Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 31 Mei 2014

Kanak-kanak mati tanpa kepala: Suspek kelar leher mangsa guna jubin seramik

Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapat berita Siti Soffea menjadi mangsa pembunuhan kejam. Gambar kecil Siti Soffea Emelda.
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan 18 bulan yang ditemui mati tanpa kepala di Sungai Klang di sini, dipercayai dibunuh menggunakan serpihan jubin seramik, sebelum suspek terjun ke sungai itu.
Polis sudah mengenal pasti suspek kes kejam dan ngeri itu iaitu lelaki berusia lewat 30-an yang juga bekas banduan.
Sumber berkata, gambaran pada kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kompleks menunjukkan ada pengawal keselamatan melihat lelaki berkenaan berjalan bersama mangsa, Siti Soffea Emelda Abdullah.
Bagaimanapun sumber itu berkata, ketika itu mungkin pengawal keselamatan itu tidak tahu kanak-kanak itu diculik.
Siti Soffea bersama ibunya, Siti Salmy Suib, 32, di Kompleks Membeli-Belah Kota Raya dan kemudian meninggalkan anaknya bersama seorang kawan untuk ke tandas pada pukul 3 petang.
Bagaimanapun, selepas kira-kira lima minit, ibu mangsa mendapati kedua-duanya tidak kelihatan di tempat terakhir anaknya ditinggalkan di tingkat empat bangunan itu.
Siti Salmy hanya mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa anaknya selepas polis menjejaki pergerakan kanak-kanak itu dan lelaki terbabit.
Pada kira-kira pukul 9 malam, beberapa orang awam melihat seorang lelaki mendukung Siti Soffea ke arah Sungai Klang, kira-kira 1.5 kilometer dari kompleks berkenaan.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, beliau sedang mandi di sungai berkenaan apabila melihat seorang lelaki tunduk melihat sesuatu yang seakan-akan patung.
"Apabila saya bergerak lebih dekat baharu saya nampak seorang kanak-kanak perempuan tanpa kepala hampir tenggelam dalam sungai.
"Lelaki itu nampak saya mendekatinya dan terus memandang tepat pada saya," katanya yang mendakwa melihat lelaki itu meminum darah dari kepala kanak-kanak yang dipenggal itu.
Mohammad, 29, yang tinggal di bawah jambatan kemudian meminta pertolongan rakannya yang dikenali sebagai Las.
Mohammad and Las juga mengaku melihat suspek mengelar leher Siti Soffea menggunakan serpihan jubin seramik dan mengisi darah kanak-kanak itu ke dalam botol.
"Apabila polis tiba, lelaki itu terjun ke sungai dan cuba melarikan diri," katanya yang menghubungi polis, manakala Las diminta memerhati pergerakan suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis percaya suspek mati lemas ketika cuba melarikan diri.
Polis kini berusaha mengesan mayat suspek di dalam sungai itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Kong Meng berkata, beberapa serpihan jubin seramin, kesan darah dan sepasang selipar dipercayai milik suspek ditemui di lokasi kejadian.
Pemeriksaan ke atas mayat Siti Soffea mendapati bahagian belakang kepala kanak-kanak itu juga pecah, dipercayai akibat hentakan. 
Sumber: mStar Online | 31 Mei 2014

Kanak-kanak mati tanpa kepala: Si ibu memilih hidup gelandangan

Suasana bawah jambatan yang menjadi tempat tinggal sebahagian gelandangan di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak yang ditemui mati tanpa kepala di Sungai Klang memilih untuk hidup sebagai gelandangan walaupun mempunyai ahli keluarga di Cheras, dekat sini.

Pengarah Projek, Kechara Soup Kitchen (KSK), Justin Cheah berkata, pihaknya menyediakan makanan dan bantuan kepada ibu berusia 32 tahun itu yang sering dilihat berlegar di sekitar ibu kota.
Beliau berkata, wanita berkenaan, Siti Salmy Suib juga pernah dilihat tinggal di bawah jambatan di tepi sungai berhampiran Bulatan Syed Putra, bersama antara 15 hingga 30 gelandanan lain.
"Dia ada masalah dengan keluarganya dan agak melawan. Kaunselor kami yang cuba menasihatkannya supaya pulang ke pangkuan keluarga tetapi dia enggan berbuat demikian," katanya.
Cheah berkata, wanita yang sering bertukar kerja itu juga menerima bantunan daripada pertubuhan kebajikan lain.
Katanya, keseluruhannya terdapat 850 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dan kebanyakannya kerana masalah sosial termasuk pengangguran, masalah rumah tangga dan gejala dadah.
Anak Siti Salmy yang berusia 18 bulan, Siti Soffea Emelda Abdullah ditemui mati tanpa kepala dipercayai dikelar menggunakan serpihan jubin seramik di Sungai Klang.
Suspek pembunuhan itu dikenal pasti sebagai bekas banduan berusia 30-an yang dipercayai lemas selepas terjun ke sungai berkenaan untuk melarikan diri.
Sumber: mStar Online | 31 Mei 2014

MAS tawar MH Gourmet mulai minggu depan

PENUMPANG yang menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) boleh membuat tempahan awal hidangan premium "MH Gourmet" mulai minggu depan.

Pakej premium itu ditawarkan penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke destinasi di Asia, Asia Utara, India, Eropah, Timur Tengah, Australia dan New Zealand.

Pengarah Komersilnya, Dr Hugh Dunleavy berkata, pilihan itu diperkenalkan selepas mendapat maklum balas penumpang mengenai bagaimana syarikat itu boleh meningkatkan pengalaman dalam penerbangan.

"Kami menerima banyak permintaan, oleh itu Malaysia Airlines gembira untuk menawarkan beberapa pilihan kepada penumpang kami, sama ada pelbagai jenis hidangan dalam kelas ekonomi atau sesuatu yang istimenwa untuk menyambut majlis tertentu dalam pesawat penerbangan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MH Gourmet menawarkan enam hidangan premium Malaysia dan Jepun untuk penumpang kelas ekonomi dan mulai 3 Jun hingga 3 Julai ia berharga RM49 tiap satu.
   
Penumpang juga boleh membuat tempahan awal kek istimewa untuk sesuatu sambutan untuk dihidangkan ketika penerbangan bagi mengingati hari jadi, ulang tahun perkahwinan, berbulan madu atau perkahwinan dengan harga RM250, katanya.
   
Bayaran boleh dibuat di Pusat Panggilan Pelanggan Global syarikat penerbangan nasional itu atau pejabat tiketnya. 

Sumber: Bernama | 30 Mei 2014

Merokok juga haram

SHAH ALAM: Sikap ambil ringan dan kurangnya asas agama punca orang Islam tidak kisah untuk merokok walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan menjatuhkan hukumnya adalah haram.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Othman berkata, sikap itu sebenarnya membuktikan mereka sengaja membelakangkan agama dalam sesuatu perkara.

Beliau berkata demikian, mengulas kes coklat Cadbury yang mempunyai DNA babi sehingga mengejutkan semua pihak sehingga menimbulkan kemarahan, namun sikap itu tidak pula berlaku di kalangan perokok yang jelas hukum merokok adalah haram.

Dalam budaya kita, kita hanya sensitif ikut keadaan sahaja. Tapi di negara kita pun hanya gazetkan sahaja merokok haram tapi penguatkuasaan tidak secara serius.

“Tapi ada satu pihak yang prihatin dengan memilih untuk tidak merokok kerana hukumnya haram,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, walaupun dalam al-Quran tidak mengkhususkan hukum merokok diharamkan, namun mengambil kira melakukan kebinasaan ke atas diri adalah haram, ia juga terpakai untuk merokok.

Kalau pun ada pihak pertahankan ia makruh, namun jika dilakukan berterusan ia jadi haram. Seperti juga dadah, shisha yang sudah pun digazetkan haram.

Peranan kerajaan perlu diperkuatkan jika mahu mengurangkan golongan perokok dari kalangan orang Islam supaya tidak terus melakukan perkara haram,” katanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun berkata, walaupun hukum merokok adalah haram, namun ia tidak boleh disamakan dengan insiden penemuan DNA babi dalam coklat Cadbury kerana ia perkara yang berbeza.

“Memang kita tahu merokok adalah haram, tapi isu coklat Cadbury yang membuatkan orang Islam marah kerana ia tertera logo halal.

“Apabila berlaku perkara ini, syarikat pengeluar coklat seolah-olah mempermainkan hukum, merokok adalah pilihannya sendiri untuk binasakan diri mereka,” katanya.

Terdahulu, pada April 2010 Profesor Universiti Sydney, Simon Chapman turut mendakwa darah babi mungkin menjadi salah satu bahan campuran di dalam puntung rokok.

Sumber: Sinar Harian | 31 Mei 2014

Orang ramai perlu guna tong gas dengan cara betul

Muhammad Salleh melakukan demonstrasi berkaitan pengguna tong gas di Tunjong, semalam.
KOTA BHARU: Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan tong gas memasak dengan cara yang betul dan memeriksa tahap keselamatannya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Timbalan Penguasa Bomba Cawangan Keselamatan dan Kesedaran Awam, Ibu Pejabat Bomba Tunjung, Muhammad Salleh berkata, kesedaran masyarakat perlu selain ambil tahu penggunaan gas memasak yang mempunyai jangka hayatnya.

Kita mesti memeriksa keadaan gas ketika mula-mula membelinya di kedai dan melihat keadaannya sama ada berlaku sebarang kerosakan dan terdapat kesan karat atau kemek di bahagian badan gas terbabit.

“Di samping itu kita juga harus memeriksa hos yang digunakan bagi menyambungkan saluran gas dengan dapur gas memasak di dapur sama ada masih dalam keadaan baik atau sebaliknya bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku termasuk kebocoran gas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.

Muhammad Salleh berkata, di samping itu ketika memasangkan hos penyambungan yang menghubungkan tong gas ke dapur gas, keadaan hos juga perlu diperiksa sama ada boleh digunakan lagi atau sebaliknya.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kebocoran gas berlaku yang boleh mengundang kebakaran, malah boleh memusnahkan harta benda,” katanya.

Mengenai kejadian letupan gas di Taman Mimi, Wakaf Bharu 22 Mei lalu, Muhammad Salleh berkata, kejadian itu mungkin berlaku disebabkan kebocoran gas yang digunakan mangsa.

“Rebakan gas yang bocor memenuhi ruang udara yang tertutup di bahagian dapur penghuni kediaman itu.

“Saya nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati apabila gunakan tong gas memasak sebelum gunakannya, perlu tahu dengan persediaan rapi bagi elakkan kejadian yang bukan sahaja boleh ragut nyawa malah memusnahkan harta benda,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mei 2014

Khamis, 29 Mei 2014

Almost all suspects remanded in gang rape are related, say Kelantan police

KOTA BHARU: The 13 suspects who were arrested for allegedly gang raping a 15-year-old school girl last Tuesday are related to each other including a father and his two sons from the same village in Ketereh.
State CID chief Asst Comm Lai Yong Heng said almost all suspects were related to each other.
"The suspects we have remanded all had blood ties with each other including a 38-year-old father and his two sons
"We are investigating the case carefully and will ensure all those will be brought to justice.
"However, the police official count on the number of suspects who allegedly committed the offence under Section 376 of the Penal Code may slightly be more than 10 people and not more than 15 as some of them had raped the minor three times. This was based on the statement by the girl's boyfriend who was forced to watch and kept count on the number of times the girl was raped," ACP Lai said when contacted on Thursday.
He also said that the father and his sons had been remanded for seven days. He also revealed that the 17-year-old girl who was remanded on Tuesday lodged a police report that she was also raped by the suspects in the May 20 incident.
In the 7.30 pm incident the victim from Kuala Krai went to Ketereh to pick-up the 17-year-old suspect with her male companion.
They were then brought to Kampung Hutan Pasir by the girl and her boyfriend. The victim was reported to have been raped by more then 30 men, who were believed to be high on drugs, until she fainted.
The girl who suffered bleeding in her private parts was sent to the Kuala Krai hospital for treatment.

Source: The Star Online | 29 May 2014

Sambutan gol Ronaldo digunakan untuk filem 'Ronaldo: The Movie'

Tindakan Ronaldo meraikan gol keempat dengan menanggalkan jersinya di Lisbon dikritik penyokong Atletico Madrid.
SAMBUTAN gol bintang Real Madrid, Christiano Ronaldo ketika menentang Atletico Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah sebenarnya telah dirancang untuk dirakam kamera sebelum perlawanan bermula.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang wartawan Sepanyol terkenal, Jose Felix Diaz.

Ronaldo menanggalkan jersinya selepas menjaringkan penalti untuk membantu Real Madridi menewaskan Atletico 4-1 pada masa tambahan di Lisbon.

Diaz berkata, sambutan gol Ronaldo sebenarnya dirancang untuk dirakam kamera yang akan digunakan dalam filem 'Ronaldo: The Movie', sebuah projek bagi membantu mempromosikan jenama CR7.

"Cristiano Ronaldo meraikan gol keempatnya untuk Real Madrid secara 'berlebihan' ketika aksi final di Lisbon. Hanya segelintir pihak memahami mengapa dan Atlectico marah terhadap tindakan pemain kebangsaan Portugal itu.

"Sebabnya adalah berkaitan dengan sukan itu sendiri dan untuk tujuan pemasaran jenama CR7. Tindakan itu dirakam oleh kamera khas yang akan digunakan dalam filem:' Ronaldo, The Movie.'

"Ronaldo tahu dimana kedudukan kamera tersebut dan berlari ke arahnya untuk meraikan gol tersebut," kata Diaz.

Sumber: mStar Online | 29 Mei 2014

Pulau Batu Puteh: Sultan Johor titah tubuh pasukan khas kaji untuk merayu

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menitahkan kerajaan negeri Johor supaya menubuhkan sebuah pasukan khas supaya mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim bertitah langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bukit Timbalan sini Khamis.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu kontraktor tempatan turut mendapat faedah daripada pelaksanaan pembangunan kompleks petroleum Pengerang dekat Kota Tinggi.

Baginda bertitah pembangunan itu yang akan memberikan impak besar terhadap ekonomi Johor sepatutnya turut memberi faedah kepada rakyat Johor.

Mengenai kebanjiran pelabur dari China terutamanya dalam sektor hartanah di negeri ini, Sultan Ibrahim bertitah pelaburan seumpama itu amat diperlukan bagi mengekalkan pembangunan ekonomi kerana Johor tidak boleh hanya bergantung kepada pelabur tempatan sahaja.

"Kebetulan pada masa ini hanya pelabur dari China yang dilihat lebih berminat untuk datang ke Johor kerana mereka percaya dengan potensi yang dimiliki negeri ini serta dasar kerajaan yang mesra pelabur," titah baginda.

Sultan Ibrahim dalam pada itu mahu sebuah Perbadanan Alam Sekitar Negeri Johor diwujudkan di bawah Enakmen Negeri Johor seperti yang sudah ditubuhkan di Melaka, Sabah dan Sarawak bagi menjaga dan memelihara alam sekitar negeri Johor.

Mengenai cuti mingguan negeri ini, Sultan Ibrahim mahu kerajaan negeri Johor menyelaraskan cuti mingguan bagi semua sektor di negeri ini kepada hari Jumaat dan Sabtu seperti yang diisytiharkan.

Baginda bertitah terdapat rungutan ibu bapa yang bekerja di sektor swasta bahawa mereka tidak dapat meluangkan masa bersama anak disebabkan terpaksa bekerja pada hari Jumaat.

Sambil melafazkan syukur kerana negeri Johor bertambah makmur, Sultan Ibrahim mengingatkan semua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan politik masing-masing.

Baginda juga mahu semua anggota DUN supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa berbahas.

"Saya ingatkan pikullah amanah yang diberikan rakyat dengan penuh tanggungjawab tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau parti politik," titah baginda.

Sumber: Bernama | 29 Mei 2014

Rogol beramai-ramai: Tiga beranak antara 14 ditahan

PASIR MAS: Seorang bapa bersama dua anaknya antara 14 yang ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan lebih 30 suspek dalam satu kejadian di Ketereh pada 20 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata tiga beranak yang berumur antara 15 hingga 38 tahun itu ditahan pagi semalam di sekitar Ketereh.

"Anak beranak itu ditahan untuk membantu siasatan kes rogol itu dan terbaharu kita menahan seorang lagi lelaki berumur 20-an juga di sekitar Ketereh pagi Khamis.

"Pagi ini, seramai sembilan lelaki termasuk tiga beranak itu direman selama seminggu yang menjadikan keseluruhan direman adalah seramai 13 orang termasuk seorang gadis berumur 17 tahun semalam," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Lai berkata seorang lagi suspek yang ditahan pagi ini akan direman esok. Beliau berkata gadis yang direman semalam turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Baharu mendakwa dirinya dirogol dalam kejadian itu.

Polis kini sedang memburu saki-baki suspek yang terbabit dalam kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan, katanya.

Dalam kejadian 7.30 petang itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dari Kuala Krai dan gadis berusia 17 tahun yang tidak bersekolah dari Ketereh itu mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong yang dijadikan tempat penagih dadah melepaskan gian.

Sementara itu, Lai berkata polis menahan seorang lelaki berumur 20-an kerana membelasah dua lelaki disyaki merogol adiknya yang berusia 12 tahun dalam satu kejadian di Tawang, Bachok, pada 24 Mei lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, katanya.

Sumber: Bernama | 29 Mei 2014

Enam anggota Geng 'Kerol' diberkas, polis temui 120 rangka motosikal curi

PASIR MAS: Polis melumpuhkan 'Geng Kerol' yang aktif mencuri motosikal di beberapa negeri termasuk Kelantan, selepas memberkas enam individu termasuk ketua kumpulan, dalam operasi khas yang dilancar 15 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata enam lelaki terbabit berusia antara 21 dan 32 tahun diberkas di sekitar Kota Baharu dan Bachok.

"Seorang daripada mereka merupakan ketua kumpulan yang dikenali sebagai 'Kerol', berusia 20-an. Kita juga menemui 120 rangka motosikal curi yang dibuang di sebatang sungai di Bachok serta di beberapa buah rumah," katanya dalam sidang media, di sini Khamis.

Menurut Lai, geng itu aktif mencuri motosikal di Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Johor sejak setahun lalu.

Motosikal terbabit kemudian dilerai dan komponennya dijual dan antara yang paling banyak dicuri oleh geng ini ialah motosikal jenis Honda EX5, katanya.

"Polis menganggarkan nilai motosikal yang dicuri itu mencecah RM300,000," katanya sambil menambah polis sedang memburu saki-baki anggota kumpulan itu.

Sumber
: Bernama | 29 Mei 2014

MH370: Empat ping dirakam bukan dari kotak hitam

SEORANG pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat mendedahkan bahawa isyarat 'ping' yang dirakam ketika pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi bukan dari kotak hitam.
Sebaliknya, empat ping itu didakwa dikeluarkan dari kapal atau peralatan yang digunakan oleh skuad pencarian.
"Pihak berkuasa yang melakukan pencarian merasakan ping itu dari kotak hitam pesawat tetapi sebenarnya ia dihasilkan oleh kapal dan peralatan yang digunakan untuk mengesan isyarat ping," katanya kepada Mirror Daily.
Jelasnya, empat isyarat ping yang dimaksudkannya merupakan hasil rakaman ketika skuad pencarian menggerakkan usaha mereka pada fasa pertama di Lautan Hindi.
"Kami mendapati ping itu dihasilkan oleh peranti yang digunakan untuk mengesan isyarat dari kotak hitam menerusi kapal lain dan bukannya dari kotak hitam," ujarnya.
Pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) dilaporkan hilang daripada radar pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Penerbangan itu kemudian dilaporkan telah berakhir di Lautan Hindi berhampiran Perth , Australia.
Sumber: mStar Online | 29 Mei 2014

Lautan Hindi bukan lokasi MH370 berakhir - JACC


SYDNEY: Kawasan Lautan Hindi, lokasi isyarat akustik dikesan dan pencarian dasar laut dilakukan, pada Khamis dianggap sebagai bukan lokasi pesawat MH370 berakhir. 

Pusat Penyelaras Koordinasi Agensi Bersama Australia (JACC) menyatakan berdasarkan rumusan profesional Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), 'kawasan itu boleh dianggap sebagai bukan tempat berakhirnya MH370'.  

"ATSB menasihatkan pencarian di kawasan berhampiran di mana isyarat akustik dikesan kini boleh dianggap selesai. 

"Dalam rumusan profesionalnya, kawasan itu boleh ditolak sebagai tempat berakhirnya MH370," menurut JACC dalam satu kenyataan, Khamis. 

Menurut JACC, Bluefin-21 sudah melengkapkan misi terakhir pencarian di kawasan berhampiran isyarat akustik dikesan pada awal April lalu menerusi bantuan alat Towed Pinger Locator yang diturunkan kapal ADV Ocean Shield mengikut had kedalaman operasinya. 

"Data yang dikumpul pada misi terakhir pada Rabu sudah dianalisis. Hasilnya, JACC boleh menyatakan bahawa tiada tanda-tanda serpihan pesawat ditemui oleh Bluefin sejak ia menyertai usaha mencari itu," menurut JACC. 

Sejak menyertai usaha mencari pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu, Bluefin-21 sudah mencari di kawasan dasar laut seluas 850 kilometer persegi.

Sumber: mStar Online | 29 Mei 2014

Johor mahu tuntut semula Pulau Batu Puteh

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor diminta menubuhkan satu pasukan khas bagi membuat rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan tuntutan itu bagi terus mengekalkan pulau tersebut milik Johor.

Titahnya sempena pembukaan penggal persidangan kedua dewan negeri Johor yang ke-13, di Bukit Timbalan, di sini, hari ini.

Sumber: Sinar Harian | 29 Mei 2014

Selasa, 27 Mei 2014

Piala Thomas 2014: Anak Kelantan di sebalik kejayaan Jepun

Izuan (kiri) memberi arahan kepada Momota dalam satu kejohanan di India pada 2011. Foto: (http://izuanibrahim84.blogspot.com
DI SEBALIK kejayaan pasukan Jepun merangkul kejuaraan Piala Thomas kelmarin, ramai tidak mengetahui pasukan negara matahari terbit itu sebenarnya dibantu oleh anak Malaysia.

Individu tersebut ialah Izuan Ibrahim. Anak kelahiran Kelantan itu adalah jurulatih kepada pemain perseorangan Jepun, Kento Momota yang menewaskan pemain negara, Chong Wei Feng dengan straight set 21-15, 21-17.

Kemenangan Momota, 19, memastikan Jepun mendahului 2-1 pada aksi final di New Delhi.

Izuan yang merupakan seorang bekas guru ketika ini berkhidmat sebagai jurulatih remaja pasukan kebangsaan Jepun di bawah Nihong Badminton Association dan jurulatih di RS Hamanaka.

Dalam Facebook beliau, Izuan turut memuat naik status menyentuh kehebatan Zulfadli Zulkifli yang mengalahkan Momota di separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia pada 2011.

"Pada 2011, saya tumpang gembira apabila Zulfadli muncul juara dunia. Saya juga sedih apabila gagal membantu Momota di separuh akhir.

"Apa pun, 2014 menyaksikan permainan Momota semakin matang dan dia berjaya menewaskan ramai pemain hebat. Sekarang, saya sedih melihat kedudukan Zulfadli," katanya dipetik dari Facebook beliau.

Sumber: Sinar Harian | Sukan | 27 Mei 2014

Kegiatan gores dan menang: 13 individu ditahan di Kota Bharu

Azham (kanan) bersama pegawainya menunjukkan kad yang digunakan individu yang menjalankan kegiatan gores dan menang.
KOTA BHARU: Polis memandang serius kegiatan gores menang di negeri ini  yang masih licik menjalankan kegiatan berkenaan dengan menawarkan sejumlah hadiah menarik kepada pelanggan dengan bayaran tertentu.

Kegiatan terbaharu kumpulan terbabit yang bergerak dalam kumpulan dan didalangi syarikat yang beroperasi di bandar ini berjaya dikesan polis, apabila 13 individu yang dipercayai digunakan syarikat terbabit untuk memancing orang ramai ditahan dalam beberapa siri operasi tahun ini.

Dalam satu operasi petang kelmarin, seramai lapan individu berusia antara 20 hingga 30 tahun yang menjalankan kegiatan itu di sebuah pasar raya di sini ditahan dan direman selama tiga hari bermula semalam. Manakala lima lagi ditahan pada operasi yang dijalankan bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, syarikat ini beroperasi di Jalan Long Yunus, dengan modus operandi menghampiri pelanggan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Lembah Sirih dan bergerak secara berkumpulan.

Masih ramai yang tidak membuat laporan, namun yang tampil membuat laporan adalah pihak yang merasa mereka tertipu dan melibatkan jumlah wang yang banyak sehingga mencecah RM10,000.

“Mereka akan menawarkan satu kad kepada pelanggan untuk digores dan apabila digores mangsa akan diberitahu memenangi satu hadiah misteri dan perlu ke pejabat mereka untuk menuntut. Apabila tiba di pejabat, mangsa akan diminta untuk membayar sejumlah wang bagi menebus hadiah terbabit,” katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Azham berkata, akibat rasa tertipu apabila mendapati barangan yang mereka dapat itu tidak setanding dengan nilai yang dibayar menyebabkan mereka naik berang dan menuntut ganti rugi.

Mengikut siasatan, mereka dijanjikan hadiah yang bernilai puluhan ribu ringgit bagaimanapun hanya memperoleh hadiah yang tidak setanding nilainya.

"Apabila pelanggan datang semula ke pejabat syarikat terbabit, mereka diugut untuk dicederakan oleh samseng yang diupah oleh syarikat terbabit, maka akhirnya mereka terpaksa mendiamkan diri tanpa dapat membuat apa-apa apabila diancam.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan aktiviti seperti ini dan bertindak lebih waras sebelum mengeluarkan sebarang bayaran dan mencecah ribuan ringgit.

Setakat ini empat kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan juga di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 27 Mei 2014

Isnin, 26 Mei 2014

Gadis cedera ditikam lelaki tidak dikenali di Jambatan Pak Nik Lah

Mangsa dibantu orang ramai selepas diserang lelaki tidak dikenali, malam kelmarin.
KOTA BHARU: Seorang gadis berusia 17 tahun, cedera di bahagian bawah dada kanan selepas ditikam lelaki yang tidak dikenali ketika membonceng motosikal bersama sepupunya di Jambatan Pak Nik Lah, Panchor di sini, malam Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa dalam perjalanan untuk menghantar sepupunya dihampiri lelaki terbabit, sebelum ditikam menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, melihat keadaan mangsa berlumuran darah, sepupunya menghentikan motosikal berdekatan kedai makan sebelum mangsa dibantu orang ramai.

“Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan susulan kerana cedera di lengan kanan dan di bahagian bawah dada. Mangsa dilaporkan stabil.

"Berdasarkan keterangan mangsa, dia tidak mempunyai musuh dan tidak mengesyaki sesiapa kerana dia juga  tidak mengenali suspek,” katanya.

Azham berkata, hasil siasatan awal, dipercayai mangsa diserang kerana cemburu, namun mangsa masih belum mengesahkan dan siasatan diteruskan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata berbahaya," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Mei 2014

Pemuda bunuh diri di Jambatan Sultan Yahya Petra Kota Bharu

Kereta mangsa yang ditinggalkan di jambatan Sultan Yahya Petra, malam kelmarin, sebelum dia bertindak terjun ke kawasan sungai.
Tuck Lee
KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra berhampiran sebuah pasar raya terkemuka, dikhuatiri lemas, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Yoon Tuck Lee, 28, dilihat saksi memberhentikan kereta jenis Honda di tepi jambatan terbabit sebelum bertindak terjun ke kawasan sungai.

Saksi, Mohd Affandi Muhammad, 39, berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 9.15 malam, dia yang menunggang motosikal untuk menghadiri satu majlis di Tumpat, melihat lelaki terbabit memberhentikan kereta di kawasan itu dengan memberi isyarat lampu kecemasan.

“Melihatkan keadaan itu, saya perlahankan motosikal dan melihat seorang lelaki keluar dari kereta dan terus terjun dari jambatan terbabit, kemudian hilang dari pandangan.

"Saya segera hubungi bomba dan polis untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, hasil temu bual dengan isteri mangsa mendapati, mangsa tidak mempunyai masalah hutang atau bermusuh dengan sesiapa.

“Kali terakhir suaminya keluar makan bersama rakan dan isterinya malam tadi (kelmarin) sebelum kejadian tersebut.

“Selepas menghantar isterinya pulang, mangsa keluar dari rumah tanpa beritahu apa-apa,” katanya.

Azham berkata, mangsa hanya sempat hubungi isteri dan beritahu 'selamat tinggal', dan mematikan telefon bimbit.

"Dia gagal dihubungi sehingga mendapat makluman mangsa terjun dari jambatan terbabit," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said pula berkata, gerakan mencari dan menyelamat digerakkan serta-merta dan operasi malam kelmarin dihentikan jam 2 pagi sebelum disambung semula pagi semalam pada jam 7.30 pagi.

“Usaha mencari masih diteruskan dengan kekuatan anggota dari balai Kota Bharu, Darul Naim, bomba sukarela dan Unit Skuba, selain  bantuan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan positif mengenai mangsa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Mei 2014

Sabtu, 24 Mei 2014

Kedah tarik RM4 bilion pelaburan dalam pembuatan antara Januari - Mac 2014: MB

TOKYO: Kedah menerima RM4 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan antara Januari dan Mac 2014, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Pada 2013, kerajaan negeri menarik pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai lebih RM2.5 juta. Angka ini adalah lima kali ganda daripada jumlah pelaburan pada 2012," kata Mukhriz dalam ucapannya pada seminar mengenai pelaburan dan peluang perdagangan di Kedah di sini Jumaat.

Ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Negeri Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Mukhriz berkata peningkatan besar ini adalah hasil daripada persekitaran pelaburan yang bertambah baik melalui pelbagai inisiatif, dan penekanan baharu terhadap nilai-nilai inovatif yang memberi manfaat kepada pelabur dan negeri.

"Sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa dan pembangunan pelabuhan bertaraf dunia juga dirancang di Kedah ketika kami terus meningkatkan kandungan infrastruktur di negeri ini bagi memenuhi keperluan pelabur," katanya.

Pada sidang media kemudiannya, Ku Abd Rahman berkata lapangan terbang baharu itu yang masih di peringkat perancangan, akan dibangunkan tidak jauh dari Sungai Petani atau Kulim.

Sementara itu, dalam pembentangan pada seminar itu, beliau berkata Taman Sains dan Teknologi baharu akan dibangunkan di Bukit Kayu Hitam untuk melengkapkan Taman Teknologi Tinggi Kulim sedia ada.

"Dengan keluasan 1,933 ekar (kira-kira 782 hektar), komponen yang dicadangkan di taman itu terdiri daripada Teknopolis Bandar Sains, Teknologi Awan dan Robotik Moden," katanya.

Seminar anjuran Pusat Pelaburan Kedah (anak syarikat Menteri Besar Inc), turut dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Mohd Som Shahabuddin, Pengarah Unit Unit Perancang Ekonomi Kedah Datuk Abu Bakar Said dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Abdul Rafiq.

Bercakap kepada pemberita di luar acara seminar itu, Redza menyambut baik inisiatif itu dengan berkata NCIA akan terus menyokong usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam menarik pelabur.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2014

Jumaat, 23 Mei 2014

Seorang maut, lima cedera dirempuh bas ekspres di Lebuh Raya Kuala Krai - Gua Musang

GUA MUSANG: Seorang maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres, van dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 72 Jalan Gua Musang - Kuala Krai pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata, pekerja syarikat penyelenggaraan jalan, Mohd Zakarman Bedol, 41, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa sedang mengawal lalu lintas semasa kejadian itu berlaku 12.15 tengah hari.Lima lagi yang cedera adalah masing-masing dua daripada syarikat penyelengaraan itu dan tiga pekerja Institut Kerja Raya Malaysia, katanya kepada pemberita.

Saiful Bahri berkata pemandu bas ekspres terbabit yang berusia 54 tahun bersama 10 penumpang tidak mengalami kecederaan dan mereka kemudian meneruskan perjalanan dengan bas lain.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika lima buah bas ekspres sedang melalui jalan berkenaan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur manakala mangsa yang maut bersama lima yang cedera sedang menjalankan kerja mengorek jalan untuk ujian tahap kualiti jalan yang baharu diturap tar.

Katanya bas ekspres yang berada di barisan kedua dipercayai terbabas lalu merempuh Mohd Zakarman yang sedang mangawal lalu lintas di situ sebelum merempuh sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik syarikat penyelenggaraan itu yang diletakkan di bahu jalan.

Saiful Bahri berkata lima lagi mangsa yang sedang menjalankan kerja mengorek jalan bersebelahan dengan van berkenaan, terpelanting dan terjatuh di atas jalan apabila van yang dirempuh bas ekspres itu terkena mereka. 

“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemandu bas ekspres terbabit juga ditahan sementara untuk diambil keterangan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Sumber: mStar Online | 22 Mei 2014

Akta berkaitan penyalahgunaan dadah akan ditambah baik - Wan Junaidi

GEORGE TOWN: Malaysia bakal mempunyai undang-undang yang lebih ketat berkaitan penyalahgunaan dadah dalam usaha negara memerangi jenayah itu dari peringkat akar umbi hingga kepada penjual, pengimport dan pengeksport.

Ini berikutan usaha Kementerian Dalam Negeri untuk menambah baik Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mewujudkan peruntukan undang-undang khusus berkaitan daun ketum.

"Usul penambahbaikan akta-akta itu diharap dapat dibentang di Parlimen sebelum 15 Jun 2015," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Memerangi Dadah Peringkat Pulau Pinang, di sini Khamis.

Beliau berkata bagi menjayakan usaha itu, kementerian akan membuat kajian dan perbincangan secara menyeluruh dengan wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan pihak-pihak berkaitan.

"Setakat ini saya telah berjumpa 30 NGO dan mereka memberi maklum balas yang cukup baik.

"Strategi kami ialah mahu hapuskan penyakit dadah ini...biar semua dikenakan tindakan mahkamah. Sebab itu kita perlu tambah baik undang-undang sedia ada demi kepentingan semua pihak," katanya.

Wan Junaidi berkata 49.6 peratus daripada individu yang menjalani hukuman di penjara sekarang ini adalah mereka yang terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah.

Beliau berkata sehingga 8 Mei lepas, sebanyak 4,473 orang sedang menjalani rawatan di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) manakala lebih 1,600 orang menjalani rawatan pemulihan secara sukarela di Klinik Rawatan dan Pemulihan 1Malaysia di seluruh negara.

Sementara itu, ditanya mengenai gerakan militan di negara ini, Wan Junaidi berkata beberapa anggota militan dan pengganas luar negara yang ditahan di Malaysia baru-baru ini didapati cuba menyebarkan idealogi dan dakyah jihad untuk Islam dalam usaha merekrut lebih banyak anggota.

Beliau berkata hasil siasatan pihak berkuasa mendapati mereka pada mulanya datang ke Malaysia untuk bersembunyi kerana terlibat dengan badan-badan pengganas di negara masing-masing sebelum bertindak menyebarkan dakyah dan ideologi mereka.

"Berdasarkan beberapa tangkapan baru-baru ini, mereka memang menganggotai beberapa badan penganas di negara masing-masing dan nama mereka berada dalam senarai dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas...sebab itu lari ke Malaysia," katanya.

Sumber: Bernama | 22 Mei 2014

Khamis, 22 Mei 2014

Kampus induk UMK di Bachok dipertingkat

Dr. Raduan Che Rose (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pelajar selepas majlis menyerahkan Laman Siswa di UMK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memperuntuk sebanyak RM226 juta untuk pembangunan kampus induk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2016.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Raduan Che Rose berkata, peruntukan itu adalah bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur UMK yang merangkumi bangunan canselori, dewan besar, pusat Islam, pusat pelajar dan perpustakaan.

“Buat masa ini UMK Bachok masih belum bersedia dari segi kemudahan untuk beroperasi sebagai kampus induk dan saya jangkakan melalui peruntukan yang diberikan ini, kampus berkenaan boleh berope­rasi sebagai kampus induk dalam tempoh dua tahun lagi.

“Bagi merealisasikan kampus UMK Bachok sebagai kampus induk, sebanyak dua fakulti baharu turut ditubuhkan iaitu Fakulti Pengajian Liberal serta Fakulti Senibina," katanya kepada pemberita di Kampus Kota UMK, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Raduan berkata, pihaknya turut menubuhkan fakulti baharu iaitu Fakulti Pelancongan dan Hospitaliti di Kampus Kota serta Fakulti Sains Bumi di Kampus Jeli.

“Di samping itu, pihak kami juga akan menambah baik kemudahan di UMK Jeli dengan mewujudkan perpustakaan dan pusat Islam, seiring dengan perkembangan kakitangan dan bilangan pelajar," katanya.

Sementara itu, Raduan berkata, bagi pengambilan pada September ini,UMK akan menerima 3,000 pelajar. Tambah beliau, pihaknya juga akan meneruskan pengambilan pelajar antarabangsa dan menyasarkan 200 pelajar baharu dari luar negara bagi tahun ini.

Katanya, setakat ini, seramai 67 pelajar antarabangsa sedang mengikuti pengajian di UMK. “Tujuan pengambilan pelajar antarabangsa adalah bagi menjadikan UMK sebagai sebuah universiti yang dinamik, berkepelbagaian dan bertaraf dunia," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Mei 2014 | Terbitan 21 Mei 2014

SPAD to suspend 27 KTB bus permits for the Kuala Lumpur - Kota Bharu route

PETALING JAYA: Twenty-seven Konsortium Transnasional Bhd (KTB) bus permits for the Kuala Lumpur - Kota Bharu route will be suspended from April 23, following the Bentong crash that claimed three lives on April 12.

The Land Public Transport Commission (SPAD) said an audit on KTB found that the company did not monitor its bus fleet’s speed limits, and that the Global Positioning System (GPS) on these buses were not working.

SPAD will in effect on April 23, 2014, suspend 27 Transnasional express bus permits on the east-north sector route, following an accident involving the company,” its chief executive Mohd Nur Ismal Kamal said in a statement.

He warned that similar action would “definitely” be taken against operators whose buses were involved in accidents last week if they were found to have violated licence conditions.

Following this action against KTB, he said SPAD would audit all bus operators in the peninsula on the monitoring of their GPS speed limit compliance. Operators who fail to follow set conditions will have their licences suspended.

Mohd Nur said SPAD would require operators to:
  • Appoint controllers to monitor the speed limit of buses in realtime, and act if drivers break speed li­mits;
  • Take strong action against dri­vers who violate safety regulations and report them to SPAD;
  • Update their drivers’ details through SPAD’s Driver Information System;
  • Present their GPS speed limit observation reports to SPAD, and explain speed limit violations, if any; and
  • Display bus supervisor hotline information in and out of the bus for passengers’ convenience.

Mohd Nur also said that SPAD was studying the possibility of using “black boxes” and speed limiters in trade vehicles.

On April 12, a Somalian and his pregnant Malaysian wife and another passenger were killed in a bus crash near Bentong. Ten others, including the driver, who later tested positive for drug, were injured.

On April 19, 10 people were injured when an express bus crashed into a road divider on the East Coast Highway.

Source: The Star Online | 22 May 2014

Kenaikan gaji, elaun jurulatih naik hingga 50 peratus

Gambar Hiasan. Jurulatih sedang memantau sesi latihan atlit bimbingannya untuk menjamin prestasi baik dalam setiap kejohanan.
KUALA LUMPUR: Jurulatih tempatan sepenuh masa dan sambilan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) kini menikmati skim gaji dan elaun baharu membabitkan kenaikan antara 30 hingga 50 peratus.

Cadangan penetapan gaji dan elaun baharu untuk jurulatih lantikan baharu dan yang sedang berkhidmat itu diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN semalam, selepas mengambil kira tidak berlaku sebarang pergerakan gaji jurulatih tempatan secara rasmi sejak Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan diwujudkan dan diluluskan Kabinet pada Jun 2006.

Skim dan elaun gaji baharu itu berkuat kuasa Mac, melibatkan 192 jurulatih sepenuh masa dan sambilan yang sedang berkhidmat.

Tangga gaji yang diluluskan membabitkan semua peringkat jurulatih sepenuh masa bermula dari RM1,900 sehingga RM4,500 sebulan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan pada Rabu berkata, Lembaga Pengurus MSN berpendapat sudah tiba masa jurulatih mendapat pengiktirafan atas pengorbanan, ketekunan dan kejujuran mereka berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPPK) masing-masing.

"Ia juga sebagai dorongan kepada jurulatih tempatan untuk meneruskan usaha murni mereka selain dapat menarik minat lebih ramai bekas atlet atau penggiat sukan untuk menceburi bidang kejurulatihan.

"Berbekalkan tangga gaji baharu ini, bidang kejurulatihan di Malaysia kini adalah satu kerjaya yang mampu menjamin masa depan," katanya.

Menurut Khairy, MSN diminta melakukan penilaian semula berhubung tangga gaji sedia ada jurulatih tempatan pada Disember tahun lalu sebelum dikemuka dan dilulus pada mesyuarat Lembaga Pengurus MSN.

Di bawah tangga gaji baharu, jurulatih yang mempunyai SPKK Tahap 3 akan mendapat imbuhan paling tinggi iaitu sehingga 50 peratus kenaikan gaji berbanding sekarang.

"Jurulatih tempatan yang mempunyai SPKK Tahap 3 dianggap setaraf dengan jurulatih luar negara yang kini berkhidmat di bawah program MSN," katanya.

Beliau juga berharap dengan skim gaji baharu ini, persatuan sukan kebangsaan (PSK) dapat melahirkan lebih ramai jurulatih SPKK Tahap 3 agar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga dan kepakaran jurulatih asing pada masa akan datang.
 
Sumber: mStar Online | Sukan | 21 Mei 2014