Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 29 November 2013

Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai bermula pertengahan tahun depan

KOTA BHARU: Sebahagian projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dibiayai Kerajaan Persekutuan, manakala sebahagian lagi akan dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan.

Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek bermula dari Pasir Hor ke Kadok sejauh 7 km membabitkan kos RM200 juta, difahamkan sudah dikeluarkan tendernya.

Manakala laluan Machang - Kuala Krai sepanjang kira-kira 30 kilometer akan dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan dengan anggaran membabitkan kos RM550 juta.

Mungkinkah ini dinamakan sebagai wajah politik baharu yang menyerap nilai-nilai kemanusiaan, sedangkan sebelum ini demokrasi di Malaysia dipenuhi politik dendam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad (gambar) berkata, projek lebuh raya dari Machang - Kuala Krai akan dibina pertengahan tahun hadapan.

Katanya, tender akan dibuka Januari 2014 dan syarikat yang berminat boleh menghantar permohonan dengan syarat ditetapkan dan mempunyai sumber kewangan kukuh.

Tempoh pembinaan selama tiga tahun, manakala tahun keempat pihak kerajaan akan membayar tunai kos pembinaan kepada pemaju terlibat,” ujarnya selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 68 kilometer dirancang oleh Kerajaan Negeri Kelantan ekoran projek berkenaan dipinggirkan kerajaan pusat sejak 1986.

Sebelum ini sebuah syarikat dari Korea Selatan berminat melaksanakan projek berkenaan, bagaimanapun menarik diri kemudiannya.

Selepas itu sebuah konsultan tempatan, Ecobound Sdn Bhd dengan kerjasama Emirates House Group juga berminat untuk melaksanakan projek tersebut dengan cadangan pembiayaan daripada Bank Pembangunan Asia.

Hanifa juga berkata, hasil perlombongan dan pembalakan akan digunakan bagi menampung kos pembinaan lebuh raya ini.

Sesi penerangan GST diteruskan ke akar umbi

Makhtar Mustapha ketika berucap merasmikan program Penjelasan Bajet 2014 dan GST kepada ketua jabatan dan pegawai agensi Kerajaan Persekutuan di Kota Bharu, Kelantan semalam.
KOTA BHARU: Sesi penerangan Bajet 2014 dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan diteruskan hingga ke peringkat akar umbi di seluruh kawasan Parlimen dan daerah negeri ini bagi membantu penduduk memahami pelaksanaannya.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, program penerangan secara bersiri itu khususnya mengenai GST adalah penting untuk menangani persepsi negatif yang sering dilemparkan kepada kerajaan.

Beliau berkata, program itu akan dikelolakan pihak Jabatan Penerangan Negeri Kelantan sebagai persediaan menjelang pelaksanaan GST pada April 2015 nanti.

"Kita mahu memberi penerangan terperinci dalam bahasa yang mudah kepada rakyat kerana ramai yang masih keliru dan bimbang pelaksanaan GST akan menyebabkan harga barang semakin mahal.

"Penduduk Kelantan khususnya banyak dimomokkan dengan tanggapan negatif tentang segala perancangan dan projek yang kerajaan laksanakan, jadi sesi penerangan sebegini penting untuk menangani persepsi sebegitu.

"Kerajaan sebenarnya sentiasa berusaha keras memastikan kebajikan rakyat dalam segenap sudut termasuk mengenakan kadar cukai yang rendah kerana faedahnya rakyat dapat membeli barang dengan harga murah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Penjelasan Bajet 2014 dan GST kepada ketua jabatan dan pegawai agensi kerajaan Persekutuan di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Makhtar memberitahu, kerajaan dalam Bajet 2014 memperuntukkan kira-kira RM2 bilion untuk pelaksanaan 163 projek di negeri Kelantan termasuk projek sambungan dari Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan antara projek besar adalah menaiktaraf Hospital Kuala Krai dan pembinaan Hospital Bachok di Tangok, Bachok.

Beliau berharap kesemua 70,000 kakitangan Kerajaan Persekutuan di negeri ini dapat menjadi kader yang efektif dalam menyampaikan maklumat tentang inisiatif kerajaan kepada masyarakat.

"Kita sentiasa berperang dengan persepsi contohnya semasa pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra 2 yang didakwa retak, bocor dan sebagainya hanya kerana pihak tertentu mencari kesalahan kecil untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

"Namun, kita gembira kerana jambatan dengan kos RM180 juta itu sudah siap dan kita sendiri dapat lihat bagaimana ia memberi manfaat yang amat besar khususnya kepada penduduk daerah Pasir Mas dan Tumpat," katanya.

Sementara itu, salah seorang penceramah, Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Raizam Mustapha berkata, pelaksanaan GST adalah satu penambahbaikan yang amat penting kepada sistem percukaian negara yang bakal memberi manfaat kepada semua golongan termasuk pedagang dan pengguna.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 28 Nov. 2013

Sazali Samad yakin keadaan di Myanmar tidak jejas atlet

Juara Bina Badan Dunia, Sazali Samad menunjukkan aksi bina badan sambil memegang medal dan menunjukkan trofi yang dimenanginya ketika menjadi Juara di Kejohanan Dunia ke-5 Bina Badan Dunia di Budapes, Hungary baru-baru ini selepas wawancara khas bersama beliau di Kuala Lumpur, hari ini. Foto: Bernama
PEMBAWA bendera Jalur Gemilang ke temasya Sukan Sea, Myanmar Sazali Abdul Samad yakin keadaan keselamatan di negara tuan rumah tidak akan menjejaskan tumpuan para atlet untuk mengumpul pingat.
  
Sazali berkata pihak Majlis Sukan Negara (MSN) telah membuat pemantauan terlebih dahulu mengenai keadaan keselamatan di Myanmar dan memberikan jaminan bahawa keadaan di sana adalah baik.
  
"Kita sudah dapat jaminan daripada MSN bahawa keadaan di sana baik sahaja jadi tidak menjadi alasan jika para atlet tidak boleh menumpukan perhatian dan buat yang terbaik untuk raih pingat," katanya ketika ditemui pemberita di Gimnasium PDRM (Polis Diraja Malaysia), di sini hari ini.

Sebelum ini, pihak MSN berjanji akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kedutaan Malaysia di Myanmar mengenai cubaan pengeboman ke atas sebuah masjid seperti yang dilaporkan sebuah agensi berita asing.
  
Agensi berita pada Khamis lepas melaporkan polis Myanmar berjaya menahan tiga lelaki dari wilayah Rakhine yang dipercayai merancang serangan bom ke atas sebuah masjid di Yangon, Myanmar.
  
Sazali yang turut meraih gelaran Mr Universe di Kejohanan Bina Badan Dunia di Budapest, Hungary buat kali kesembilan berharap dapat meraih pingat emas dalam kategori lightweight (70kg) pada temasya dwitahunan itu pada Disember ini.
  
Katanya beliau sangat menitikberatkan soal pemakanan bagi menjaga stamina dan badannya serta sedang menjalani latihan bagi persiapan ke temasya Sukan Sea.
  
"Sekarang cuma tinggal 12 hari sahaja lagi sebelum Sukan Sea berlangsung... Saya akan cuba buat yang terbaik. Pemakanan harus dijadikan keutamaan agar badan berada dalam keadaan baik," katanya.  
  
Untuk rekod, Sazali meraih gelaran Mr Universe pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 manakala gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010 dan 2012

Sumber: BERNAMA | 27 Nov. 2013

Tok Guru Nik Aziz kunjungi lelaki berusia 160 tahun

Tok Guru Nik Aziz ketika menziarahi Tok Ayah baru-baru ini.
TANAH MERAH: Penglihatan masih lagi jelas, pendengaran pun sempurna. Giginya masih yang asal. Lebih aneh lagi mampu berjalan kaki berbatu-batu biar pun usianya mungkin tertua di dunia iaitu 160 tahun.

Percaya atau tidak, namun Tok Ayah mendakwa melalui pengalaman di bawah 13 Sultan yang memerintah Kelantan. Malah kisah hidup pahlawan dan perjuangan Mat Kilau pun diketahui dengan jelas. Pengalaman di bawah penjajahan Inggeris dan Jepun masih diingati sehingga sekarang.

Wajahnya tidak berkedut seperti warga emas lain. Mohamed Soleh Ali lebih mesra panggilan Tok Ayah memberitahu ketika penjajahan Jepun beliau mempunyai tiga anak.

Kesemua anaknya 13 orang dan sekarang hanya tinggal lima. Begitu juga kesemua 13 isterinya juga sudah meninggal dunia. Anggota keluarganya, Stapa Ismail, 61 berkata, kegemaran Tok Ayah dari muda sehingga sekarang berjalan kaki ke mana sahaja.

Dia pernah memberitahu berjalan kaki ke Johor, Pahang dan Terengganu semasa muda. Sekarang masih lagi mampu berjalan kaki ke bandar Pasir Mas,” katanya di sini.

Tok Ayah tinggal di Kampung Gelugur, Bukit Panau kelmarin dikunjungi Mursyidul PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mantan Menteri Besar itu juga menghadiahkan tongkatnya kepada Tok Ayah di samping wang.

Stapa memberitahu paling aneh anak dan cucunya tidak tahu ke mana Tok Ayah pergi setiap hari, namun ketika pulang ada sahaja makanan yang dibawanya.

“Malah ada ketika anaknya nampak Tok Ayah naik kereta pergi, namun tidak lama kemudian dilihat ada di dalam rumah.

“Banyak sebenarnya kisah pelik kalau hendak cerita tentang Tok Ayah. Apa yang saya tahu sejak dahulu sehingga sekarang dia tidak bekerja tetap dan hanya tahu berjalan sahaja.

Namun tangannya sentiasa ada buah tasbih. Tok Ayah hanya meminum air telaga yang tidak dimasak. Kalau orang bagi duit kepadanya dia akan bagi kepada orang lain pula,” katanya.

Cucu Tok Ayah pun ada yang sudah berusia lebih 60 tahun. Sementara itu tidak jauh daripada kampung tersebut juga ada seorang wanita berusia 126 tahun, sekarang tinggal bersama anaknya di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau.

Sumber: Harakah Daily | 28 Nov. 2013

Khamis, 28 November 2013

Bayi ditanam hidup-hidup di Miri

Anggota polis membawa mayat bayi yang ditanam ibunya ke rumah mayat Hospital Miri untuk dibedah siasat. Foto: Kandau Sidi
MIRI: Tangisan dan rontaan seorang bayi masih bertali pusat dalam plastik sampah tidak dihiraukan ibunya bersama teman lelaki, ketika menanam mangsa hidup-hidup dalam lubang tepi pagar ladang sawit dekat Suai, Niah, petang kelmarin.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan pasangan berusia 20-an pada jam 4 petang. Perbuatan kejam pasangan itu disedari pengawal ladang yang terserempak dengan mereka dalam keadaan mencurigakan dan terdengar tangisan bayi dalam plastik hitam yang dibawa mereka. 

Pengawal keselamatan itu mulanya menyangka pasangan terbabit mahu menceroboh ladang, namun merasa pelik melihat mereka membawa sesuatu objek dalam plastik sampah.

Ketika mengintai dari jauh, pengawal itu mendapati pasangan terbabit menggali tanah berhampiran pondok pengawal keselamatan di situ sebelum menanam objek yang dikeluarkan dari beg plastik dibawa mereka.

Apabila tangisan bayi itu tidak lagi kedengaran, pasangan terbabit segera meninggalkan kawasan terbabit, membuatkan pengawal keselamatan berkenaan bergegas melakukan pemeriksaan.

Ternampak kaki bayi

Sebaik pengawal itu melihat kesan tanah baru digali, dia segera mengoreknya sehingga ternampak kaki kanan bayi terbabit, sebelum segera memaklumkan kejadian itu kepada pengurus ladang yang kemudian menghubungi polis. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintendan Stanley Jonathon Ringgit, berkata sepasukan anggota Balai Polis Pusat Miri bergegas ke lokasi.

Sebaik tanah itu dikorek sepenuhnya, polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat serta masih bertali pusat, dibungkus dengan kain lampin serta selimut mempunyai tanda untuk kegunaan hospital, dipercayai baru dilahirkan.

Polis tidak menolak kemungkinan bayi itu hasil hubungan terlarang sebelum ditanam. Ini berdasarkan keterangan pengawal keselamatan yang melihat gelagat dua suspek di lokasi, katanya.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan maklumat dari Klinik Kesihatan Batu Niah dan Hospital Miri untuk mengenal pasti latar belakang individu yang melahirkan bayi sejak beberapa hari lalu. 

Sumber: Berita Harian | 28 Nov. 2013

PM terima kunjungan hormat MB Kelantan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Datuk Ahmad Yaacob ketika menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan itu di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Khamis.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya di Perdana Putra di Putrajaya.

Ahmad yang ditemui sejurus selepas perjumpaan selama kira-kira 45 minit itu berkata ia merupakan kunjungan hormat beliau selaku menteri besar Kelantan yang baru dilantik.


Beliau berkata antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berkaitan dengan pelbagai bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.
"...contohnya berkaitan dengan infrastruktur dan juga hal-hal lain untuk kebajikan rakyat," katanya dan menambah, isu berkaitan politik tidak dibincangkan dalam pertemuan itu.

Ahmad tiba di Bangunan Perdana Putra pada kira-kira pukul 9 pagi bersama beberapa anggota exco kerajaan negeri Kelantan, dan beliau diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika memasuki pejabat perdana menteri.


Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei lepas, menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyandang jawatan menteri besar selama 23 tahun.


Sumber: BERNAMA | 28 Nov. 2013

Peningkatan tarif elektrik 10 - 20% tahun depan

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menaikkan tarif bekalan elektrik antara enam dan tujuh sen bagi satu kilowatt tahun depan, kata Menteri Tenaga. Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili. Bagaimanapun, Ongkili berkata kerajaan akan memastikan kenaikan tarif tidak menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah.

"Kerajaan masih mengkaji kadarnya. Ia mungkin antara 10 peratus dan 20 peratus," katanya dan menambah angka di bawah 20 peratus adalah munasabah. "Kadarnya adalah munasabah. Ia merupakan semakan minimum bagi Tenaga Nasional Bhd yang memastikan ia mencerminkan kos modal, pengurusan dan gaji," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Ongkili membayangkan kerajaan akan mengekalkan struktur semasa dengan pengguna yang menggunakan 300 kWh sebulan atau kurang, tidak dikenakan tarif baharu itu.Oleh itu, tiada kenaikan tarif dijangkakan untuk 75 peratus pengguna isi rumah (4.4 juta pengguna), pengguna 'lifeline' (3.3 juta pengguna) dan pengguna 201-300 kWh (1.1 juta pengguna).

Ongkili berkata kadar itu juga bergantung kepada sejauh mana kerajaan mahu mengurangkan subsidi dan menyalurkannya kepada pembangunan sosioekonomi.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi isyarat bahawa subsidi akan dikurangkan dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Ongkili berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM130 juta untuk subsidi setiap tahun untuk tarif manakala selebihnya ditanggung oleh Petronas kira-kira RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun untuk sektor tenaga.

Berbanding tarif semasa negara anggota Asean, Ongkili berkata Malaysia lebih rendah berbanding Thailand dan Filipina, namun tinggi berbanding Indonesia memandangkan republik itu merupakan negara yang paling banyak memberi subsidi kepada sektor tenaga.

"Kami (menteri kabinet) akan bermesyuarat minggu ini. Kami akan mengkajinya," katanya.Kali terakhir tarif elektrik dinafikan pada Jun 2011 apabila harga gas subsidi dinaikkan kepada RM13.70 (mmbtu) daripada RM10.70 mmbtu sebelumnya. 

Sumber: BERNAMA | 28 Nov. 2013

Brendan sedia lepaskan kerakyatan Australia

BRENDAN Gan (gambar) sedia melepaskan taraf kerakyatan Australia demi mewakili Kelantan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Buat masa ini, status Brendan kekal menjadi persoalan kerana Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah melengkapkan kuota empat pemain import.

Untuk saingan 2014, import The Red Warriors dibarisi Forkey Doe, Mohamed Shawky, Mohammed Ghaddar serta Obinna Nwaneri yang tampil selaku Penolong Ketua Pasukan 2.

Mempunyai bapa yang merupakan rakyat Malaysia, menjadi asas buat Kafa mendaftar Brendan sebagai pemain tempatan. Begitu pun, taraf kerakyatan Australia dimilikinya tidak memberi Brendan pengiktirafan berkenaan.

Untuk rekod, menurut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Brendan berhak memilih untuk mewakili negara kelahiran bapanya, tambahan pula dia belum pernah mewakili skuad kebangsaan Australia sebelum ini.

Ketika mewakili pasukan Sabah dua musim lalu, Brendan didaftarkan sebagai pemain import lantas dia mengambil inisiatif sendiri untuk memohon pasport bagi mendapat kerakyatan Malaysia.

"Saya belum mempunyai butiran jelas mengenainya tetapi saya masih cuba untuk jadi pemain tempatan, terpulang kepada Kafa serta FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk membenarkannya.

"Saya amat gembira menyertai Kelantan dan bermain sekali lagi di Malaysia, ia pengalaman yang baik," katanya pada majlis memperkenalkan skuad TRW 2014 di ibu negara, kelmarin.

Pemain berusia 25 tahun itu juga tidak menolak kemungkinan untuk mewakili skuad senior kebangsaan andai permohonannya menjadi kenyataan.

Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika diajukan soalan mengenai status Brendan, menjawab: "Kita telah buat permintaan rasmi kepada FAM dan badan induk itu pula nak merujuk kepada AFC, kita tiada masalah mengenainya. Pada masa sama, Brendan telah pun bersetuju untuk memohon pasport Malaysia secara rasmi".

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 28 Nov. 2013

TRW 2014: Tiga serangkai bakal menyengat

Antara barisan pemain baharu skuad Kelantan musim 2014.
GANDINGAN tiga pemain import, Mohamed Ghaddar, Mohamed Shawky dan Francis Forkey Doe bukan saja bakal menguatkan pasukan The Red Warriors (TRW) musim depan, malah mampu membantu pasukan itu mengekalkan reputasi sebagai pasukan bola sepak terbaik negara.

Bekas jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengibaratkan kehadiran tiga pemain import itu sebagai bonus kepada TRW.

Karathu berkata, dengan gandingan tiga pemain itu juga tidak mustahil Gergasi Pantai Timur itu mampu bangkit sebagai sebuah pasukan yang kuat dan mantap.

"Sebenarnya saya masih belum lihat senarai penuh pemain Kelantan musim depan, tapi kalau dari segi penyerang saya lihat satu gandingan yang bagus. Malah gandingan dua pemain Arab dengan Liberia, saya yakin satu bahagian yang akan menyengat.

"Begitu pun, harus diingat dalam pasukan kita tidak boleh bergantung kepada bahagian serangan semata-mata, bahagian pertahanan dan tengah juga perlu untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

"Tapi saya yakin pemain muka baharu mampu mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan tonggak utama yang berhijrah malah gandingan pemain muda dan berpengalaman pasti menambah sengat pasukan musim depan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, skuad bola sepak Kelantan mengumumkan secara rasmi senarai pemain yang akan menyarung jersi pasukan itu bagi membawa cabaran pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala AFC 2014.

Mendahului senarai pemain baharu TRW 2014 adalah tiga tonggak import terdiri daripada pemenang Kasut Emas Liga Super 2012, Forkey Doe, penyerang Lubnan yang membantu Kelantan menjulang treble pada 2012, Mohamed Ghaddar dengan meledak 21 gol dan bekas pemain kebangsaan Mesir, Mohamed Shawky yang berjaya memenangi tempat ketiga Kejohanan Kelab Dunia 2006.

Juara Piala FA 2013 itu juga membawa pemain kelahiran Australia, Brendan Gan yang mempunyai bapa warga Malaysia tetapi akan cuba didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Sayap Harimau Muda A, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan pemain tengah Malaysia, Amar Rohidan turut menyarung jersi TRW.

"Buat masa ini masih terlalu awal untuk saya menilai barisan pemain baharu yang diperkenalkan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa. Ini keran saya perlu lihat terlebih dahulu aksi mereka dan paling kurang dalam dua atau tiga perlawanan. Selepas itu baru saya boleh nilai sejauh mana barisan baru TRW musim depan.

“Apa pun, saya percaya Kafa sudah membuat penelitian terperinci sebelum mengambil pemain. Jadi saya berharap pasukan baharu yang dibentuk ini akan cepat mendapat keserasian sebelum saingan bermula,” katanya.

Menurut Karathu, Kelantan juga masih mampu meraih kejayaan dengan kekalnya Mohd Badhri Radzi atau Piya yang menjadi perancang utama.

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 28 Nov. 2013

Annuar: Kontrak Mohd Nazri dengan Kelantan sah

PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa (gambar) mendakwa status seseorang pemain bersama pasukan lain hanya sah selepas pemain berkenaan menandatangani kontrak yang lengkap selain menurunkan tandatangan di setiap muka surat bersama pasukan yang ingin diwakilinya.

Mengambil contoh Kafa, Annuar berkata pihaknya sudah mengalami perkara berkenaan sebanyak beberapa kali dan peraturan berkenaan adalah jelas.

“MoU (Memorandum Persefahaman) atas menurun tandatangan atas sehelai kertas tidak diterima pakai… yang terpenting akhirnya pemain itu sendiri berhak memilih dengan pasukan mana mereka memilih untuk beraksi.

“Dalam kes ini amatlah jelas (Mohd) Nazri Ahmad, (Mohd) Nazrin Nawi, Norfarhan (Muhammad), Hai-O (Hairuddin Omar) dan lain-lain akan beraksi dengan pasukan pilihan masing masing,” katanya menerusi laman facebook beliau, hari ini.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang disiarkan media hari ini, dengan mendakwa bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Nazri Ahmad sudah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk menyertai skuad Gergasi Merah bermula musim depan.

Mohd Nazri yang beraksi di posisi pertahanan merupakan antara lapan pemain baharu Kelantan yang diperkenalkan Annuar pada satu majlis pengenalan skuad The Red Warriors, semalam untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

Penyerang JDT, Mohd Safee Sali sebelum ini dilaporkan menarik balik semula keputusannya untuk menyertai Selangor, musim depan walaupun dikatakan sudah mendapat bayaran pendahuluan daripada FAS.
Insiden itu bagaimanapun dikatakan selesai memandangkan pengurusan JDT bersetuju untuk membuat bayaran pampasan kepada FAS. 

Sumber: BERNAMA | 27 Nov. 2013

Kelantan perlu bantu promosi produk pelancongan

Kamal Azam Kamaruddin (kanan) melepaskan peserta Program Kayuhan Muhibah Tourism Malaysia Kelantan di Warung Pok Mat Pulau Pisang, Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan digesa mengerakkan usaha membantu mempromosikan produk pelancongan di negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, tahun depan.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Kamal Azam Kamaruddin berkata, kerajaan negeri perlu memainkan peranan penting dalam membangunkan produk-produk pelancongan yang boleh dipromosikan sebagai tarikan pelancong nanti.

Katanya, ekoran usaha yang kurang dalam mempromosikan produk berkenaan menyebabkan orang ramai tidak mengetahui tentang kewujudan tempat-tempat menarik di negeri ini.

"Untuk mengangkat produk pelancongan ini, pelbagai perkara yang boleh kita lakukan termasuk memelihara serta membangunkan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan.

"Kerajaan negeri perlu memainkan peranan penting untuk bersama-sama membantu mempromosikan setiap produk yang ada di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kayuhan Muhibah Tourism Malaysia Kelantan di Warung Pok Mat Pulau Pisang, Kuala Besar di sini hari ini.

Program tersebut yang melibatkan kira-kira 46 peserta terdiri daripada agen-agen pelancongan di negeri ini bertujuan merapatkan jalinan yang sedia ada di kalangan mereka.

Tambah Kamal Azam, program ini adalah satu daripada usaha yang dijalankan oleh pihaknya sempena Tahun Melawat Malaysia tahun depan.

"Melalui program ini, kita dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai produk serta industri desa yang terdapat di negeri ini untuk dipromosikan kepada pengunjung.

"Kayuhan ini bermula di Warung Pok Mat Pulau Pisang, Kuala Besar yang terkenal sebagai produk makanan dan diteruskan ke Pantai Mek Mas serta Pantai Kundur yang sinonim dengan industri desa," katanya. 

Katanya lagi, industri desa seperti pembuatan wau, menconteng batik serta mengait jala merupakan salah satu tarikan utama yang perlu dimanfaatkan sebagai tarikan pelancongan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 24 Nov. 2013

Resipi Warisan Cik Siti Wan Kembang: 101 resipi makanan warisan Kelantan

Kamaruddin Ismail menunjukkan buku Resipi Warisan Che Siti Wan Kembang di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerbitkan buku resipi mengandungi 101 jenis makanan warisan di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan buku tersebut, Datuk Nik Kamaruddin Ismail berkata, inisiatif menerbitkan buku yang berjudul Resipi Warisan Cik Siti Wan Kembang itu adalah bagi memastikan resipi makanan warisan turun-temurun itu tidak hilang ditelan zaman.

Nik Kamaruddin berkata, buku resipi setebal 229 muka surat itu mengandungi lima bahagian iaitu melibatkan bahagian makanan utama, lauk-pauk, kerabu, kuih-muih dan makanan kering.

"Makanan utama itu termasuk resipi nasi tumpang, laksa dan laksam manakala bahagian lauk pauk pula terdapat 29 resipi tradisi yang melibatkan masakan mengunakan daging, ayam serta ikan mentah.

"Selain itu terdapat 46 resipi kuih muih tradisi termasuk Akok, Apam Bakar, Belebat, Tonyoh, Tahi Itik, Putu Halba, Jala Mas, Tepung Pasung dan Tepung Serunai turut dimuatkan di dalam buku berkenaan.

"Sebanyak 101 resipi makanan warisan negeri ini telah dikumpulkan daripada kalangan rakyat di negeri ini yang masih menyimpan resipi tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita sempena pelancaran buku Resipi Cik Siti Wan Kembang di Booth @ Raudah, Tapak Raudah Aidiladha TV9, Dataran Sireh di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan yang juga merupakan Yang Dipertua MAIK, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra. 

Selain itu tambahnya, usaha berkenaan juga bertujuan memulihara budaya dan khazanah di negeri ini dan dapat menjadi bahan rujukan kepada generasi sekarang dan masa depan.

"Dengan usaha yang dilakukan oleh MAIK dalam tempoh setahun ini, resipi-resipi tersebut telah berjaya dikumpulkan dan dijadikan buku.

"Diharapkan orang ramai tidak melepaskan peluang membeli buku resipi warisan itu yang dijual dengan harga RM100," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 22 Nov. 2013

Rabu, 27 November 2013

Hubungan dagang dengan Indochina melalui Pelabuhan Tok Bali

KOTA BHARU: Pelabuhan Tok Bali (Portokbali) hanya terletak kira-kira 356 kilometer (km) dari Vietnam dan hampir 500 km dari Kemboja. 

Jarak rentas Laut China Selatan tersebut jauh lebih dekat berbanding laluan darat antara Kota Bharu - Kuala Lumpur.

Pengerusi Eksekutif Portokbali, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata, kedudukan Pelabuhan Tok Bali ternyata begitu strategik bagi hubungan perdagangan dengan negara-negara Indochina.

Katanya, perdagangan wilayah China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dengan negara Asia Tenggara bernilai ratusan bilion.

“Rakan dagangan terbesar dengan China sahaja bernilai RM180 bilion. Oleh itu, kemunculan Portokbali akan merancakkan lagi perhubungan antara negara Asean melalui jalan laut.

Portokbali bakal muncul sebagai kawasan kondusif untuk industri, pelancongan, perdagangan dan pendidikan berasaskan maritim,” katanya ketika membentang kertas kerja pada seminar anjuran Jabatan Perancang Bandar dan Desa di sini kelmarin.

Portokbali dirancang berkonsep pembangunan bandar maritim bakal dilengkapi pelabuhan kargo, feri dan kapal persiaran. Selain itu sebagai pangkalan dan perkhidmatan lapangan industri minyak dan gas luar persisir.

Zaheed berkata, biarpun pembinaan sedang berjalan namun pelabuhan tersebut sudah digunakan bagi mengeksport bijih besi dan magnesium ke China dan Vietnam. “Bijih tersebut dihantar ke lapan pelabuhan di China dan sebuah pelabuhan di Vietnam,” tambahnya.

Fasa pertama pembinaannya bermula Mac 2012 siap bulan lepas. Manakala fasa kedua 2014-2015 dan fasa ketiga 2016-2020. Pembangunannya meliputi kawasan seluas 38,000 ekar merangkumi pelabuhan kargo seluas 1,200 ekar.

Menurutnya juga kelebihan Kelantan terkenal dengan ciri-ciri pembangunan berteraskan Islam boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi.

Katanya juga pembangunan Portokbali turut memberi memberi manfaat kepada pelabuhan di negeri-negeri lain dengan konsep saling membantu.

“Misalnya bijih besi dilombong di sini dihantar untuk diproses di Vietnam kerana kosnya lebih murah, kemudian produk yang siap dihantar pula ke negara lain.

“Atau bahan mentah lain yang terdapat di Kelantan boleh dihantar ke Sarawak untuk diproses memandangkan kos elektrik di negeri tersebut lebih rendah,” tambahnya.

Sumber: Harakah Daily | 26 Nov. 2013

Solat hajat halau langsuir di Pasir Puteh

Laporan Sinar Harian, semalam.
KOTA BHARU: Penduduk di beberapa kampung di Pasir Puteh dan Jerteh yang pernah terlibat dengan kemunculan langsuir sebelum ini diminta melakukan solat hajat beramai-ramai bagi memastikan kampung mereka aman semula.

Pengerusi Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya berkata, orang ramai juga diminta bertenang menghadapinya dan mencari punca sebenar dari mana langsuir itu boleh wujud.

“Ia (langsuir) mahkluk ALLAH SWT dan kita perlu kembalikannya kepada yang asal (ALLAH SWT) dengan sebaik-baiknya melakukan solat hajat beramai-ramai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, langsuir dikatakan mengganggu penduduk di beberapa kampung di Pasir Puteh termasuk di Kampung Gong Tinggi, Gong Pasir, Kampung Tasek, Gong Lapang (Pasir Puteh) dan Kampung Penaga Putar (Jerteh).

Mengulas mengenai dakwaan seorang bomoh dari Kampung Gong Manak yang menangkap dan memasungkan langsuir itu di tempat khusus, beliau berkata, sebagai manusia sesiapapun tidak boleh menangkap makhluk halus kerana ia adalah halus dan tidak berjasad serta sukar untuk ditangkap.

“Makhluk halus ini boleh boleh masuk melalui dinding, jika dari botol ia boleh keluar kerana sangat halus, jadi kita perlu pulangkannya kepada yang asal (ALLAH SWT) dengan melakukan solat hajat,” katanya.

Menurutnya, kerjasama dalam kalangan penduduk buat masa ini amat penting dan mereka perlu bertenang serta mengelak keluar pada waktu malam.

“Darussyifa’ mengalu-alukan jemputan orang kampung untuk mengadakan rawatan dan solat hajat secara berkumpulan bagi mengatasi masalah yang menyelubungi penduduk.

“Usah terlalu percaya perkara itu kerana jika terlalu percaya, hati kita dapat dihidu oleh makhluk halus, ALLAH SWT akan menguji kita dan ALLAH SWT akan menampakkannya kepada kita. Kalau kita buat tidak tahu, makhluk halus juga tidak mahu mendekati,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Nov. 2013

Hijrah demi Kelantan: Kecik

PEMAIN baharu The Red Warriors, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (gambar) mengaku menerima beberapa tawaran dari pasukan lain namun semangat memastikan negeri kelahiran terus cemerlang dalam saingan bola sepak mengatasi segala-galanya.

Jelasnya, menyertai Kelantan adalah pilihan sendiri selain ia merupakan sasaran utama selepas keluar dari Harimau Muda A.

"Saya akui terima tawaran dari pasukan luar namun keazaman untuk memastikan pasukan kelahiran terus cemerlang dan digeruni mengatasi segala-galanya.

"Apabila keluar dari Harimau Muda A, sasaran utama adalah beraksi untuk TRW dan alhamdulillah segala berjalan dengan lancar," katanya.

Pemain yang mesra disapa dengan gelaran Kecik berkata, sasaran utamanya selaku pemain Kelantan musim depan ialah ingin menarik perhatian peminat dan melakukan yang terbaik buat pasukan.

"Ini musim pertama saya beraksi untuk pasukan negeri, walaupun ada khabar angin TRW akan merudum musim depan itu semua tidak mungkin berlaku. "Kami akan buktikan bahawa TRW tetap berbisa dan perlu disegani pasukan lain," katanya.

Mengulas ketiadaan Indra Putra Mahayuddin yang berpindah ke Felda United dan Norfarhan Mohamad (Terengganu), Kecik melihat kekosongan posisi ditinggal mereka, sedia digalasnya seandainya diberikan kepercayaan jurulatih dan pengurusan.

"Membuat perbandingan saya dengan mereka sememangnya jauh berbeza, cuma saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik untuk setaraf," katanya yang telah tiga tahun menimba pengalaman dalam Harimau Muda A di bawah bimbingan jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 27 Nov. 2013

13 muka baharu perkuat The Red Warriors musim 2014

Ghaddar (dua dari kiri) bersama sebahagian barisan pemain baharu Skuad Kelantan  musim 2014.
PENYERANG prolifik Kelantan 2012, Mohammed Ghaddar dan pemenang kasut emas 2012, Francis Forkey Doe sah beraksi bersama The Red Warriors (TRW) dalam mengharungi saingan Liga Malaysia 2014.

Turut memperkuat barisan Juara Treble 2012 ialah bekas pemain Middlesbrough dan skuad kebangsaan Mesir, Mohamed Shawky serta bekas pemain Kedah dan Felda United, Amar Rohaidan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan semula Ghaddar berdasarkan keupayaannya menjaringkan gol ketika bersama Kelantan sebelum ini.

"Sebenarnya Kafa mendapat banyak pandangan mengenai pemilihan pemain import musim 2014, kita hargai namun kita perlu memilih seorang pemain yang boleh menjaringkan gol kerana dalam perlawanan walaupun kita menguasai permainan dan gagal menjaringkan gol ia tidak menjamin kemenangan buat pasukan.

"Meledak 21 gol ketika bersama Kelantan sebelum ini membuktikan Ghaddar pilihan tepat selain corak permainannya sudah serasi dengan rakan sepasukan," katanya pada majlis memperkenalkan barisan pemain Kelantan 2014, di ibu negara, semalam.

Mengenai Forkey Doe, Annuar percaya gandingannya bersama Ghaddar mampu memastikan gawang pasukan lawan dibocori setiap kali mereka beraksi.

"Forkey Doe membuktikan kewibawaannya selaku pemilik kasut emas 2012 dan gandingannya bersama Ghaddar pastinya memberi ancaman kepada pertahanan lawan. "Forkey Doe, Ghaddar dan Shawky pernah bermain di satu kelab terkenal di Timur Tengah, Al Ahly. Kita tunggu mereka beraksi yang pastinya akan menghangatkan saingan musim depan," katanya.

Pada majlis sama Kafa turut memperkenalkan beberapa pemain baru antaranya, Brendan Gan, Shakir Ali, Famirul Asyraf Sayuti, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Wan Zaharul Nizam dan Nazri Ahmad.
Annuar berkata, secara keseluruhannya 18 pemain TRW 2013 berhijrah ke pasukan lain.

"Kita akui ramai pemain tonggak utama berhijrah. Namun semua itu satu cabaran buat Kafa untuk meneruskan kecemerlangan walaupun diakui skuad kali ini dibarisi pemain muda.

"Kafa adalah gedung melahirkan bintang, ambil pemain yang tiada nama sehinggalah dibentuk menjadi seorang bermain berkualiti, semua orang tahu perkara ini dan kita seharusnya berbangga dengan apa yang dilakukan," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 27 Nov. 2013

Annuar yakin pemain baharu lonjak Kelantan

PENASIHAT  Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa (gambar) yakin kehadiran beberapa pemain baharu dalam pasukan Kelantan mampu melonjakkan prestasi mereka dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Beliau berkata kepulangan bekas pemain importnya yang merupakan pemain antarabangsa Lubnan, Mohamed Ghaddar mampu memperkuat pasukan berkenaan yang kehilangan beberapa pemain utama yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain.

"Kita akui agak mencabar bagi pihak pengurusan pasukan Kelantan apabila begitu ramai tonggak utama kita yang memilih haluan lain termasuk jurulatihnya (Bojan Hodak).

"Kita tahu beberapa perpindahan beberapa pemain utama (musim lepas) sudah memberikan kesan kepada pasukan musim ini di mana pasukan terumbang ambing sebelum kembali stabil," katanya dalam sidang media bagi memperkenal skuad Kelantan untuk musim 2014 di Bangunan Mara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pasukan The Red Warriors  berjaya mengikat pemenang Kasut Emas (penjaring terbanyak) Liga Super 2012 dari Selangor, Francis Forkey Doe selain bekas pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Shawky.

Gergasi Pantai Timur itu turut mendapatkan khidmat pemain Harimau Muda A (bawah 23 tahun), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria; Mohd Nazri Ahmad (Johor Darul Takzim); Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan); Amar Rohidan (Felda United); Tengku Hasbullah Raja Hassan (Kedah) dan Famirul Asyraf Sayuti (Sime Darby FC).

Annuar berkata pengurusan pasukan sedang menilai tiga lagi pemain sebelum mendaftarkan keseluruhan 27 pemain sebelum tarikh pendaftaran pemain berakhir pada 17 Disember ini.

Kesemua pemain berkenaan akan melaporkan diri kepada Ketua jurulatih baharu, Steve Darby untuk menjalani sesi latihan pertama pada Khamis ini dan disambung semula pada 2 Disember ini memandangkan Darby perlu menghadiri taklimat Liga Malaysia 2014 di Shah Alam pada 30 November ini.

Pasukan berkenaan dijangka beraksi dalam tiga aksi persahabatan di Pulau Pinang sebelum ke Hanoi, Vietnam untuk menyertai Kejohanan Kejuaraan Kelab-Kelab Asean selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia memilih Kelantan selaku wakil Malaysia.

"Kita juga  merancang untuk mengadakan siri persahabatan (dengan pasukan kelab) sama ada di Indonesia atau di Thailand tapi kemungkinan di Banjarmasin, Indonesia.

"Saya berharap latihan pramusim selama enam minggu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih untuk memantapkan pasukan kita dan saya harap tempoh berkenaan mencukupi untuk Darby menggarap sebuah pasukan mantap," kata Annuar sambil tidak meletakkan sebarang sasaran untuk Kelantan, musim depan.

Sementara itu, Darby yang menandatangani kontrak dua tahun dengan Kelantan mahu pemain berjuang mendapatkan tempat jika mahu kekal dalam barisan kesebelasan utama pasukan.

"Bagi saya, jika pemain mahu menang mana-mana kejohanan, seluruh pasukan perlu menyumbang dan bekerjasama," kata jurulatih dari Britain itu yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa.
  
Senarai Pemain Kelantan 2014:
Khairul Fahmi Che Mat (pembantu kapten I), Mohd Syazwan Yussof, Shahrizan Ismail, Obinna Nwaneri (pembantu kapten II), Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Farisham Ismail, Nazri Ahmad, Zairul Fitree Ishak, Khairul Izuan Rosli, Tuan Mohd Faim Tun Zainal Abidin, Mohd Badhri Radzi (kapten), Ahmad Fakri Saarani, Aziz Ismail, Faizol Nazlin, Faiz Shuhaimi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Ahmad Shakir Ali, Brendan Gan, Amar Rohidan, Famirul Asyraf Sayuti, Francis Forkey Doe, Mohamed Ghaddar, Mohamed Shawky. 

Sumber: BERNAMA | 26 Nov. 2013

Selasa, 26 November 2013

LALUAN BAHARU FIREFLY: KOTA BHARU – BANGKOK

SYARIKAT penerbangan Firefly (Firefly) akan memperkenalkan laluan Kota Bharu (KBR) – Bangkok (DMK) mulai 24 Januari 2014 sekali gus dijangka dapat merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014. Firefly menawarkan penerbangan empat kali seminggu bagi laluan antarabangsa ini, iaitu setiap hari Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Kempen jualan tiket dan tambang promosi (promo fares) telah bermula pada 25 November 2013 (Isnin) dan iklan mempromosikan laluan ini telah disiarkan di beberapa buah akhbar seperti Sinar Harian dan The Sun pada 25 November 2013. 

Firefly menawarkan harga tambang promosi serendah RM195.00 sehala dari sekarang sehingga 8 Disember 2013 untuk perjalanan dari 24 Januari 25 Oktober 2014 seperti grafik yang dilampirkan di bawah. Tempahan tiket boleh dibuat melalui laman sesawang Firefly: www.fireflyz.com.my. Tempahan tiket juga boleh dibuat di kaunter-kaunter jualan tiket Firefly dan Malaysia Airlines yang berhampiran dengan anda. 


Info Lapangan Terbang

Bandar raya Bangkok, Thailand merupakan sebuah kota metropolitan kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Jakarta, Indonesia. Bandar raya ini mempunyai dua buah lapangan terbang antarabangsa, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi (BKK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK). Kebanyakan syarikat penerbangan utama dunia beroperasi dari atau ke BKK, manakala DMK khusus untuk syarikat penerbangan tambang murah (LCC) dan juga pesawat kecil seperti AirAsia, Thai AirAsia, Nok Air, Firefly, dan sebagainya


Laluan Firefly dari Kota Bharu dan Kekerapan Penerbangan
  1. Kota Bharu (KBR) – Bangkok (DMK): 4 kali seminggu (Ahad, Isnin, Rabu, dan Jumaat)
  2. Kota Bharu (KBR) – Johor Bahru (JHB): 3 kali seminggu (Selasa, Khamis, dan Sabtu)
  3. Kota Bharu (KBR) – Pulau Pinang (PEN): 7 kali seminggu (sekali sehari)
  4. Kota Bharu (KBR) – Subang (SZB): 7 – 9 penerbangan sehari

Kota Bharu Hab Penerbangan ke Indochina

Dalam pada itu, Firefly juga bercadang untuk menjadikan LTSIP sebagai hab penerbangan antarabangsa ke negara-negara Indochina terutamanya Vietnam dan Kemboja. Antara laluan yang berpotensi  ialah Kota Bharu (KBR) – Bandar Raya Ho Chi Minh (SGN), Kota Bharu (KBR) – Phnom Penh (PNH), dan Kota Bharu (KBR) – Siem Reap (REP). 

Publisiti

Dalam usaha membantu Firefly mempromosikan laluan baharu ini, Kumpulan KBBRI turut membantu mempromosikan laluan ini melalui dua laman sesawang Facebook, iaitu www.facebook.com/laluankbbangkok dan www.facebook.com/kbbangkokroute. Ia merupakan salah satu tanggungjawab sosial Kumpulan KBBRI dalam usaha mengukuhkan kedudukan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) sebagai hab penerbangan Pantaii Timur dan rantau Asia Tenggara (ASEAN). 

MAS pertimbang khidmat keempat Kuala Lumpur – Melbourne

MELBOURNE: Ketika penerbangan sulung perkhidmatan harian ketiga Malaysia Airlines (MAS) berlepas dari sini dengan muatan penuh pagi tadi, syarikat penerbangan nasional itu merancang bagi perkhidmatan harian keempatnya untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada warga Australia.

Naib Presiden Kanan Serantau MAS, Lee Poh Kait, memberitahu satu perhimpunan besar di lapangan terbang di sini bahawa ketika mereka merayakan peristiwa yang mengujakan itu hari ini, syarikat itu membuat rancangan bagi peluasan perkhidmatan selanjutnya dari Malaysia ke Melbourne.

Lee berkata, perkhidmatan harian ketiga itu akan menambah kapasiti daripada 7,896 tempat duduk seminggu kepada 11,844 tempat duduk. "Kini kami akan menawarkan perkhidmatan pagi, tengah hari dan tengah malam dari sini ke Kuala Lumpur.

"Pelanggan kami akan mendapat manfaat dengan hubungan yang bertambah baik ke lebih 60 destinasi dalam rangkaian syarikat ini melalui hab kami di KLIA," tegas beliau.

Lee berkata, perkhidmatan tiga kali sehari itu akan memberikan lebih banyak peluang untuk memperkukuh lalu lintas pelancongan, perniagaan dan pendidikan antara kedua-dua negara.

"Melbourne sememangnya merupakan pasaran penting bagi kami dan ia adalah bandar pertama di Australia yang menawarkan 21 penerbangan setiap minggu.

"Kami telah mencatatkan peningkatan pelepasan dan pendaratan penumpang keseluruhan sebanyak 16.7 peratus dari Malaysia dan pertambahan penumpang antarabangsa ke Melbourne berbanding 2012," katanya.

Lee berkata, MAS telah melaburkan banyak wang untuk memenuhi permintaan pasaran  Australia dengan kumpulan pesawatnya yang serba moden.

"Perkhidmatan tambahan ini akan beroperasi dengan menggunakan pesawat inovatif A330-300 dan akan mempunyai 36 tempat duduk dalam kelas perniagaan dan 247 tempat duduk dalam kelas ekonomi," katanya.

Mulai Februari 2014, MAS akan mengendalikan sebanyak 74 penerbangan seminggu dari enam bandar ibu negeri di Australia.

Lee juga menyatakan penghargaan bagi usaha yang dijalankan oleh pengurus MAS di sini, Terence Swampallai, dan kakitangannya yang telah mempermudah perkhidmatan baharu ini.

Sambil berkata MAS adalah "sebahagian daripada keluarga kita sejak bertahun lamanya", Ketua Eksekutif Melbourne Airport, Chris Woodruff, berkata Melbourne adalah pasaran terbesar Australia bagi perjalanan di antara negara itu dan Malaysia.

Kata beliau, perkhidmatan ketiga ini bukan sahaja akan membawa lebih ramai penumpang ke Melbourne malah juga akan memberikan banyak pilihan kepada warga Victoria.

Sambil mengakui Malaysia Airlines sebagai satu daripada syarikat penerbangan utama dunia, Woodruff berkata beliau berbangga dapat bekerjasama dengan syarikat penerbangan nasional itu dan menanti-nanti kedatangan lebih ramai pelawat Malaysia ke Melbourne.

Konsul Jeneral Malaysia di sini, Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya, berkata beliau berharap lebih ramai penduduk Melbourne akan membuat perjalanan ke Malaysia, bukan sahaja untuk bercuti, malah juga untuk merebut peluang perniagaan dan pelaburan. 

Sumber: BERNAMA | 22 Nov. 2013

Kecik sah milik Kelantan

Aksi Kecik (kiri) ketika perlawanan persahabatan menentang Australia di Canberra pada 2011
PENYERANG Harimau Muda A, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria sah menjadi milik Kelantan setelah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk beraksi bersama pasukan tersebut dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Kehadiran Wan Zaharul Nizam ibarat sirih pulang ke gagang kerana pemain berusia 22 tahun itu akhirnya memilih untuk kembali ke pangkuan negeri kelahirannya, biarpun sebelum ini dikatakan mahu kekal untuk sekurang-kurangnya semusim lagi bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Wan Zaharul Nizam atau dikenali panggilan Kecik berkata, keputusan bersama Kelantan dianggap satu langkah tepat, bertujuan mengembangkan kerjayanya selaku pemain bola sepak.

“Saya sudah bersedia menggalas tugas untuk beraksi bersama Kelantan. Saingan pada musim depan cukup sengit tetapi saya anggap itu perkara biasa dan tidak sabar untuk mempamerkan prestasi sebenar,” katanya semalam.

Wan Zaharul Nizam, antara produk yang dilahirkan daripada skuad Piala Presiden Kelantan dan merupakan pemain ketiga dipancing Persatuan Bola Sepak Kelantan selepas berjaya mengikat penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd Ali dan bekas pemain tengah Kedah, Tengku Hasbulah Raja Hassan.

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 25 Nov. 2013