Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 31 Disember 2013

Lebih 300 ahli bina badan rebut Mr ACT 2013


Dr Sharil ketika beraksi dalam kategori Badan Cantik pada Kejohanan Bina Badan Mr. ACT 2013 di sini, hari ini. Foto: Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 390 atlet bina badan dari seluruh negara bersaing bagi merebut gelaran 'Mr ACT' anjuran Pertubuhan Kebajikan Arah Cemerlang Terbilang Malaysia (A.C.T. Malaysia) di sini hari ini.

"Untuk edisi kedua kali ini, jumlah penyertaan bertambah sekali ganda. Berbanding edisi pertama tahun lepas, seramai kira-kira 150 peserta yang mengambil bahagian.

"Jumlah penyertaan yang besar ini menunjukkan bahawa sukan bina badan di negara ini mempunyai jumlah atlet dan penggemar yang ramai," kata Presiden A.C.T. Malaysia Tuan Fazil Mohamad Dali ketika ditemui Bernama di Arena Tan Sri Hamzah, Wisma OCM di sini, hari ini.

Menurut beliau, penganjuran sukan bina badan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti A.C.T. Malaysia adalah bertujuan memberi platform kepada atlet bina badan seluruh negara peluang untuk bersaing di samping menjadi medan mencungkil bakat-bakat baru untuk sukan berkenaan.

"Kita akan sentiasa bekerjasama dengan Persekutuan Bina Badan Malaysia, begitu juga Kementerian Belia dan Sukan untuk mengketengahkan bakat-bakat baru sukan ini ke peringkat antarabangsa," kata Tuan Fazil.

Kejohanan tahunan yang dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Bina Badan  Malaysia dan AMS Collection itu di bahagikan kepada lima kategori iaitu Mr Badan Cantik, Bakat Baru, Mr ACT Bawah 70kg, Mr ACT 70-80kg dan Mr ACT Lebih  80kg.

Kesemua peserta yang bertanding juga akan bersaing untuk merebut juara keseluruhan untuk muncul sebagai Mr ACT 2013.

Pada kejohanan kali ini pihak penganjur buat kali pertama mengadakan Anugerah Legenda Bina Badan Malaysia untuk menghargai sumbangan bekas atlet-atlet bina badan negara.

Penerima pertama anugerah berkenaan ialah Olahragawan Negara 1986 dan 1990,  Datuk Malek Noor, Ishak Raja Etam, Terry Gallyot, Ibrahim Shahdan dan Azlisham Zakaria

Sumber: BERNAMA | 29 Disember 2013

MAS & Ethiopian Airlines adakan perkongsian kod

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) dan Ethiopian Airlines mengadakan perkongsian kod berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014, yang akan menyediakan akses kepada syarikat penerbangan negara untuk ke Addis Ababa, ibu kota Ethiopia.

MAS berkata perkongsian kod baharu itu sah untuk tempahan mulai hari ini. Perkongsian kod itu melibatkan perkhidmatan Ethiopian Airlines dari Addis Ababa, bandar terbesar di Ethiopia, ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, dengan kod penerbangan MAS.

Perkhidmatan ini akan termasuk transit di Bangkok, demikian menurut MAS dalam satu kenyataan. "MAS sangat gembira untuk menawarkan kepada pelanggan kami satu lagi capaian  ke benua Afrika dan kepada pelanggan Ethiopian Airlines akses ke Kuala Lumpur.

"Ia juga merupakan usaha kami ke arah meningkatkan hubungan udara dengan pasaran utama di luar negara bagi peningkatan ketibaan pelancong ke Malaysia sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2014," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Melalui kerjasama ini, MAS boleh mengembangkan capaiannya di Afrika tanpa mengendalikan penerbangan sendiri, kata Ahmad Jauhari.

"Sebagai salah satu destinasi pelancongan yang paling mampu dimiliki di rantau Asia Pasifik, kami yakin lebih ramai pelancong dari rantau Afrika akan menggunakan perkongsian kod ini dan melawat Malaysia, " katanya.

Penerbangan MAS, MH9489 akan berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 11.25 malam setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad dan tiba di Addis Ababa pukul 6.45 pagi pada hari berikutnya.

Sementara itu, MH9488 akan berlepas dari Addis Ababa pada pukul 12.40 tengah malam setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6 petang. Kod Ethiopian Airlines bagi perkhidmatan ini ialah ET619 dan ET618.

Bagi mempromosikan perkongsian kod ini, MAS kini menawarkan tambang pergi balik termasuk semua ke Addis Ababa bermula dari RM3,885 untuk perjalanan kelas ekonomi dan RM13,170 untuk perjalanan kelas perniagaan.

Pelancong boleh menempah tiket ke Addis Ababa melalui talian bebas tol 24 jam MAS, di 1-300-88-3000, pejabat tiket MAS dan ejen yang dilantik di seluruh Malaysia. 

Sumber: BERNAMA | 30 Disember 2013

Kepentingan urus kumbahan

TIDAK keterlaluan jika dikatakan masih ramai yang kurang maklumat mengenai kepentingan pengurusan kumbahan dalam kehidupan mereka, walaupun terdapat agensi khusus dipertanggungjawabkan untuk membantu menyelesaikan perkara itu.

Sinar Harian cuba merungkai peranan dimainkan Majaari Services Sdn Bhd, salah satu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), dalam membantu menguruskan sistem kumbahan di negeri ini, sekali gus membolehkan masyarakat menjalani kehidupan lebih sihat.

Ikuti temu bual wartawan, SAPINAH AB GHANI bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan,Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) dalam merungkai usaha dan langkah dilakukan pihak berkenaan demi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peri pentingnya sistem kumbahan.


SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan apakah dimaksudkan dengan pengurusan kumbahan?

ABDUL FATTAH: Pengurusan kumbahan ialah cara bagaimana kita menjaga sistem kumbahan dengan pelbagai kaedah, dan salah satunya melalui sedut dan lupus, di mana sisa kumbahan dari premis akan disedut dan dilupuskan di tapak pelupusan yang dibenarkan.

Selain itu, ia juga boleh dilakukan dengan menggunakan loji rawatan kumbahan, di mana sisa kumbahan akan dirawat menggunakan sistem AVC yang terletak di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa. Sistem pembetungan bersambung ke loji rawatan kumbahan wajib dibina untuk pembangunan yang mempunyai penduduk setara melebihi 150PE dan berfungsi untuk mengolah air kumbahan sebelum dialirkan ke sungai. Antara loji rawatan kumbahan termasuk Extended Aeration (EA),Hi-kleen (HK), RBC, dan SBR. Ini bagi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.


SINAR HARIAN: Apakah langkah diambil kerajaan negeri bagi memastikan pengurusan sistem kumbahan dilaksanakan dengan mampan di negeri ini?

ABDUL FATTAH: Pada akhir 2007, kerajaan negeri menubuhkan syarikat pembetungan negeri, Majaari Services Sdn Bhd bagi ambil alih tanggungjawab pengurusan pembetungan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Penubuhan ini selaras dengan dua akta baru diwartakan di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu, Akta 654-Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006, Akta 655- Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Selepas akta ini dikuatkuasakan, hanya pihak yang mempunyai permit daripada SPAN sahaja yang boleh melakukan sedutan enap cemar.


SINAR HARIAN: Apakah pula peranan dilaksanakan Majaari Services Sdn Bhd?

ABDUL FATTAH: Antara peranan dimainkan Majaari ialah pengosongan tangki septik dengan mengambil alih tugas PBT. Caj perkhidmatan dikenakan munasabah dan berpatutan. Ia juga bertindak sebagai Agensi Perakuan yang bertanggungjawab sedia perkhidmatan memproses dan memperakukan kelulusan pelan sistem pembetungan, loji rawatan kumbahan, stesen pam, rangkaian pembetungan, sambungan paip dan tangki septik. Selain itu, Majaari turut berperanan menyelenggarakan loji rawatan kumbahan dan loji persendirian serta rangkaian paip di seluruh negeri secara profesional dengan pasukan yang terlatih dan berkemahiran. Dalam pada itu, Majaari turut membersihkan sumbatan paip pembetungan awam, rumah persendirian, rumah kedai atau komersial, kilang serta rumah ibadat.


SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan fungsi Majaari Services sebagai Agensi Perakuan Pembentungan (APP)?

ABDUL FATTAH: Untuk makluman umum, Majaari telah dilantik sebagai APP oleh SPAN untuk memberikan perkhidmatan memproses dan memperakukan kelulusan pelan sistem pembetungan, loji rawatan kumbahan, stesen pam, rangkaian pembetungan, sambungan paip dan tangki septik. Oleh itu, semua pelan pembangunan baru perlu diserahkan kepada Majaari untuk disemak dan diperakukan kelulusan bagi pihak SPAN.


SINAR HARIAN: Apakah langkah telah dan akan diambil untuk memberi lebih kesedaran kepada umum pentingnya pengosongan tangki septik ini?

ABDUL FATTAH: Pengurusan Majaari telah menyusun beberapa aktiviti khusus untuk tujuan ini, antaranya mengadakan sesi penerangan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan tangki septik (taklimat) di agensi kerajaan, swasta serta di taman perumahan. Selain itu, Majaari juga menubuhkan skuad gempur dengan menjelajah tempat tumpuan orang ramai seperti pasar tani dan membuka gerai di pasar raya terpilih.

Kempen khas seperti 'Pakat Cakno Kumbahan Kito', selain hari bersama pelanggan turut diadakan kerana yakin ia juga mempunyai sumbangan dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat secara tidak langsung.Kesedaran masyarakat di kampung juga menunjukkan perkembangan baik apabila tidak ada lagi situasi membuang air di dalam semak dan  tempat tersorok, sebaliknya menggunakan kemudahan tandas.

Bagaimanapun untuk mendedahkan tahap kesedaran secara lebih terperinci memerlukan kajian menyeluruh.


SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan apakah kesan buruk terutama dalam aspek kesihatan rakyat jika sisa kumbahan tidak diuruskan dengan baik?

ABDUL FATTAH: Tangki septik perlu dikosongkan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sekali, dan jika gagal dilakukan secara berjadual, ia akan menyebabkan sisa kumbahan mengalir ke dalam sistem pengairan kita dan mengakibatkan kehidupan air di dalam sungai dan laut terjejas.

Ia akan membahayakan kesihatan orang ramai kerana kumbahan mentah mengandungi bacteria Campylobacter, Crytosporidium Parvum yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit bawaan air seperti taun, demam kepialu dan hepatitis A.

Kegagalan menyelenggarakan atau mengosongkan tangki septik akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar terutamanya terhadap sumber air, di mana lebih kurang 50 peratus penduduk negeri ini menggunakan sumber air bawah tanah sebagai sumber kegunaan harian. Oleh itu, dinasihatkan kepada semua pengguna untuk mengambil tindakan segera mengosongkan tangki septik (sekiranya telah mencapai tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga) bagi memastikan sumber air diguna sentiasa bersih.


SINAR HARIAN: Apakah harapan Datuk dengan pelancaran kempen 'Cakno Kumbahan Kito' hari ini?

ABDUL FATTAH: Harapan saya, pelancaran kempen ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan mengurus sistem kumbahan.

Kempen ini juga sebagai langkah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar mengosongkan tangki septik mereka secara berkala selaras dengan saranan SPAN, sekali gus meningkatkan kualiti alam sekitar, memelihara kebersihan atau kualiti air sungai dan air bawah tanah yang menjadi sumber minuman di negeri ini, jadi marilah kita sama-sama ‘Pakat Cakno Kumbahan Kito’.

Tidak dinafikan ramai yang kurang maklumat dan sedar dengan kepentingan menjaga serta menguruskan sistem kumbahan ini, sehinggalah berlaku sesuatu yang mengganggu aktiviti harian mereka.

Jadi kita harap, kewujudan Majaari untuk mengawal selia kumbahan akan dapat memberi satu input berguna kepada masyarakat supaya mereka lebih bijak dan terbuka, kita tidak mahu tindakan hanya dibuat selepas menerima akibat.

Pepatah mengatakan mencegah lebih baik dari mengubati, jadi saya harap kesedaran ini dapat ditingkatkan dan kempen hari ini antara usaha yang dilakukan untuk membawa masyarakat kepada kesedaran awal.

Beberapa rangsangan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk melalui cabutan bertuah dan sesi penerangan di jabatan serta agensi, Majaari sentiasa optimis dan akan berusaha membantu masyarakat celik terhadap kepentingan pengurusan kumbahan.


SINAR HARIAN: Apakah halangan atau kekangan yang dihadapi Majaari, selain kesedaran masyarakat terhadap pengurusan kumbahan itu sendiri?

ABDUL FATTAH: Secara normalnya, apabila sesuatu perubahan dilakukan, ia akan memerlukan satu kos, sedangkan peruntukan ini tidak mahu ditampung pihak berkenaan termasuk pemaju dan pembeli. Sedangkan di sesetengah negeri, taman perumahan yang dibangunkan disertakan dengan sistem pengurusan kumbahan berpusat dan kos pembinaannya dikongsi secara bersama.

Manakala, akta yang kita ada menetapkan setiap 60 rumah memerlukan sistem kumbahan berpusat, sedangkan di sesetengah kawasan ia dilihat membebankan rakyat, kalau masyarakat sedar dan faham mereka akan sanggup menanggung kos ini secara berkongsi dan kita tidak ada halangan untuk menjayakannya.

Bagi saya sudah sampai masanya kita mempunyai sistem secara berpusat, kerana ia lebih mudah diuruskan selain untuk kemudahan masa depan, sebab kebanyakan keluarga masa kini mempunyai kerjaya dan kekurangan masa untuk mengawal selia perkara-perkara umum seperti ini.


SINAR HARIAN: Jika di dalam institusi keluarga, siapakah yang diharapkan dapat membantu kerajaan dalam memberi kesedaran kepada isi rumah?

ABDUL FATTAH: Dalam aspek kekeluargaan, kita mengharapkan peranan ibu untuk membantu menyedarkan suami dan anak mereka, pengaruh kaum ibu ini kuat dan kita yakin mereka mempunyai pendekatan dan inisiatif tersendiri dalam mempengaruhi orang tersayang.

Jadi kita mengharapkan bantuan kaum ibu dan tidak hanya menyerahkan perkara ini kepada Majaari dan kerajaan semata-mata untuk melakukannya.

Sumber: Sinar Harian | 31 Disember 2013

Projek Bachok Perdana di Pantai Irama

MOHD. Amar Abdullah (dua dari kanan) menerima replika cek RM8.7 juta daripada wakil Markz Industries Sdn. Bhd. dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Hartanah PT 18 dan PT 19, Mukim Perupok Bachok di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyerahkan tanah miliknya seluas 10 hektar kepada sebuah syarikat untuk dibangunkan di bawah projek 'Bachok Perdana' yang membabitkan kos sebanyak RM348 juta.

Tanah yang terletak di kawasan Pantai Irama, Bachok itu akan dibangunkan dengan pelbagai projek mega oleh Markz Industri Sdn. Bhd. (MISB).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, perbadanan itu akan mendapat pulangan sebanyak RM8.7 juta hasil daripada projek tersebut.

"Pulangan ini akan diberi secara tunai dan selepas itu kita akan mendapat 10 peratus daripada keuntungan daripada keseluruhan jualan premis di kawasan Bachok Perdana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Hartanah PT 18 dan PT 19, Mukim Perupok Bachok di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden MISB, Marzuki Zain serta dua pengarahnya, Mahathir Marzuki dan Danial Marzuki.

Mohd. Amar berkata, projek yang menggunakan sistem kawalan kawasan berpagar itu akan dilaksanakan dalam dua fasa untuk tempoh terdekat ini.

Katanya, fasa pertama melibatkan pembinaan perumahan eksklusif dan kondominium manakala fasa kedua pula meliputi pembinaan hotel bertaraf empat bintang.

"Projek fasa pertama akan bermula dalam tempoh terdekat dan dijangka siap dalam masa dua hingga tiga tahun. Untuk kedua-dua fasa ini, kesemua projek dijangka siap sepenuhnya pada 2019," katanya.

Antara komponen projek yang akan dibangunkan di atas tanah tersebut adalah empat blok apartmen kediaman sebanyak 272 unit, 16 unit penthouse, 32 unit vila berkembar dan sebuah hotel bertaraf empat bintang mengandungi 250 bilik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan kawasan untuk projek pembinaan kilang simen di Gua Musang.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Disember 2013

KDBKB seru penggiat seni sertai koperasi

KOTA BHARU: Koperasi Dikir Barat Kelantan Berhad (KDBKB) menyeru penggiat seni dikir barat di negeri ini supaya menyertai koperasi tersebut bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai faedah yang disediakan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Zulkepli Mohamad berkata, kesedaran terhadap fungsi KDKB masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah kumpulan dikir barat di negeri ini yang melebihi 300 kumpulan.

"Dengan bilangan kumpulan ini, jika diambil secara purata jumlah penggiat seni ini adalah antara 5,000 hingga 6,000 orang tetapi yang berdaftar sebagai ahli hanya 700 orang.

"Kita mengharapkan ramai penggiat seni ini berdaftar sebagai ahli koperasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 kepada anak-anak ahli koperasi di sini malam tadi.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 30 Disember 2013

Isnin, 30 Disember 2013

Asri: Para menteri perlu bijak

Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM: Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini, menyarankan agar menteri berfikir secara rasional  serta kritis tatkala membuat cadangan mahupun ketika memberi pendapat.

Menulis di dalam entri Facebooknya yang terbaharu, Asri menjelaskan perkara itu perlu dilakukan agar tidak wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan.

"Satu perkara yang perlu disedari oleh mereka yang menjawat jawatan menteri atau apa-apa jawatan tinggi dalam negara ini ialah rakyat negara ini sudah jauh lebih berpengetahuan dan bijak menilai dibandingkan dahulu.

"...ini disebabkan banyak faktor termasuk perkembangan teknologi maklumat terutama media sosial, latar pendidikan dan lain-lain.

"... namun hari ini kenyataan 'tidak cerdik' yang selalu dikeluarkan oleh kebanyakan menteri hanya akan  menjatuhkan nilai menteri yang terbabit dan memperlihatkan kerajaan tidak berkualiti kerana memilih mereka tidak ada kualiti untuk memimpin negara terutama di era ini...sekaligus  wujud persepsi bahawa negara sedang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan," katanya.

Sumber: Sinar Harian | 29 Disember 2013

Asri: Agaknya Malaysia ini siapa yang punya?

Prof Dr Mohd Asri Zainal Abidin
SHAH ALAM: Kenaikan harga barang dan perkhidmatan telah mendapat perhatian daripada semua lapisan masyarakat, walaupun bekas Mufti Perlis, Prof Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah pun menyuarakan mengenai perkara itu, hari ini beliau terus menyindir tindakan kerajaan.

Beliau yang juga pendakwah bebas itu turut meluahkan rasa mengenai tindakan kerajaan apabila menerima respons rakyat berhubung perkara tersebut.

Mohd Asri berkata, tindakan rakyat biasa sering disalah tafsir dan dianggap untuk menjatuhkan kerajaan. "Inilah nasib seorang rakyat biasa... jika bicara soal kenaikan harga, dituduh ingin gulingkan negara.

"Diri diancam undang-undang penderhaka, jika diam menyimpan rasa di dada, dikata pula suka dan reda. "Naiklah harga semahunya, jika merungut duka dihalau pula keluar dari negara, agak-agak Malaysia ini siapa punya?," tulisnya di laman Twitternya, hari ini.

Sumber: Sinar Harian | 29 Disember 2013

Ahad, 29 Disember 2013

Shakwy punyai pakej lengkap

KEHADIRAN bekas pemain kebangsaan Mesir, Mohamed Shakwy diibaratkan sebagai enjin baru The Red Warriors (TRW) setelah penghijrahan Mohd Shakir Shaari ke Johor Darul Ta’zim pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Menariknya, Mohamed Shawky akan memikul tugas yang ditinggalkan Mohd Shakir, sebelum ini beraksi selaku pemain tengah bertahan selama empat musim bersama negeri kelahirannya.

Kehebatan pemain berusia 32 tahun ini begitu dinanti-nantikan penyokong setia TRW yang sehingga kini masih kempunan untuk melihat aksi sebenar skuad kendalian jurulatih kelahiran England, Steve Darby beraksi pada aksi persahabatan di Kota Bharu.

Dengan susuk badan menarik selain mempunyai ketinggian 1.81 meter, ia jelas satu pakej lengkap buat Mohamed Shawky untuk menjana enjin tengah Kelantan dan umpanan tepatnya pasti ditunggu-tunggu Mohamed Ghaddar atau pun Francis Forkey Doe.

SERASI BERSAMA

Kehadiran Mohamed Ghaddar ke pangkuan Kelantan di samping Forkey Doe memudahkan ‘kerja rumah’ bagi pemain kelahiran Port Said, Mesir itu dalam merencana pasukannya pada musim depan.

Apa tidaknya, Mohamed Shawky sebenarnya ‘cukup masak’ dengan kemahuan Mohamed Ghaddar dan Forkey Doe memandangkan kedua-dua penyerang kebangsaan Lubnan dan Liberia itu pernah beraksi bersama dengan kelab Al-Ahly suatu ketika dahulu.

TAGIH PENGALAMAN

Pengalaman beraksi dengan Middlebrough dalam Liga Perdana Inggeris pada musim 2007 hingga 2010 jelas ditagih oleh juara Piala FA itu dalam menghadapi saingan hebat dalam pentas Liga Super musim depan.

Biar pun, tidak mengetahui langsung tentang iklim bola sepak di Malaysia, namun Mohamed Shawky menganggap itu bukan masalah besar bagi beliau untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu di negara ini.

KONGSI KEHEBATAN

Malah, Mohamed Shawky yang sudah pun turun berlatih sejak seminggu lalu di bawah kendalian Darby jelas tidak lokek untuk berkongsi kehebatannya dengan pemain-pemain tempatan lain di atas padang.

Apa pun, penampilan sulung Mohamed Shawky pada aksi pembuka tirai Liga-M bermula 18 Januari depan bakal menentukan adakah beliau benar-benar hebat dan mampu bersaing dengan awang import daripada pasukan lain.

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 28 Disember 2013

Industri penerbangan dijangka lebih baik pada tahun 2014

INDUSTRI penerbangan tempatan bersedia untuk ‘terbang tinggi’ tahun depan, dengan prospek pertumbuhan yang besar, selepas melalui beberapa ‘pergolakan’ kecil tahun ini.

Syarikat penerbangan tempatan boleh menjadikan 2014, satu tahun untuk dikenang dengan Malaysia Airlines (Mas), AirAsia Bhd dan Malindo Air, bersedia untuk bersaing memenangi hati pelanggan.

Mas akan menggantikan pesawat lama untuk memberi laluan kepada ketibaan kapal terbang baharu untuk membantu meningkatkan lagi penawaran produk.

Syarikat penerbangan negara itu akan menggunakan kapasiti tambahan untuk meningkatkan kekerapan bagi memenuhi permintaan penumpang dan terbang ke destinasi baharu.

Model perniagaannya yang kukuh termasuk pemasaran dan promosi yang agresif, pengurusan kapasiti yang lebih baik, mengoptimumkan penggunaan aset dan memacu produktiviti.

Sementara itu, pertumbuhan positif syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, bakal diteruskan tahun baharu ini manakala syarikat penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X, agresif memperluas kapasiti dari semasa ke semasa.

Kumpulan itu membuat tempahan terbesar dengan Airbus bagi tambahan 25 pesawat A330-300 bernilai AS$6 bilion (RM19.7 bilion).

Pesawat baharu itu akan membolehkan AirAsia menawarkan perkhidmatan tanpa henti ke destinasi di Eropah atau perkhidmatan sehenti ke Amerika Syarikat (AS).

Syarikat penerbangan hibrid berpangkalan di Malaysia, Malindo akan melebarkan sayapnya di India dengan menambah enam destinasi menjelang akhir tahun depan.

Syarikat itu akan memulakan sektor Kuala Lumpur-New Delhi akhir bulan ini, diikuti Trichy, Tamil Nadu, pada 2 Januari 2014 dan Mumbai, Maharashtra, pada 15 Februari 2014.

Kerajaan mahu jadikan Malaysia hab penerbangan

Kerajaan juga berjanji untuk mengubah Malaysia menjadi hab penerbangan serantau yang akan mempunyai kesan pengganda ke atas ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 dengan janji untuk menggubal satu Dasar Penerbangan Nasional, bertujuan untuk mengukuhkan ekosistem dan rangkaian perkhidmatan dalam industri penerbangan.

Tahun 2014 juga akan menyambut Tahun Melawat Malaysia, sambutan pelancongan terbesar dan terhebat di negara dengan sasaran untuk menarik 28 juta ketibaan pelancong antarabangsa.
Program ini akan memberikan petanda baik untuk sektor penerbangan secara keseluruhan termasuk pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kerana akan meningkatkan ketibaan penumpang.

Institut Penyelidikan RHB menjangkakan persaingan antara AirAsia dan Mas kekal mencabar tetapi kurang teruk.

“Bagaimanapun, Malindo akan kurang agresif disebabkan struktur kos yang tinggi,” kata penganalisis Ahmad Maghfur Usman.

Beliau berkata, ini juga memberi manfaat kepada kedua-dua AirAsia dan Mas, jika mereka menetapkan strategi dengan betul dalam memaksimumkan hasil dan jumlah muatan.

“Persaingan sengit menyebabkan syarikat penerbangan menarik penumpang dengan diskaun yang banyak, yang akan membantu meningkatkan permintaan bagi perjalanan udara,” kata beliau, sambil menambah
bahawa ini akan memberi manfaat kepada MAHB.

KLIA2 bakal lonjak industri penerbangan

Terminal penerbangan tambang rendah yang baharu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadualkan siap pada 2 Mei 2014 juga akan memberi rangsangan besar kepada industri penerbangan tempatan.

Ahmad Maghfur berkata, harga bahan api jet yang tinggi, kadar pertukaran yang tidak menentu dan persaingan sengit adalah antara faktor yang menjejaskan pendapatan syarikat penerbangan pada tahun ini.

Sementara itu, kedudukan AirAsia dan Mas berhubung denda yang dikenakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia pada September lalu kerana didakwa melanggar undang-undang persaingan mungkin diketahui pada Januari ini.
Pada 6 September 2013, suruhanjaya itu mengumumkan bahawa syarikat penerbangan berkenaan akan dikenakan denda sehingga RM10 juta setiap satu kerana melanggar Seksyen 4 (2)(b) Akta Persaingan 2010 setelah memeterai satu perjanjian yang menyaksikan kedua-dua syarikat penerbangan itu berkongsi pasaran di Malaysia. 

Sumber: BERNAMA | 29 Disember 2013

Hanya 29 peratus premis makanan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan di Kelantan

KOTA BHARU: Hanya 29 peratus atau 4,023 premis makanan yang beroperasi di negeri ini berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, jumlah itu adalah kecil berbanding pelbagai promosi dan kempen penerangan yang dilaksanakan pihaknya.

Beliau menegaskan, pemilik yang gagal berbuat demikian akan berdepan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang akan dikuatkuasakan 1 Januari ini.

"Menurut peraturan yang diwartakan pada 28 Februari 2009 itu, setiap premis makanan perlu didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan dan tuan punya yang gagal mematuhinya berdepan dengan hukuman denda atau penjara.

"Premis makanan bermaksud premis yang digunakan bagi atau berkaitan dengan penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau penjualan apa-apa makanan atau pelabelan semula atau pemprosesan semula atau pembaikan semula apa-apa makanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Razin berkata, kategori premis makanan yang perlu didaftarkan adalah seperti pengilangan makanan, katering, premis yang makanan disedia, diproses, disimpan dan dihidangkan untuk jualan dan semua kenderaan menyediakan makanan untuk dijual.

Jelasnya, pendaftaran boleh dibuat di mana-mana fasiliti kesihatan seperti Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah, Pusat Perkhidmatan Keselamatan dan Kualiti Makanan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu atau melalui laman sesawang www.fosimdomestic.moh.gov.my.

"Proses pendaftaran adalah percuma dan setiap pendaftaran premis makanan adalah sah untuk tempoh tiga tahun manakala sebarang permohonan semula hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh tamat tempoh sah laku. "Sijil Perakuan Pendaftaran Makanan wajib dipamer di setiap premis makanan yang berdaftar," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 27 Disember 2013

Tempias kewujudan Bandar Chiku

Bandar Chiku kini pesat membangun dengan pembinaan bangunan perniagaan yang tersusun untuk faedah peneroka Felda di kawasan tersebut. 
GUA MUSANG: Peneroka di Tanah Rancangan Felda Chiku 3, dekat sini, bersyukur apabila diwujudkan sebuah bandar baharu dikenali sebagai Bandar Chiku sejak beberapa tahun lalu hingga keadaannya berubah dan jauh lebih maju berbanding sebelum ini.

Pembukaan bandar baharu itu juga membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan dengan membuka perniagaan.

Terletak di tengah perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai dan lokasinya juga strategik, antara faktor lebih banyak projek pembangunan akan dilaksanakan kerajaan dan juga pengurusan Felda peringkat Pusat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, suasana Bandar Chiku kini jauh berubah dan sentiasa sibuk serta menjadi tumpuan terutama jika terdapat pasar sehari.

 Seorang peneroka, Zulkifli Yaacob, 58, berkata, dahulu peneroka terpaksa ke bandar Gua Musang, hampir 50 kilometer dari rumah semata-mata untuk membeli pelbagai barang keperluan.

 Namun katanya, selepas Bandar Chiku diwujudkan, ia memudahkan peneroka untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu lagi ke bandar Gua Musang.

"Pelbagai kemudahan disediakan di Bandar Chiku, sekali gus menjadi platform kepada peneroka menceburi dunia perniagaan, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil ladang untuk menambahkan pendapatan keluarga.

 “Kami amat gembira dengan usaha kerajaan dan Felda yang memberi tumpuan ke arah membangunkan Bandar Chiku supaya lebih pesat lagi," katanya.

Seorang lagi peneroka, Alwi Yusoff, 57, berkata, ada juga orang luar yang mengambil peluang berniaga di Bandar Chiku dengan membuka perniagaan pada skala lebih besar.

"Memang banyak perubahan yang boleh dilihat. Dahulu kebanyakan peneroka yang berniaga di Bandar Chiku hanya membuka gerai kecil tetapi kini seiring dengan kemajuan yang ada, mereka sudah mampu membina bangunan kedai sendiri, sekali gus membesarkan perniagaan sedia ada.

“Kita sama-sama bersyukur dengan kewujudan Bandar Chiku yang memberi faedah, bukan sahaja kepada peneroka tetapi juga kepada generasi kedua Felda yang mempunyai minat dalam perniagaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 29 Disember 2013

Pahang kuat kuasa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013

KUANTAN: Sebanyak 71 seksyen kesalahan jenayah syariah telahpun dikuatkuasakan di bawah enakmen baharu iaitu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 bermula 1 Dis lepas.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata perkara itu diperkenan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 25 Okt lepas.

"Sebelum ini kesalahan jenayah syariah terletak di bawah Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982," katanya kepada pemberita di sini Khamis. Beliau berkata dalam 71 seksyen di bawah enakmen itu terdapat dua seksyen tambahan.

"Dua Seksyen tambahan itu ialah Seksyen 13 iaitu berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya, termasuk kesalahan menghina atau mengingkari Sultan serta agensi agama yang bernaung di bawahnya.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Wan Abdul Wahid berkata satu lagi seksyen tambahan ialah Seksyen 33 dan 34 iaitu berkaitan lelaki berlagak (berkelakuan) seperti perempuan dan perempuan berlagak seperti lelaki di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak berakhlak.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Beliau juga berkata penguatkuasaan enakmen baharu itu turut membabitkan beberapa tambahan dari segi jumlah denda.
 
Sumber: BERNAMA | 26 Disember 2013

Sabtu, 28 Disember 2013

Stacy pelajari tentang agama Islam daripada Akim Ahmad

PETALING JAYA: Penyanyi Stacy mengakui semakin memahami ajaran agama Islam selepas banyak mendapat bimbingan daripada kekasihnya, Akim Ahmad.

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 23, berkata, Akim banyak menjelaskan tentang agama itu setiap kali mereka berjumpa dan dia juga banyak bertanya tentang perkara yang tidak difahaminya.

"Akim banyak memberitahu saya tentang ajaran Islam dan banyak yang saya pelajari daripadanya," katanya katanya selepas pelancaran single berjudul Hello duet bersama kumpulan SM*SH yang diadakan di Auditorium Bently Music di sini, Jumaat. Turut hadir Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Darren Choy.

Stacy yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bagaimanapun berkata, jika suatu hari nanti hatinya terbuka untuk memeluk agama Islam dia mahu keputusannya itu didorong kerana kehendaknya sendiri dan bukan semata-mata kerana ingin berkahwin dengan pemuda itu.

Jelas Stacy, soal agama bukan sesuatu yang boleh dipersendakan dan dia sangat menghormati perkara itu. "Soal agama bukan perkara main-main dan saya sangat menghormati agama lain termasuk Islam dan sebab itu jika saya ingin menjadi seorang Muslim bukan hanya kerana cinta atau mahu berkahwin dengan seseorang sebaliknya ia perlu datang dari hati yang ikhlas," katanya.

Dalam pada itu, Stacy berkata, pergaulannya dengan rakan-rakan beragama Islam turut mendedahkannya dengan pelbagai perkara yang tidak diketahui sebelum ini.

"Dulu semasa di kampung pergaulan saya terhad dan komuniti di sana kebanyakannya penganut Kristian dan apabila berpindah ke Kuala Lumpur saya lebih banyak didedahkan dengan masyarakat Islam.

Dari situlah hati saya terbuka untuk mengetahui mengenai agama ini dengan lebih mendalam,” jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai kolaborasinya dengan kumpulan SM*SH dari Indonesia Stacy berkata, ia adalah peluang cukup besar untuk dia memperkenalkan namanya di negara itu.

Jelas Stacy, pengaruh kumpulan itu sangat kuat selain mempunyai pengikut yang cukup ramai di Indonesia dan Malaysia. "Bayangkan pengikut Facebook saya sudah mencecah satu juta sejak lagu kami dilancarkan dan pengikut baharu itu rata-rata dari Indonesia.

"Saya melihat ia satu perkembangan baik untuk kerjaya saya dan bertuah dapat melakukan kolaborasi dengan mereka," katanya. Pada majlis tersebut, Stacy dan SM*SH turut menyampaikan beberapa buah lagu termasuklah lagu duet mereka iaitu Hello di hadapan 100 peminat.

Sumber: mStar Online | 28 Disember 2013

Kes kematian akibat denggi meningkat 151%

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto: BERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak 88 kematian akibat denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 21 Disember tahun ini, meningkat 151 peratus berbanding 35 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor mencatat angka tertinggi dengan 24 kematian, diikuti Johor (21), Melaka (9), Kuala Lumpur dan Putrajaya (masing-masing lapan) serta Pulau Pinang tujuh kes.

Perak, Sarawak dan Sabah pula masing-masing empat; Kelantan dan Pahang (2 kes); manakala satu kematian dilaporkan di Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan, katanya dalam sidang media, di sini Jumaat.

Menurutnya sepanjang tempoh itu juga sebanyak 41,226 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara, meningkat 92 peratus atau 19,782 kes, berbanding 21,444 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Dr Noor Hisham berkata, kes denggi dilapor meningkat mendadak di 12 wilayah antaranya Melaka (229 peratus), Johor (191 peratus), Selangor (152), Negeri Sembilan (100), Perak (42), Labuan (40), Kuala Lumpur dan Putrajaya (39), Pulau Pinang (31) dan Perlis (30).

Rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan kes kematian tertinggi sejak 1970-an direkodkan pada 2010 dengan 135 kematian, manakala jumlah kes tertinggi sebanyak 49,355 kes dilaporkan pada 2008, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tahun ini kes denggi menurun di tiga negeri iaituTerengganu, Sarawak dan Kedah. "Kalau dilihat trend mingguan kes denggi yang dilaporkan sejak 2002, terdapat pusingan setiap dua hingga tiga tahun iaitu negara mengalami wabak denggi yang tinggi pada 2002, 2004, 2007, 2009, 2010 dan kini 2013.

"Malah pada tahun ini juga negara di rantau Pasifik Barat turut mengalami fenomena sama apabila Singapura dan Laos masing-masing mencatatkan peningkatan 387 peratus," katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat agar lebih peka dalam menjaga kebersihan persekitaran yang merupakan tanggungjawab bersama bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, Program Ayuh Gembur Aedes Perdana akan dilancarkan pada 5 Januari di Selangor bagi meningkatkan penglibatan masyarakat setempat menyertai aktiviti gotong-royong di seluruh negeri itu.  

Sumber: BERNAMA | 28 Disember 2013

Tiada aduan bukti rakyat Malaysia sokong kenaikan harga - Hasan Malek

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menyokong kenaikan harga berikutan kurangnya aduan yang dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kata Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek (gambar) pada Jumaat.

"Kita tidak menerima apa-apa aduan. Rakyat tidak mengadu, ini bermakna terdapat sokongan. Kita tidak mengawal harga, tetapi pengguna yang mengawalnya," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen 'Kembali Ke Sekolah' AEON.

Hasan turut menggesa supaya semua perniagaan untuk bertimbang rasa. "Tolong bantu kementerian dan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya."

Beliau berkata, pegawai kementerian akan membuat pemantauan, dan meminta pengguna yang menyedari tentang kenaikan harga melampau supaya membuat aduan.

"Kita merancang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain lagi," katanya.

Mengenai kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Kerajaan seharusnya mengurangkan kos berbanding menaikkan harga, Hasan berkata, beliau menghormatinya tetapi tidak bersetuju dengan pandangan itu.

"Kita akan melihat pandangan Tun serta rakyat. Kita mahukan sistem yang terbaik." Sesiapa yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian hotline kementerian di 1-800-886-800, atau emel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.

Sumber: mStar Online | 28 Disember 2013

Air mata Mike Tyson di Taman Raudhah

Mike Tyson ketika mengerjakan umrah di Makkah.
"ANGKAT kotak tu!" jerkah sekumpulan remaja lelaki. Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun akur mengikut arahan. Setiap anak tangga dipijak dengan berat hati. Tiba di atas bumbung bangunan kosong itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di dalam kotak itu. Timbul rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus menyukainya.

Tapi seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan lehernya sehingga ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima tumbukan bersama merpati itu pada mukanya.

Bagaikan harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike Tyson atau nama sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak jiran yang nakal itu, lalu memukul pembulinya berkali-kali. Sejak itu, sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar untuk sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia sekeluarga berpindah.

Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang juga dipengaruhi faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk penjara juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D'Amato tertarik dengan bakat Mike Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada setiap pusingan pertama bagi 16 perlawanan.

Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih gelaran juara kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor Berbick. Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia berat termuda di dunia.

Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes jenayah seksual terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington pada 10 Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.

Belajar Islam di penjara

Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi tumpuan umum. Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata, 'mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam'.

Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati Tyson: "Walaupun anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah penjara yang sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara berbanding di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni perlu mencari perlindungan melalui Islam."

Bagi Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka. Malah beliau dapat mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan, mempelajari agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana.

Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan keislamannya yang dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul Aziz. Selepas menjadi Muslim, Tayson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana dan menghormati.

Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang tetapi dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9 juta. Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya semakin malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005.

Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Tyson apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah yang diatur CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa sama kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau berharap peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah dengan penuh penghayatan.

Doa setiap hari

Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di gelanggang, tetapi bila Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman Raudah, Masjid Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk Islam, barulah beliau menjadi tetamu ALLAH.

"Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu saya berada di dalam satu daripada taman syurga.

"Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di jalan yang benar," katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir.

Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan dalam hidup dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa memohon ampunan ALLAH setiap hari.

Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat tangan.

Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan merpati dan sempat memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas kenangan ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati menjadi peliharaannya.

Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan. Anak perempuannya, Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani kehidupan berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las Vegas.

"Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah," katanya.

Sumber: Sinar Harian | 27 Disember 2013

Dilema penanam kelapa di Bachok

Zaki (kanan) menunjukkan daun kelapa yang kering akibat kekurangan baja.
BACHOK: Bentuk muka bumi Bachok yang sesuai untuk tanaman kelapa menyebabkan ramai petani semakin berminat untuk mengusahakan tanaman itu terutama kelapa Matag.

Tambahan pula, tanaman komersial lain seperti tembakau tidak lagi diusahakan dan petani beralih kepada tanaman lain yang mampu menjana hasil tinggi.

Bagi seorang penduduk, Muhammad Yaakob, 48, tanaman kelapa diusahakan di Kampung Keluat sejak 1950-an lagi.

“Tanah di sini sesuai untuk kelapa dan memang sejak dari dulu lagi, banyak kelapa ditanam di kampung kami.

“Kelapa jadi pilihan penduduk kerana ia mempunyai permintaan tinggi dan harganya stabil,” katanya.

Guna baja tahi ayam

Namun dalam masa sama, petani masih dibelenggu masalah berikutan kos untuk membeli benih dan baja tinggi, selain memerlukan bimbingan serta pengurusan yang betul bagi menghasilkan kelapa berkualiti untuk memenuhi keperluan pasaran.

Muhammad berkata, petani memerlukan bantuan dari segi anak benih dan baja yang mencecah ribuan ringgit berikutan tidak mampu ditanggung penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada hasil pendapatan kerja kampung.

“Harga belian bagi kelapa matag adalah antara RM12 hingga RM15 sepohon menyebabkan mereka terpaksa membeli benih kelapa kampung yang hanya berharga RM5 sepohon, selain menggunakan baja tahi ayam untuk jimatkan kos.

“Akibatnya, pokok bukan saja lambat mengeluarkan hasil tetapi buah kelapa juga tidak berkualiti kerana kekurangan baja," katanya.

Banyak kawasan sesuai

Seorang lagi petani, Zaki Mat, 44, berkata, penduduk masih mempunyai banyak kawasan terbiar yang sesuai untuk kelapa, selain ladang kelapa sedia ada berpuluh tahun dahulu yang perlu diganti dengan pokok baharu.

“Pokok kelapa mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga tahun dengan pengeluaran buah dalam tempoh yang panjang sehingga melebihi 30 tahun.

“Jika ada peruntukan walaupun sekali, saya yakin ia mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya petani komited untuk mengusahakannya,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Mohammad Yaakob Abdullah, 60, berkata, tanaman kelapa kini diusahakan secara sampingan sahaja tetapi jika terdapat usaha untuk mengkomersialkan tanaman tersebut, dia yakin akan menarik minat penduduk lain untuk mengusahakan tanaman  kelapa secara serius.

“Sekarang ini kelapa diusahakan secara tradisi atau warisan saja. Mereka jadikan kelapa sebagai sumber sampingan sebab tak mampu nak sediakan pelbagai kos untuk tanaman ini.
“Tetapi jika ada saluran untuk bantu petani, tak mustahil ia boleh menjadi sumber utama penduduk Bachok menggantikan tembakau dan padi,” katanya yang sudah enam bulan mencuba tanaman kelapa.

Input pertanian secara one-off
Penolong Pegawai Pertanian Bachok, Ammar Anuar Yusoff pula berkata, lazimnya bantuan diberikan bergantung pada peruntukan yang diterima melalui Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tanpa mengikut tempoh masa yang tetap.

Beliau berkata, bantuan benih dan baja tidak lagi disediakan kerana bantuan disalurkan berbentuk infrastruktur seperti membaiki jalan ladang, perparitan dan mencuci ladang mengikut projek yang ditetapkan jabatan.

“Kelapa dan pisang antara yang mendapat permintaan tinggi. Justeru, kami rasa harga belian kedua-dua tanaman ini masih mampu diusahakan penanam. "Jabatan biasanya mengagihkan input pertanian kepada penduduk secara one-off atau sekali saja,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Disember 2013

Tabiat meletak sampah di atas but kereta menjengkelkan

KOTA BHARU: Denda mungkin dikenakan kepada pemilik kenderaan yang meletakkan sampah di atas but kenderaan mereka bagi memastikan aspek kebersihan dijaga dalam konteks lebih tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) berkata, penguatkuasaan tersebut bertujuan melatih masyarakat agar lebih berdisiplin, selain mengutamakan kebersihan dalam setiap kegiatan mereka.

“Mulai 2014, kita sudah ada aturan untuk mendenda mereka meletakkan sampah di atas but kenderaan mereka.

"Kita telah kemas kini undang-undang kecil, jika didapati ada yang bertindak demikian, mereka boleh didenda di bawah Akta Kebersihan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Selain itu katanya, jadual pembuangan sampah juga akan dikeluarkan supaya bahan buangan itu tidak dibuang di luar waktu ditetapkan sehingga mengganggu proses mengangkut, seterusnya menyebabkan ia tidak dapat diurus dengan baik.

“Kita mahu sampah  dapat dipungut dan dihantar ke tempat sepatutnya mengikut waktu ditetapkan kerana kita tidak mahu masyarakat terbeban dengan perkara ini,” katanya.

Abdul Fattah berkata, pemerhatian pihaknya juga mendapati sampah tidak dibuang dengan baik sehingga terdapat tong sampah kosong, sedangkan bahan buangan bertaburan di kawasan sekitarnya sehingga menampakkan betapa kotornya kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, dalam menangani masalah sampah, peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan individu penting bagi memastikan penguatkuasaan yang telah dan akan dilaksanakan mencapai matlamat.

Beliau yang juga Adun Bukit Panau berkata, pihaknya juga akan menghidupkan semula program kitar semula dan untuk peringkat pertama, sebanyak 10 tong akan diagihkan sebelum diletak di kawasan pusat beli-belah seperti Pasar Siti Khadijah dan stesen bas.

“Ia bukan sekadar untuk membuang sampah, malah diwujudkan ruang menjana pendapatan kepada pihak yang menjaga tong berkenaan, sebab saya melihat di Malaysia kita banyak membazir, sedangkan sesetengah negara, bahan buangan mampu menjana pendapatan kepada syarikat mereka,” katanya.

Abdul Fattah berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengendalikan tempat pembuangan sampah yang ada sebaiknya dan penambahbaikan dari masa ke semasa akan dilakukan demi meningkatkan lagi tahap kebersihan di negeri ini.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Disember 2013