Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 17 Oktober 2017

Penyalahgunaan dadah di Kelantan meningkat - AADK

PASIR PUTEH: Aktiviti penyalahgunaan dadah di Kelantan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 6,653 Orang Kena Pengawasan (OKP) direkodkan berbanding 4,410 OKP tahun lepas.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Rohayu Ahmad berkata jajahan Kota Bharu merekodkan jumlah OKP paling tinggi iaitu 1,476 orang diikuti Bachok (977 OKP) manakala golongan belia berusia 20 hingga 39 tahun merupakan pengguna dadah teramai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Perangi Dadah Habis-habisan 2.0 bersama pemimpin masyarakat yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Semerak Datuk Zawawi Othman.

Rohayu berkata pil kuda merupakan dadah paling popular dalam kalangan penagih di negeri ini pada 84 peratus berbanding bahan terlarang yang lain.

Sementara itu, Zawawi yang juga Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh dalam ucapannya berkata beliau akan menubuhkan skuad antidadah di setiap mukim terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri Semerak bagi membantu AADK membendung kegiatan yang kini menular di setiap kampung.

Sumber: Bernama | 17 Oktober 2017

Kelantan FM anjur pertandingan lagu loghat Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan FM akan menganjurkan pertandingan Lagu Loghat Kelantan bermula November ini dalam usaha mengembalikan nostalgia dan mengangkat semula lagu tempatan.

Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan Noriani Mohd Idris berkata pertandingan tersebut akan diadakan dalam tiga saringan bermula Ahad ini (22 Oktober), manakala peringkat akhir pertandingan pada 5 Nov.

"Pertandingan seumpama itu akan memperkasakan RTM dalam pencarian bakat baharu yang mungkin menjadi pencetus kepada pertandingan lagu-lagu loghat dan rentak muzik asli di peringkat kebangsaan.

"Kelantanfm berharap ia akan menjadi sebagai satu manifestasi penghargaan kepada sektor yang terlibat dalam menjayakan budaya seni mencakupi aspek kesenian, kebudayaan dan kemasyarakatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noriani berkata penyertaan terbuka kepada Melayu dan bukan Melayu berusia 18 hingga 45 tahun yang bertujuan mencetuskan semangat jati diri masyarakat di negeri ini.

"Dengan adanya pertandingan ini juga, stesen radio RTM dapat mendekati pendengar muda serta dapat mendedahkan aspek Transformasi Kelantan FM untuk 2018 selain pemenang pertandingan akan dijadikan ikon dalam slot khas budaya dan warisan di stesen radio RTM Kelantan," katanya.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Che Syamimi Che Soh di chesyamimichesoh@gmail.com atau telefon 017-9143863.

Sumber: Bernama | 17 Oktober 2017

Ahad, 15 Oktober 2017

Penduduk di kawasan rendah diminta waspada ketika musim tengkujuh

GUA MUSANG: Penduduk di kawasan rendah di Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang bencana banjir terutama ketika menjelang musim tengkujuh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata mereka perlu mengambil iktibar terhadap kejadian banjir besar yang berlaku di negeri ini pada 2014.

"Penduduk perlu membuat persiapan awal iaitu dengan mengemas segala dokumen penting dan lain-lain keperluan termasuklah pek makanan ringkas sementara menunggu bekalan makanan tiba di pusat pemindahan banjir jika mereka dipindahkan kelak."

"Ini bagi memastikan mereka tidak cemas ketika berdepan dengan bencana itu," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Titian Murni anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Faudzi berkata sebanyak 50 rumah kekal baharu sedang dibina di Kampung Limau Kasturi dan dijangka akan disiapkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata kelewatan itu berpunca daripada proses pengambilan tanah yang mengambil masa agak lama berbanding pembinaan rumah kekal baharu yang lain.

Sumber: Bernama | 15 Oktober 2017

Sabtu, 14 Oktober 2017

Pesta Loy Krathong dan Songkran perlu diperkasakan

PASIR MAS: Pesta Loy Krathong dan Songkran yang disambut oleh masyarakat Siam perlu dipelihara dan diperkasakan bagi menambah kepelbagaian kesenian dan kebudayaan di negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kementeriannya menggalakkan pesta berkenaan sebagai acara tahunan bagi memastikan ia terus berkembang khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Masyarakat Siam di Malaysia ada kira-kira 60,000 orang dan mereka adalah bumiputera, saya selaku menteri yang menjaga kebudayaan merasakan amat perlu untuk kita memelihara budaya mereka ini kerana dibimbangi adat resam masyarakat kecil ini sekiranya tidak diberikan perlindungan satu hari ia akan hilang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Loy Krathong Peringkat Negeri Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek di sini, malam tadi.

Selain menonjolkan keunikan budaya masyarakat Siam, Mohamed Nazri berkata masyarakat majmuk negara ini perlu menghormati adat resam mana-mana kaum di negara ini kerana ia merupakan resipi perpaduan dan keharmonian negara ini.

Beliau berharap perayaan masyarakat Siam itu turut menyumbang kepada sasaran kedatangan pelancong seramai 31.8 juta orang ke negara ini dengan anggaran pendapatan RM118 bilion tahun ini.

Kemuncak sambutan pesta Loy Krathong itu ialah acara menghayutkan bunga krathong (bunga teratai) ke dalam sungai dengan diterangi cahaya lilin yang diletakkan bersama bunga berkenaan.

Acara lain yang memeriahkan pesta anjuran Persatuan Wanita Siam Negeri Kelantan ialah pertandingan gubahan bunga Loy Krathong, pertandingan ratu Loy Krathong, tomoi, gendang panjang, persembahan wayang kulit dan persembahan kebudayaan masyarakat itu.

Menurut pengerusi persatuan itu, KC Ngiam a/p Eh Kuan, pesta tersebut lazimnya disambut setahun sekali iaitu pada hari ke-15 bulan Disember mengikut kalendar lunar Siam kerana dikatakan berakhirnya musim hujan dan paras air yang masih tinggi.

"Pesta Loy Krathong membawa maksud yang tersendiri iaitu "Loy" dalam bahasa Siam bermaksud hanyut manakala krathong ialah menghayutkan bunga teratai," katanya.

Sumber: Bernama | 13 Oktober 2017

Jumaat, 13 Oktober 2017

Lebih 1,000 individu dikehendaki di Kelantan

Datuk Hasanuddin memotong pulut kuning sebagai gimik perasmian program tersebut.
GUA MUSANG: Polis Kelantan memburu lebih 1,000 orang yang dikehendaki (wanted person) yang sehingga kini masih bebas bagi menyelesaikan kes-kes jenayah dalam pelbagai jenis kesalahan.

Ketua Polis, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam jumlah itu, kes samun menjadi jenayah terbanyak di mana majoriti daripadanya adalah mereka yang dikehendaki.

"Kita sedang menjalankan operasi besar-besaran bagi memburu mereka yang dikenal pasti. Namun, bukan semuanya berada di Kelantan kerana saya dimaklumkan, ada yang sudah melarikan diri dan berada di luar negeri.

"Namun begitu, kita tetap memburu mereka dengan bantuan anggota di seluruh negeri. Majoriti daripadanya adalah berkaitan dengan kes samun. Lain-lain adalah pecah rumah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Taman Angkat Aman Wanita (Amanita) peringkat Kontinjen Kelantan Tahun 2017 di Taman Damar Kesedar Jaya, di sini.

Turut hadir, Adun Galas, Ab Aziz Yusoff dan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff.

Tambah Hasanuddin, beliau amat mengalu-alukan kerjasama di kalangan masyarakat dalam mengesan orang yang dikehendaki ini.

"Jika ada terlihat individu yang mencurigakan, salurkan maklumat kepada pihak berkuasa. PDRM juga mempunyai simpanan rekod.

"Pun begitu, jangan pula pandai-pandai tangkap sendiri kerana mereka ini kemungkinan memiliki senjata api dan boleh membahayakan keselamatan orang ramai. Laporkan kepada kami dan kami akan bertindak," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 12 Oktober 2017

Rayu bantu kos ‘suluh’ jantung

Mohd Adnan bersama dua anaknya menunjukkan surat pemeriksaan kesihatan yang mengesahkan dia menghidap penyakit arteri koronari atau saluran jantung tersumbat.
TANAH MERAH: “Umur masih muda tapi tenaga macam orang tua,” itu luah pekerja kedai tayar dari Kampung Kenerak, dekat sini, yang disahkan menghidap saluran jantung tersumbat sejak seminggu lalu.

Mohd Adnan Amran, 33, berkata, kesan penyakit tersebut menyebabkan dia mudah letih dan lemah tenaga setiap kali melakukan kerja berat seperti mengangkat barang.

Katanya, dia hanya tahu menghidap penyakit itu selepas dimasukkan ke wad Hospital Tanah Merah (HTM) dan Unit Rawatan Koronari (CCU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama enam hari dari 3 Oktober hingga Ahad lalu.

“Doktor nasihatkan saya berehat sekurang-kurangnya enam minggu dan larang melakukan kerja berat termasuk pandu kereta,” katanya ditemui di rumahnya di belakang Madrasah Arwah Haji Ibrahim, Kampung Kenerak, semalam.

Dia yang mempunyai tiga anak, Nur Airis Jannah, 2, Muhammad Airil Rayyan, 5, dan Muhammad Afiq Afnan, 9, mengakui tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik dan itu kali pertama diserang sakit dada yang teruk.

“Sebelum ke tempat kerja masa pagi kejadian (3 Oktober), saya dah rasa panas dan sakit dada tapi berkeras juga pergi kerja sebab ingatkan sakit biasa sebab saya merokok.

“Bila sampai tempat kerja, sakit dada makin teruk dan majikan hantar saya ke unit kecemasan HTM untuk rawatan sebelum dipindahkan ke HRPZ2. Saya disahkan ada saluran darah ke jantung tersumbat,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, dia perlu menyediakan kos tidak kurang RM8,000 untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti saluran darah yang tersumbat.

“Dengan pendapatan kerja di kedai tayar sekitar RM1,000 sebulan dan isteri (Siti Fatimah Mamat, 33) pula hanya suri rumah, kami tak mampu nak kumpul wang sebanyak itu.

“Saya juga kena utamakan perbelanjaan isteri dan tiga anak termasuk seorang yang dah sekolah,” katanya.

Justeru, Mohd Adnan merayu ihsan orang ramai dan pihak berkenaan untuk menghulurkan bantuan bagi menampung kos supaya rawatan susulan dapat dilakukan segera.

Orang ramai ingin membantu keluarga ini boleh menghubunginya talian 014-8449345.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Agro Bank di nombor 1-00-6671-00002619-8 atas nama Mohd Adnan.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 12 Oktober 2017

Khamis, 12 Oktober 2017

Malaysia negara ke-12 paling banyak dikunjungi pelancong di seluruh dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki tangga ke-12 sebagai negara paling banyak dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, statistik yang diperoleh daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) itu menunjukkan Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara maju yang menjadi pilihan utama destinasi pelancongan.

“Negara-negara seperti Perancis, Sepanyol, Itali, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat mahupun China sudah tentu mempunyai nilai pelancongan yang tinggi tetapi apabila Malaysia berada di tempat ke-12, ini satu pencapaian yang cukup membanggakan.

“Malah, penggunaan slogan ‘Malaysia truly Asia’ menjadi slogan pelancongan terbaik di dunia. Alhamdulillah, walaupun negara kita mempunyai banyak kekurangan tetapi kita masih mampu bersaing dengan negara-negara hebat di luar sana,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan ‘Mempromosikan diplomasi budaya Malaysia’ dalam Sesi Syarahan Diplomasi Budaya di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) kedua di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghafar A. Tambi, Ketua Pengarah IDFR, Datuk Mohamad Sadik Kethergany.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 12 Oktober 2017

Penjenayah lari keluar negara tidak akan terlepas - Ketua Polis Kelantan

GUA MUSANG: Penjenayah yang sedang diburu polis tidak akan terlepas walaupun mereka melarikan diri ke luar negara, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata polis mempunyai strategi yang kemas bagi memburu penjenayah terbabit selain nama mereka kini di dalam 'tangan polis'.

"Memang ada penjenayah yang dikehendaki itu kini dalam kepanasan selepas mengetahui mereka sedang diburu sekarang ini. Kita akan serbu mana-mana lokasi tempat mereka bersembunyi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Amanita Peringkat Kontinjen Kelantan di Taman Kesedar Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Mohd Fakri Che Sulaiman mendedahkan seramai 13 suspek yang terbabit kes jenayah berat adalah antara 800 orang yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes jenayah seperti bunuh, culik dan mendatangkan kecederaan.

Mengulas lanjut Hasanuddin berkata kes berkaitan dadah juga diletakkan sebagai sasaran utama untuk dibanteras oleh polis.

Katanya beliau telah mengeluarkan arahan kepada pegawai dan anggota di semua peringkat untuk membanteras gejala dadah sehingga ke akar umbi.

Sehubungan itu, beliau mahu ibu bapa, pemimpin masyarakat dan rakyat keseluruhannya agar turut sama membantu pihak berkuasa membanteras gejala dadah.

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017

HRPZII tawar urutan tradisional dan akupuntur

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) merupakan hospital awam pertama di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional komplementari (TCM) kepada pesakit.

Timbalan Pengarah Perubatan HRPZII Dr Mohd Azman Yaacob berkata perkhidmatan, yang disediakan di hospital berkenaan sejak 2012, kini menerima lapan pesakit setiap hari.

"Masih ramai orang awam tidak mengetahui kewujudan perkhidmatan ini walaupun ia ditawarkan sejak lima tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka HRPZII di sini, hari ini.

Dr Mohd Azman berkata tempoh rawatan TCM yang diperlukan bagi setiap pesakit adalah selama 45 minit dengan kadar bayaran serendah RM5 bagi pesakit luar dan percuma bagi penjawat awam.

Beliau berkata kebanyakan rawatan tradisional komplementari itu tertumpu kepada mereka yang mempunyai masalah tulang, ibu-ibu selepas bersalin serta pelanggan yang berhasrat untuk mendapatkan penjagaan payu dara.

"Rawatan akan dilakukan oleh pengamal berkelayakan dan bertauliah iaitu dua orang bertanggungjawab untuk bahagian urutan tradisional manakala seorang di akupuntur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Azman berkata HRPZII turut menawarkan perkhidmatan pembedahan jantung.

Katanya pada tahun ini, sebanyak 44 pembedahan jantung sudah dilakukan dan pesakit kini tidak lagi perlu ke Institut Jantung Negara ( IJN) Kuala Lumpur.

"Namun, ada sesetengah kes pembedahan yang rumit akan dirujuk ke IJN kerana di HRPZII hanya mempunyai seorang pakar bedah jantung," katanya. 

Hari terbuka HRPZII, yang julung kali diadakan, bertujuan memberitahu orang ramai yang berkunjung ke hospital berkenaan mengenai pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat.

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017

Aksem Kelantan rampas rokok seludup bernilai RM1.1 juta

KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan merampas 8,250 karton rokok putih yang diseludup bernilai RM1.1 juta termasuk anggaran cukai di Kampung Bahagia, Jerteh, Terengganu. 

Komander Aksem Kelantan Mohd Asri Yahya berkata kesemua rokok berkenaan yang dimuat di dalam sebuah lori yang dirampas pada 7 pagi, dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran Terengganu dan Pahang. 

Beliau berkata sepasukan anggota Aksem mengesan lalu mengekori lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki di kawasan Pantai Senok, Bachok dan apabila menyedari diekori oleh anggota Aksem, pemandu itu kemudian memecut lori menghala ke Terengganu .

"Sebaik tiba di persimpangan Kampung Bahagia, Jerteh iaitu 50 kilometer dari Pantai Senok, pemandu itu memberhentikan lori di bahu jalan sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di Pejabat Aksem Kota Bharu di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan puluhan kotak mengandungi rokok seludup yang kemudian diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohd Asri berkata Aksem akan mengadakan operasi bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini. 

Katanya tumpuan diberikan terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya penyeludupan pendatang tanpa izin, barang larangan, barang kawalan dan barang bercukai. 

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan tersebut.

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017

Imigresen Kelantan buru majikan tidak perbaharui permit pekerja asing

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan akan memburu majikan yang gagal memperbaharui permit pekerja asing mereka menerusi Ops Ikrar bulan depan.

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi akan melibatkan Jabatan Tenaga Kerja, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Ops Ikrar dilancarkan berikutan didapati ada majikan di negeri ini menggunakan tenaga kerja asing dengan permit kerja sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui oleh majikan, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata majikan yang didapati mengeksploitasi pekerja asing adalah melakukan kesalahan berat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

"Jika sabit kesalahan majikan boleh dihukum penjara, denda atau sebatan selain pendakwaan boleh dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasaan 2001," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan majikan supaya memperbaharui permit pekerja mereka sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tamat.

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017

KPDNKK Kelantan tahan tiga warga Thailand cuba seludup petrol

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan menahan tiga lelaki warga Thailand selepas didapati cuba menyeludup keluar petrol di pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pasir Mas Isnin lepas.

Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun berkata ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 40-an itu ditahan ketika masing-masing memandu kereta melalui pintu sempadan berkenaan antara 11.40 pagi dan 12 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua buah kereta Proton Saga masing-masing membawa 114 liter petrol dan 45 liter petrol manakala sebuah lagi kereta Proton Wira mengandungi 150 liter petrol menjadikan jumlah keseluruhan 309 liter petrol yang cuba diseludup," katanya kepada pemberita di Stor Simpanan KPDNKK di sini, hari ini.

Ab Ghani berkata siasatan mendapati lelaki terbabit mengisi petrol di empat stesen minyak sekitar Rantau Panjang sebagai modus operandinya sebelum melintasi sempadan ke negara jiran melalui ICQS tersebut.

"Mereka mengubah suai tangki dan beberapa bahagian kereta berkenaan sehingga mampu memuatkan kira-kira 1,000 liter petrol," katanya.

Ab Ghani berkata pihaknya percaya aktiviti berkenaan telah lama dilakukan suspek bagi mengaut keuntungan berikutan harga petrol lebih rendah di Malaysia berbanding di Thailand.

Beliau berkata dua lelaki terbabit didakwa di mahkamah di Pasir Mas hari ini dan masing-masing didenda RM10,000 dan RM7,000.

Beliau menasihatkan pengusaha stesen minyak supaya berkerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan kegiatan penyeludupan dibanteras.

Sementara itu, katanya dalam Ops Khas Bekalan bagi tempoh Januari lepas sehingga semalam, KPDNKK Kelantan mengesan 84 kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 47 kes bahan api, 35 kes makanan asas seperti gula, minyak masak dan tepung gandum, dan dua kes penyeludupan gas memasak (LPG) dengan nilai sitaan keseluruhan RM156,950.

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017

Rabu, 11 Oktober 2017

ECERDC berkerjasama rapat dengan Kerajaan Kelantan lancar projek berimpak tinggi

KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus berkerjasama rapat dengan kerajaan Kelantan bagi melaksana pelbagai projek berimpak tinggi serta program pembangunan modal insan untuk negeri tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia adalah sebahagian daripada strategi Kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta serta memperkasa rakyat.

Menurutnya, sejak penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 2007 sehingga 31 Ogos 2017, Kelantan telah menarik RM12.7 bilion pelaburan swasta dan mewujudkan lebih 14,000 pekerjaan.

"Pertumbuhan pelaburan di Kelantan dijangka meningkat seiring dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur," katanya pada pelancaran Pesta Kerjaya dan Keusahawanan Kelantan 2017 baru-baru ini.

Pesta yang dianjur ECERDC itu bertujuan membolehkan pencari kerja merebut 3,300 pekerjaan yang ditawarkan 40 pelabur tempatan dan asing daripada pelbagai sektor, termasuk pembuatan, hartanah dan logistik serta peluang keusawahanan di ECER.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pekerjaan yang ditawarkan pada pesta itu membuktikan transformasi di ECER, termasuk Kelantan, benar-benar berlaku.

"Wilayah itu menjadi semakin dinamik dan kompetitif dengan lebih banyak pelabur swasta menawarkan pekerjaan di pelbagai sektor untuk rakyat Kelantan.

"Ia seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat serta mewujudkan sosio-ekonomi yang inklusif dan mampan di ECER," katanya.

Sumber: Bernama | 11 Oktober 2017

Wang ihsan diagih kepada 4,318 keluarga mangsa banjir di Rantau Panjang

PASIR MAS: Wang ihsan berjumlah lebih RM2.1 juta diagihkan kepada 4,318 keluarga yang menjadi mangsa banjir tahun lepas di kawasam Parlimen Rantau Panjang di sini.

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang Senator Datuk Abdullah Mat Yasim berkata kerajaan Persekutuan menghulurkan bantuan tersebut dengan setiap keluarga menerima RM500 sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap mangsa banjir.

"Penerima bantuan tersebut merupakan mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan berdaftar serta mendapat surat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, hari ini.

Abdullah berkata sekiranya masih terdapat mangsa banjir yang nama mereka tercicir daripada menerima bantuan tersebut diharap merujuk segera kepada penghulu di kawasan masing-masing.

Sementara itu, seorang penerima Wan Halimah Ideris, 56, dari Kampung Gual Nibong di sini berkata sumbangan tersebut boleh membantunya untuk menampung perbelanjaan musim tengkujuh yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

"Musim hujan, saya tidak boleh menoreh getah, pendapatan juga tiada? oleh itu bantuan seumpama ini sangat diperlukan," katanya.

Sumber: Bernama | 11 Oktober 2017

Isnin, 9 Oktober 2017

Lebih 8,000 hektar tanah terbiar di Kelantan dipulihkan dengan projek pertanian

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesan lebih 8,000 hektar tanah terbiar terutama milik individu di negeri ini yang tidak diusahakan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian sedang berusaha membantu pemilik tanah tersebut mengusahakannya dengan projek pertanian termasuk ternakan ikan.

"Kita memperuntukkan RM3 juta untuk aktiviti pertanian di negeri ini iaitu RM600,000 bagi bantuan peralatan dan baki daripada peruntukan itu digunakan untuk membaik pulih infrastruktur lain seperti sistem pengairan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan forum petani dan usahawan bersama rakan industri serta penyerahan jentera kecil dan peralatan industri asas tani 2017 di Pusat Latihan Pertanian di sini, hari ini.

Che Abdullah berkata antara punca tanah tersebut terbiar adalah masalah sistem pengairan, penghijrahan pemilik tanah dan tidak mempunyai keupayaan untuk meneruskan kerja pertanian kerana generasi muda tidak berminat dengan bidang pertanian.

Beliau berkata selain memberi pendapatan kepada pemilik, tanah terbiar yang diusahakan akan dapat mempertingkatkan pengeluaran makanan negara.

Sumber: Bernama | 9 Oktober 2017

309 peniaga setuju pindah ke Pasar Siti Hajar

PASIR PUTEH: Sebanyak 309 daripada 516 peniaga yang berniaga di Pasar Besar Pasir Puteh, bersetuju untuk berpindah ke Pasar Siti Hajar bermula Ahad ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Mohd Anis Abdul Rahman berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan antara pihak berkuasa tempatan berkenaan dan kumpulan peniaga terbabit hari ini.

"Dalam beberapa siri perbincangan sebelum ini, peniaga berkenaan meminta kami menambah baik beberapa kemudahan di Pasar Siti Hajar dan kami menunaikan hasrat mereka itu.

"Kami membelanjakan RM2.3 juta untuk penambahbaikan berkenaan melibatkan bekalan air dan elektrik," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Anis berkata sebaik sebahagian besar peniaga terbabit berpindah ke tempat baharu, pihaknya akan mengosongkan kemudahan yang ada dalam Pasar Besar Pasir Puteh termasuk memotong bekalan elektrik dan air.

Beliau turut optimis baki peniaga yang masih menjalankan perniagaan di tapak lama akan turut berpindah ke Pasar Siti Hajar dalam masa terdekat.

Sebelum ini, peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke pasar baharu dibina MDPP itu dengan alasan ruang niaga yang sempit dan tidak dilengkapi dengan kemudahan asas secukupnya.

Selain itu, mereka juga mendakwa pasar baharu itu yang terletak hampir satu kilometer dari pasar lama tidak strategik dan jauh daripada kediaman penduduk.

Sumber: Bernama | 9 Oktober 2017

UMK disaran tubuh badan bertindak hadapi perubahan baharu

KOTA BHARU: Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra menyarankan UMK menubuhkan badan bertindak bagi menghadapi perubahan baharu dalam pelbagai bidang.

Baginda yang juga Pemangku Raja Kelantan bertitah, pasukan khas tersebut akan bertanggungjawab untuk mengenal pasti perancangan dan strategi bagi menentukan perubahan dalam pelbagai aspek merangkumi pendidikan, penyelidikan, tadbir urus, hal ehwal akademik dan kurikulum pembangunan pelajar dan keusahawanan.

"Kita berdepan teknologi baharu dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan robotik, 'internet of things', kenderaan elektrik tanpa pemandu, percetakan tiga dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum," titah baginda pada istiadat Konvokesyen Ke-7 UMK di sini, hari ini.

Baginda bertitah kehidupan manusia akan berubah dan menyebabkan bidang pekerjaan lazim akan hilang.

"Pekerjaan baharu akan muncul dan kita perlu bersedia untuk merebut peluang dalam bidang pekerjaan masa depan ini," titah baginda.

Baginda juga mahukan kemajuan dan kepakaran yang dicapai dalam tempoh 10 tahun penubuhan UMK dapat dikembangkan kepada pembangunan negeri Kelantan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya, baginda menasihati mereka agar sentiasa mengingati jasa ibu bapa dan berusaha dengan lebih gigih dalam fasa kehidupan seterusnya untuk menjadi insan yang berguna dan berbakti.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Landskap Malaysia Tun Jeanne Abdullah atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kelestarian dan Naib Canselor Pertama UMK Prof Emeritus Datuk Dr Ir Zainai Mohamed atas penganugerahan Profesor Emeritus.

Pada konvokesyen itu, seramai 10 orang menerima anugerah doktor falsafah, 151 graduan menerima ijazah sarjana dan 2,306 graduan menerima ijazah sarjana muda.

Sumber: Bernama | 9 Oktober 2017

699 pusat pemindahan mangsa banjir disediakan di Kelantan

KOTA BHARU: Sebanyak 699 pusat pemindahan banjir dengan kapasiti muatan 213,180 mangsa disediakan sebagai persiapan menghadapi banjir yang dijangka berlaku di Kelantan pada penghujung tahun ini dan awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Bantuan Banjir Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata sebanyak 8,000 petugas yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan terlibat dalam operasi itu.

"Kesemua 216 pangkalan hadapan di 10 daerah yang terbabit juga akan dibekalkan bantuan bekalan makanan mulai esok,"katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Faudzi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata persiapan menghadapi bencana alam itu dicapai bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi kerajaan yang berkaitan.

"Dalam taklimat rutin ini kita akan mendengar segala persiapan yang mana agensi terbabit akan memaklumkan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi banjir,"katanya.

Beliau berkata maklumat daripada Jabatan Meteorologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengairan dan Saliran akan menjadi perolehan bagi persiapan tersebut.

Katanya persediaan awal amat penting khususnya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk iaitu di jajahan Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Mohd Faudzi berkata penanda aras banjir di negeri ini adalah banjir pada 2014 dan jumlah petugas akan ditambah sekiranya keadaan memerlukan.

"Kita yakin persediaan yang dilakukan akan berjaya mengatasi apa-apa kemungkinan,"katanya.

Sumber: Bernama | 8 Oktober 2017

Ahad, 8 Oktober 2017

Malaysian Syarul Azman flexes muscles to defend bodybuilding world title

Syarul Azman Mike Mahen flexed his muscles to retain his men's athletic physique up to 170cm gold medal at the World Bodybuilding and Physique Sports Championships in Ulanbaatar, Mongolia.
BODYBUILDER Syarul Azman Mike Mahen successfully defended his world title in Mongolia on Saturday.

The former Kuala Lumpur footballer flexed his muscles to retain his men's athletic physique up to 170cm gold medal at the World Bodybuilding and Physique Sports Championships in Ulanbaatar, Mongolia.

Syarul was delighted to get things right in the biggest meet of the year.

"Everything came out very well in the end. The cold weather was my biggest challenge and I had to be mentally strong in competition," said he today.

"I have never competed in a meet held in a cold climate. In fact, the weather dropped to below zero degree Celcius earlier in pre-judging going into the final.

"Winning the world title for the second year in a row is a great achievement."

The win is a sweet double as the 44-year-old claimed his third Asian title in Seoul in August.

Earlier, Dr Malvern Abdullah bagged the silver medal in the men's 60kg category.

Malvern, a lecturer from Sarawak, is also the reigning Asian bodybuilding champion in his category.

Source: New Straits Times | 8 October 2017

RM6 bilion bagi pembangunan PPR seluruh negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan hampir RM6 bilion bagi membangunkan 120 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan 83,759 unit rumah telah disiapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Jayaselan K. Navaratnam berkata sebanyak 41 projek PPR dengan 15,327 unit pula sedang dalam proses pembinaan, manakala 23 projek dengan 10,066 unit masih dalam perancangan.

Sabah menjadi negeri yang dibina paling banyak PPR iaitu 26,199 unit, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembinaan PPR bergantung kepada beberapa faktor antaranya jumlah permintaan yang tinggi oleh penduduk di sesebuah kawasan selain permohonan daripada kerajaan negeri untuk membina kediaman kos rendah.

"Projek yang melibatkan kategori PPR Disewa dan PPR Dimiliki disasarkan kepada penghuni setinggan dan golongan berpendapatan rendah yang pendapatan isi rumah mereka tidak melebihi RM3,000 sebulan.

"Projek PPR Disewa disewakan dengan hanya RM124 sebulan, manakala bagi PPR Dimiliki, kosnya ialah RM35,000 seunit di Semenanjung dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak," katanya.

Mengenai permintaan terhadap PPR, Jayaselan berkata sambutannya amat menggalakkan kerana rumahnya disewa dan dijual dengan kadar cukup rendah berbanding kadar pasaran jenis perumahan lain yang boleh mencecah antara RM150,000 sehingga RM180,000 seunit.

"Subsidi kerajaan kepada PPR yang kadang kala mencecah lebih daripada 200 peratus merupakan inisiatif murni kerajaan dalam membantu golongan miskin untuk memiliki rumah idaman mereka sendiri," katanya.

PPR diselia oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui JPN, yang terdiri daripada rumah bertingkat bagi kawasan bandar dan rumah teres untuk di pinggir bandar.

Unitnya memiliki tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan dua bilik air selain kawasan perumahannya mempunyai kemudahan asas seperti dewan komuniti, surau, tadika, taman permainan dan gerai makan.

Sumber: Bernama | 8 Oktober 2017

Bajet 2018: Kelantan dijangka terima peruntukan besar

BACHOK: Kelantan dijangka antara negeri yang bakal mendapat peruntukan besar dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata ia berikutan 'tradisi' Kerajaan Persekutuan memberi sejumlah peruntukan istimewa kepada negeri itu sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).

"Kelantan memerlukan peruntukan besar bagi mengimbangi pembangunan yang dikecapi oleh negeri-negeri lain sekali gus mengelak negeri ini daripada terus mundur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemas 4U dan Majlis Graduasi Tabika Bachok di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tangok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Ahmad Jazlan berkata Kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kelantan sebagaimana tuduhan yang dilemparkan pembangkang.

"Kelantan mempunyai segala-segalanya termasuk kekayaan hasil bumi dan tenaga pekerja yang mahir namun pimpinan kerajaan negeri sekarang tidak mengambil kesempatan untuk menggunakannya secara maksimum,"katanya.

Justeru itu, Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata rakyat negeri ini harus menzahirkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri dengan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Kelantan selepas ini.

Sumber: Bernama | 7 Oktober 2017

Pengusaha pasir di empat daerah di Kelantan laksana 'aku janji'

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menerima ikrar 'aku janji' daripada sekumpulan pengusaha pasir di daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang di Kelantan berhubung harga pasir.

Ketua pegawaii Eksekutif MyCC Datuk Abu Samah Shabudin berkata pengusaha pasir terlibat telah berjanji untuk membatalkan senarai harga pasir bertarikh 10 Januari 2017, menamatkan sebarang perbuatan antipersaingan berhubung senarai harga serta mengeluarkan kenyataan media mengenai 'aku janji' mereka dalam akhbar-akhbar utama.

"Perjanjian antara pesaing untuk menetapkan harga adalah dilarang di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Persaingan 2010 (Act) kerana ia mengurangkan persaingan di pasaran, menyebabkan harga lebih tinggi dibayar oleh pengguna. Ini boleh memudaratkan kebajikan pengguna dan sinilah MyCC memainkan peranan sebagai pengawal selia undang-undang persaingan di Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kartel harga adalah dilarang di bawah akta itu kerana ia menghalang kecekapan, inovasi dan keusahawanan dan oleh itu pengguna tidak akan menikmati harga dan pilihan yang kompetitif.

"Oleh itu, MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kartel untuk melindungi pengguna Malaysia,"kata Abu Samah.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat mengenai kemungkinan aktiviti kartel atau anti persaingan supaya tampil ke hadapan.

Ditubuhkan pada Jun 2011, MyCC ialah sebuah badan bebas yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 yang dilaksanakan untuk menggalakkan persaingan sihat yang seterusnya akan merangsang produktiviti dan inovasi, lantas mewujudkan pilihan produk baharu atau servis lebih banyak kepada pengguna dan kualiti lebih baik pada harga yang berpatutan.

Akta tersebut digunapakai kepada semua aktiviti komersil yang ditanggung di dalam dan di luar Malaysia yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia.

Ia memberikan satu rangka kerja kawal termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenakan penalti kepada pesalah undang-undang persaingan. Untuk maklumat lanjut tentang Akta dan MyCC, sila rujuk laman web www.mycc.gov.my.

Sumber: Bernama | 7 Oktober 2017

Sabtu, 7 Oktober 2017

Balik lewat punca kena rantai pada tong gas

KUANTAN: Kanak-kanak berusia 10 tahun yang dirantai pada tong gas Khamis lalu mengakui kesilapannya kerana balik lewat malam dan menjadi punca bapa tirinya hilang sabar dan bertindak sedemikian terhadapnya.

Perkara ini dinyatakan kanak-kanak itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang menziarahinya di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini.

Kanak-kanak itu turut memaklumkan perasaan kesal dengan perbuatannya dan itu kali pertama dia diperlakukan sebegitu oleh bapa tirinya.

"Perkara ini diceritakan sendiri oleh mangsa ketika dilawat tadi dan berdasarkan pemerhatian, dia dapat berbual dengan baik, malah turut menyatakan hasratnya ingin berjumpa dengan ayah kandungnya di Melaka yang kali terakhir ditemuinya tahun lepas.

"Saya juga berpuas hati setelah mendapat taklimat daripada doktor yang merawatnya yang menyatakan mangsa kini sihat dan tiada tanda-tanda trauma atau kesan kecederaan fizikal kelihatan badan mangsa," kata Shahaniza kepada pemberita.

Namun katanya laporan lanjut berhubung dengan kejadian itu akan ditentukan menerusi siasatan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengetahui situasi sebenar.

Buat sementara waktu kata Shahaniza, mangsa akan berehat di hospital di bawah pengawasan JKM dan akan diberi kaunseling dari semasa ke semasa.

Kanak-kanak itu diselamatkan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan setelah memecah masuk bahagian belakang rumahnya yang terletak di Indera Mahkota 1 di sini.

Semasa ditemui, mangsa hanya memakai seluar dengan lehernya diikat pada tong gas menggunakan rantai besi serta kunci mangga dan dia dipercayai telah berada dalam keadaan itu selama dua jam sebelum ditemui.

Berikutan itu, seorang anggota tentera yang berusia 32 dan isterinya yang berusia 37 tahun, yang merupakan ibu kepada mangsa ditahan reman selama enam hari bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 iaitu mendera, mengabai dan menganiaya kanak-kanak yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, Shahaniza turut melawat warga emas berumur 80 tahun yang diselamatkan pasukan polis Rabu lalu yang dikurung oleh anaknya sejak Isnin di sebuah rumah di Taman Inderapura di sini.

Mangsa yang lumpuh separuh badan dijangka akan ditempatkan di bawah seliaan JKM sekiranya mendapat persetujuan anak-anaknya.

Sumber: Bernama | 7 Oktober 2017

LKTN wujudkan bazar perkenal produk kenaf

KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan mewujudkan Bazar Kenaf bertujuan mempromosikan pelbagai produk hiliran yang dihasilkan menerusi tumbuhan itu.

Ketua Pengarahnya Samsudin Noor berkata selain memperkenalkan produk kenaf kepada masyarakat tempatan, bazar yang pertama seumpamanya di negara ini juga akan memberi peluang usahawan untuk menjalankan perniagaan makanan dan minuman.

"Bazar Kenaf yang pertama akan dibuka di Dataran Kenaf, Kubang Kerian di sini. Ia akan beroperasi sebagai pusat mempromosikan pelbagai produk berasaskan kenaf terutama dalam bentuk kraftangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kenaf dan Bazar Kenaf di Dataran Kenaf Kubang Kerian di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKTN Idris Mohd Salleh dan Pengarah Pemasaran LKTN Tan Eng Nee.

Mengulas lanjut Samsudin berkata dua lagi Bazar Kenaf akan dibuka iaitu di Batu Bertangkup, Chuping, Perlis dan di Pekan, Pahang dalam masa terdekat, dengan tempoh operasi bermula pada pukul 4 petang hingga 11 malam setiap Selasa.

Dalam pada itu, katanya, LKTN akan mengadakan Hari Kenaf pada setiap Khamis bertujuan menyebarkan maklumat mengenai industri berkaitan tumbuhan itu kepada masyarakat setempat sebagai usaha memperhebat promosi kenaf.

Selain itu, katanya, satu galeri kenaf akan diwujudkan di pekarangan Ibu Pejabat LKTN di Kubang Kerian untuk dijadikan sebagai sumber rujukan kepada masyarakat.

Sumber: Bernama | 6 Oktober 2017