Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 28 Mac 2017

UMILE rancang bina projek integrasi ladang solar terapung pertama negara di Danau Tok Uban

KOTA BHARU: UMILE PLT (UMILE), sebuah syarikat bumiputera, merancang untuk membangunkan projek Integrasi Ladang Solar Terapung di Danau Tok Uban, Pasir Mas, melibatkan kos sebanyak RM400 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMILE, Datuk Dr Nazily Mohd Noor berkata projek tersebut dengan kapasiti tenaga 49 Mega Watt (MW) adalah yang pertama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan melakukan kajian kesesuaian tasik tersebut untuk dibangunkan dengan projek berkenaan.

Kajian tersebut yang akan mengambil masa antara lapan dan 12 bulan, melibatkan kerjasama dengan sebuah syarikat dari Taiwan iaitu Tien Ching Energy Group.

"Mulai bulan depan, kita akan menjalankan kajian feasibiliti iaitu merupakan kajian kesesuaian tapak dan kos, kajian daya maju, kajian bancian kuasa, kajian alam sekitar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) antara UMILE dan Tien Ching Energy Group, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UMILE diwakili Nazily, manakala Tien Ching Energy Group diwakili pengerusinya Chih Chung Yeh (HE).

Nazily berkata hasil kajian tersebut akan diserahkan kepada kerajaan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata selain tenaga solar, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan projek ternakan ikan dalam sangkar di kawasan berkenaan.

"Projek Integrasi Ladang Solar Terapung dirancang membabitkan hanya 80 hektar daripada 640 hektar keluasan tasik tersebut," katanya dengan menambah pembinaan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Sumber: Bernama | 28 Mac 2017

Pembukaan hotel bertaraf tiga bintang di Bandar Baharu Kubang Kerian buka peluang pekerjaan

Abdul Fattah (tiga, kanan) semasa perasmian pembukaan Hotel Al-Khatiri di Bandar Baru Kubang Kerian, semalam.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menimbang permohonan mewujudkan Pusat Perniagaan Al-Khatiri di Bandar Baharu Kubang Kerian selepas terbinanya Hotel Al-Khatiri untuk pembangunan ekonomi di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya memberi sokongan terhadap pelaburan yang dibuat Yayasan Al-Khatiri itu bagi membantu pembangunan ekonomi sebagai bandar elit Kubang Kerian.

"Kerajaan negeri kini menimbang untuk meluluskan permohonan yayasan itu membuat cadangan mewujudkan Pusat Perniagaan Al-Khatiri yang saya percaya akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Yayasan ini bukan sahaja baru membina Hotel Al-Khatiri, sebaliknya turut mempunyai butik pakaian, kedai minyak wangi, kedai buku dan agensi pelancongan, malah akan mengembangkannya kepada bidang percetakan serta periklanan," katanya selepas Majlis Perasmian Hotel Al-Khatiri di Bandar Baharu Kubang Kerian, di sini, semalam.

Perasmian itu disempurnakan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj dan turut dihadiri Pengerusi yayasan itu, Salim Salleh.

Sementara itu, Salim berkata, Yayasan Al-Khatiri memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di Kubang Kerian apabila terbina sebuah hotel butik bertaraf tiga bintang.

Katanya, hotel yang memiliki pelbagai kemudahan 42 bilik membuka peluang pekerjaan, selain menyediakan hotel eksklusif berdekatan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Pihak pengurusan hotel memberi jaminan aspek keselamatan kepada pelanggan 24 jam, termasuk kemudahan lain parkir yang mencukupi.

"Selain membina hotel, kami turut memiliki kedai kain Jakel dan agensi pelancongan, Al-Khatiri Travel," katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Mac 2017

Kelantan selesai isu banjir di Bandar Baharu Tunjong guna dana Kerajaan Persekutuan


KOTA BHARU: Peruntukan RM500 juta oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan akan digunakan bagi menyelesaikan kawasan sekitar Bandar Baharu Tunjong supaya tidak terdedah banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood, berkata peruntukan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 itu akan digunakan termasuk pembinaan tebatan banjir. 

"Kawasan sekitar terbabit perlu ditambun tanah setinggi tujuh meter bagi mengelak daripada banjir.

"Kami sudah menyerahkan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengkaji perkara berkenaan. Insya-Allah ia akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pelancaran Pusat 4S HONDA Malaysia Sdn Bhd di Tunjong dekat sini, hari ini. 

Ab Fattah berkata, sebanyak 80 peratus daripada 800 hektar tanah di Bandar Baharu Tunjong ketika ini dalam proses membangun dengan penyusunan pelbagai kemudahan berdasarkan pelan induk yang diluluskan kerajaan negeri

Katanya, baki 20 peratus lagi lot tanah di bandar terbabit masih belum dipenuhi dan pemaju dialu-alukan untuk melabur di lot terbabit bagi membangunkan kawasan berkenaan. 

"Mengikut pelan yang dirancang, banyak kemudahan sudah dikhususkan untuk pelbagai komponen, antaranya komersial, perumahan, akademik, ladang organik, bandar usahawan dan sebagainya. 

"Bagi komponen perumahan, sebanyak 1,000 unit rumah pertama di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan dibina dalam masa terdekat

"Kita mengalu-alukan lagi anak Kelantan untuk memenuhi lot yang masih kosong untuk sama-sama membangunkan bandar baharu itu," katanya.

Sumber: Berita Harian | Timur | 25 Mac 2017

Ahad, 26 Mac 2017

Jabatan Perkhidmatan Veterinar terus pantau unggas di Kelantan - Ahmad Shabery

PASIR MAS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap unggas di Kelantan sehingga negeri itu diisytiharkan bebas daripada wabak selesema burung.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata selain melupuskan unggas di kawasan terbabit, sekatan jalan raya juga dilakukan di beberapa laluan di negeri ini bagi mengelak unggas di kawasan wabak dibawa keluar ke kawasan lain.

"Alhamdulillah, setakat ini tidak ada kes baharu dan mengikut SOPnya(Prosedur Operasi Standard) ada beberapa hari untuk isytihar Kelantan bebas daripada wabak selesema burung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Negaraku Prihatin' di Pertubuhan Peladang Kawasan Kubang Bunut, Meranti di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata setakat ini, sebanyak 37,862 ekor ternakan unggas termasuk ayam dan 15,450 telur dilupuskan berikutan wabak tersebut di negeri ini, sebagai langkah pencegahan.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kualiti dan keselamatan produk makanan supaya ia selamat untuk dimakan," katanya.

Kerajaan Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas.

Sementara itu, Ahmad Shabery menggalakkan petani yang menjadi peserta Ladang Merdeka di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) turut menceburi perusahaan kecil seperti penghasilan makanan ringan, bagi menambah pendapatan.

Beliau berkata petani terbabit mempunyai banyak masa terluang apabila tanaman padi melalui Ladang Merdeka diuruskan oleh Kada dan agensi itu juga mempunyai program keusahawanan untuk membantu mereka.

Turut hadir Pengerusi Kada Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Sumber: Bernama | 26 Mac 2017

Pengendali Pelabuhan Perikanan Tok Bali perlu tingkatkan pelbagai perkhidmatan - Ahmad Shabery

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menunjukkan ikan yang ditangkap oleh nelayan ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Negeri Kelantan di Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali.
PASIR PUTEH: Pelabuhan Perikanan Tok Bali di sini, berpotensi menjadi hab perikanan laut dalam yang utama di rantau ini sekiranya pelbagai perkhidmatan bertaraf antarabangsa dapat disediakan di pelabuhan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata potensi itu jelas dilihat apabila pendaratan ikan di Kelantan mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun.

"(Pendaratan ikan) daripada 62,238 tan metrik ikan pada 2014, ia telah meningkat kepada 218,800 tan metrik pada tahun lepas (2016)," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama nelayan di pelabuhan tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri Semerak Datuk Zawawi Othman, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Ahmad Shabery berkata antara perkhidmatan yang perlu dipertingkatkan itu ialah bilik sejuk beku, bekalan ais yang berkualiti dan mencukupi untuk jangka panjang, kilang industri hiliran, logistik dan memastikan tahap kebersihan memenuhi piawaian antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau mahu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Semerak yang mengendalikan pelabuhan tersebut mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan di pelabuhan itu.

Ahmad Shabery mahu persatuan nelayan terbabit merebut peluang perniagaan yang diberikan kerajaan kepada mereka untuk menjana pulangan yang terbaik melalui kewujudan pelabuhan tersebut.

Sementara itu, mengenai bekalan ikan di pasaran termasuk pada bulan Ramadan akan datang, Ahmad Shabery memberi jaminan ia mencukupi dan harga yang ditawarkan mampu dibeli oleh semua rakyat.

Beliau berkata selain memastikan pertambahan pendaratan ikan, pihak kementerian juga akan meningkatkan sistem pengedaran ikan yang lebih berkesan ke seluruh negara.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan 50 surat kelulusan lesen Pukat Suluh Bilis, 45 sijil alat Sistem Pengecaman Automatik, 50 unit tong insulasi, 40 unit GPS (sistem kedudukan global), 150 pukat hanyut dan 160 unit pelampung keselamatan kepada nelayan jajahan Pasir Puteh, Tumpat, Kota Bharu dan Bachok.

Beliau turut melancarkan projek membina unjam di perairan Kelantan yang akan memberi manfaat kepada lebih 3,400 nelayan.

Sumber: Bernama | 26 Mac 2017

Pendaratan ikan di negara jiran dari laut negara berjaya dikurangkan

Ahmad Shabery (kanan) beramah mesra dengan nelayan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan di Pelabuhan LKIM Tok Bali hari ini.
PASIR PUTEH: Pendaratan ikan dari laut negara di negara jiran terutamanya Thailand berjaya dikurangkan selepas hubungan dua hala dibentuk.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, Illegal Unreported and Unregulated (IUU) yang diberi perhatian serius mengekang aktiviti nelayan dari negara ini mendaratkan ikan di Thailand.

Katanya, perkembangan itu menyaksikan pendaratan ikan di Kelantan meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun dari 2014.

"Nelayan kita dah tak boleh curang kerana jika kita tidak sahkan hasil laut itu, Thailand tidak akan membelinya.

"Tidak adil bila kita bagi lesen tapi mereka seperti 'merompak' hasil kita, itu kerugian besar kepada negara," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemanjuan Ikan Malaysia (LKIM), Tok Bali dekat sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadikan Tok Bali sebagai ‘exit point’ akan mengembangkan lagi industri perikanan.

"Akan ada gerabak sejuk beku bagi membawa hasil laut di sini terus ke Kuala Lumpur yang mengambil tempoh lebih singkat.

"Ini bermakna pelabuhan di sini akan berkembang dengan pesat yang menuntut agensi terlibat meningkatkan kualiti pengurusan," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 26 Mac 2017

Tiada jangkitan wabak selesema burung kepada manusia di Kelantan

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan tiada jangkitan wabak selesema burung (H5N1) daripada ayam kepada manusia dilaporkan setakat ini di Kelantan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini tiada laporan jangkitan H5N1 itu kepada manusia dan hanya melibatkan ayam kampung para penternak kecil-kecilan sahaja.

"Walau bagaimanapun, pemantauan khususnya terhadap industri para penternak ayam dan mengambil langkah pengawasan ketat, dengan mengambil ujian darah terhadap semua pesakit yang dijangkiti selesema, namun sehingga kini tiada sebarang tanda virus berkenaan menjangkiti manusia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ikon Gigi Pulau Pinang 2017 di sini hari ini.

Beliau turut mengesahkan wabak H5N1 ini hanya berlaku di Kelantan sahaja dan tidak merebak ke negeri lain, terutamanya di Terengganu.

Kerajaan Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri selepas beberapa ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata program Ikon Gigi (iGG) ini akan diperluaskan kepada lebih banyak negeri supaya orang ramai akan lebih sedar tentang kesihatan pergigian.

Katanya, sejak dilancarkan pada tahun lepas, program ini telah berjaya memilih lebih 200 Ikon Gigi di tujuh negeri iaitu Melaka, Terengganu, Kelantan, Kedah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Beliau berkata laporan tinjauan kesihatan pergigian kebangsaan orang dewasa pada 2010 menunjukkan bahawa di Pulau Pinang sahaja, hanya seorang daripada lima

orang dewasa yang mendapatkan pemeriksaan pergigian dalam tempoh dua tahun.

"Program ini akan menjadikan iGG sebagai perantara dalam mempromosi aktiviti pergigian kepada masyarakat selain memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang penting kesihatan gigi," katanya.

Tambahnya, pemilihan iGG yang juga sukarelawan ini adalah berdasarkan beberapa kriteria yang sudah dikenal pasti oleh fasilitator yang dilantik kementerian.

Sumber: Bernama | 25 Mac 2017

Kes rogol, curi motosikal meningkat di Tanah Merah

Din beramah mesra dengan ahli jemaah pada program imarah masjid sempena sambutan Hari Polis ke-210 di Masjid Ismail Petra Tanah Merah.
TANAH MERAH: Dua kes jenayah iaitu rogol dan curi motosikal di daerah ini mencatatkan peningkatan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, bagi kes curi motosikal, peningkatan sebanyak 10 kes direkodkan iaitu kepada 47 kes pada tahun ini daripada 37 kes pada tahun lalu.

Menurutnya, kes rogol pula bertambah sebanyak empat kes dalam tempoh tersebut iaitu daripada tiga kes pada tahun lalu kepada tujuh kes pada tahun ini.

"Seluruh Kelantan, kes jenayah menurun, tetapi daerah Tanah Merah, ada sedikit kenaikan dalam tempoh tiga bulan pertama berbanding tahun lepas melibatkan kes rogol dan curi motosikal.

"Walaupun kenaikan di Tanah Merah tak banyak tapi merupakan kenaikan tertinggi berbanding daerah lain," katanya kepada pemberita pada program imarah masjid sempena sambutan Hari Polis ke-210 di Masjid Ismail Petra Tanah Merah, hari ini.

Sempena program itu, Din menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Integriti Melonjak Kualiti Hidup, bertemu mata dengan jawatan kuasa pengurusan masjid dan bersama ahli jemaah pada jamuan rakyat.

Din berkata, walaupun ada peningkatan, beliau yakin program dilaksanakan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad termasuk aktiviti turun padang mampu menurunkan kadar jenayah.

"Bagi seluruh negeri, kes jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 13.53 peratus bersamaan dengan 105 kes sepanjang tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Saya harap pada akhir 2017 ini, semua daerah di negeri ini mampu menurunkan kadar jenayah dengan segala usaha yang kita buat dan salah satunya melalui program turun padang," katanya. 

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Mac 2017

Jambatan Pulau Raya: Tanah Merah, Machang berisiko banjir lebih dahsyat

Pelan cadangan asal pembinaan jambatan kedua menghubungkan Machang-Tanah Merah dari Kampung Joh di Machang (kanan) dan Belimbing melalui Pulau Raya di Tanah Merah.
TANAH MERAH: Daerah ini dan Machang berisiko dilanda banjir lebih dahsyat daripada bah kuning 2014 jika jambatan kedua menghubungkan dua daerah itu dibina di lokasi asal dari Kampung Joh ke Belimbing melalui Pulau Raya, dekat sini.

Jurutera Jajahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Tanah Merah, Mazlan Mustafa berkata, hasil kajian teknikal JKR mendapati reka bentuk jambatan untuk lokasi asal boleh menghalang aliran sungai pada musim banjir kerana melibatkan pembinaan tambak.

Menurutnya, tambak sepanjang 500 meter dengan ketinggian tiga meter di atas Pulau Raya itu sebahagian daripada keseluruhan struktur jambatan sepanjang 1.1 kilometer yang akan dibina merentasi sungai jika projek tersebut dikekalkan di lokasi asal.

"Jambatan sepatutnya dibina secara struktur elevated sepanjang rentasan sungai dan bukannya ada tambakan merentangi sungai yang boleh mengundang limpahan sungai serius jika banjir besar.

"Jika berlaku limpahan akibat laluan air sungai terhalang oleh tambakan tersebut, bukan sahaja Pulau Raya tenggelam, malah daerah ini dan Machang akan menanggung banjir lebih dahsyat daripada bencana pada 2014," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan lebih 100 penduduk Mukim Belimbing supaya lokasi asal jambatan kedua dari Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing melalui Pulau Raya dikekalkan.

Mazlan berkata, tambak atas pulau melintang sungai juga bertentangan kehendak teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu sebarang pembinaan jambatan tidak sepatutnya mengganggu aliran semula jadi sungai terutama aliran musim banjir.

"Bajet kira-kira RM70 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk projek ini pula tidak mencukupi untuk membina jambatan konkrit sepenuhnya tanpa melibatkan pembinaan tambak," katanya.

Tambahnya, atas sebab teknikal dan kekangan bajet itu, JKR mencadangkan lokasi jambatan kedua dipindah dan dibina dari Kampung Mata Air di Machang ke Kampung Paloh di Tanah Merah kerana lebih praktikal dan lebih jimat.

"Lokasi baharu ini mempunyai jarak rentasan sungai lebih pendek iaitu hanya 500 meter yang membolehkan jambatan sepenuhnya dibina tanpa mengganggu aliran sungai ketika banjir," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Mac 2017

Tiga negara kawal Laut Sulu: Malaysia, Indonesia, Filipina tandatangani perjanjian bersama

Hishammuddin Tun Hussien dan Khairy Jamaluddin dalam Dialog TN50: Masa Depan Pertahanan Negara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 di Langkawi, Kedah, semalam.
LANGKAWI: Malaysia, Indonesia dan Filipina akan menandatangani satu perjanjian bagi melaksanakan misi bersama dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau dan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina akan berada di Sabah dalam tempoh terdekat bagi tujuan tersebut.

“Majlis itu melibatkan perjanjian tiga negara berkenaan dalam melihat keselamatan Laut Sulu yang merupakan inisiatif yang bukan sahaja kita impikan, tetapi kepada tahap operasi seperti rondaan laut bersama dan pemantauan dari udara.

“Pihak kepemimpinan terting­gi negara telah memberi kita mandat untuk memikirkan usaha baharu dalam mempertingkatkan keselamatan Laut Sulu,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengambil bahagian dalam majlis Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50): Masa Depan Pertahanan Negara di Resort World Langkawi di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Brigedier Jeneral Khairy Jamaluddin merangkap Komander Rejimen 508 Askar Wataniah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd. Zain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamed Afendi Raja Mohd, Noor.

Dialog tersebut merupakan salah satu acara yang diadakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ‘17) yang berakhir hari ini selepas dibuka kepada pelawat perdagangan dan awam sejak Selasa lalu.

Sebanyak 600 pelajar yang menyertai pasukan seragam di institusi pe­­nga­jian ting­­­gi seper­ti­ Pasukan La­tihan Pe­­­gawai Sim­panan (Pa­lapes) Uni­­versiti Awam ter­ma­­suk pelajar­ Univer­siti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) me­ngambil bahagian dalam dialog ter­sebut.

Hishammuddin berkata, inisiatif keselamatan di Laut Sulu bukan sahaja bertujuan mahu mengekang kes penculikan oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan tersebut tetapi yang lebih pen­ting, bagi menyekat kumpulan militan Daesh di rantau ini.

Beliau berkata, gabungan pa­sukan keselamatan tiga negara itu dalam inisiatif Laut Sulu mampu mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan ber­kenaan.

“Ini penting kerana pengganas Abu Sayyaf telah berbaiah dengan militan Daesh dalam mengembangkan pengaruh me­reka,” ujarnya.

Keadaan itu katanya, boleh mengancam keselamatan negara-negara di rantau ini dan bagi Malaysia, Sabah adalah negeri yang paling hampir dengan ancaman daripada pengganas Abu Sayyaf.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 25 Mac 2017 | Terbitan 26 Mac 2017

Penduduk bantah pemindahan lokasi jambatan kedua Machang - Tanah Merah

Penduduk berhimpun bagi menggesa lokasi pembinaan jambatan kedua Machang-Tanah Merah dikekalkan.
TANAH MERAH: Lebih 100 penduduk Mukim Belimbing berhimpun bagi menggesa kerajaan supaya mengekalkan lokasi asal projek pembinaan jambatan kedua menghubungkan Machang dan Tanah Merah, di sini, hari ini.

Gesaan itu dibuat selepas lokasi asal projek menghubungkan Kampung Joh di Machang ke Kampung Belimbing melalui Kampung Pulau Raya di Tanah Merah dikatakan akan dipindahkan ke kawasan lain.

Penghulu Mukim Belimbing, Saari Hamzah berkata, tapak asal projek itu wajar dikekalkan supaya dapat membawa kemajuan dari segi kemudahan perhubungan dan ekonomi kepada kampung terlibat terutama Kampung Pulau Raya.

Katanya, kedudukan Pulau Raya diapit dua sungai dan beberapa kesan sejarah seperti perigi lama berusia lebih 100 tahun bakal menjadikannya sebagai destinasi pelancongan jika jambatan itu dibina melalui kampung berkenaan.

"Kami minta projek ini kekal sebagaimana tapak asal untuk mudahkan perhubungan dan bawa kemajuan ekonomi kepada penduduk Pulau Raya serta kawasan sekitar seperti Sungai Bagan, Kampung Joh dan Belimbing," katanya, semalam.

Projek pembinaan jambatan kedua Machang-Tanah Merah dengan anggaran kos RM60 juta itu diumumkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, September tahun lalu.

Jambatan itu dilihat satu keperluan mendesak rakyat bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan menampung jumlah kenderaan yang banyak pada musim perayaan dan cuti sekolah di laluan berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi projek itu dikatakan ditukar dan akan dibina menghubungkan Kampung Mata Air di Machang dengan Kampung Pasir Genda, Paloh di Tanah Merah.

Wakil penduduk Kampung Pulau Raya, Tiew Bung Ee, 58, berkata, jika lokasi asal projek dikekalkan, jambatan kedua itu akan memberi laluan alternatif kepada penduduk terutama pada musim banjir.

"Kalau musim tengkujuh, memang susah bagi penduduk nak keluar kerja, budak nak pergi sekokah atau sakit demam sebab kampung kami terkepung air," katanya.

Tambahnya, jambatan melalui kampung itu juga bakal memberi kemudahan kepada ramai penduduk luar yang mengusahakan kebun getah dan buah-buahan di pulau berkenaan.

"Itu pun ada lagi tanah terbiar dan pemilik hanya bayar cukai hasil saja sebab payah nak usahakan. Kalau ada jambatan, kampung ini boleh maju lagi," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Mac 2017

Sabtu, 25 Mac 2017

Keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz buat laporan polis terhadap Amanah

KOTA BHARU: Anggota keluarga bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Nik Mat hari ini membuat laporan polis terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung penganjuran satu seminar oleh parti itu yang menggunakan nama Nik Abdul Aziz.

Anaknya, Nik Mohamad Abduh menganggap penganjuran seminar oleh Amanah adalah penghinaan terhadap Allahyarham bapanya itu yang selama ini istiqamah dengan perjuangan PAS.

"Amanah nak anjur seminar guna nama tok guru (Allahyarham Nik Abdul Aziz) dan mereka sebelum ini sentiasa sebut Allahyarham pun akan sokong Amanah (jika masih hidup).

"Saya anggap ini satu penghinaan kepada Allahyarham kerana kita sedia maklum Allahyarham sentiasa istiqamah dengan perjuangan PAS ketika beliau masih hidup," katanya pada sidang akhbar di rumah Allahyarham di Pulau Melaka di sini, Sabtu.

Hadir sama, adik Allahyarham, Nik Din dan Nik Mohd Nasim dan anak Allahyarham, Nik Adli.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa kira-kira 10.30 pagi tadi.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS berkata anggota keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Amanah jika parti itu terus menggunakan nama Allahyarham semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Amanah, menerusi laman sesawang mereka di http://amanahdaily.com pada 20 Mac lepas dilapor akan menganjurkan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9 April depan yang akan berlangsung di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur.

Sumber: Bernama | 25 Mac 2017

Jumaat, 24 Mac 2017

JBPM lakukan penerbangan ihsan selamat Orang Asli di Gua Musang

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melakukan penerbangan ihsan bagi membantu seorang pemuda Orang Asli yang patah pinggang akibatan kemalangan motosikal.

Pegawai Perhubungan Awam, Bahagian Udara JBPM Penguasa Siti Farizun Naim berkata JBPM melakukan penerbangan ihsan itu bagi membawa keluar Edi Alang, 24, yang tinggal di Pos Belatim di sini, ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.

Siti Farizun berkata penerbangan menggunakan helikopter AW 139 itu berlepas dari Subang pada 12.45 tengah hari tadi dan tiba di Pos Belatim pada 1.46 tengah hari.

"Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari Pos Belatim dan tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada pukul 2.10 petang dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang menggunakan ambulans bomba untuk mendapatkan rawatan.

Sebelum itu, BBP Gua Musang menerima panggilan pada pukul 11.50 pagi daripada kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli yang mengatakan terdapat seorang pemuda Orang Asli patah pinggang selepas kemalangan motosikal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Siti Farizun berkata ibu saudara mangsa, Asah Asu, 32, turut mengiringi mangsa dalam penerbangan itu.

Beliau mengakui penerbangan ihsan itu sudah banyak membantu kaum Orang Asli di Hulu Kelantan diawal tahun ini termasuk turut digunakan untuk mengangkut pelajar kaum itu terjejas banjir.

Sumber: Bernama | 24 Mac 2017

Pelajar rayu tanggung kos ke Mesir

Ku Abdul Muhaimin bersama ibunya ketika ditemui di tempat kerjanya di taman kekal pengeluaran makanan, dekat Tanah Merah
TANAH MERAH: Seorang hafiz al-Quran dari Felda Kemahang 1, di sini, merayu bantuan orang ramai bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Al-Azhar, Mesir, akhir bulan ini.

Ku Abdul Muhaimin Ku Mat, 21, berkata, berdasarkan surat tawaran rasmi diterimanya, dia perlu menyediakan wang sebanyak RM3,538 untuk kos pengurusan termasuk tiket kapal terbang.

Katanya, dengan pendapatan keluarganya bergantung kepada hasil menanam sayur, dia amat memerlukan bantuan segera daripada orang ramai kerana dijadualkan bertolak ke Mesir antara Isnin dan Khamis ini.

“Jumlah tersebut tidak termasuk duit belanja. Saya tidak dapat penajaan dari mana-mana pihak dan pergi ke sana atas tanggungan sendiri,” katanya yang merupakan lulusan Diploma Tahfiz Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Kuala Kubu Baru, Selangor.

Anak kesembilan daripada 10 beradik itu kini membantu ibu bapanya di taman kekal pengeluaran makanan, dekat sini, selepas tamat pengajian diploma, awal bulan ini.

Ku Abdul Muhaimin berkata, dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di universiti terkenal itu untuk tempoh selama empat tahun dalam bidang pengajian Usuluddin.

“Hanya empat lulusan Diploma Tahfiz Darul Quran Jakim dapat tawaran melanjutkan pengajian di Mesir pada tahun ini termasuk saya sebab itu saya harap sangat dapat pergi,” katanya. 
 
Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui Maybank di nombor akaun 1620-7666-6790 atas nama Ku Abdul Muhaimin atau menghubunginya di talian 013-3969499.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 Mac 2017

Khamis, 23 Mac 2017

500 penagih dan pengedar ditahan di Pasir Mas sepanjang tahun ini

Asisten Komisioner Ibrahim Saad, Ketua Polis Daerah Pasir Mas.
PASIR MAS: Sebanyak 500 orang penagih termasuk pengedar dadah berjaya diberkas menerusi pelbagai operasi bersepadu yang jalankan oleh polis di daerah ini sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, setiap bulan purata 200 penagih dan pengedar dadah berjaya di berkas sejak Januari lalu.

"Kita pandang serius perkara ini dan pelbagai usaha akan diambil untuk membanteras penyalahgunaan dadah terutama pil kuda di jajahan ini.

"Operasi berterusan ini selaras dengan saranan Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail yang melancarkan jihad memerangi pil kuda," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
 
Sumber: Utusan Online | 22 Mac 2017

Rabu, 22 Mac 2017

Lapangan terbang antarabangsa baharu di Machang

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mencadangkan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Kelantan dibina di Bagan Estet, Machang. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad, berkata lokasi berkenaan dianggap bersesuaian berikutan berada di antara laluan yang menghubungkan Gua Musang dan Pasir Puteh. 

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai keluasan mencukupi membabitkan tanah seluas 800 hektar dan lokasi itu mampu dibangunkan dengan adanya lapangan terbang antarabangsa. 

"Setakat ini kita mencadangkan tapak di lokasi berkenaan kerana lapangan sedia ada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa berdepan kesukaran berikutan keluasan terhad, " katanya ketika menjawab soalan Ahmad Fathan Mahmood (PAS-Chempaka), di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini. 

Mengenai projek pembesaran LTSIP Pengkalan Chepa, Hanifa berkata, projek naik taraf yang membabitkan kos sebanyak RM450 juta itu akan dimulakan Oktober ini

"Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2020 dan menerusi pembesaran itu membolehkan LTSIP menampung kapasiti penumpang kepada empat juta, berbanding dua juta sebelum ini.

"Menerusi projek itu, LTSIP akan dibina dua tingkat iaitu di tingkat bawah adalah balai ketibaan manakala di tingkat atas dijadikan sebagai balai pelepasan

"Usaha kita menerusi pembesaran LTSIP itu sebenarnya mahu menjadikan lapangan berkenaan sebagai lapangan terbang antarabangsa, namun berdepan kekangan berikutan keluasan yang terhad dan perlu membabitkan pengambilan tanah," katanya.

Sumber: Berita Harian | Timur | 22 Mac 2017

Kelantan mahu wujudkan pasar terapung kedua

KOTA BHARU: Kerajaan negeri bercadang membuka pasar terapung kedua Kelantan selepas Pulau Suri di Tumpat, berikutan sambutan menggalakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman, berkata pasar terapung pertama yang diperkenalkan Jun tahun lalu dan beroperasi setiap Sabtu mendapat sambutan memberangsangkan, sehingga ramai pihak meminta mewujudkan pasar kedua.

"Ada dua lokasi strategik dan sesuai mewujudkan pasar terapung kedua iaitu Taman Mahkota dan Pengkalan Datu, Tumpat.

"Kedua-dua lokasi bertepatan kerana kawasan berkenaan mempunyai kemudahan lengkap termasuk surau dan taman permainan.

"kerajaan negeri kini mengadakan perbincangan dengan syarikat swasta sebelum memutuskan lokasinya," katanya ketika menjawab soalan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anizam berkata, sepanjang tahun lalu, Kelantan mencatat kedatangan 5.8 juta pelancong, berbanding sasaran enam juta.

Katanya, kemasukan pelancong itu dianggap memberangsangkan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan daripada jumlah berkenaan, seramai 4.4 juta pelancong tempatan dan 1.4 juta pelancong antarabangsa.

"Industri perhotelan juga mencatat peningkatan lebih 10 peratus dari segi bilik, sekali gus menyumbang kepada pendapatan dalam sektor perkhidmatan," katanya yang menjawab soalan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (PAS-Limbongan).

Sumber: Berita Harian | Timur | 22 Mac 2017

JKOASM sukarkan perbincangan antara kerajaan negeri dan Orang Asli - Mohd Amar

Dewan Undangan Negeri Kelantan
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menyifatkan tindakan sebuah pertubuhan yang didakwa mengapi-apikan Orang Asli menjadi antara penyebab timbul kesulitan di antara masyarakat itu dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah berkaitan aktiviti pembalakan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mendakwa mereka mewakili masyarakat Orang Asli dalam isu berkenaan, namun ia merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar dan pandangan mereka tidak boleh diambil kira.

"Sebab itu agak sukar untuk kerajaan berurusan dengan JKOASM walaupun mereka mengaku mereka adalah wakil Orang Asli.

"Mengikut maklumat yang ada pada kita, JKOASM ini adalah di belakang tindakan sekatan Orang Asli. Mereka juga mengapi-apikan Orang Asli dengan isu tanah adat, padahal tanah adat hanya ada di Sabah dan Sarawak sahaja," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ab Aziz Yusoff (BN-Galas) yang ingin tahu mengenai inisiatif yang telah dan sedang diusahakan kerajaan negeri dalam memberikan kelulusan tanah kepada Orang Asli sebagai rizab penempatan mereka.

Mohd Amar berkata kerajaan negeri telah meluluskan dan mewartakan 11,587.433 hektar tanah membabitkan tujuh kawasan di Gua Musang sebagaimana yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau berkata masyarakat Orang Asli sebelum ini mengemukakan tuntutan tidak munasabah iaitu mereka mahu sebuah keluarga diberikan tanah seluas 20 hektar seorang.

"Masyarakat Orang Asli di Kelantan ini hanyalah sekitar 8,000 orang sahaja. Jika kesemua mereka diberikan tanah 20 hektar, maknanya kerajaan negeri kena peruntukkan lebih 80,000 hektar tanah kepada mereka. Jika ini berlaku, bagaimana kita nak laksanakan pembangunan dan mengeluarkan hasil hutan," katanya.

Sumber; Bernama | 22 Mac 2017

Tidak kemuka dokumen lengkap antara punca gagal dapatkan rumah mampu milik di Kelantan

Dewan Undangan Negeri Kelantan
KOTA BHARU: Kegagalan pembeli mengemukakan dokumen lengkap menjadi antara punca mereka tidak mampu memiliki rumah mampu milik (RMM) yang dibina oleh Kerajaan Negeri Kelantan, kata anggota exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ini berikutan pembeli kebanyakannya bekerja sendiri dan gagal mengemukakan dokumen yang kukuh mengenai aliran tunai mereka.

"Bagi penjawat awam dan swasta pula, mereka telah mempunyai komitmen yang tinggi dalam slip gaji mereka," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Tuan Mohamad Awang (PAS-Gual Periok) yang ingin tahu status dan perkembangan rumah-rumah awam kos rendah dan isu berbangkit serta langkah penyelesaian berkaitan proses penjualan RMM oleh kerajaan negeri setakat ini.

Abdul Fattah berkata berikutan itu kerajaan negeri juga telah mengadakan sesi taklimat antara pembeli dengan pihak bank bagi memberi lebih kefahaman kepada pemohon untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih berkesan.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata sebanyak 1,628 unit rumah telah siap dibina setakat ini, manakala 2,693 unit rumah sedang dibina dan 2,818 unit rumah masih dalam perancangan.

Beliau berkata bagi pembeli yang berminat untuk mendapatkan RMM, mereka perlu mendaftar dengan Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Kelantan sebelum penilaian dilakukan oleh jabatan berkenaan.

"Selepas itu, pembeli akan ditemu ramah oleh jabatan berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar layak untuk mendapatkan RMM," katanya.

Sumber: Bernama | 22 Mac 2017

Kelantan cadang bina lapangan terbang antarabangsa baharu di Machang

Dewan Undangan Negeri Kelantan
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa di Bagan Estet, Machang.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata pemilihan Machang dibuat kerana ia adalah kawasan yang strategik yang terletak di tengah-tengah Kelantan, selain berhampiran Pasir Puteh yang mempunyai Pangkalan Perbekalan Tok Bali.

"Bagi menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) adalah tidak mungkin kerana mengikut Prosedur Operasi Standard, ia memerlukan kawasan seluas 800 hingga 1,200 hektar untuk dijadikan lapangan terbang antarabangsa.

"Ia sesuatu yang sukar kerana melibatkan pengambilan tanah membabitkan Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Taman Bendahara," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad (PAS-Chempaka) yang bertanya sama ada dengan siapnya terminal baharu LTSIP akan menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Terdahulu Ahmad Fathan bertanyakan soalan mengenai status terkini projek pembesaran LTSIP di Pengkalan Chepa di sini.

Menyentuh mengenai pembesaran LTSIP ketika ini, Hanifa berkata ia membabitkan kos sebanyak RM450 juta dan pembinaannya akan bermula pada Oktober ini dan dijangka siap pada 2020.

Beliau berkata melalui projek itu terminal sedia ada akan diperbesarkan dan boleh menampung sebanyak empat juta pengguna setahun berbanding dua juta ketika ini.

"Selepas pembesaran LTSIP disiapkan, kita akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan penerbangan terus ke Mekah dan Madinah, selain dijadikan hab penerbangan untuk Asia Tenggara," katanya.

Sumber: Bernama | 22 Mac 2017

Dua projek Kerajaan Pusat di Kelantan siap tahun ini

Makhtar Mustapha (dua dari kiri) menyampaikan anugerah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa di UiTM Cawangan Kelantan, Machang, Kelantan, semalam.
MACHANG: Dua projek besar yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di negeri ini bakal siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, projek itu adalah Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi fasa pertama serta projek jalan pintasan Pasir Mas.

“Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi fasa pertama sedang dilaksanakan apabila Pakej 1B melibatkan laluan Pasir Hor-Kadok sepanjang 10.5 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada September ini.

“Manakala projek bypass jalan Pasir Mas yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dijangka siap pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa di UiTM Cawangan Kelantan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Makhtar berkata, rakyat negeri ini seharusnya berterima kasih de­ngan segala pembangunan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Pusat sehingga kini.

“Kelantan tidak pernah ke­tinggalan dalam aspek pemba­ngunan kerana pelbagai projek telah dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, negeri ini tidak pernah dianaktirikan, malah lebih banyak projek pembangunan yang akan menyusul selepas ini sekali gus meningkatkan ekonomi rakyatnya.

Antara projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini ialah projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Tanah Merah dan Ketereh.

“Begitu juga dengan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang merentasi Tok Bali, Jelawat, Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 21 Mac 2017 | Terbitan 22 Mac 2017

Sidang DUN Kelantan: Tiada kenaikan premium lot kediaman, industri dan perniagaan

KOTA BHARU: Sejak 1990 sehingga sekarang hanya sekali kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama menaikkan kadar bayaran premium tanah di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kenaikan kadar premium itu dibuat pada 2015 selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Katanya kenaikan tersebut meliputi tanah yang bertanam getah dan kelapa sawit serta dusun. Namun tiada kenaikan bagi tanah lot kediaman, industri atau perniagaan.

“Sebelum kenaikan itu berlaku pada 2015 kadar premium tanah di Kelantan paling rendah di negara ini iaitu hanya RM750 bagi satu ekar.

“Biarpun berlaku kenaikan namun rakyat Kelantan yang tidak mampu boleh mengisi borang rayuan dengan mendapat pengesahan wakil rakyat.

“Rakyat yang tidak mampu menjelaskan jumlah premium permohonan tanah boleh mengemukakan rayuan tersebut.

“Malah pada akhir tahun lepas kerajaan negeri memberi insentif potongan sehingga 90 peratus premium tanah dalam tempoh dua bulan yang diberi kerajaan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada persidangan Dun di Kota Bharu hari ini.

Selain itu kata beliau rakyat yang tidak mampu boleh membayar secara ansuran di Pejabat Tanah dan Jajahan.

Sumber: Harakah Daily | 21 Mac 2017