Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 30 Ogos 2013

Lebuh Raya Kuala Krai - Gua Musang perlu dinaik taraf

Sudah sampai masanya Lebuh Raya Kuala Krai - Gua Musang dinaik taraf kepada lebuh raya empat lorong.

KUALA KRAI: Peniaga luar yang kerap berkunjung ke Kuala Krai meluahkan kebimbangan terutama setiap kali berselisih kenderaan berat di beberapa laluan sempit di daerah ini. Pengguna mendakwa, mereka khuatir keselamatan terancam memandangkan keadaan jalan sempit dan jarak dengan kenderaan lain agak dekat setiap kali berselisih terutama dengan kenderaan berat.

Sehubungan itu, dia mencadangkan supaya usaha membesarkan jalan dipercepatkan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna. Peniaga, Abdul Rashid Masrun, 36, berkata, dia ke Kuala Krai sekitar tiga hingga empat kali sebulan atas beberapa urusan di daerah ini.

Menurutnya, setiap kali melalui beberapa jalan termasuk laluan dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai menuju ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai misalnya, hatinya tidak tenteram melihatkan keadaan jalan di situ. “Jalan ini merupakan laluan utama orang ramai untuk Ke Kuala Lumpur dan sibuk pada setiap masa.

“Sehubungan itu sudah tiba masanya jalan ini dilebarkan bagi mengelak kejadian tidak diingini ke atas pengguna,” katanya. Abdul Rashid berkata, kenderaan berat banyak melalui kawasan ini yang mana dia melihat situasi ini merbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.

Menurutnya, sebagai pengunjung yang kerap menggunakan laluan ini, dia berharap pihak bertanggungjawab segera bertindak agar keselamatan pengguna terutama yang menggunakan kereta dan motosikal terjamin.

“Saya pernah beberapa kali melihat kemalangan di sekitar laluan ini, jadi bagi mengelak kejadian berulang saya merayu usaha segera pihak berkenaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan |30 Ogos 2013 | Tajuk asal: Jalan Ssempit, pengguna resah |

Khamis, 29 Ogos 2013

Projek stabil tebing Sungai Golok dilaksana

Projek menstabilkan Sungai Golok berjalan lancar dan masalah banjir dapat dikurangkan. Foto: New Straits Times
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat akan terus melaksanakan projek menstabilkan tebing Sungai Golok di sepanjang 130 kilometer (km) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sekali gus bakal memperkemaskan tebing-tebing di sepanjang sungai berkenaan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, di bawah RMK-10 ini, kerajaan akan melaksanakan rancangan menstabilkan tebing sungai berkenaan di sepanjang 30 km lagi dengan melibatkan kos sebanyak RM100 juta.

"Sebelum ini tebing-tebing di sepanjang 61 km di Sungai Golok telah kita laksanakan dengan kos sebanyak RM97 juta dan ia telah mula dilaksanakan sejak daripada RMK-6 lagi.

"Untuk RMK-10 ini kita akan laksanakan lagi 30 km dengan kos sebanyak RM100 juta yang akan melibatkan beberapa buah kampung seperti Kampung Pengkalan Kubor, Pulau Ular, Pekan Bukit Bunga dan beberapa lagi.

"Selepas siapnya projek ini dijangkakan pada tahun 2015, kita akan terus melaksanakan lagi 30 km yang tinggal dalam RMK-11," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Aidilfitri JPP Kelantan di sini hari ini.

Makhtar berkata, dengan penstabilan sungai berkenaan, aktiviti seperti penyeludupan akan dapat dikurangkan selepas ini di samping dapat menghapuskan jeti haram di sepanjang sungai berkenaan.

"Selepas projek ini siap, kira-kira 148 jeti haram yang dikenal pasti ini akan dapat dihapuskan, seterusnya mampu mengurangkan masalah penyeludupan di negeri ini," katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 29 Ogos 2013 |

Villagers grateful for RM100m river project along Golok River

The construction of the embankment along Sungai Golok prevents erosion and stops the river from overflowing its banks and flooding low-lying areas. Pic by Fathil Asri
RANTAU PANJANG: Villagers living along  Sungai Golok have  praised the Federal Government for continuing with a project to maintain the stability of the river banks here covering a stretch of more than 10km.

They said that the project, estimated to cost more than RM100 million, was important to prevent further erosion along the banks. Coffee shop owner Abdullah Samad said villagers were happy to see that the project was nearing completion.

"Before this, many people, especially those living close to the river, feared for their homes being flooded and destroyed by erosion. "However, when the blocks of stones were put up, they were relieved and expressed their gratefulness to the Federal Government."

Businessman Abdul Wajid said the project would prevent further erosion as well as stop the river from overflowing its banks and flooding the low-lying areas, especially during the monsoon season. "Residents now feel safe with the construction of the embankments."

Kelantan National Security Council secretary Mohd Rosli Mamat said the project, which started a few years ago, was approved by the Federal Government under the 6th Malaysia Plan. "The project has been going on over the years. "It's between 70 per cent and 80 per cent complete.

"It covers 13 areas between Pengkalan Kubor, Tumpat, and Kampung Jenob in Bukit Bunga, Jeli." The project was aimed at maintaining the stability of the river banks, especially those areas which had been identified as facing severe erosion.

He advised people living in low-lying areas in Kelantan to make early preparations to face the floods in view of the monsoon season. He said this included safeguarding their valuables and important documents so that they were not misplaced in a chaotic situation when they were ordered to evacuate their houses.

Source: New Straits Times | 17 December 2012 |

MPKB-BRI serius tangani masalah tikus

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memandang serius masalah penularan wabak penyakit leptospirosis atau kencing tikus yang mengakibatkan sembilan kematian di Kelantan setakat ini.

Berikutan itu, Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, pihaknya akan meneruskan kempen kawalan tikus di kawasan pentadbirannya terutama di pusat bandar, bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Beliau pada masa sama mahu orang ramai terutama golongan peniaga turut mengambil inisiatif menjaga kebersihan dengan mengadakan gotong-royong secara berkala.

"Saya berharap masyarakat akan lebih mengambil berat soal kebersihan terutama di premis perniagaan agar penyakit kencing tikus ini tidak menular kepada orang ramai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Sabtu lalu, pihak kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat Alam Flora Sdn. Bhd., Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan MPKB-BRI mengadakan gotong-royong perdana serta kempen kawalan tikus peringkat negeri.

Jabatan Kesihatan negeri sebelum ini memaklumkan, sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 153 kes leptospirosis dengan sembilan kematian dilaporkan di negeri itu dengan kes terbanyak direkodkan di daerah Kota Bharu iaitu 32 kes diikuti Kuala Krai (30) dan Gua Musang (28).

Mengulas kempen tersebut, Fauzi berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk golongan peniaga di sekitar Pasar Besar Siti Khadijah yang turut menjayakan usaha berkenaan.

Jelasnya, sehari sebelum kempen dijalankan, pihaknya mengadakan operasi menangkap tikus dan sebanyak 20 ekor makhluk perosak itu berjaya ditangkap. 

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 29 Ogos 2013 |

Rabu, 28 Ogos 2013

711 pekebun sayur di Kelantan terima bantuan KADA

PASIR MAS, 27 Ogos: Seramai 711 penanam sayur dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerima pelbagai bantuan berjumlah sebanyak RM447,820 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Antara bantuan yang diberikan adalah baja kimia, baja cecair, baja organik serta peralatan serta mesin pertanian kecil. Pengerusi KADA yang baharu, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pemberian insentif itu langkah baharu daripada kementerian bagi membantu meringankan beban penanam sayur di kawasan terbabit.

"Bantuan ini diberi kerana memahami kerumitan yang terpaksa dihadapi oleh mereka berikutan kos pengeluaran melibatkan penggunaan baja serta peralatan pertanian yang semakin tinggi," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan baja dan peralatan pertanian kepada penanam sayur-sayuran dalam kawasan KADA bagi 2013 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat, Tendong, di sini hari ini.

Menurut Md. Alwi, setiap penanam akan menerima jumlah bantuan yang berbeza kerana ia diberi berdasarkan keluasan tanah yang diusahakan. "Bagi pengusaha sayur seluas 0.08 hektar sehingga empat hektar, mereka akan menerima bantuan berjumlah RM400 bagi setiap kawasan bertanam dengan had maksimum sebanyak RM4,000 seorang.

"Mereka yang menerima bantuan ini terdiri daripada penanam dari Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh," katanya. Katanya lagi, antara jenis tanaman sayur-sayuran yang diberikan bantuan adalah cili, sawi, jagung, bayam, terung dan lain-lain.

Beliau berkata, bantuan yang diberikan secara sekali ini juga diharap dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penanam sayur khususnya berskala kecil. "Ini merupakan salah satu usaha kita bagi meningkatkan pengeluaran sayur tempatan serta mengurangkan kadar kebergantungan bekalan sayuran dari negara luar.

"Selain itu, program ini juga diharap menggalakkan mereka memperluaskan kawasan penanaman sayur-sayuran bagi meningkatkan pendapatan golongan terbabit," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 28 Ogos 2013 |

Projek Jambatan Biak merentasi Sungai Pergau di Kuala Krai bernilai RM23 juta berjalan lancar

GUA MUSANG, 27 Ogos: Projek Jambatan Biak bagi menghubungkan lebih 600 penduduk Kampung Biak dan Kampung Kandek di Kuala Krai berjalan lancar ketika ini. Projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Pergau dengan kos sebanyak RM23 juta tersebut dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Pelaksanaan projek itu di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Pengerusi Kesedar, Datuk Ramzi Abd. Rahman berkata, pembinaan jambatan itu yang menghubungkan Kampung Biak dan Kampung Kandek di Kuala Krai, berjalan lancar melebihi 12 peratus daripada jadual asal.

"Pegawai-pegawai kita juga telah memantau bagi memastikan ia dapat disiapkan sebagaimana dengan perjanjian dengan kontraktor dilantik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Kesedar di sini kelmarin. Yang turut hadir, Pengurus Besar Kesedar, Mohd. Arshad Ismail. 

Majlis yang bermula dari pukul 9 pagi hingga pukul 4 petang itu telah dihadiri lebih 2,000 orang termasuk tetamu jemputan. Dalam perkembangan lain, Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong berkata, Kesedar telah meningkatkan keupayaan pegawai dalaman dengan menghantar kursus untuk memantapkan lagi perkhidmatan mereka.

"Pegawai dalaman telah dihantar pelbagai kursus supaya mereka dapat memahami dengan lebih jelas hasrat kerajaan Persekutuan supaya memberi perkhidmatan yang terbaik. "Kita juga berhasrat untuk menjadikan Gua Musang ini satu kawasan yang maju," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 28 Ogos 2013 |

Selasa, 27 Ogos 2013

Baiki Pusara P.Ramlee, Saloma RM25,000 Haram - Mufti Selangor


Beginilah keadaan pusara P.Ramlee yang roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu. Gambar: Utusan Malaysia

PETALING JAYA, 27 Ogos: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam. Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.

“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal. "Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid

Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.

Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000. Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.

Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.

Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.

"Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib," tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.

Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.
Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar

"Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai. "Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.

Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat. “Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.

Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati.

Sumber: MStar Online | Hiburan | 27 Ogos 2013 |

Isnin, 26 Ogos 2013

Naik taraf Wisma Persekutuan Kota Bharu

KOTA BHARU, 26 Ogos: Kerajaan Pusat berhasrat menaik taraf Wisma Persekutuan Kota Bharu (gambar) yang dibina tahun 1975 lagi dengan mencuba mendapatkan lokasi baharu bagi tingkatkan kemudahan nadi jentera Kerajaan Pusat itu di Kelantan.

Memandangkan usia bangunan itu mencecah 30 tahun, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau akan mengadakan perbincangan di peringkat pusat bagi melaksanakannya.

Menurutnya, usaha tersebut perlu dilakukan bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada lebih 70,000 pegawai Jabatan Persekutuan berkhidmat di negeri ini dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada peringkat akar umbi dengan baik.

“Wisma ini merupakan nadi jentera Kerajaan Pusat di Kelantan, sekarang tempat ini sudah lama, mungkin perlu mencari tapak baru mahupun bangunan baru.

“Lagipun kawasan ini sempit untuk menampung pegawai yang selalu bertambah. Ini perkara yang perlu dibincangkan di peringkat lebih tinggi untuk pastikan kita membawa kemudahan terbaik kepada nadi pentadbiran kerajaan pusat ini,” katanya semalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikian sempena majlis Mesra Aidilfitri Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan Negeri Kelantan di Wisma Kota Bharu di sini.

Hadir sama pada program itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri, Datuk Makhtar Mustapa dan Yang Dipertua Kelab Wisma Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim

Katanya, kakitangan kerajaan berjumlah lebih 70,000 melibatkan guru, kakitangan hospital, termasuk anggota keselamatan bukan sahaja membantu melaksanakan dasar kerajaan pusat tetapi menjanakan pertumbuhan ekonomi negeri.

Dalam masa sama, Mustapa mengharapkan ketua di setiap jabatan persekutuan harus memahami dan menghayati dasar kerajaan dan menterjemahkannya ke peringkat akar umbi.

“Peranan ketua-ketua ini penting. Kalau mereka tidak faham maka susah lah hendak melaksanakan dasar .Mereka bertanggungjawab bukan sahaja untuk memastikan bahawa anak buahnya memahami dasar kerajaan tetapi untuk member motivasi kepada anak buah supaya menyampaikan maklumat yang sebenarnya,” katanya.

Beliau mengakui terdapat jurang maklumat yang luas antara peringkat jabatan dan rakyat sehubungan itu semua pihak harus memainkan peranan dan tidak hanya menjadi tanggungjawab Jabatan Penerangan Negeri mahupun penyiaran sahaja.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Ogos 2013 |

Alam Flora mula beroperasi di Kelantan Oktober ini


KOTA BHARU, 25 Ogos: Pengurusan sisa pepejal di negeri ini bakal diserahkan kepada syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. apabila kerajaan negeri dijadual memeterai perjanjian mengenainya dijangka sebelum Hari Raya Haji ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, penyerahan tersebut akan dilakukan selepas kerajaan negeri menerima pelaksanaan Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Beliau berkata, keputusan kerajaan menandatangani perjanjian tersebut merupakan antara langkah penambahbaikan yang dibuat dalam aspek pengurusan sisa pepejal di negeri ini. "Bila akta ini diterima, bermakna automatik Alam Flora akan masuk ke Kelantan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Gotong-Royong Perdana 1Malaysia dan Kempen Kawalan Tikus peringkat negeri di Pasar Besar Siti Khadijah di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Nadzri Yahaya; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal negeri, Datuk Afandi Hamzah; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahamd Razin Ahmad Mahir; Pengarah Veterinar negeri, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin.

Pada majlis itu, Alam Flora turut menyumbangkan 20 buah tong sampah kepada MPKB-BRI. Mengulas lanjut, Abdul Fattah memberitahu, kerajaan negeri kini di peringkat akhir untuk menandatangani perjanjian tersebut dengan beberapa penambahbaikan akan dilakukan.

"Bagi saya semua perkara yang telah diputuskan oleh Kerajaan Pusat mesti ada sesuatu yang perlu kita pertimbangkan di peringkat negeri, kalau tidak Kerajaan Pusat tidak akan membuat sesuatu akta dan suatu keputusan, sama juga macam pengurusan air, kita lihat banyak negeri tidak mampu menguruskan air, perkara sama akan dibincangkan secara lanjut," katanya.

Mengurus pengurusan sisa pepejal di negeri ini, Abdul Fattah berkata, ia terlalu banyak dengan bandar Kota Bharu sahaja menghasilkan kira-kira 200 metrik tan sampah dan sisa pepejal sehari, berbanding jangkaan sekitar 60 metrik tan sehari.

Dalam pada itu, Nadzri memberitahu, pengambilan tersebut tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan negeri kerana ia ditampung oleh Kerajaan Pusat dan usaha itu akan meningkatkan tahap pengurusan sisa pepejal di negeri ini.

"Harapan kita supaya negeri Kelantan menjadi cantik, ceria dan dapat menarik kedatangan pelabur, pelabur tidak akan datang kalau kotor," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 26 Ogos 2013 |

Jumaat, 23 Ogos 2013

Di sebalik Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin

Sebahagian daripada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) didedahkan dengan pelbagai aktiviti supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih aktif.

KOTA BHARU, 21 Ogos: Setiap insan sudah pasti inginkan kehidupan yang dipenuhi kasih sayang daripada seorang isteri atau suami dan anak-anak. Namun, tiada apa yang dapat menghalang sekiranya sudah ditakdirkan hidup sendirian tanpa mereka.

Justeru, rumah kebajikan orang tua seperti Rumah Seri Kenangan (RSK) Taman Kemumin, Pengkalan Chepa adalah satu-satunya pilihan untuk golongan tidak bernasib baik seperti ini mendapatkan pembelaan bagi meneruskan kehidupan.

Rumah kebajikan orang tua yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan fasiliti seluas 12 hektar ini merupakan satu-satunya RSK yang beroperasi di Pantai Timur sejak tahun 1952 lagi. Institusi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar ini berfungsi menempatkan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas dari tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang

Mereka dihantar ke institusi ini berpandukan Kaedah-Kaedah Pengurusan Rumah Orang-Orang Tua 1983, selain mempunyai penghuni yang dimasukkan di bawah Akta Orang Papa 1977. Penguasa RSK Taman Kemumin, Wira Mahmood berkata, rumah kebajikan tersebut merupakan sebuah institusi bertindak sebagai tempat perlindungan kepada warga emas yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, terdapat 129 penghuni terdiri daripada 68 lelaki dan 61 perempuan iaitu 88 penghuni berketurunan Melayu, 32 (Cina), lapan (India) dan seorang Orang Asli. "Mereka akan dibantu oleh 70 kakitangan RSK yang bertugas 24 jam mengikut syif bagi memantau penghuni di situ yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat masyarakat, atendan, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, tukang masak dan lain-lain.

"Perlindungan yang diberikan oleh RSK ini bukan hanya meliputi penjagaan serta rawatan, malah turut merangkumi aktiviti-aktiviti kerohanian demi menjamin kesejahteraan hidup mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Wira berkata, pemantauan yang berterusan amat penting memandangkan penghuni-penghuni di sini terdiri daripada warga emas yang mempunyai tahap kesihatan berbeza dan memerlukan penjagaan rapi. "Mengurus penghuni-penghuni di sini amat mencabar kerana dalam kalangan mereka ada yang uzur fizikal dan tidak kurang juga mengalami uzur mental seperti nyanyuk dan kemurungan yang harus diurus dengan cara berbeza.

"Salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi terutamanya melibatkan penghuni yang mengalami masalah emosi yang mana mereka mula merindui kampung halaman serta keluarga yang tidak mahu menerima mereka," katanya.

Beliau berkata, selain bantuan kakitangan yang bertugas, RSK turut mempunyai kemudahan klinik pergigian yang mana seorang doktor gigi serta dua jururawat akan datang setiap minggu ketiga untuk memberikan rawatan kepada penghuni-penghuni di sini.

"Apa yang lebih istimewa ialah mereka turut mendapat perhatian seorang sukarelawan iaitu Dr. Lee Yan Hui yang lebih dikenali sebagai Dr. Lee yang datang memberi rawatan serta ubat-ubatan secara percuma. "Dr. Lee adalah satu-satunya sukarelawan yang banyak membantu penghuni di sini sejak 10 tahun lalu kerana setiap bulan beliau tidak pernah lupa datang memberi rawatan dan ubat percuma.

Beliau berkata, sebanyak RM2.5 juta setiap tahun diperuntukkan kepada institusi tersebut termasuk pengurusan makanan, pakaian serta penambahbaikan untuk keselesaan penghuni di situ. "Kira-kira RM8 sehari diperuntukkan untuk setiap penghuni yang mana pihak RSK akan menyediakan makanan kepada mereka sebanyak enam kali sehari," jelasnya

Tambah beliau, masa lapang penghuni di situ dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti berkebun, mengikuti ceramah atau kelas agama, beriadah, memelihara binatang ternakan serta menghasilkan kraftangan. "Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memberikan galakan kepada mereka untuk lebih aktif walaupun pada usia lanjut.

"Melalui aktiviti ini juga, RSK turut memberikan elaun penghuni sebagai inisiatif serta penghargaan terhadap kegigihan mereka dalam melaksanakan kerja-kerja," katanya. Menurutnya lagi, hanya 13 penghuni direkodkan mempunyai anak manakala purata 12 penghuni RSK Taman Kemumin meninggal dunia setiap tahun.

Sementara itu, seorang penghuni, Che Rahimah Awang Su, 68, berkata, dia sudah sebati dengan kehidupan di RSK setelah berada di situ enam tahun lalu. "Saya cukup gembira dengan kehidupan di sini yang lebih terurus memandangkan saya sebatang kara setelah kehilangan ibu bapa sejak kecil lagi," katanya.

Che Rahimah yang berasal dari Kampung Ulu Mahligai, Melor dekat sini berkata, dia telah dijaga oleh jirannya sejak kecil sebelum dicadangkan oleh pegawai JKM untuk tinggal di RSK. "Segala keperluan harian terjaga dan saya sudah selesa berada di sini bersama rakan-rakan seusia yang sama-sama menjalani kehidupan di rumah ini," katanya yang buta kedua-dua belah mata sejak lahir.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 22 Ogos 2013 |

Khamis, 22 Ogos 2013

Lapangan Terbang Kota Bharu kendali 0.7 juta penumpang dari Jan – Jun 2013




Lapangan Terbang Kota Bharu kekal sebagai lapangan terbang tersibuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
PADA suku kedua tahun 2013 ini, Lapangan Terbang Kota Bharu (LTKB) telah mengendalikan seramai 403,155 orang penumpang, iaitu peningkatan sebanyak 80,946 orang penumpang atau 25.12% berbanding pada sukuan yang sama pada tahun lepas. Ia merupakan rekod pengendalian penumpang tertinggi setakat ini berdasarkan sukuan.

Dalam masa yang sama, LTKB mengendalikan 709,019 orang penumpang pada separuh tahun pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 105,160 orang penumpang atau 17.41% berbanding separuh tahun pertama pada tahun lepas. Bagi Lapangan Terbang Kuala Terengganu dan Lapangan Terbang Kuantan pula masing-masing mengendalikan seramai 312,691 dan 151,192 orang penumpang pada separuh tahun pertama tahun ini. Peningkatan ketara jumlah pengendalian penumpang  di LTKB bagi separuh tahun pertama tahun ini dipacu oleh beberapa faktor, antaranya:- 


  • Peningkatan permintaan oleh penumpang terutamanya bagi sektor Kuala Lumpur – Kota Bharu, Subang – Kota Bharu, dan Pulau Pinang – Kota Bharu. 
  • Peningkatan penawaran oleh syarikat-syarikat penerbangan terutamanya Firefly dan Malindo Air sebagai respons terhadap peningkatan permintaan bagi beberapa laluan penerbangan.
  • Kempen promosi tambang murah yang berjaya memikat lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara terutamanya oleh Firefly dan AirAsia. 
  • Kemasukan Malindo Air ke pasaran Kelantan mulai 3 Jun 2013 telah melonjakkan persaingan dan perang harga yang menguntungkan pengguna. Pengguna mendapat harga tiket penerbangan yang lebih rendah sekali gus menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan penerbangan.
  • Penerbangan tambahan yang ditawarkan pada musim perayaan (Tahun Baharu Cina), cuti sekolah, dan Pilihan Raya Umum Ke-13 pada awal Mei 2013.
Pada sukuan ketiga 2013, LTKB dijangka terus mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan mengendalikan lebih 400,000 orang penumpang, manakala pada sukuan keempat 2013 akan berlaku sedikit penurunan berdasarkan aliran (trend) pada tahun-tahun sebelumnya dan dijangka akan mengendalikan kira-kira 350,000 orang penumpang. Secara keseluruhanya pada tahun ini, LTKB dijangka akan mengendalikan kira-kira 1.45 juta penumpang.

Setakat ini, LTKB masih kekal sebagai lapangan terbang tersibuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan masih menjadi pilihan utama para pelancong untuk ke selatan Thailand dan Pulau Perhentian. LTKB menawarkan perkhidmatan penerbangan terus ke atau dari Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru (gerbang selatan ke Singapura).

Nota: Statistik diperoleh daripada Malaysia Airports Holdings Berhad dan untuk maklumat lanjut tentang LTKB, sila layari laman sesawang www.kotabharuairport.blogspot.com.

Mesin pengimbas baharu di semua kompleks CIQ di Kelantan

 
Wan Junaidi (kanan) membuat tinjauan di jeti Pasukan Polis Marin di Pengkalan Kubor, Kelantan
TUMPAT, 22 Ogos: Alat mesin pengimbas canggih akan diletakkan di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan negeri ini bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan termasuk mencegah penyeludupan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat alat pengimbas dianggar bernilai RM16 juta itu akan diletak di tiga laluan masuk sempadan Malaysia-Thailand, antaranya di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga.

“Alat pengimbas sedia ada tidak memadai kerana ia mengambil masa lama, memakan masa selama dua jam setiap kali kerja-kerja pemeriksaan seperti mengimbas lori dari negara jiran. “Jadi apabila mempunyai mesin pengimbas canggih, masa diambil hanya lima hingga 10 minit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan di Pasukan Polis Marin, Pengkalan Kubor. Hadir sama, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah; Pengarah Kastam Kelantan, Datuk Azis Yacub dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, keadaan sempadan Sungai Golok sepanjang 120 kilometer dan terdapat 148 jeti haram, termasuk 48 daripadanya masih aktif mendatangkan masalah kerana menjadi laluan aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, bagi membendung aktiviti penyeludupan semakin berleluasa ini, pihak berkuasa akan mengadakan operasi bersepadu secara berterusan yang dilakukan 14 agensi terlibat. “Kita akan lakukan operasi secara berterusan tanpa mengikut masa dan musim seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Bila operasi ini dijalankan secara berterusan mereka (penyeludup) akan berasa bosan dan serik sekiranya tiap-tiap hari ditangkap,” katanya. 

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 22 Ogos 2013 |

Rabu, 21 Ogos 2013

Wabak denggi di Kelantan menurun

KOTA BHARU, 21 Ogos: Wabak denggi di negeri ini menunjukkan penurunan  berbanding sebelumnya, setakat dua minggu lalu sehingga sambutan Aidilfitri lepas. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, kes terbabit masih dalam keadaan terkawal walaupun sebelum ini menunjukkan peningkatan. “Kawasan persekitaran yang bersih dapat mengelak wabak demam denggi dari terus merebak.

“Jadi masyarakat perlu jaga kebersihan tempat tinggal dan persekitaran untuk membasmi penularan wabak ini,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis merdeka raya di perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Razin turut menasihatkan orang ramai supaya menyediakan makanan dalam keadaan bersih dan teratur. “Dalam bulan Syawal ini, memang banyak rumah terbuka diadakan, dan kita harap makanan yang dihidangkan kepada tetamu disediakan dalam keadaan yang bersih dan selamat supaya tidak mengundang keracunan makanan.


“Jika masyarakat mementingkan kebersihan maka kesihatan terjamin dan dapat mengelakkan pelbagai penyakit yang tidak diingini,” katanya. Ahmad Razin berkata, setakat Ramadan sehingga Aidilfitri lalu, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kes keracunan makanan termasuk di lokasi bazar-bazar Ramadan serta penganjuran majlis rumah terbuka.

Sumber: Sinar Harian | 21 Ogos 2013 |

Kerjasama Kelantan, Persekutuan mampu hapus dadah


KOTA BHARU, 21 Ogos: Usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah di Kelantan memerlukan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar).
  
Beliau berkata dalam hal ini perbezaan politik harus diketepikan dan kerajaan negeri harus bersedia duduk berbincang dengan pihak berkuasa pusat.
  
Sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand terdapat kira-kira 150 pangkalan haram kepunyaan penduduk tempatan yang tidak dikawal dan menjadi penghubung untuk menyeberangi sempadan itu serta menyeludup dadah, katanya.
  
"Kita sepatutnya duduk bersama berbincang memikirkan cara untuk mengatasi masalah rezab sungai ini yang digunakan oleh penduduk setempat untuk membina rumah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Klinik Cure & Care 1Malaysia di sini semalam.
  
Wan Junaidi berkata kesan buruk daripada penyeludupan dan pengedaran dadah perlu didedahkan kepada masyarakat dengan menggunakan pendekatan yang lebih berkesan.
  
"Pendedahan sebegini amat penting terutama kepada golongan remaja umpamanya melalui penerangan semasa perhimpunan di sekolah, melalui ceramah serta bacaan khutbah di masjid-masjid," katanya.
  
Beliau berkata penyediaan peluang pekerjaan yang mencukupi juga memainkan peranan dalam usaha membanteras isu dadah, justeru itu, beliau meminta Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob memikirkan cara untuk menarik pelabur ke negeri ini dan menukar dasar kerajaan negeri supaya lebih terbuka. 

Sumber: BERNAMA | 21 Ogos 2013 |

Lapangan Terbang Kota Bharu - Gerbang Pantai Timur ke Selatan Thailand dan Pulau Perhentian

Lapangan Terbang Kota Bharu yang menawarkan penerbangan terus ke atau dari Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang dan Johor Bahru (Gerbang Selatan ke Singapura, Pulau Batam dan Pulau Bintan)
LAPANGAN TERBANG KOTA BHARU (LTKB) atau dikenali juga sebagai Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan melalui Jalan Tok Guru yang menjadi laluan utama yang menghubungkan lapangan terbang ini dengan pusat bandar raya Kota Bharu. 

Setakat ini, terdapat empat buah syarikat penerbangan tempatan yang beroperasi di LTKB, iaitu AirAsia, Firefly, Penerbangan Malaysia (MAS), dan Malindo Air. Syarikat-syarikat penerbangan ini menawarkan perkhidmatan bagi laluan-laluan seperti berikut:-
  • AirAsia: Kota Bharu - Kuala Lumpur
  • Firefly: Kota Bharu - Subang, Kota Bharu - Pulau Pinang dan Kota Bharu - Johor Bahru (Gerbang Selatan ke Singapura, Pulau Batam & Pulau Bintan)
  • Penerbangan Malaysia: Kota Bharu - Kuala Lumpur
  • Malindo Air: Kota Bharu - Subang
LTKB merupakan gerbang Pantai Timur ke selatan Thailand dan Pulau Perhentian menjadi pilihan utama para pelancong yang ingin ke Pulau Perhentian dan selatan Thailand kerana kedudukan geografinya yang begitu dekat dengan kedua-dua destinasi pelancongan antarabangsa ini. 

Pelancong dari Republik Singapura yang ingin ke Kota Bharu, Pulau Perhentian dan juga selatan Thailand, bolehlah mengambil penerbangan terus dari Johor Bahru ke Kota Bharu yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan Firefly dan begitu juga warga Kelantan yang ingin ke Singapura boleh mengambil penerbangan terus ke Johor Bahru dari Kota Bharu.

Untuk memudahkan warga Singapura mengambil penerbangan dari Johor Bahru ke Kota Bharu, perkhidmatan bas ulang alik lapangan terbang (airport shuttle bus) ada disediakan oleh Causeway Link (www.causewaylink.com.my) setiap satu jam sekali dari JB Sentral di pusat bandar raya Johor Bahru ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru dan sebaliknya. Untuk maklumat lanjut tentang LTKB serta panduan lapangan terbang, sila layari laman sesawang www.kotabharuairport.blogspot.com.

Buat pertama kali penerbangan haji terus dari Alor Setar ke Madinah

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar

KUALA LUMPUR, 21 Ogos: Tabung Haji buat pertama kalinya menyediakan perkhidmatan penerbangan terus jemaah haji dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar ke Madinah bermula 9 September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Yang di-Pertuan Agong Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat menyempurnakan majlis pelepasan jemaah kumpulan pertama jemaah haji yang akan berlepas dari Alor Setar.

"Sebelum ini, penerbangan dulu (dari Alor Setar) ke Kuala Lumpur, buat pertukaran penerbangan sebelum terbang ke Jeddah atau Madinah."Untuk pertama kali dalam sejarah kita akan terbang pada 9 haribulan (dari Alor Setar) dan Agong berkenan melepaskan jemaah haji," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran haji dan fotografi Al Hajj: Pengalaman Malaysia sempena sambutan jubli emas Lembaga Tabung Haji di Muzium Kesenian Islam di sini Selasa.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail. Jamil Khir berkata, sebanyak tiga penerbangan akan berlepas terus dari Alor Setar ke Madinah pada musim haji kali ini melibatkan lebih 1,000 jemaah haji menggunakan pesawat penerbangan Malaysia (MAS) B777.

Kedah adalah negeri ketujuh yang menyediakan perkhidmatan penerbangan terus jemaah haji ke Jeddah atau Madinah selepas Terengganu, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur. Sementara itu, Jamil Khir berkata selain penerbangan terus, Kompleks Haji Alor Setar juga akan beroperasi untuk urusan operasi dan penerbangan haji semasa musim haji secara terus ke Jeddah dan Madinah tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Ini adalah kejayaan berganda di Alor Setar kerana selain penerbangan terus, bangunan hotel Tabung Haji yang terletak bersebelahan lapangan terbang akan beroperasi di mana jemaah haji akan berkumpul sebelum berlepas," katanya.

Kompleks bernilai RM86 juta itu terletak di lokasi sangat strategik iaitu lebih kurang satu kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas dekat sini dan 10km dari bandar raya Alor Setar.

Kompleks yang menyediakan kemudahan hotel bertaraf empat bintang dengan kadar bayaran tiga bintang ini akan dapat menjana pendapatan untuk Tabung Haji melalui sektor pelancongan dan hospitaliti. Pameran haji dan fotografi diadakan selama tiga bulan bermula hari ini memaparkan kejayaan Tabung Haji dari segi pengalaman yang diperoleh sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Sumber: BERNAMA | 21 Ogos 2013 |

Fakta Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar
  • Lokasi: 10km dari pusat bandar raya Alor Setar, Kedah
  • Panjang Landasan: 2,745 meter x 45 meter
  • Kapasiti Terminal: 800,000 penumpang setahun
  • Perkhidmatan Penerbangan: Kuala Lumpur (AirAsia & Penerbangan Malaysia), Subang (Firefly & Malindo Air), dan Madinah (penerbangan haji mulai 1434H/2013M)

Kelantan sasar kedatangan 5 juta pelancong tahun ini

Md. Anizam Abdul Rahman (kiri) dan Zainuddin Ibrahim (tengah) menanam sebahagian daripada 100 anak pokok beremban di Min House Camp, Kampung Pulau, Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU, 20 Ogos: Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai lima juta pelancong tempatan dan antarabangsa ke Kelantan sepanjang tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, seramai 2.3 juta pelancong telah direkodkan masuk ke negeri itu bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

"Sasaran lima juta pelancong hingga penghujung tahun ini boleh dicapai berdasarkan rekod tahun lalu yang menyaksikan sebanyak lima juta pelancong berkunjung ke negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penanaman pokok bagi mewujudkan taman kelip-kelip di Min House Camp, Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim. Pada majlis tersebut, sebanyak 100 batang anak pokok beremban dan pokok baru-baru ditanam di tepi pulau berkenaan bagi meningkatkan populasi kelip-kelip di kawasan itu.

Md. Anizam berkata, penanaman pokok beremban dan pokok baru-baru ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun luar negara untuk menikmati sendiri keindahan kelip-kelip.

"Pokok ini merupakan habitat semula jadi kelip-kelip dan kewujudan taman ini harus dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana ia turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat," katanya. Katanya, kawasan itu harus dibangunkan sebagai produk pelancongan memandangkan ini adalah satu-satunya lokasi hinggapan kelip-kelip di negeri ini dan sebelum ini hanya diketahui kewujudannya di Selangor, Pahang dan Johor. 

Beliau berkata, setakat ini pelbagai usaha sedang dilakukan bagi mencapai sasaran serta meningkatkan kehadiran jumlah pelancong ke sini. "Selain taman kelip-kelip, Kolam Air Panas Rengas, Labok juga sedang dibaik pulih dengan kos peruntukan sebanyak RM100,000.

"Kerja-kerja pemulihan kawasan kolam air panas ini melibatkan penyediaan segala kelengkapan bagi memberi keselesaan kepada pelancong untuk berkunjung ke sana," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 21 Ogos 2013 |

Usaha UMK mencapai taraf dunia

Sebahagian daripada pensyarah yang hadir dalam majlis perjumpaan dengan Raduan Che Rose di Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU 20 Ogos: Dalam usaha menjadi universiti terkemuka bertaraf dunia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mahu menghantar lebih ramai pensyarahnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di luar negara.

Bagi mencapai impian tersebut, Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pihaknya membuka peluang kepada 50 pensyarah muda bagi melanjutkan pengajian peringkat Ph.D dalam pelbagai bidang di luar negara.

Beliau berkata, kumpulan tersebut merupakan mereka yang mendapat kepujian kelas pertama dan akan dihantar ke beberapa buah universiti terkemuka dunia dan bertaraf lima bintang. "Universiti telah meletakkan pelaburan besar dengan hasrat melahirkan mereka yang benar-benar boleh dibanggakan bagi membawa bendera UMK dalam menjuarai agenda keusahawanan negara.

"Saya turut yakin dengan kemampuan tenaga pengajar menjelmakan UMK sebagai sebuah universiti yang istimewa dari semasa ke semasa," katanya berucap pada majlis perjumpaan bersama pensyarah muda terbabit di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi; Pendaftar UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak dan Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaannya, Prof. Mohamed Dahlan Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Raduan turut menggariskan lima strategik utama untuk menjadikan UMK sebuah universiti keusahawanan terkemuka dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Beliau berkata, strategi berkenaan ialah menjadikan UMK sebagai universiti keusahawanan, pilihan utama pelajar, menghasilkan sekurang-kurangnya 10 peratus graduan keusahawanan, pilihan kerjaya dan menjadi pusat rujukan masyarakat.

"Sebagai universiti yang memberi pengkhususan dalam bidang keusahawanan sejak ditubuhkan, saya percaya kita perlu memainkan peranan lebih berkesan dengan menerajui agenda pendidikan keusahawanan," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, tenaga pengajar atau pensyarah UMK juga perlu terlibat dan mengutamakan bidang penyelidikan mengikut bidang kepakaran masing-masing dengan hasilnya nanti dimanfaatkan untuk perkembangan universiti dan masyarakat.

"Menghasilkan penyelidikan dan membentangkan hasil kajian mereka di dalam persidangan adalah sebahagian peranan pensyarah untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. 

"Pensyarah juga perlu meningkatkan kebolehan dan kemahiran dalam pengajaran supaya bahan yang disampaikan dapat difahami oleh pelajar universiti," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 21 Ogos 2013 |

Nelayan lega muara Kuala Besut dipulih

Muara Kuala Besut yang akan didalamkan bagi mengatasi masalah cetek di sungai Kuala Besut.
BESUT, 19 Ogos: Muara cetek dengan laluan sempit dan hadangan beting pasir merupakan fenomena alam yang berterusan menjadi masalah kepada bot nelayan dan pelancong berpangkalan di Kuala Besut sejak sekian lama.

Langkah sementara untuk mengatasinya melalui kerja mendalamkannya dengan kos yang juga besar sentiasa dibatasi kerana masalah itu akan tetap kembali beberapa tahun kemudian dan keluhan serta sungutan akan berulang didengar.

Dianggarkan lebih 300 bot nelayan beroperasi di daerah ini dan daripada jumlah itu hanya kira-kira 45 peratus menggunakan pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besut apabila banyak yang tertumpu di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Segala pergerakan bot keluar masuk akan bergantung ketibaan air pasang dan keadaan itu jelas mengganggu bot nelayan dan pelancong ke Pulau Perhentian yang merupakan salah sebuah pulau terindah di dunia. Hampir setiap tahun terdapat bot yang karam atau tenggelam di muara Sungai Kuala Besut kerana terlanggar beting pasir atau kerana muara yang cetek.

Sehubungan itu pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada bulan lalu mengenai projek pemulihan muara Sungai Besut disambut oleh golongan nelayan dengan perasaan cukup lega dan menggembirakan mereka.

Kesediaan Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan begitu besar berjumlah RM250 juta bukan sahaja menyemarakkan perkembangan industri perikanan malah bakal menjadikan Kuala Besut sebagai nadi pelancongan.

Projek yang turut melibatkan pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang satu kilometer, yang setiap satu memagari laluan masuk itu sekali gus bakal merubah wajah kawasan sekitar pesisirnya melalui limpahan pembangunan lebih pesat seperti yang dirancang.

Sewaktu mengumumkan kelulusan projek itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, sebuah syarikat akan melakukan kajian awal yang memakan masa enam bulan bagi menyediakan pelan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Besut, Che Busu Ismail menganggap projek itu sebagai satu rahmat yang dinanti oleh setiap nelayan sejak puluhan tahun lalu kerana bukan mudah projek yang menelan kos begitu besar untuk diluluskan.

Sambil mengucapkan terima kasih, katanya, projek pemilihan itu pasti akan dapat membantu menambah hasil nelayan yang agak terjejas dan kebanyakan pendaratan ikan terpaksa dilakukan di Tok Bali. “Pemborong dan peraih ikan dari Kelantan dan Pahang berasa terganggu kerana bot yang mendaratkan ikan di Kompleks Ikan LKIM di Kuala Besut terpaksa menunggu hingga air pasang untuk melalui muara.

“Lalu mereka beralih ke Tok Bali bagi mendapatkan bekalan kerana bot boleh mendaratkan ikan lebih awal disebabkan tidak berdepan dengan masalah muara cetek. “Setakat ini hanya bot kecil boleh memasuki muara Kuala Besut sepanjang masa tetapi kebanyakannya tidak membawa sama tangkapan yang banyak sebagaimana diperlukan," ujarnya.

Seorang nelayan, Azmi Daud, 46, berkata, sebelum ini pernah berlaku insiden mengakibatkan kematian berikutan keadaan muaranya yang cetek. “Bot akan melekat apabila muara terlalu cetek. Kebetulan pada masa itu ombak besar, ketika itulah berlakunya kemalangan jiwa, ombak membadai bot berkenaan lalu terbaik," ujarnya.

Bagi Ibrahim Hamat, 63, pula, langkah kerajaan melalui pelaksanaan projek kekal itu akan mengakhiri keluhan sekian lama golongan nelayan di sini. Katanya, selain boleh keluar masuk pada bila-bila masa, nelayan tidak akan berdepan dengan risiko bot tersadai, terbalik dan rosak.

Menurut beliau, tindakan tersebut memberi impak besar bukan sahaja melancarkan aktiviti nelayan tetapi kepada sektor pelancongan negeri. “Muara ini juga menjadi laluan bot pelancong yang hendak ke Pulau Perhentian. Kalau muara cetek kadang-kadang turut menyukarkan perjalanan bot membawa pelancong.

“Mereka terpaksa menunggu lama dan menyebabkan mereka beralih ke jeti di Kelantan. Jadi khidmat pengusaha bot di sini turut terjejas," ujarnya. Seorang lagi nelayan yang ditemui, Zamri Mohd. Noor, 38, berkata, dengan pelaksanaan projek tersebut nanti secara tidak langsung membuka peluang ekonomi yang lebih mantap terutama kepada kaum nelayan di daerah ini.

“Apabila muara dalam, maka bot ini tidak menghadapi masalah untuk keluar masuk, dengan itu kerja nelayan boleh berjalan lancar. Lebih banyak kegiatan boleh dilakukan di sini," katanya. Mat Min Awang, 52, pula memberitahu, akibat masalah kecetekan itu, kegiatan penurunan ikan di Kuala Besut turut berkurangan.

“Nelayan terpaksa turunkan ikan di pangkalan pendaratan ikan di Tok Bali sedangkan mereka berdaftar di Kuala Besut. “Jadi apabila muara didalamkan, sudah semestinya pangkalan ini akan kembali maju dan berkembang. Kami amat berterima kasih kepada kerajaan yang memberi perhatian besar terhadap pembangunan nelayan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 20 Ogos 2013 |

Selasa, 20 Ogos 2013

Lima juta pelancong dijangka lawat Kelantan tahun ini

KOTA BHARU, 20 Ogos: Kerajaan Kelantan menyasarkan lima juta pelancong melawat negeri itu tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman. Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, seramai 2.3 juta pelancong sudah melawat Kelantan.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran itu berdasarkan rekod tahun lepas yang menyaksikan lima juta pelancong berkunjung ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penanaman pokok berembang bagi mewujudkan taman kelip-kelip di Min House Camp, Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini Selasa.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya pelbagai perancangan dan program diatur termasuk taman kelip-kelip dan membaik pulih Kolam Air Panas Rengas di Machang.

Mengenai taman kelip-kelip itu, beliau berkata kawasan itu perlu dibangunkan sebagai produk pelancongan Kelantan memandangkan ia merupakan satu-satunya lokasi hinggapan kelip-kelip di negeri ini. "Sebelum ini, kewujudannya (lokasi hinggapan kelip-kelip) hanya di Selangor, Pahang dan Johor," katanya.

Md Anizam berkata penanaman pokok itu dapat meningkatkan lagi bilangan kelip-kelip yang menjadikan tumbuhan tersebut sebagai habitat semula jadinya.

Pada majlis itu, sebanyak 100 batang anak pokok berembang ditanam bagi meningkatkan lagi populasi kelip-kelip di kawasan itu.

Sumber: BERNAMA | 20 Ogos 2013 |

Kilang makanan dalam tin beri nafas baharu Bandar Baharu Tok Bali

PASIR PUTEH, 20 Ogos: Pembangunan bandar baharu perikanan Tok Bali di sini, mendapat nafas baharu apabila sebuah kilang makanan dalam tin dan sejuk beku bernilai RM50 juta dibina di kawasan tersebut dalam tempoh terdekat.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Semerak, Zawawi Othman berkata selain merancakkan pembangunan di bandar baharu itu yang kini "lembap", ia juga akan dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Projek seperti ini memang ditunggu-tunggu kerana ia boleh mengurangkan penghijrahan belia ke luar Kelantan terutama di Kuala Lumpur, Johor dan bandar besar lain untuk mencari pekerjaan," katanya kepada pemberita pada majlis penghakiman pertandingan kampung wawasan di Kampung Kulim di sini, Selasa.

Beliau mengulas pengumuman Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) antara lain menyebut syarikat Tropical Consolidated Corporation Sdn Bhd akan membina kilang tersebut di bandar baharu perikanan Tok Bali.

Zawawi yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM800 juta bagi mewujudkan pelbagai projek berasaskan makanan menerusi agensi berkaitan.

"Ini termasuk projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tetapi ia tidak mencukupi bagi memesatkan pembangunan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata kelembapan pembangunan di kawasan itu berpunca daripada kerajaan negeri pimpinan PAS gagal melaksanakan apa yang mereka rancang.

Sumber: BERNAMA | 20 Ogos 2013 |