selain meningkatkan produktiviti asas tani, majlis ini juga berperanan menjana cadangan ke arah menambah baik fungsi dan perkhidmatan kementerian secara keseluruhan, " katanya kepada pemberita selepas memasuki pejabat bagi memulakan tugas rasmi sebagai menteri di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan majlis itu disasarkan selesai dalam tempoh sebulan, dengan kertas cadangan mengenai penubuhannya akan dikemukakan ke Kabinet minggu depan.

Dalam pada itu, Salahuddin mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Ismail Bakar menyediakan laporan lengkap berhubung projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) untuk penilaian semula dari aspek kejayaan dalam meningkatkan pengeluaran daging lembu negara.

"Projek ini baik dari segi matlamat tetapi ada kelemahan yang perlu dilihat semula dari segi dasar dan pelaksanaan dan jika perlu akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri bagi diberi nafas baharu," katanya.

Berkenaan pelantikan pengerusi agensi di bawah kementerian yang kebiasaanya terdiri daripada 'orang politik', Salahuddin berkata beliau lebih menekankan pemilihan daripada kalangan tokoh profesional dalam bidang pertanian.

Katanya ia selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk memastikan setiap agensi kerajaan bebas daripada pengaruh politik terutama dalam lantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2018

Jalur lebar dua kali lebih pantas pada separuh harga - Gobind

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Gobind Singh Deo berkata beliau akan berusaha mewujudkan sistem jalur lebar yang 'double the speed, half the price' (dua kali lebih pantas pada separuh harga) bagi kemudahan rakyat.

Beliau berkata pada masa ini, ramai yang membuat aduan berkenaan kualiti jalur lebar di Malaysia yang jauh berbeza dengan negara-negara maju.

Gobind yang memulakan hari pertamanya bertugas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini, berkata pihaknya akan melihat pelbagai aspek termasuk masalah yang dihadapi syarikat telekomunikasi dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berkenaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negara ini.

"Kalau kita lihat jalur lebar di negara lain, perkhidmatan yang diberikan itu taraf berbeza dengan apa yang kita (Malaysia) ada, jadi tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh mencontohi sistem-sistem lain yang ada di luar negara. Itu adalah satu perkara yang saya akan cuba, juga sebahagian daripada pelan 100 hari," katanya dalam rancangan Bicara Khas yang disiarkan secara langsung oleh RTM, malam ini.

Justeru kata beliau, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat telekomunikasi untuk membincangkan perkara tersebut.

Gobind berkata beliau juga komited untuk menjamin kebebasan media dalam melaporkan berita dan membuat kritikan kepada kerajaan.

Beliau berkata laporan berita dengan tepat tanpa berat sebelah mampu mencorak pemikiran masyarakat, sekali gus membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

"Dalam Pakatan Harapan (PH) memang kita bersandarkan kepada gelombang kita mahu menegakkan sistem kebebasan lebih kepada semua pihak dan satu aspek yang penting ialah media," katanya.

Gobind berkata rakyat negara ini juga telah matang untuk menonton program perdebatan di kaca televisyen bagi mendapat maklumat dan memahami sesuatu isu yang timbul.

"Kalau kita nak adakan satu debat, perbahasan, saya rasa tidak ada masalah, kita sebenarnya setiap hari ada perdebatan walaupun di kedai kopi," katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Puchong yang terkenal kelantangannya di Dewan Rakyat itu turut mengalu-alukan kritikan terhadap kerajaan PH oleh pihak pembangkang ketika di Parlimen.

"Saya harap mereka diberikan ruang sepenuhnya untuk berbahas di Parlimen dan bawa isu-isu yang dekat dengan hati rakyat, kritik kerajaan kita sebagaimana perlu, kita tidak seharusnya mempunyai speaker yang menyekat pembangkang membawa isu-isu dan itu perbezaan kita dengan kerajaan terdahulu," katanya.

Sumber: Bernama | 22 Mei 2018

Kelantan kekal tuntut royalti lima peratus - MB

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan kekal dengan tuntutan royalti minyak lima peratus seperti perjanjian yang ditandatanganinya dengan Petronas pada 1975, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan "berjiwa besar" jika mahu memberi 20 peratus sebagaimana janji manifestonya.

Perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan nanti, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengutus surat kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan pertemuan itu dalam masa terdekat.

"Kami sedang menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya... Perkara ini akan kita sebut dalam pertemuan dengan Perdana Menteri (nanti)," kata beliau.

Ahmad berkata hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berjalan seperti biasa dan pihaknya bersedia untuk meningkatkan hubungan itu ke arah yang lebih baik.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat hari ini turut bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dikenali sebagai "Bahagian Koordinasi dan Program Khas (BKPK)" bagi memantau pelaksanaan program-program dalam manifesto yang dijanjikan pada PRU14 lepas.

"Pelaksanaan setiap manifesto yang dijanjikan itu akan dipantau oleh Setiausaha Kerajaan Negeri supaya program-program itu dapat berjalan dengan baik sekali gus hasrat kita untuk melihat Kelantan yang lebih baik tercapai.

"Selain itu, portfolio baharu iaitu Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat dan Integriti yang disandang Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kini juga akan fokus kepada aktiviti penguatkuasaan pencerobohan hutan dan tanah kerajaan bagi meningkatkan hasil pendapatan dan sifar ketirisan kepada kerajaan negeri," katanya.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2018