Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 29 Jun 2016

Surat Rayani Air tamat khidmat 415 pekerja tersebar

Nota: Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas.
PETALING JAYA: Belum selesai isu tunggakan gaji, kira-kira 400 pekerja Rayani Air dikejutkan dengan surat penamatan khidmat yang tersebar sejak Rabu malam.

Menurut surat bertarikh 28 Jun 2016 (Selasa), keputusan untuk menamatkan khidmat kakitangan syarikat itu dibuat selepas syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu mengalami masalah kewangan sejak operasi dihentikan pada 8 April lalu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air, Datuk Karthiyani Govindan.

Dokumen itu menyebut, masalah kewangan telah membawa kepada pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) milik syarikat, mengakibatkan syarikat tidak lagi dibenarkan beroperasi berkuat kuasa 13 Jun lalu.

Surat tersebut menyebut: “Syarikat dengan dukatcita ingin memaklumkan mengenai perkhidmatan anda ditamatkan berkuat kuasa pada 10 April 2016. Gaji anda pada Mac 2016 dan April 2016 (prorata sehingga 10 April 2016) akan dibayar secepat mungkin.”

Menurut sumber kepada mStar Online, sehingga pagi Khamis, surat itu masih belum dihantar oleh pihak pengurusan syarikat secara rasmi, sebaliknya salinan surat berkenaan telah tersebar di kalangan pekerja.

“Saya dah periksa emel, belum terima surat berkenaan daripada pihak pengurusan. Rakan-rakan lain juga belum terima emel, mereka hanya dapat daripada pekerja,” katanya.

Menurut surat itu lagi, syarikat ketika ini sedang membuat rayuan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan operasi disambung semula.

“Sebagai bekas pekerja, anda mendapat keutamaan untuk memohon bekerja semula sekiranya syarikat meneruskan operasi.”

Sementara itu, Karthiyani ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mengenai surat penamatan perkhidmatan pekerjanya, bagaimanapun katanya, urusan berkenaan sedang dilakukan pihak pengurusan.

“Kita baru selesai siapkan separuh (surat) semalam, 415 pekerja ramai,” jelas Karthiyani tanpa mengulas lanjut ketika ditanya bila surat berkenaan akan dihantar secara rasmi kepada semua kakitangan.

"Siapa yang sebarkan surat itu?" soal Karthiyani mengenai salinan surat penamatan perkhidmatan yang telah tersebar di kalangan pekerja.

Pada Selasa, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu portal berita ini, pihaknya akan menasihatkan pemilik Rayani Air untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan bagi memudahkan pekerja syarikat penerbangan itu memohon kerja di syarikat lain.

Susulan pertemuan bersama Karthiyani dan suaminya, Ravi Alegandrran yang juga pemilik Rayani Air dengan Mohd Asri di Shah Alam pada Selasa berhubung isu tunggakan gaji pekerja, Karthiyani memberitahu bahawa surat penamatan perkhidmatan akan dihantar kepada semua pekerja secepat mungkin.

Pada 13 Jun lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membatalkan ASL bagi Rayani Air disebabkan oleh ia melanggar syarat lesen berkenaan, selain tidak mempunyai keupayaan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Ia diikuti pembatalan AOC oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat itu.

Terdahulu, Rayani Air digantung operasi sementara oleh DCA pada 11 April lalu, disebabkan masalah operasi yang melanda syarikat penerbangan itu.
 
Sumber: mStar Online | 29 Jun 2016

Pas Kelantan sokong tiada perundingan dengan DAP

KOTA BHARU: PAS Kelantan menyokong penuh keputusan pimpinan PAS Pusat yang berpendirian parti itu tidak akan 'duduk semeja' bagi mengadakan perundingan dengan DAP.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tindakan DAP yang menjadi 'penghasut' ketika PAS menghadapi krisis dalaman dahulu menyebabkan parti itu tidak boleh dipercayai lagi.

Katanya sikap pemimpin DAP yang tidak menghormati dan menentang apa yang cuba dilaksanakan oleh PAS khususnya berkaitan hak umat Islam juga dilihat amat tidak munasabah.

"Kami masih ingat sepanjang kami berkawan dengan DAP dahulu sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) mereka tidak sepatutnya menjadi penghasut sehingga memecahbelahkan PAS," katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Colek Bersama Media di sini, malam tadi.

Beliau mengulas saranan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor agar PAS kembali bersatu sebagai satu pasukan di bawah Pakatan Harapan bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2016

Tunggakan gaji pekerja Rayani Air dibayar selepas Aidilfitri?

PETALING JAYA: Kedatangan 1 Syawal hanya kira-kira seminggu lagi mungkin memberi kedukaan kepada pekerja Rayani Air yang sebahagian besarnya beragama Islam apabila tunggakan gaji mereka didakwa hanya akan dilunaskan selepas Aidilfitri.

Ia sekali gus mengecewakan kira-kira 400 pekerja Rayani Air yang selama ini berharap gaji yang tertunggak diselesaikan sebelum Aidilfitri, sebagaimana yang dijanjikan oleh pemilik syarikat penerbangan itu.

Difahamkan, gaji tertunggak adalah selama tiga bulan sejak Mac lalu berjumlah kira-kira RM4.5 juta.

Menurut sumber kepada mStar Online, wakil Rayani Air mengadakan pertemuan bersama pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor pada Isnin berkaitan aduan pekerja mengenai tunggakan gaji yang dibuat kepada jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia itu.

Difahamkan, mengikut salah satu 'perjanjian bersama' antara pekerja dan Rayani Air dan keputusan Mahkamah Buruh, syarikat penerbangan itu perlu membuat bayaran kepada pekerja terbabit sebelum 30 Jun (Khamis).

Dalam pertemuan itu, sumber mendakwa, wakil Rayani Air telah memohon kepada JTK untuk penangguhan bayaran tunggakan gaji pekerja dan tempoh diberikan adalah sehingga 14 Julai.

"Ini bermakna Rayani Air perlu menyelesaikan tunggakan gaji sebelum 15 Julai. Rayani Air mungkin akan dapat bayar gaji pekerja selepas Aidilfitri," dakwanya kepada mStar Online pada Isnin.

Sumber mendakwa, pada masa ini Rayani Air mengutamakan penyelesaian bayaran balik tambang penumpang ekoran penggantungan dan kemudiannya pemberhentian operasi syarikat penerbangan itu.

Ia dibuktikan dengan pengumuman mengenai bayaran balik tambang, dimuat naik di akaun rasmi Facebook Rayani Air pada Isnin.

"Pada masa ini, syarikat mahu menyelesaikan bayaran balik tambang penumpang terlebih dahulu, dan kemudian barulah menyelesaikan masalah tunggakan gaji," dakwanya.

Sementara itu, pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran menafikan dakwaan mengenai gaji pekerja yang tertunggak hanya dapat diatasi selepas Aidilfitri.

Beliau bagaimanapun mengesahkan pertemuan antara wakil syarikatnya bersama pihak JTK Selangor pada Isnin berhubung isu gaji pekerja.

"Saya tak pasti apa yang dibincangkan kerana saya belum masuk pejabat (bertemu dengan wakil syarikat)," katanya.

Menurut Ravi, beliau sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pekerjanya, seperti yang dijanjikan sebelum Aidilfitri.

"Apa cara sekalipun, saya yakin dapat menyelesaikannya sebelum hari raya. Saya pun kasihankan mereka (pekerja), saya akan usahakan," tegas Ravi.

Mengenai bayaran balik tambang penumpang, Ravi berkata, ia bukan dilaksanakan pada Isnin, tetapi sejak Rayani Air digantung operasi sementara oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April lalu.

Dalam pada itu, Pengarah JTK Selangor, Mohd Asri Abd Wahab memberitahu mStar Online bahawa pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh kepada Rayani Air untuk melunaskan tunggakan gaji pekerjanya.

"Tetapi tempoh penyelesaian itu bergantung kepada keputusan Mahkamah Buruh, susulan aduan yang dibuat oleh pekerja kepada JTK.

"Jika Rayani Air gagal memenuhi tempoh yang diberikan berdasarkan keputusan Mahkamah Buruh, kita akan bawa kes berkenaan ke mahkamah luar (sivil)," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya adakah wakil Rayani Air telah memohon kepada JTK untuk penangguhan bayaran tunggakan gaji semasa dalam pertemuan itu.

Pada 25 Mei lalu, Rayani Air memberi jaminan bahawa pembayaran balik tambang penumpang dan tunggakan gaji pekerja akan diselesaikan sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun, pembatalan lesen perkhidmatan udara (ASL) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) ke atas Rayani Air baru-baru ini sekali gus tidak membenarkan syarikat penerbangan itu beroperasi kembali.

Tanpa 'lampu hijau', ia sukar bagi Rayani Air untuk mendapatkan pelabur baharu untuk suntikan modal termasuk melunaskan tunggakan gaji berikutan pelabur yang 'hampir dimuktamadkan' itu dipercayai telah menarik diri susulan pembatalan ASL.
 
Sumber: mStar Online | 28 Jun 2016

Bomba Kelantan beri tumpuan tujuh laluan bahaya sempena Ops Raya

PASIR PUTEH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti tujuh laluan berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini untuk diberi tumpuan dalam 'Ops Raya' bermula Rabu ini.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata jalan berkenaan ialah Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Jeli-Grik, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, Jalan Pasir Puteh-Jerteh, Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas dan Jalan Gua Musang-Merapuh.

"Laluan tersebut paling tinggi berlaku kemalangan sama ada mangsanya cedera atau maut, sepanjang sambutan Aidilfitri setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh di sini, malam Ahad.

Azmi berkata arahan sudah dikeluarkan agar pasukan bomba di kawasan terbabit lebih kerap membuat rondaan sepanjang kempen sehingga seminggu selepas Aidilfitri.

Katanya selain itu, sembilan ambulans bomba dan enam anggota bomba bermotosikal kuasa tinggi akan membuat rondaan secara berkala ke laluan terbabit. "Sebuah kereta bomba ditempatkan 24 jam berhampiran Masjid Muhammadi, Kota Baharu, bagi laluan Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan yang dijangka berlaku kesesakan teruk di bandar Kota Baharu," katanya.

Azmi berkata 20 peratus daripada 500 anggota JBPM Kelantan akan dibekukan cuti mereka bagi menjayakan 'Ops Raya' berkenaan.

"Ini tidak termasuk hampir 100 anggota bomba bantuan yang akan digerakkan pada bila-bila masa, jika keadaan memerlukan," katanya.

Beliau berkata kesemua laluan utama itu akan menjadi sesak menjelang Aidilfiri apabila ramai rakyat Kelantan yang bekerja di luar negeri ini, pulang untuk menyambut perayaan itu di kampung.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2016

Aidilfitri 1437H: Lebih 3 juta kenderaan banjiri Kelantan


Mahasan Mustapa berbual mesra dengan anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan di JPJ Panji, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Dianggarkan lebih tiga juta kenderaan akan memasuki negeri ini menje­lang Aidilfitri tidak lama lagi terutamanya melalui dua pintu masuk iaitu Gua Musang dan Jeli.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mahasan Mustapa berkata, kenderaan dijangka membanjiri Kelantan bermula Jumaat ini.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya akan meningkatkan kawalan di beberapa lokasi strategik bagi memastikan perjalanan dan trafik lancar terutama di jalan-jalan utama.

“Sempena Aidilfitri kali ini JPJ melancarkan Ops Hari Raya Aidilfitri 2016 yang bermula dari 29 Jun hingga 13 Julai ini.

“Sebanyak 264 anggota akan terlibat dalam operasi kali ini dan mereka akan bertugas 24 jam sehari kecuali pada hari pertama dan kedua bagi memastikan kelancaran trafik di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di Ibu Pejabat JPJ Kelantan di Panji, di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, seramai 20 orang anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan menerima sumbangan wang tunai dan makanan daripada jabatan tersebut.

Mahasan berkata, operasi kali ini merangkumi tujuh strategi, antaranya adalah pemeriksaan di depot, pemeriksaan bas ekspres dan pemandu di terminal bas serta penyamaran bergambar.

“Selain itu, kita juga akan me­ngadakan pemeriksaan ke atas motosikal selain melakukan rondaan di jalan-jalan utama di negeri ini.

“Ops Hari Raya Aidilfitri akan turut melibatkan kerjasama Jaba­tan Keselamatan Jalan raya (JKJR), polis serta anggota Rela,” katanya.

Tambah beliau, JPJ juga telah memaklukan kepada pengusaha-pengusaha bas mengenai operasi tersebut dan berharap mereka dapat memberi kerjasama yang baik.

“Saya berharap pengguna jalan raya mengikut segala peraturan dan memandu dengan berhemah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 28 Jun 2016 | Terbitan 29 Jun 2016

Ahad, 26 Jun 2016

Bom kereta meletup di Pekan Sungai Golok, dua cedera

NARATHIWAT: Sebuah bom kereta meletup di Pekan Sungai Golok di sini pagi Ahad mencederakan dua orang awam berada berhampiran lokasi kejadian, menurut polis.

Ketua Polis Sungai Golok Kol Korn-art Suwannakam berkata, dianggarkan 50kg bahan letupan diletakkan dalam kereta itu yang meletup kira-kira 6.10 pagi (waktu tempatan) berhampiran markas polis dan pasar serta rumah di pekan itu.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga buah motosikal mengambil penumpang kereta itu sebaik sahaja ia diletakkan di lokasi kejadian sebelum ia meletup tiga minit kemudian," katanya di sini, Ahad.

Polis, katanya sedang meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti identiti lelaki yang menaiki tiga motosikal itu serta penumpang kereta terbabit untuk membantu siasatan.

Kedua-dua mangsa yang cedera dalam letupan bom kereta itu, seorang lelaki 40 tahun dan remaja perempuan 19 tahun sedang menerima rawatan di Hospital Ratchanakarin di sini, katanya

Sumber: mStar Online | 26 Jun 2016

Jabatan Kesihatan Kelantan tingkat kempen imunisasi pelalian

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan akan meningkatkan kempen berhubung suntikan vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib bagi menghindari difteria, pertusis, tetanus, polio dan haemophilus influenzae jenis B di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata kesedaran masyarakat khususnya luar bandar terhadap kepentingan imunisasi pelalian masih kurang dan keadaan itu agak membimbangkan.

"Walaupun sejak lima tahun lepas, kami tidak menerima laporan berlakunya kes difteria, namun kesedaran masyarakat terhadap kepentingan imunisasi untuk anak mereka masih berada di tahap kurang memuaskan.

"Kami akan melakukan tindakan susulan bagi kes-kes keciciran pelalian dalam kalangan kanak-kanak khasnya penduduk di luar bandar terhadap kepentingan imunisasi serta sedang mengenal pasti kumpulan sasar yang menolak program suntikan vaksin tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Vaksin lima serangkai perlu diberikan kepada kanak-kanak berumur dua, tiga dan lima bulan sebagai dos utama dan 18 bulan sebagai dos tambahan.

Beliau berkata antara punca tidak mendapatkan imunisasi yang dikenal pasti ialah anak tidak sihat ketika perlu dibawa ke klinik pada tarikh ditetapkan serta tinggal di kawasan pedalaman.

Ahmad Razin berkata kempen terhadap imunisasi pelalian itu akan dipergiat kerana program vaksin berkenaan adalah percuma dan disediakan di semua hospital dan klinik kerajaan.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan taklimat terkini kepada semua pengamal perubatan di pelbagai peringkat agar mereka dapat memberi penerangan kepada golongan antivaksin.

Sumber: Bernama | 26 Jun 2016

AIM rai 100 penarik beca dan pemandu kereta sewa Pasir Mas

PASIR MAS: Seratus penarik beca dan pemandu kereta sewa di bandar Pasir Mas diraikan dalam Program Imarah Ramadan anjuran Islamic Aid Malaysia (AIM) malam tadi.

Presiden AIM Zawahir Abdullah berkata majlis itu diadakan bagi membantu meringankan beban golongan itu yang telah banyak membantu masyarakat dalam menyediakan perkhidmatan awam darat sejak sekian lama.

"Mereka menyara keluarga dengan mengambil upah menyediakan perkhidmatan kenderaan kepada orang awam, namun kini golongan tersebut semakin sukar mendapat pendapatan harian disebabkan berlaku persaingan.

"Ada daripada mereka terpaksa mengikat perut demi keluarga kerana hanya menerima RM20 dan RM30 sehari, malah kadang-kadang langsung tiada pendapatan," katanya kepada pemberita selepas Program Imarah Ramadan di Stesen Persatuan Pemandu Kereta Sewa Pasir Mas di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, AIM turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada penarik beca dan pemandu kereta sewa di bandar berkenaan.

Mengulas lanjut Zawahir berkata nasib penarik beca dan pemandu kereta sewa sering dipinggirkan daripada mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta mahupun kerajaan.

"Kebanyakan daripada masyarakat kita, apabila tiba bulan Ramadan, mereka sering beri bantuan kepada pondok, sekolah tahfiz, madrasah dan anak yatim.

"Jadi kepada golongan penarik beca dan pemandu kereta sewa tidak ramai yang berminat sedangkan realitinya mereka ini hidup dalam kesusahan terutama golongan warga emas yang masih melakukan kerja itu demi sesuap nasi," katanya.

Seorang penarik beca Muhamad Daud, 80, berkata mereka kini berdepan kesukaran mendapatkan pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka pada masa kini.

"Masyarakat zaman sekarang mempunyai kenderaan sendiri untuk ke pekan berbanding dahulu, perkhidmatan kami amat diperlukan.

"Kadangkala pendapatan harian kami hanya memperoleh RM15 hingga RM20 pada ketika ini, berbanding RM50 pada zaman dahulu," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Jun 2016

Pekerja Rayani Air terus desak pemilik lunas tunggakan gaji sebelum Aidilfitri

PETALING JAYA: Pengumuman pembatalan lesen perkhidmatan udara (ASL) Rayani Air baru-baru ini seolah-olah menggelapkan masa depan kira-kira 400 pekerja syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu.

Dengan Aidilfitri yang menjelang berbaki kurang dua minggu lagi, nasib kakitangan yang sebahagiannya beragama Islam hanya tinggal harapan buat mereka yang mahu meraikan perayaan itu bersama keluarga dalam suasana gembira.

Dugaan itu sekali gus mengingatkan para pekerja kepada ‘janji’ pihak pengurusan Rayani Air yang akan menyelesaikan tunggakan gaji sebelum 1 Syawal.

Wakil pekerja Rayani Air, Zulkalnain Azdan berkata, tuntutan tunggakan gaji daripada pemilik syarikat penerbangan itu masih diteruskan berikutan keadaan mereka yang semakin parah sejak tiga bulan lalu tanpa sumber pendapatan tetap, sejurus penggantungan operasi.

Zulkalnain yang juga Pengurus Stesen Rayani Air di Terminal KLIA 2 menegaskan bahawa pembatalan lesen itu bukan alasan untuk pemiliknya, Ravi Alagendrran dan Datuk Karthiyani Govindan bersikap lepas tangan

“Ravi dan Datuk Karthiyani perlu bertanggungjawab sebagai pemilik Rayani Air. Mereka perlu tahu gaji pekerja selama tiga bulan masih tertunggak sehingga kini.

“Mereka sebelum ini memberi jaminan untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum Aidilftri. Kita berharap mereka mengotakan janji itu,” katanya kepada mStar Online.

Menurut Zulkanain, kebanyakan pekerja Rayani Air kini susah, dengan kehidupan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan ada yang terpaksa berhutang.

Tambahnya, terdapat pekerja berdepan dengan masalah tidak dapat membayar pinjaman sehingga kereta mereka ditarik, rumah hampir disita dan terpaksa menumpang rumah keluarga dan rakan-rakan. 

“Dengan hari raya yang semakin hampir, kami tak ada wang untuk berbelanja untuk meraikannya, walaupun sekurang-kurangnya untuk anak-anak kami.

“Kami berharap Ravi dan Karthiyani mempunyai perasaan dan mendalami nasib kami, setidak-tidaknya fikirkan nasib keluarga dan anak-anak kami,” ujarnya dengan nada sebak.

Zulkalnain berkata, beliau bersama rakan-rakan pekerja lain akan menunggu sehingga Aidilfitri bagi pemilik Rayani Air melunaskan tunggakan gaji selama tiga bulan berjumlah kira-kira RM4.5 juta.

“Gaji kami tertunggak selama tiga bulan, bukannya sebulan. Kerana selama tiga bulan, kami masih sebagai pekerja Rayani Air tanpa dibatalkan perkhidmatan.

“Kami akan tunggu sehingga Aidilfitri seperti yang dijanjikan. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik Rayani Air gagal membayar tunggakan gaji kepada kami,” tegasnya.

Pada 25 Mei lalu, menerusi kenyataan bersama Ravi dan Karthiyani, pemilik syarikat penerbangan itu memberi jaminan pembayaran balik tambang penumpang dan tunggakan gaji pekerja akan diselesaikan sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, MAVCOM mengumumkan lessen perkhidmatan udara (ASL) Rayani Air dibatalkan berkuat kuasa serta-merta, kerana melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Mavcom membuat penilaian terhadap Rayani Air susulan penggantungan sementara Sijil Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan itu selama tiga bulan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April lalu.

Sumber: mStar Online | 26 Jun 2016

Sabtu, 25 Jun 2016

Pelajar tingkatan lima hampir putus jari mercun meletup

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, Tanah Merah, hampir putus tiga jari kanannya dan cedera ringan di muka selepas mercun bola meletup di tangannya, semalam.

Ibu mangsa, Engku Aznah Engku Ismail, 45, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika anaknya, Nik Rashidi Azman, 17, sedang bermain mercun di rumah rakannya.

"Pada mulanya saya tak percaya apabila anak keempat, Nik Riduan, 15, cakap abangnya terkena mercun dan cedera di tangan serta muka, namun saya reda selepas dihubungi Hospital Tanah Merah berhubung kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

Engku Aznah berkata Nik Rashidi tidak memberitahunya mengenai kemalangan itu dan remaja itu dihantar rakan-rakannya ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata anak ketiganya itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pada kira-kira 8 malam tadi.

"Buat masa sekarang doktor hanya benarkan jarinya yang cedera itu dicuci sahaja. Doktor belum buat keputusan sama ada akan potong atau biarkan ia sembuh," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Jun 2016

Wang zakat diagihkan kepada lebih 2,000 penduduk miskin di Machang

MACHANG: Lebih 2,000 penduduk miskin di kawasan Parlimen Machang telah dan akan menerima wang zakat berjumlah lebih RM200,000 sumbangan agensi kerajaan, swasta dan individu bagi menyambut Aidilfitri.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata zakat itu akan diagih secara berperingkat sehingga 4 Julai kepada penerima merangkumi pekebun kecil getah, petani dan buruh kasar.

"Masing-masing menerima RM100 bagi menyambut Aidilfitri," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan wang zakat RM50,000 daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) kepada 500 peserta di kediamannya di Bukit Tiu di sini.

Ahmad Jazlan berkata selain bantuan wang, pihaknya turut mengagihkan bantuan kain 1Malaysia kepada penerima untuk membuat baju Melayu dan baju Kurung untuk menyambut hari raya puasa.

Sumber: Bernama | 25 Jun 2016

Lebih 2 juta sertai program "Klik Dengan Bijak" anjuran SKMM

KOTA BHARU: Lebih 2 juta orang telah menyertai program 'Klik Dengan Bijak' (KDB) dalam penggunaan Internet anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak, ia dilancarkan pada 2012.

Ketua Jabatan Pelaksanaan Jangkauan SKMM, K.Juslly Elis berkata dalam tempoh itu, lebih 24,000 aktiviti KDB dianjurkan di seluruh negara dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keselamatan serta penggunaan internet yang positif selain berwaspada dengan jenayah siber.

"KDB memberi fokus kepada golongan sasaran iaitu kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan penjaga terhadap langkah utama yang perlu diperhati dan diamalkan semasa melayari Internet," katanya kepada pemberita selepas Aktiviti Advokasi SKMM Bersama Komuniti - KDB@Ramadan bersama anak-anak yatim dari Yayasan Anak-Anak Yatim Kelantan di sini malam tadi.

K.Juslly berkata pihaknya mahu masyarakat terutama golongan remaja dan belia bawah 30 tahun yang merupakan 60 peratus pengguna Internet di negara ini, bijak menggunakan teknologi tersebut iaitu berhati-hati dan berfikir sebelum mengakses Internet.

"KDB menyasarkan mereka ini yang lebih terdedah kepada jenayah siber dan penyalahgunaan dalam talian. Kita mahu mereka ini kekal selamat dan terjamin semasa melayari Internet apabila berkongsi maklumat peribadi khususnya di laman web yang mencurigakan, untuk menjaga etika bahasa dan cara yang betul dalam perbualan dan ketika menulis," katanya.

Beliau berkata KDB juga dilengkapi dengan kandungan berilmiah untuk membantu mengurangkan bilangan orang yang menjadi mangsa jenayah siber.

SKMM bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan sebagai rakan kongsi strategik dalam melaksanakan program KDB tersebut, katanya.

Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam KDB itu ialah taklimat dan seminar, pameran, aktiviti interaktif seperti cabaran KDB, carian perkataan keselamatan Internet dan aplikasi permainan mudah alih klik hunter.

Mengenai aktiviti advokasi SKMM bersama komuniti itu yang diadakan di seluruh negara, K. Juslly berkata lebih 1,000 orang termasuk anak yatim, Orang Kelainan Upaya dan golongan miskin di seluruh negara terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Beliau berkata selain majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan, pihaknya turut memberi taklimat mengenai tip penggunaan Internet secara positif.

Penganjuran aktiviti itu dilakukan oleh pejabat wilayah SKMM, pejabat negeri SKMM dan pejabat cawangan SKMM di seluruh negara.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pejabat SKMM Kelantan Mohd Padhli Yusoff.

Sumber: Bernama | 25 Jun 2016

Aidilfitri: Tiada penambahan anggota di sempadan negara - Panglima ATM

KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menambah anggotanya bertugas di sempadan negara semasa perayaan Aidilfitri bulan depan.

Bagaimanapun, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata anggota sedia ada yang bertugas di sempadan diarah meningkatkan kesiapsiagaan dan kewaspadaan bagi memastikan musuh tidak mengambil kesempatan menyeludup masuk ke negara ini.

"Kami akan melipatgandakan kawalan dan rondaan di sempadan supaya tidak ada yang cuba melakukan angkara pada hari lebaran.

"Ini juga bagi mengelak mereka menganggap kewaspadaan kita berada di tahap rendah semasa Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini, semalam.

Turut hadir Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid.

Zulkifeli juga menunaikan solat Isyak dan solat sunat Terawih bersama-sama warga TLDM.

Dalam pada itu, Zulkifeli mengingatkan semua anggota ATM supaya tidak terpengaruh dengan dakyah Daesh yang sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata ATM telah mengeluarkan arahan kepada semua warganya supaya menghindari sebarang laman web berkaitan Daesh dalam usaha menjaga imej baik pasukan keselamatan negara.

"ATM juga menubuhkan pasukan khas bagi memaklumkan mengenai bahayanya ancaman Daesh termasuk melakukan pemantauan bagi mengelak warganya daripada terjebak.

"Saya meminta Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara memantau setiap pasukan dan anggota mereka supaya tidak terjebak dengan Daesh," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Jun 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Terminal KLIA2 tiada perubahan nama - Tiong Lai

Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor. 
PUTRAJAYA: Nama KLIA2 telah ditetapkan dan tidak sepatutnya menjadi isu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Ia bukan satu isu. Saya harap AirAsia boleh menerima keputusan kerajaan," kata Tiong Lai ketika ditanya mengenai permintaan syarikat penerbangan itu untuk menamakan semula lapangan terbang itu dengan nama LCCT2.

Kumpulan AirAsia telah berhujah bahawa lapangan terbang itu perlu dinamakan semula untuk mencerminkan statusnya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah, yang mereka dakwa enggan diakui MAHB.

Pada Khamis, dilaporkan bahawa syarikat penerbangan itu telah menulis kepada Tiong Lai dan kementeriannya untuk memohon pertimbangan terhadap permintaan perubahan nama.

Tiong Lai menambah bahawa beliau tidak akan mengadakan perbincangan dengan AirAsia atas permintaan untuk pertukaran nama KLIA2.

"Tetapi jika mereka mahu berbincang mengenai cara untuk terus mempromosikan jenama syarikat penerbangan tambang rendah, kerajaan bersedia untuk membantu," katanya.

Sumber: mStar Online | 24 Jun 2016

Mahkamah Tinggi tolak permohonan SIS cabar fatwa isytiharnya sebagai sesat dan menyeleweng

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat menolak permohonan semakan kehakiman Sisters In Islam (SIS) untuk mencabar fatwa Selangor yang melabelkan pertubuhan itu sebagai "sesat dan menyeleweng" kerana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung isu fatwa.

Hakim, Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan bahawa fatwa ialah perkara yang diputuskan di bawah Undang-undang Islam dan tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berhubung apa-apa perkara yang tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

"Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa tidak memberikan relif oleh pemohon, saya tidak menyentuh mengenai merit," kata beliau ketika menolak permohonan semakan kehakiman.

Beliau juga berkata walaupun jika SIS tidak mempunyai remedi di Mahkamah Syariah, ia tidak memperuntukkan Mahkamah Sivil bidang kuasa untuk mendengar perkara itu. 

"Ia adalah bagi penggubal undang-undang untuk memperuntukkan remedi," kata beliau sambil menambah bahawa mahkamah perlu mengikut undang-undang yang diluluskan oleh penggubal undang-undang.

Pada 10 Disember 2014, SIS, pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mendapat kebenaran daripada hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad untuk memulakan semakan kehakiman.

Mahkamah pada Jumaat mendengar merit bagi permohonan semakan kehakiman. 

Forum SIS (Malaysia) memfailkan permohanan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengisytiharan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada agama Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mais dan kerajaan Selangor sebagai responden. 

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais yang menyatakan mana-mana pertubuhan, individu serta kumpulan yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" adalah menyeleweng dari ajaran Islam. 

Pemohon juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais mengarahkan, melalui fatwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat laman web sosial yang bertentangan dengan ajaran islam adalah bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais adalah bercanggah dengan Perkara 10, 11, 74 dan Senarai I dan II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. 

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa SIS, yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai sebuah syarikat berhad secara jaminan, tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais.

Di luar mahkamah, peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili pemohon memberitahu pemberita bahawa anak-anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan kerana isu fatwa buat pertama kali dicabar melalui semakan kehakiman.

Sumber: Bernama | 24 Jun 2016

Kerajaan Persekutuan sayangkan Kelantan

Mustapa beramah mesra dengan pengamal media pada majlis Makan Colek Bersama Datuk Pa di Sutera Inn semalam.
KOTA BHARU: Isu lapuk yang sering dijadikan modal dengan melabelkan kerajaan pusat menganaktirikan Kelantan tidak boleh lagi didendangkan oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun Kelantan ditadbir oleh Pas, namun kerajaan pusat tidak pernah mengabaikan pembangunan di Kelantan dan sentiasa membantu negeri ini.

Menurutnya, secara jelasnya dapat dilihat dalam RMK-11 yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Kelantan mendapat peruntukan paling tinggi berbanding negeri lain.

“Di Kelantan kita masih lagi dibebani dengan isu-isu yang mengatakan kerajaan pusat mendera dan menganaktirikan negeri Kelantan walaupun pelbagai usaha dilakukan.

“Terkini adalah pembinaan Hospital Kuala Krai yang merupakan salah sebuah hospital tercanggih di negara kita dengan kos RM300 juta, yang dilawati perdana menteri Ahad lalu,” katanya sempena majlis Makan Colek Bersama Media di sini.

Menurutnya, hospital itu akan menjadi pemangkin kepada kemajuan Kuala Krai dan akan menjadi sebuah hospital pakar khusus bagi Kelantan Selatan.

“Ini menunjukkan Kelantan terus dibela dan kita mahu rakyat Kelantan mengetahui perkara ini. Sudah pasti kita perlukan sokongan media untuk difahami rakyat,” katanya.

Selain itu, katanya, rakyat juga perlu sedar bahawa kerajaan pusat di bawah kepimpinan perdana menteri telah melakukan yang terbaik untuk membela nasib rakyat Kelantan.

Tegasnya, tidak pernah lagi dalam sejarah negara, kerajaan pusat memberikan rumah kepada mangsa banjir dengan harga kira-kira RM200,000 dan ia adalah satu nilai tersangat tinggi.

Bagaimanapun, Mustapha berkata, itu yang dilakukan perdana menteri Ahad lalu dengan mengorbankan dasar kerajaan persekutuan demi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Pada masa sama, beliau berkata, walaupun BN tidak berkuasa di Kelantan, namun kerajaan pusat tetap membawa perubahan dan membantu menjana ekonomi negeri ini.

Katanya, Pusat Transformasi Bandar juga wujud di Kelantan dan selain itu, kerajaan turut berusaha melakukan pembangunan di sekitar Bandar Baharu Tunjong dengan mewujudkan kompleks mahkamah, Jabatan Pembangunan Persekutuan, termasuk cadangan pembinaan bangunan guna sama persekutuan.

Bahkan katanya, ekonomi Kelantan secara tidak langsung juga dijana menerusi pembinaan Universiti Malaysia Kelantan dengan perbelanjaan kira-kira RM200 juta setahun.

“Banyak sekali dilakukan kerajaan pusat, malangnya masih ada lagi sebahagian rakyat Kelantan yang menafikan jasa kerajaan pusat di negeri ini, walhal banyak dijanakan oleh kerajaan pusat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 Jun 2016

Murid melecur disambar api di stesen minyak angkara pemetik api

KOTA BHARU: Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pas, Kuala Krai melecur 20 peratus di bahagian muka, badan dan kaki selepas disambar api ketika menemani ibunya mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Guchil, Kuala Krai, semalam.

Saifuddin Ismail Din, 7, dikatakan bermain pemetik api di dalam kereta Proton Wira ketika ibunya, Zakiah Mohd Det, 31, sedang mengisi petrol pada pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, selepas hampir dua minit, tiba-tiba menyambar kereta berkenaan dengan mangsa berada di dalamnya.

Saifuddin yang menjerit kesakitan bagaimanapun berjaya dibawa keluar daripada dalam kereta oleh ibunya dan api berjaya dipadamkan oleh pekerja stesen minyak berkenaan.

Bapa murid berkenaan, Ismail Din Awang Nor, 36, ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, berkata beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi isterinya.

Ismail Din berkata anaknya itu pada awalnya dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke HRPZII untuk rawatan lanjut.

Ismail Din berkata dia tidak mengetahui dari mana anaknya memperoleh pemetik api kerana beliau bukan seorang perokok.

"Menurut isteri, dia ada menemui pemetik api di dalam kereta tetapi sudah menyimpannya di tempat selamat.

"Saya bersyukur semuanya selamat walaupun anak saya mengalami kecederaan akibat melecur di beberapa bahagian badan termasuk di muka," katanya.

Katanya, Saifuddin kini dirawat di Unit Kelecuran HRPZII dan tidak dapat bercakap banyak kerana masih trauma dengan kejadian itu.

Sumber: Bernama | 24 Jun 2016

Berniaga percuma di Pasar Ramadan Sungai Golok

NARATHIWAT: Ruang lapang berhampiran Hotel Geting yang terkenal di pusat bandar Sungai Golok dipenuhi peniaga-peniaga Muslim.

Kelihatan juga ramai pelancong termasuk dari Malaysia bertandang ke Pasar Ramadan tersebut.

Namun apa yang menarik Majlis Perbandaran Sungai Golok tidak mengenakan sebarang bayaran kepada peniaga Muslim berniaga sempena Ramadan sekarang.

“Alhamdulillah keadaan di sini agak tenteram sekarang. Kami boleh menjalankan peniagaan tanpa perasaan takut.

“Datuk Bandar Sungai Golok memberi kebenaran untuk peniaga dengan percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran di sini,” kata seorang peniaga ketika ditemui semalam.

Suasana Pasar Ramadan itu tidak jauh berbeza dengan Malaysia. Penduduk tempatan mengambil kesempatan membeli pelbagai juadah yang dijual.

Bagaimanapun di sekitar kawasan itu kelihatan ramai anggota pasukan keselamatan berpakaian polis dan tentera.

Sumber: Harakah Daily | 23 Jun 2016

Polis Kelantan tubuh pasukan khas pantau aktiviti bermain mercun

KOTA BHARU: Polis Kelantan menubuhkan pasukan khas bagi memantau kanak-kanak dan orang dewasa yang bermain mercun di taman perumahan serta kawasan sekitar menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Pasukan khas berkenaan ditubuhkan di setiap daerah bertujuan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelak kes kecederaan, kemalangan atau kematian akibat penggunaan bahan terlarang itu.

Ketua Polis Kelatan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasukan tersebut akan bergerak secara intipan ke taman-taman perumahan dan kawasan sekitar pada waktu-waktu kemuncak bermain mercun, selepas berbuka puasa hingga ke larut malam.

Katanya, mereka yang dilihat atau terserempak dengan pasukan itu ketika bermain mercun akan diambil tindakan oleh pihak berkenaan.

"Hanya bunga api dan mercun pop (bawang) sahaja yang dibenarkan serta dikeluarkan lesen untuk dibolehkan dijual atau bermain, selain daripada itu, semuanya ada bahan letupan terlarang.

"Anggota pasukan ini mempunyai kuasa untuk menahan mereka yang melakukan kesalahan mengikut Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan juga diperketatkan di daerah-daerah bersempadan dengan negara jiran iaitu Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan Jeli.

"Bagi kawasan daerah bersempadan ini, penguatkuasaan dipertingkatkan dengan menggandakan jumlah anggota pasukan khas pemantau.

"Mereka bertugas memantau penyeludupan masuk mercun dari negara jiran. Para peniaga juga diberi amarah keras agar tidak menjual mercun," katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Jun 2016

Jabatan Perhutanan Kelantan diminta benarkan kerja baik pulih sumber air dari Bukit Sukor

TANAH MERAH: Penduduk Kampung Sokor di sini, meminta Jabatan Perhutanan Kelantan membenarkan kerja membaik pulih sistem air tandak atau sumber air dari Bukit Sokor, supaya dapat menakung air yang mencukupi untuk kegunaan mereka.

Penghulu Kampung Sokor Muhamad Deris, 50, berkata kawasan takungan air di bukit berkenaan, dipercayai kawasan hutan simpan, semakin cetek akibat aktiviti pembalakan di kawasan berdekatan.

Bekalan air bukit itu bukan sahaja untuk kegunaan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Sokor malah ia juga membabitkan penduduk dari beberapa buah kampung lain, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhamad berkata penduduk kampung hanya mengharapkan bekalan air dari bukit berkenaan kerana tidak mendapat bekalan air dari sumber lain termasuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Bagaimanapun, beliau berkata kontraktor tidak dibenarkan untuk melakukan kerja membaik pulih kawasan tandak berkenaan dengan alasan tidak mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan untuk memasuki kawasan hutan simpan itu.

Seorang penduduk, Abdul Kadir Yaacob, 65, berharap kerja membaik pulih tandak berkenaan dapat dilakukan segera kerana ia adalah sumber utama air penduduk.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada tandak berkenaan, jika ia tidak diperbaiki ia akan menjadi kering dan kami hilang punca air utama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada penduduk berhubung perkara tersebut.

"Kita akan berbincang dengan penduduk terbabit supaya isu yang berbangkit dapat diselesaikan," katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber: Bernama | 23 Jun 2016

Khamis, 23 Jun 2016

Kerja tiga syif bersih bandar raya Kota Bharu

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) terpaksa bekerja tiga syif bagi memastikan kebersihan kawasan bandar dapat dipertingkatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ada kakitangan bahagian kebersihan MPKB-BRI terpaksa bekerja sehingga jam 3 dan 5 pagi.

Katanya pada musim cuti persekolahan baru-baru ini jumlah sampah dibuang orang ramai meningkat memandangkan ada antara mereka melakukan pembersihan rumah.

“Sehari dua ini tidak ada kedengaran ada longgokan sampah. Kita lakukan yang terbaik lebih-lebih lagi Tahun Melawat Kelantan tahun ini.

Mulai minggu ini juga sampah dihantar di stesen sementara di Panji sebelum diangkut kontraktor dilantik ke pusat pelupusan di Beris Lalang, Bachok,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya juga sasaran untuk mencapai matlamat Kelantan bersih 2016 tergendala disebabkan banjir besar yang melanda pada akhir 2014.

Kata beliau banyak peruntukan digunakan bagi membersihkan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada kesan-kesan banjir. Oleh itu katanya sasaran itu diperlewatkan kepada 2017.

Ditanya penyeragaman perkhidmatan pengurusan sisa pepejal kepada Alam Flora di MPKB-BRI katanya, kerajaan negeri masih menunggu surat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Katanya bagi fasa pertama hanya MPKB-BRI dipersetujui untuk menggunakan perkhidmatan Alam Flora bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Sepatutnya perkhidmatan tersebut sudah dapat dilaksanakan sejak November 2015, namun kita masih lagi menunggu surat kelulusan daripada kementerian.

“Pinjaman bagi membeli lori-lori sampah baharu tidak lagi diberi kepada PBT memandangkan penyeragaman pengurusan sisa pepejal diurus Alam Flora,” katanya.

Beliau berkata Kelantan turut menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) dan dilaksana secara berperingkat di negeri tersebut. 

Sumber: Harakah Daily | 23 Jun 2016

Ibu bapa antivaksin berdosa, biarkan anak dalam bahaya - Mufti Perlis

KANGAR: Individu yang menolak penggunaan vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa adalah berdosa, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar).

Beliau berkata ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka divaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.

Katanya syariat Islam antaranya menuntut pemeliharaan kesihatan dan nyawa dan dalam konteks berkaitan penggunaan vaksin perlulah berpegang kepada konsep Islam.

"Islam melarang manusia memusnahkan diri secara sia-sia seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud 'jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan'.

"Ayat ini jelas menyuruh kita melindungi diri dari sebarang bahaya. Tindakan yang mengakibatkan kemudaratan tidak wajar dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas program Menghayati Ramadan di sini hari ini.

Mengulas mengenai wabak difteria, Mohd Asri menasihatkan golongan yang antivaksin supaya bercakap berdasarkan fakta dan ilmu bukan sekadar membuat andaian sendiri bahawa penggunaan vaksin memberi kesan sampingan.

"Jika mereka (antivaksin) ada alternatif lebih baik untuk mengatasi sesuatu penyakit tidak mengapa tetapi yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Tanpa vaksin lebih memudaratkan kecuali mereka boleh membuktikannya," tambahnya.

Menurutnya hukum penggunaan vaksin yang mengandungi bahan tidak bersih atau dari sumber bersifat najis adalah diharuskan dan dibenarkan dalam Islam sekiranya tiada kaedah lain.

Sumber: Bernama | 23 Jun 2016