Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 25 Januari 2017

Kapal tunda terkandas di pantai Kg. Tok Kederat dijangka teruskan perjalanan Sabtu ini

BACHOK: Sebuah kapal tunda dan sebuah tongkang yang dalam perjalanan dari Thailand ke Tanjung Belungkor, Johor yang terkandas di pantai Tok Kederat di sini sejak dua hari lepas setelah dipukul ombak besar, dijangka dapat meneruskan perjalanan Sabtu ini.

Kapten Kapal Tunda MCL Power 111, Bayu Ramdani Saputra berkata pihaknya sedang berunding dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan sebuah kapal tunda bagi membolehkan kapalnya bersama sebuah tongkang dapat meneruskan perjalanan.

"Setakat ini, sudah ada pihak yang menyatakan kesanggupan untuk membantu supaya kapal dan tongkang ini dapat kembali meneruskan perjalanan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Tok Kederat di sini hari ini.

Bayu Ramdani, warga Indonesia berkata pihaknya memilih Sabtu ini untuk meneruskan perjalanan berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa ancaman laut bergelora di Laut China Selatan akan berkurangan.

Ketika kejadian itu berlaku, tongkang yang ditunda turut berisi kira-kira 5,800 tan metrik batu kapur dengan lapan orang kru yang kesemuanya selamat.

Kapal berkenaan yang berdaftar di Port Klang sepatutnya sampai di Tanjung Belungkor, Johor hari ini selepas meninggalkan Thailand Rabu lepas.

Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017

HUSM terima van mesra OKU untuk mudahkan pesakit dapatkan rawatan

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian hari ini menerima sebuah van mesra orang kelainan upaya (OKU) untuk memudahkan pesakit miskin dan OKU berulang-alik secara percuma semasa mendapatkan rawatan di hospital itu.

Van bernilai RM152,000 itu adalah sumbangan kerajaan Kelantan bagi mengurangkan beban perbelanjaan yang ditanggung pesakit miskin termasuk OKU ketika mendapatkan rawatan di HUSM.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata van tersebut diubah suai seiring dengan keperluan pesakit yang uzur dan kurang upaya.

"Kita dapat tahu sebelum ini ada pesakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambang sehingga RM70 untuk sekali datang ke hospital dan itu sudah pasti membebankan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan van tersebut kepada HUSM di sini.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian Dr Ahmad Sukari Halim berkata sumbangan van tersebut amat bermakna khususnya kepada pesakit yang benar-benar tidak berkemampuan.

"Ada ribuan pesakit yang memerlukan rawatan setiap hari dan dengan adanya van seumpama ini sudah pasti dapat membantu golongan sasar," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017

Kementerian Kesihatan yakin tangani banjir di Kelantan dengan baik

PASIR PUTEH: Kementerian Kesihatan memiliki tanda aras pengurusan banjir yang tinggi dan mampu menangani bencana alam itu dengan baik di Kelantan tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pencapaian itu diperoleh melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibentuk sebelum ini hasil pengalaman menghadapi banjir luar biasa di Kelantan pada 2014.

"Daripada maklumat dan tinjauan yang dilakukan hari ini, didapati semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini telah mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi musim tengkujuh dan tiada kerosakan besar dilaporkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi taklimat banjir di Hospital Tengku Anis di sini Rabu.

Dr Noor Hisham juga berkata jumlah kerosakan membabitkan fasiliti dan ubat-ubatan bagi hospital, klinik kesihatan dan klinik desa pada banjir besar 2014 di Kelantan adalah RM1.7 juta.

Katanya kebanyakan kerosakan akibat banjir tahun ini berlaku di hospital dan klinik yang sebelum ini bukan terletak di lokasi jangkaan berlaku banjir seperti Hospital Tengku Anis dan Hospital Pasir Mas.

"Banjir yang melanda hospital, klinik kesihatan dan klinik desa adalah banjir kilat ekoran masalah sistem perparitan. Kami harap pihak berkuasa tempatan dapat memberi perhatian berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata satu analisis terperinci akan dilakukan bagi penyediaan kos baik pulih kerosakan fasiliti kesihatan di negeri itu.

Dr Noor Hisham juga berkata Jabatan Kesihatan Kelantan telah menguruskan keperluan pesakit berisiko termasuk mereka yang memerlukan rawatan hemodialisis, ibu mengandung dan warga emas.

Beliau berkata tiada penyakit berjangkit dilaporkan berlaku setakat ini berikutan langkah pencegahan yang dilakukan pegawai dari Jabatan Kesihatan di setiap daerah.

"Setakat ini kami amat berpuas hati dengan persediaan dan pencapaian yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Kelantan dan yakin banjir kali ini mampu ditangani dengan baik," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017

AKSEM Kelantan rampas lima ekor kura-kura Bintang Burma bernilai RM50,000

TANAH MERAH: Lima ekor kura-kura jenis Bintang Burma dianggar bernilai RM50,000, antara rampasan dalam 'Operasi Mandarin' sempena Tahun Baharu Cina yang dijalankan di Bukit Bunga, di sini malam tadi.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan, Mohd Asri Yahya berkata kura-kura yang dipercayai berasal dari Myanmar dan disyaki diseludup ke negara ini untuk dijadikan haiwan peliharaan, ditemukan dalam pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres dari Kuala Terengganu ke Alor Setar.

"Ketika pemeriksaan dilakukan di dalam bas berkenaan, pihak kami menemui satu kotak limau mandarin mengandungi lima ekor kura-kura Bintang Burma, tiada permit peliharaan dan tiada orang yang mengaku memiliki kura-kura tersebut," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Asri berkata kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Lapan agensi penguatkuasaan terlibat dalam operasi itu yang diadakan di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Bunga selama lima jam bermula 10 malam tadi.

Selain AKSEM dan JPJ, agensi lain ialah Jabatan Imigresen; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Perhilitan dan Jabatan Farmasi.

Mohd Asri berkata turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah empat produk kosmetik yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan bernilai RM65,500.

Pihak berkuasa turut menahan enam pendatang asing tanpa izin iaitu tiga warga Bangladesh, dua rakyat Vietnam dan seorang warga Indonesia.

"AADK pula menahan dua lelaki berumur 25 dan 40 tahun disyaki positif dadah manakala JPJ mengeluarkan 10 saman kepada pengguna jalan raya kerana kenderaan membawa muatan melebihi had ditetapkan dan tiada lesen memandu," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017

AFjets Sdn. Bhd. hulur bantuan kepada mangsa banjir

Amrul Nizar Anuar
KOTA BHARU: Syarikat penerbangan persendirian, AFjets Sdn. Bhd., mengambil inisiatif mengumpul dan menghantar bekalan makanan menggunakan kapal terbang milik mereka ke pusat pemindahan banjir. 

Ketua Pegawai Eksekutif AFjets Sdn. Bhd., Amrul Nizar Anuar, berkata sehingga kini lebih satu tan metrik bekalan keperluan membabitkan makanan, pakaian dan lilin untuk pasca banjir diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini. 

"Misi bantuan ini terpaksa dijalankan dua hari berturut-turut sejak semalam hingga hari ini dengan membawa barang keperluan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Ketereh, di sini. 

"Selain itu, kita turut mengagihkan bantuan menerusi Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) dan wakil imam sekitar Nilam Puri, Kukang dan Perol," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Amrul Nizar berkata, idea itu tercetus selepas bersimpati dengan mangsa banjir di beberapa daerah di Kelantan yang membabitkan ramai mangsa berpindah. 

"Maklumat berkenaan mangsa banjir kita perolehi menerusi laman sosial Facebook yang mendapati mangsa banjir tinggal di penempatan sementara namun masih kekurangan makanan dan pakaian," katanya.

Sumber: Berita Harian | Timur | 23 Jan. 2017

Usaha majukan Lembah Binjai di sebelah Kota Bharu Timur

Abdul Fattah Mahmood (tiga dari kanan) menyaksikan Zamri Ismail (dua dari kanan) menerima dokumen perjanjian daripada Rita Sarbani Ismail (dua dari kiri) di Hotel Raudah, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat AUEI Teras Holdings Sdn Bhd bernilai lebih RM100 juta bagi melaksanakan Pembangunan Bandar Institusi Pelancongan Lembah Binjai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, usahasama itu bakal merancakkan pembangunan ekonomi di sekitar Parlimen Kubang Kerian khasnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit.

Beliau berkata, pembangunan itu juga akan melibatkan pembinaan pasar baharu Kubang Kerian bagi memberikan semula peluang kepada kira-kira 500 peniaga yang kehilangan tempat untuk berniaga sejak lima tahun lalu.

“MPKB-BRI dan AUEI Teras akan membangunkan kawasan seluas 200 hektar membabitkan perumahan fasa pertama untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar parlimen tersebut.

“Fasa pertama projek ini akan dimulakan selepas majlis pecah tanah yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob pada 4 Februari ini,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail; Setiausahanya, Mohamed Noor Nik Ishak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Mumtaz Md Nawi dan Penasihat AUEI Teras Holdings Sdn Bhd, Ir Nik Mohd Amin Nik Taib.

Abdul Fattah berkata, pemba­ngunan melibatkan lima fasa itu akan memberikan dimensi baharu kepada Kubang kerian sebagai sebuah bandar pelancongan bertaraf moden.

“Proses pengambilan tanah sudah berjalan lancar dan projek ini dibiayai 100 peratus oleh syarikat ini yang sekali gus membantu kerajaan negeri membangunkan dan memajukan Lembah Binjai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEUI Teras Holdings Sdn Bhd, Rita Sarbani Ismail berkata, syarikat yang beribu pejabat di Kubang Kerian itu sudah melaksanakan pelbagai projek termasuk pembinaan pangsapuri dan bazar perniagaan.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 23 Jan. 2017 | 24 Jan. 2017 

Banjir terburuk di sekitar Pasir Tumboh dalam 
tempoh 47 tahun

KOTA BHARU: Penduduk di sembilan buah kampung sekitar Pasir Tumboh di sini menyifatkan banjir yang berlaku kali ini sebagai luar biasa dan terburuk dalam tempoh 47 tahun.

Malah, mereka juga terpaksa menanggung kerugian besar apabila tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah selepas air naik dengan mendadak sehingga paras dada sejak malam Jumaat lalu.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Gutong, Parit Limbat, Lating, Keling, Likong, Temesu, Kubang Keranji, Kampung Belukar, Kampung Selor serta beberapa kawasan perumahan sekitarnya.

Seorang penduduk, Noriah Din, 58, berkata, banjir kali ini dianggap pelik kerana bukan daripada limpahan Sungai Kelantan sebaliknya daripada air yang terkepung akibat masalah perparitan.

Katanya, ketika bah kuning tiga tahun lalu yang dianggap pa­ling teruk dalam sejarah negeri itu, kawasan ini hanya dinaiki air di paras pergelangan kaki sahaja.

“Namun kali ini, kebanyakan rumah penduduk ditenggelami air sehingga paras dada.

“Kami sebenarnya tidak menduga air naik dengan mendadak selain tidak melakukan sebarang persediaan. Sebelum ini, kalau banjir sebesar mana sekalipun, kawasan ini masih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar di sini hari ini.

Hampir 1,000 mangsa daripada 233 keluarga dari beberapa buah kampung di kawasan Pasir Tumboh ditempatkan di pusat pemindahan tersebut yang dibuka sejak Jumaat lalu.

Seorang lagi penduduk, Anuar Mohd. Nor, 59, berkata, masalah saliran dan perparitan di kawasan berkenaan perlu segera diselesaikan bagi mengelak banjir terus berlaku pada masa depan.

“Banjir kali ini adalah disebabkan air terkepung atau banjir termenung. Air tidak dapat mengalir dengan sempurna akibat daripada masalah perparitan.

“Sepatutnya disediakan longkang besar bagi membolehkan air mengalir keluar,” katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 22 Jan. 2017 | Terbitan 23 Jan. 2017

RM27 juta bina masjid baharu di Bandar Lama Gua Musang

Tengku Razaleigh Hamzah melawat tapak projek pembinaan masjid baharu di Bandar Lama, Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
GUA MUSANG: Masjid baharu menyerupai model Masjidil Haram yang menelan belanja RM27 juta di Bandar Lama Gua Musang untuk penduduk di daerah ini dijangka siap selewat-lewatnya bulan Mac tahun depan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Teng­ku Razaleigh Hamzah berkata, ketika ini projek bagi membina masjid yang boleh memuatkan 3,000 jemaah itu berjalan lancar.

Katanya, segala aspek akan diteliti bagi memastikan kese­lamatan, keselesaan dan kebersihan masjid itu terjaga kerana ianya akan menjadi sebuah lagi mercu tanda pembangunan baharu di negeri ini.

“Kemungkinan masjid ini akan siap Mac tahun hadapan, tetapi selepas mengambil kira beberapa faktor yang kita boleh jimatkan masa dijangka masjid ini boleh disiapkan sebelum akhir tahun ini.

“Kemudahan dewan sembah­yang boleh memuatkan kira-kira 1,300 jemaah dan kita merasakan sudah mencukupi untuk penduduk di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program taklimat bersama kontraktor dan meninjau serta memantau proses pembinaan masjid di Bandar Lama di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff, Setiausaha UMNO bahagian Gua Musang, Tuan Mustapha Tuan Soh dan Bendahari UMNO Bahagian Gua Musang, Zamzani Harun.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 22 Jan. 2017 | Terbitan 23 Jan. 2017

Selasa, 24 Januari 2017

ECRL tingkat aktiviti pembangunan ECER

KUALA LUMPUR: Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) berpotensi meningkatkan aktiviti pembangunan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebanyak lapan peratus dari tahun ke tahun terutama dalam sektor infrastruktur.

Penganalisis MIDF Research, Fadhli Dzulkifly berkata, negeri-negeri ECER seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan sedikit ketinggalan berbanding pertumbuhan purata projek infrastruktur negara sebanyak 12.7 peratus dari tahun ke tahun.

“Projek ECRL sepanjang lebih 600 kilometer ini menawarkan faedah pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran yang akan membantu menjadi hab lojistik landasan ke laut secara terus kepada bandar-bandar Pearl Delta, di China.

“ECRL akan merangsang pembangunan melalui kecekapan sistem pengangkutan bara­ngan, serta meningkatkan infrastruktur, perumahan mampu milik dan bangunan komersial seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Pada November tahun lalu, Malaysia dan China dilaporkan bersetuju menandatangani rangka kerja pembiayaan, kejurute­raan dan perolehan untuk kontrak pembinaan ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion.

Pembinaan ECRL akan menyediakan landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Gombak, Se­langor; Gombak ke Kuantan, Pahang seterusnya hingga ke Tumpat, Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

Menurut Fadhli, kesan limpahan ECRL adalah sangat besar dan penting bagi pembangunan infrastruktur di kawasan Pantai Timur Semenanjung, terutama kejuruteraan laut, rumah mampu milik serta penyelenggaraan jalan raya.

“Seiring mengurangkan kos perjalanan dan pengangkutan kargo ke Pantai Timur, aktiviti pembinaan kejuruteraan awam dijangka akan berkembang sebanyak 10.5 peratus setiap tahun selepas projek ECRL itu mula dijalankan.

“Projek perumahan mampu milik di Pahang dijangka terus berkembang, manakala Ke­lan­tan pula akan mencatatkan pertumbuhan projek-projek bangunan bukan kediaman sebanyak 10 hingga 15 peratus,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, keadaan muka bumi yang mencabar di kawasan banjaran Titiwangsa akan menawarkan pelbagai peluang kepada syarikat-syarikat pembinaan tempatan untuk menyediakan kepakaran mereka.

“Syarikat-syarikat tempatan dengan keupayaan teknikal tertentu akan berpeluang memenangi pelbagai pakej subkontrak ECRL yang ditawarkan seperti geoteknik, fabrikasi keluli dan kerja-kerja pembinaan terowong,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 23 Jan. 2016 | Terbitan 24 Jan. 2017

3,344 mangsa banjir kini di 24 pusat pemindahan di Kelantan

Mangsa banjir, Muhammad Saiful Mohd Nasir, 27, memeriksa ayam peliharaan yang sempat diselamatkan ekoran banjir di Kampung Pasir Tumboh.
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat sedikit kepada 3,344 orang setakat 8 pagi Selasa berbanding 3,325 orang malam tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 24 pusat pemindahan yang dibuka di Jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir menyatakan 2,573 orang daripada 712 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan di Jajahan Pasir Puteh, 570 mangsa (202 keluarga) ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di Jajahan Pasir Mas.

Sejumlah 157 orang (54 keluarga) ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Jajahan Kota Bharu manakala 44 orang (10 keluarga) berada di dua pusat pemindahan di Kuala Krai.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang kini di paras 9.64 meter (m) berbanding 9.83m malam tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.00m.
 
Sumber: Bernama | 24 Jan. 2017

Isnin, 23 Januari 2017

Kesemua pejabat Tourism Malaysia negeri ditutup - Nazri

ALOR GAJAH: Semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara ditutup berkuat kuasa serta merta bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini. 

Semasa mengumumkan perkara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan itu tidak melibatkan pemberhentian kakitangan sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.

Beliau berkata, langkah itu dijangka mampu menjimatkan kos kira-kira RM6 juta setahun, yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain. 

"Setiap negeri mempunyai exco pelancongan dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) masing-masing, jadi kita tidak mahu tugas agensi itu dengan pihak berkuasa pelancongan negeri bertindih," kataya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun Pertama Freeport A'Famosa Outlet di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk, Mas Ermieyati Samsuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi serta Pengarah Urusan Kumpulan A'Famosa, Datuk Alex Lau. 

Mohamed Nazri berkata, walaupun kesemua pejabat Tourism Malaysia negeri ditutup, kementerian akan menyediakan lima pejabat informasi di beberapa negeri.

Pejabat berkenaan akan disediakan di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Terengganu bagi kawasan timur, Johor bagi kawasan selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi Sarawak.

Pada 14 Januari lepas, kementerian mengumumkan bahawa empat pejabat Tourism Malaysia di luar negara iaitu New York di Amerika Syarikat, Perth di Australia, Stockholm di Sweden dan Johannesburg di Afrika Selatan ditutup serta merta tahun ini.

Ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke kawasan berkenaan.

Sumber: Bernama | 23 Jan. 2017

14 sekolah di Kelantan ditutup esok berikutan banjir

KOTA BHARU: Sebanyak 14 sekolah di tiga jajahan di Kelantan ditutup esok berikutan keadaan banjir yang belum pulih.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, dalam kenyataan hari ini, berkata penutupan sekolah tersebut melibatkan sejumlah 5,768 pelajar dan 568 orang guru.

Jumlah sekolah yang ditutup itu merangkumi sembilan sekolah di Pasir Mas, empat di Tumpat dan sebuah sekolah di Kota Bharu.

Sekolah yang ditutup di Pasir Mas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, SK Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang 1, SK Bakong, SK Gual Tinggi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Khay Boom, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Falah, SABK Diniah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

Di Tumpat, ialah SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan, SK Telok Jering dan SABK Nurul Huda manakala di Kota Bharu ialah ialah SK Ketereh.

Penutupan sekolah berkenaan berikutan laluan ke sekolah masih ditenggelami air dan tidak selamat untuk pelajar dan guru selain faktor ada sekolah dijadikan pusat pemindahan.

Sumber: Bernama | 23 Jan. 2017

Banjir: 3,916 orang ditempatkan di 27 pusat pemindahan di Kelantan setakat petang tadi

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 3,916 orang setakat 5 petang ini berbanding 4,615 orang tengah hari tadi.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir menyatakan kesemua mangsa banjir daripada jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Kuala Krai itu ditempatkan di 27 pusat pemindahan.

Seramai 2,546 orang daripada 696 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan di Jajahan Pasir Puteh, 715 mangsa (236 keluarga) ditempatkan di 11 pusat pemindahan di Jajahan Pasir Mas.

Seramai 603 orang (219 keluarga) ditempatkan di empat pusat pemindahan di Jajahan Kota Bharu manakala 52 orang (14 keluarga) berada di dua pusat pemindahan di Kuala Krai.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang kini di paras 9.85 meter berbanding 9.92 meter tengah hari tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.00m.

Sumber: Bernama | 23 Jan. 2017

Jalan ke jambatan Sungai Gali runtuh sukarkan penduduk

PASIR PUTEH: Kira-kira 4,000 penduduk di sini menghadapi kesukaran menjalankan urusan harian apabila arus deras banjir meruntuhkan sebahagian jalan yang menyambung jambatan konkrit Sungai Gali di sini.

Jambatan tersebut yang menghubungkan Kampung Gaal dengan Kampung Gong Datuk, turut digunakan sebagai laluan utama oleh penduduk beberapa kampung lain seperti Kampung Sungai Petai, Kampung Bukit Awang, Kampung Gong Chokoh dan Kampung Gong Pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Kampung Gong Datuk, Abdul Rahim Ab Rahman berkata sejak kejadian itu berlaku pada 3 petang semalam, jalan itu tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

"Kejadian tanah runtuh itu menyukarkan penduduk untuk menjalankan urusan harian termasuk 50 pelajar yang berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gaal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh dan berharap pihak berkuasa dapat segera membaik pulih laluan berkenaan.

Sementara itu, seorang warga emas Ghazali Mat Daud, 65, dari Kampung Gong Datuk, berkata dia terpaksa menggunakan jalan alternatif melalui Kampung Pulai Lima sejauh 7 kilometer untuk menziarahi anaknya yang tinggal di Kampung Gong Pasir.

"Biasanya jika melalui jambatan berkenaan, jarak rumah saya dengan rumah anak saya hanya empat kilometer," katanya.

Abdullah Hassan, 50, pula berkata dia terpaksa menggunakan jalan lain sejauh enam kilometer melalui Kampung Kemudu Bongkok untuk menghantar anak ke SK Gaal.

"Jarak rumah saya dengan sekolah berkenaan hanya dua kilometer apabila menggunakan jambatan tersebut," katanya.

Sumber: Bernama | 23 Jan. 2017

Perkhidmatan Ekspres Timuran dan tren ulang-alik Kuala Krai - Dabong dijangka pulih Sabtu ini

Keadaan tanah runtuh di Kilometer 392.5 antara Kuala Gris-Dabong menyebabkan perkhidmatan tren antara Kuala Krai dan Dabong dihentikan sementara. Foto ihsan: KTMB
KOTA BHARU: Perkhidmatan tren antara Kuala Krai dan Dabong dihentikan sementara berikutan kejadian tanah runtuh antara Kuala Gris ke Dabong.

Tanah runtuh itu dikesan pada jam 9 malam Sabtu lalu di Kilometer 392.5, akibat hujan lebat ketika itu.

Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Zaid Ibrahim, berkata runtuhan tanah itu dikesan di lokasi sama dengan kejadian kali pertama pada 31 Disember lalu.

"Ia disebabkan hujan lebat ketika itu dan struktur tanah di situ masih belum kukuh berikutan tanah runtuh sebelum ini.

"Ketika kejadian juga, sebuah tren ekspres sedang menuju ke laluan terbabit namun terpaksa dihentikan di Stesen Bukit Abu, Kuala Krai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaid berkata kerja pembaikan sudah dimulakan dan perkhidmatan tren dijangka pulih sepenuhnya pada Sabtu ini.

Dalam kejadian tanah runtuh pada 31 Disember lalu, kerja pembaikan termasuk menambun tanah berjalan lebih dua minggu dan perkhidmatan tren boleh digunakan bermula 17 Januari lalu.

Berikutan kejadian terbaharu ini, Zaid berkata perkhidmatan tren ulang-alik hanya beroperasi antara Tumpat-Kuala Krai-Tumpat.

Bagi Ekspres Timuran antara Tumpat-Johor Bahru-Tumpat, penumpang akan dibawa dengan tren khas ke Kuala Krai dan disambungkan dengan perkhidmatan bas ke Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru menggunakan tren dan begitu sebaliknya.

Sumber: Berita Harian | 23 Jan. 2017

Chong Wei gesa rakyat Malaysia bantu mangsa banjir di Kelantan

Chong Wei bersama sukarelawan 1M4U di Kelantan.
PETALING JAYA: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menggesa rakyat Malaysia supaya menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Kelantan.

"Kira-kira 12,000 keluarga kehilangan tempat tinggal mereka sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Terima kasih kepada 1Malaysia for Youth (IM4U) kerana memberi peluang kepada saya untuk menghulurkan sedikit sumbangan.

"Bagi yang lain, sila hulurkan bantuan anda sebagai rakyat Malaysia kepada mereka yang terjejas di Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Ahad.

Chong Wei berada di Kelantan bersama sukarelawan 1M4U untuk menyediakan bantuan makanan kepada mangsa.

1M4U merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan sukarelawan dalam kalangan belia Malaysia.

Kejadian banjir besar melanda Kelantan dan Terengganu dalam tempoh beberapa minggu yang lalu menyebabkan ribuan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang kekal pada bacaan 10.11 meter kira-kira pukul 8 pagi Ahad.

Bacaan paras bahaya sungai itu adalah 9 meter.
Sumber: mStar Online | 22 Jan. 2017