Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 April 2017

ECRL bakal lonjak pembangunan Bandar Perikanan Tok Bali

PASIR PUTEH: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi perkhidmatan kereta api akan memberi impak besar terhadap pembangunan Bandar Perikanan Tok Bali di sini, terutamanya dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Anggota Dewan Undangan Negeri Semerak, Datuk Zawawi Othman berkata kemudahan perkhidmatan kereta api tersebut akan menarik minat pelabur untuk melabur di kawasan bandar perikanan berkenaan.

"Stesen ECRL yang akan dibina di Beris Lalang, Jelawat (Bachok) yang jaraknya dua kilometer dari Tok Bali akan menyumbang kepada minat pelabur untuk melabur di kawasan bandar perikanan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Farmasi Bersama Komuniti di Kampng Guntong di sini, hari ini.

Projek sepanjang 600 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Zawawi berkata antara projek yang dikenal pasti untuk dilaksanakan di kawasan bandar perikanan itu ialah kilang ikan sardin, pelabuhan, taman perikanan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

Sumber: Bernama | 30 April 2017

Sidang Kemuncak IMT-GT lulus 40 projek bernilai RM204 bilion

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur - Singapura antara 40 projek dengan anggaran kos US$47 bilion (RM204 bilion) diluluskan Sidang Kemuncak Ke-10 Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di Manila, Filipina hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata projek-projek berkenaan yang akan dilaksanakan ketiga-tiga negara IMT-GT tersenarai di bawah dokumen perancangan 'IMT-GT Vision 2036' dan 'IMT-GT Implementation Blueprint 2017-2021'.

Katanya, dokumen berkenaan yang merupakan dokumen kesinambungan kepada 'IMT-GT Implementation Blueprint' bagi tempoh 2012-2016 dibentangnya mewakili Menteri-Menteri Bertanggungjawab IMT-GT bagi Indonesia dan Thailand.

"Projek-projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh 2017 - 2021," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sidang Kemuncak IMT-GT berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri Presiden Indonesia Joko Widodo serta Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha.

Abdul Rahman berkata selain projek keretapi laju itu, turut tersenarai di bawah dokumen perancangan berkenaan ialah projek Kereta Api Pantai Timur, projek Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata sebanyak 57 projek infrastruktur keutamaan dengan nilai anggaran US$21 bilion (RM91.16) diluluskan pada Sidang Kemuncak Ke-12 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang turut berlangsung di Manila, hari ini.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab ke atas BIMP-EAGA Malaysia berkata kesemua projek berkenaan terkandung di bawah dokumen perancangan BIMP-EAGA, iaitu 'BIMP-EAGA Vision 2025 (BEV 2025)'.

Katanya, semua projek itu akan dilaksanakan oleh keempat-empat negara BIMP-EAGA.

"Antara projek di sebelah Malaysia ialah Projek Lebuhraya Pan-Borneo (Sabah), Projek Lebuhraya Pan-Borneo (Sarawak), Projek Pembesaran Pelabuhan Teluk Sepanggar, Projek Pengorekan Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Tawau dan Projek Pembinaan Lapangan Terbang Mukah.

"Projek-projek ini akan menjadi pemangkin kepada proses integrasi ekonomi antara negeri/provinsi dalam kawasan kerjasama serantau BIMP-EAGA," tambahnya.

Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-12 yang turut dihadiri Najib itu dipengerusikan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Sumber: Bernama | 29 April 2017

IMT-GT Summit approves 40 projects worth RM204.04 billion

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR: The High-Speed Rail service between Kuala Lumpur and Singapore is among 40 projects costing US$47 billion (RM204.03 billion) approved by the 10th Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Summit in Manila, Philippines, today.

Minister in the Prime Minister s Department Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan said the projects which would be implemented by the three countries were contained in the 'IMT-GT Vision 2036' and 'IMT-GT Implementation Blueprint 2017-2021'.

He said the documents which was a continuation of the 'IMT-GT Implementation Blueprint' 2012-2016 was presented by the Indonesian and Thai ministers overseeing the IMT-GT.

The projects would be implemented between 2017 and 2021," he said in a statement late Saturday night.

The IMT-GT Summit was chaired by Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak and was attended by Indonesian President Joko Widodo and Thai Prime Minister General Prayut Chan-o-cha.

Abdul Rahman said besides the HSR project, also listed in the development blueprint is the East Coast Railway, Chuping Valley Industrial Area and Perlis Inland Port.

Touching on another development, he said 57 main infrastructure projects estimated at US$21billion (RM91.16 billion) were sanctioned by the 12th Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) Summit in Manila.

Abdul Rahman, who is also the minister overseeing BIMP-EAGA Malaysia, said all the said projects were contained in the BIMP-EAGA blueprint the 'BIMP-EAGA Vision 2025' and would be implemented by all four ASEAN countries.

"The projects to be implemented in Malaysia are the Pan Borneo Highway (Sabah), Pan-Borneo Highway (Sarawak), Sepanggar Bay Container Port Expansion, Deepening of Kuching and Tawau Ports and the Mukah Airport.

"These projects will be a catalyst to the economic integration process between countries/provinces in BIMP-EAGA, he added.

The BIMP-EAGA Summit, which was attended by Najib, was chaired by Philippines President Rodrigo Duterte.

Source: Bernama | 29 April 2017

Keldai dadah India ditahan di LTSM, kastam rampas 10kg ketamin

KUALA TERENGGANU: Cubaan seorang lelaki warga India, dipercayai keldai dadah, untuk membawa masuk 10 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM700,000 gagal selepas ditahan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, semalam.

Taktik suspek berusia 37 tahun untuk menyorok dadah berkenaan dalam timbunan kain sari dalam bagasinya berjaya dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu selepas melakukan pemeriksaan terhadap bagasi itu pada pukul 8.55 pagi.

Pengarah Kastam negeri, Aidid Tajuddin berkata suspek itu tiba di sini pada pukul 7.30 malam, Jumaat, menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Bengaluru, India dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke LTSM pada hari yang sama.

Bagaimanapun, bagasi suspek itu tiba di LTSM lewat sehari iaitu pagi semalam.

Suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorok dadah berkenaan dalam ruangan khas bagasi di sebalik timbunan 29 pasang kain sari yang didakwa untuk dijual," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Aidid, siasatan mendapati suspek telah tiga kali masuk ke negara ini bermula Januari hingga Mac melalui KLIA kali pertama tiba di Terengganu.

Suspek dipercayai akan menetap dalam tempoh dua hingga tiga hari dengan menerima upah sekitar RM700, malah dadah yang dibawa masuk itu untuk pasaran dan dikilangkan di negeri lain, katanya.

Beliau berkata Terengganu hanya menjadi transit sahaja dan kes tersebut merupakan kes pertama melibatkan rampasan dadah di LTSM tahun ini.

"Suspek kini ditahan reman selama 12 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya

Sumber: Bernama | 30 April 2017

Bunga tahi ayam boleh halau nyamuk - Jabatan Kesihatan Pahang

TEMERLOH: Jabatan Kesihatan Pahang mengenal pasti dua tumbuhan yang boleh menghalau nyamuk sekali gus dapat mengurangkan penularan wabak denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata tumbuhan itu ialah pokok jeremin yang juga disebut sebagai pokok halau nyamuk atau jari lima serta pokok lantana camara atau lebih dikenali sebagai bunga tahi ayam.

Beliau berkata dua tumbuhan ini sesuai ditanam di kawasan rumah dan bukan sahaja berfungsi sebagai penghalau nyamuk, tetapi juga sesuai dijadikan pokok hiasan.

“Kajian mengenai kesesuaian pokok ini telah dilakukan sejak tahun 2010. Maka, kita mencadangkan kepada pihak terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menggalakkan tumbuhan jenis ini di kawasan perumahan," katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri program Gotong-Royong Bersepadu Perangi Aedes 2017 di Taman Saga, Mentakab Ahad, yang turut disertai Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Sha'ari Ngadiman.

Norol Azali berharap penduduk dapat mengambil inisiatif menanam tumbuhan itu di kawasan perumahan mereka, memandangkan benih tumbuhan tersebut mudah diperoleh dan tumbuhannya tidak rumit untuk dijaga.

"Rasanya tiada masalah untuk penduduk menanamnya di kawasan persekitaran rumah mereka. Ini adalah inisiatif yang boleh dilakukan penduduk untuk sama-sama mengambil bahagian dalam mencegah demam denggi selain menyertai aktiviti gotong-royong," katanya.

Beliau berkata untuk tahun ini, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan serta agensi terlibat telah melaksanakan 146 aktiviti gotong-royong di seluruh negeri.

Beliau juga memaklumkan kes demam denggi di Pahang bagi empat bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan iaitu 703 kes berbanding 1,060 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Sumber: Bernama | 30 April 2017

Pelaksanaan kutipan RC kenderaan dari Thailand tahun ini - Liow

BENTONG: Kenderaan dari Thailand akan dikenakan caj jalan raya (RC) dalam masa terdekat selepas Kabinet meluluskan kutipan bayaran itu seperti yang telah dilaksanakan di sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata rundingan sedang dilaksanakan dengan pihak berkaitan khususnya Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri yang merupakan laluan masuk ke Thailand, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Bayaran yang akan dikenakan ialah RM20. Setiap negeri apabila mereka kutip dari sempadan masing-masing, kami akan serah semula RM5 kepada kerajaan negeri terlibat. Ini sama seperti yang dipraktikkan di Johor," katanya.

Liow berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-71 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan 'Rakyat Didekati, JPJ Disayangi' di Dataran Bentong di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Liow juga memaklumkan kutipan RC bagi kenderaan dari Singapura sejak ia dilaksanakan pada 15 Ogos lalu sebanyak RM7.9 juta, namun menegaskan kutipan itu bukan semata-mata bersifatkan keuntungan.

“Ini bukan dilihat dari segi hasil sahaja. Kami lihat dari segi keselamatan kerana tidak mahu kereta klon atau kenderaan yang masuk dari Singapura. Mereka harus pulang.

“Kami boleh kesan. Dulu mereka masuk dan letak kenderaan di sini...banyak kenderaan yang sudah berusia lebih 10 tahun... yang tidak boleh digunakan di sana, dihantar ke Malaysia," katanya.

Pada perkembangan lain, Liow juga memberitahu 17,823 notis dikeluarkan sejak Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang menggabungkan Sistem Pemberian Mata Dimerit Kesalahan Jalan Raya dan Sistem Penguatkuasaan Automatik dikuatkuasakan mulai 15 April lalu.

Daripada jumlah itu, 15,492 notis adalah berkaitan kesalahan memandu melebihi had laju, manakala bakinya 2,340 adalah kerana melanggar lampu merah.

“Sejak pelaksanaan Kejara, kami dapati kadar pematuhan adalah sangat baik. Di kawasan yang mempunyai kamera (AES), kadar pematuhan sekarang adalah 95 peratus. Kalau dulu hanya lebih kurang 50 peratus sahaja. Masyarakat kini memandu lebih berhemah dan berdisiplin.

“Saya sangat gembira, kerjasama yang diberikan oleh rakyat. Kami bukan nak denda orang. Kami hendak selamatkan nyawa dan kalau boleh kami mahu semua mengikut peraturan lalu lintas," katanya.

Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong seterusnya memaklumkan JPJ berjaya memungut hasil RM3.8 bilion sepanjang 2016, meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kutipan terbanyak iaitu 70 peratus atau RM2.7 bilion disumbangkan menerusi bayaran lesen kenderaan motor, manakala tiga negeri yang mencatatkan jumlah kutipan tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Selangor, katanya.

Liow berkata tugas dan tanggungjawab JPJ juga semakin bertambah dengan peningkatan jumlah kenderaan terkumpul yang semakin meningkat iaitu 27.6 juta buah kenderaan pada 2016, berbanding 20.2 juta pada tahun 2010.

Bilangan pemandu yang dilesenkan JPJ juga menurut Liow meningkat sebanyak 20.69 peratus dalam tempoh lima tahun iaitu 1.38 juta orang pada tahun lalu, berbanding 1.22 juta orang pada 2010.

“Keperluan pengangkutan yang mendesak menyebabkan kadar pemilikan kenderaan di Malaysia antara 50 negara tertinggi di dunia yang menjadikan perkhidmatan JPJ amat kritikal," katanya.

Liow menambah kadar kemalangan di negara ini juga masih berada pada tahap membimbangkan dengan 512,466 kemalangan direkodkan pada tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Liow juga memaklumkan sebanyak 76 pemeriksaan telah dilaksanakan bagi mengesan kegiatan tayar celup yang tidak memperoleh kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM) dengan empat kes diambil tindakan melibatkan rampasan berjumlah RM210,810.

Sumber: Bernama | 29 April 2017

Jumaat, 28 April 2017

Kelantan catat dua kematian akibat denggi tahun ini

KOTA BHARU: Sebanyak dua kematian akibat demam denggi direkodkan di Kelantan dalam tempoh Januari hingga semalam berbanding satu kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata dua kematian tersebut membabitkan seorang lelaki berumur 67 tahun di sini dan seorang wanita berusia 63 tahun di Pasir Mas.

"Dalam tempoh berkenaan (tahun ini) kes demam denggi di negeri ini meningkat kepada 1,337 berbanding 922 kes dalam tempoh sama tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Gotong-Royong Perdana peringkat negeri di sini, hari ini.

Menurutnya hampir semua jajahan di Kelantan menunjukkan trend meningkat demam denggi dalam tempoh itu kecuali Kuala Krai dan Jeli. "Jajahan yang paling tinggi kes denggi adalah Kota Bharu iaitu 730 diikuti Tumpat (178), Tanah Merah (142), Bachok (105), Pasir Mas (96), Machang (34), Pasir Puteh (19), Gua Musang (17), Kuala Krai (14) dan Jeli (2)," katanya.

Dr Ahmad Razin berkata selain faktor cuaca, sikap masyarakat yang mengabaikan kebersihan apabila mudah membuang sampah di merata tempat hingga menjadi tempat pembiakan aedes adalah punca utama berlakunya peningkatan kes.

Katanya ada juga kalangan masyarakat yang suka menyimpan barang-barang lama atau terpakai seperti tayar secara tidak teratur sehingga menjadi tempat takungan air dan pembiakan nyamuk.

Beliau berkata langkah proaktif akan terus dilaksanakan bagi menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes dalam usaha mengekang peningkatan kes demam denggi selain menguatkuasakan kompaun kepada pemilik premis yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sumber: Bernama | 27 April 2017

Khamis, 27 April 2017

Kehidupan Orang Asli Batek terancam: Kampung mengecil akibat penerokaan tanah untuk aktiviti perladangan

Penduduk Orang Asli suku kaum Batek mendakwa kehidupan mereka semakin terhimpit kerana dikelilingi ladang kelapa sawit.
GUA MUSANG: Aktiviti penerokaan tanah di hutan berhampiran Taman Negara Kuala Koh dekat sini yang dilakukan sejak empat tahun lalu menyebabkan ekosistem semula jadi serta kehidupan Orang Asli yang tinggal di kawasan itu kian terancam.

Tinjauan terbaharu me­nyaksikan kehidupan golongan masyarakat itu terutama daripada suku kaum Batek yang tinggal di Pos Kuala Koh terus terhimpit apabila semakin banyak tanah diteroka pihak luar untuk aktiviti perladangan.

Seramai 44 keluarga Orang Asli di situ mendakwa, mereka kini umpama merempat di bumi sendiri berikutan kampung yang didiami sejak turun-temurun semakin mengecil menjadi seolah-olah sebuah ‘pulau’ kerana dikelilingi dengan ladang kelapa sawit.

Penghulu Pos Kuala Koh, Hamdan Keladi berkata, beberapa tahun lalu, pihak syarikat perladangan meletakkan sekatan di pintu masuk perkampungan mereka sehingga mengundang kemarahan penduduk yang kemudiannya bertindak memusnahkan sekatan itu.

“Kami tidak sanggup untuk kehilangan tempat tinggal yang dihuni sejak ratusan tahun lalu. Sebelum ini, kami sudah hilang tanah kubur, sungai dan sumber hutan apabila pihak perladangan telah menyodok kawasan hutan.

“Kami risau sekiranya terpaksa berpindah dari kawasan ini kerana semakin lama aktiviti pe­nerokaan mereka semakin dekat dengan kampung kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang penduduk, Kolim Tebu, 56, pula mendakwa, akibat aktiviti perladangan itu, segala tanaman yang diusahakan penduduk seperti getah dan pokok buah-buahan telah dimusnahkan.

Katanya, pernah berlaku pokok getah yang ditanam dan hanya menunggu masa untuk mendapatkan hasil, telah digondolkan sesuka hati tanpa berbincang dengan mereka.

“Ketika ini penduduk hanya bergantung kepada ubi kayu, pisang dan sayur-sayuran lain untuk dijadikan sumber makanan.

“Kami bimbang nasib anak serta cucu suku kaum Batek yang semakin pupus sekiranya kampung ini lenyap,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mamat Ong, 46, pula berharap agar pihak yang bertanggungjawab mengawal aktiviti perladangan supaya tidak berleluasa sehingga menjejaskan kehidupan Orang Asli.

“Sekiranya tiada kawalan pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa, saya yakin Pos Kuala Koh akan lenyap dan terkubur sedikit masa lagi.

“Jika dahulu terdapat hampir 100 keluarga tinggal di kawasan ini, namun apabila berlakunya aktiviti penerokaan tanah hutan, masyarakat Orang Asli Batek terpaksa berpindah mencari kehidupan di tempat lain,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 26 April 2017 | Terbitan 27 April 2017

18 pelumba basikal muda diberi tumpuan oleh PBNK jadi jaguh negara

KOTA BHARU: Persatuan Berbasikal Negeri Kelantan (PBNK) bersemangat untuk melahirkan lebih ramai pelumba basikal negara yang mampu mengungguli setiap kejohanan tempatan pada masa akan datang .

Presidennya Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani berkata bagi mencapai hasrat itu PBNK akan memberikan tumpuan kepada 18 pelumba mudanya yang bakal mempamerkan kehandalan mereka pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Ipoh, Perak tahun depan.

"Kita sedang tingkatkan prestasi pelumba terbabit yang berusia antara 18 dan 20 tahun melalui kaedah latihan yang dipantau oleh Institut Sukan Negeri (ISN) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata persiapan rapi telah disusun sejak Februari lepas, bagi memastikan pelumba terbabit cukup bersedia untuk bersaing di temasya tersebut dan meraih seberapa banyak pingat terutama pingat emas.

Beliau berkata sebagai pemanas badan dan bagi mengukur prestasi semasa pelumba itu maka kumpulan pelumba muda itu akan disenaraikan untuk menyertai beberapa kejohanan tempatan termasuk kejohanan kritarium di sini pada awal bulan depan yang terbuka kepada semua peringkat umur.

Sumber: Bernama | 27 April 2017

Selasa, 25 April 2017

49.9 peratus ketirisan air di Kelantan akibat sistem paip lama - Devamany

KUALA LUMPUR: Sebanyak 49.9 peratus daripada ketirisan air di Kelantan berlaku di kediaman penduduk di seluruh negeri berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri S.K. Devamany berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mendapati keadaan tersebut berlaku akibat sistem perpaipan (pili) lama masih digunakan menyebabkannya pecah, bocor dan berlaku ketirisan air.

"Masalah di Kelantan, kementerian mendapati keadaan itu tidak berlaku di paip-paip utama loji air tetapi di kediaman sahaja kerana struktur paip di kebanyakan kediaman masih menggunakan sistem lama," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja pada Persidangan Dewan Negara hari ini mewakili KeTTHA.

Sehubungan itu, Devamany menggesa kerajaan negeri memantau ketirisan air ini kerana jumlahnya agak besar dan merugikan sumber semula jadinya.

Dalam pada itu, Devamany berkata sejak 2015 KeTTHA telah membaik pulih 10 loji lama dan membina sebuah loji baharu di negeri berkenaan dengan peruntukan RM293 juta.

Katanya, langkah tersebut dapat dilakukan hasil kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan dalam usaha memodenkan sistem air di negeri itu.

"Saya akui air di Kelantan memang bermasalah kerana 55 peratus sahaja sumber itu diambil dari sungai manakala 45 peratus dari bawah tanah, tetapi penstrukturan semula akhirnya boleh dilakukan melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat," katanya.

Devamany juga menyarankan senator, anggota Parlimen dan pemimpin Kelantan dapat memberi nasihat kepada pemimpin Selangor supaya membuka ruang kerjasama dengan kerajaan Pusat bagi menyelesaikan kemelut air di negeri tersebut.

Katanya kerajaan negeri Selangor perlu melupakan soal politik dan menyelesaikan semua isu berkaitan bekalan air di negeri itu demi kesejahteraan rakyat.

Persidangan Dewan Negara bersambung Selasa.

Sumber: Bernama | 20 April 2017

Longgokan sampah sekat laluan petani ke bendang

Longgokan sampah di atas jalan bersebelahan Stadium Mini Tumpat menghalang petani untuk ke bendang.
TUMPAT: Kira-kira 20 petani di kampung Pengkalan Nangka di sini, resah apabila laluan mereka untuk ke bendang disekat oleh timbunan sampah

Dakwa mereka, masalah jalan yang tertutup dengan timbunan sampah bersebelahan dengan Stadium Mini Tumpat itu sudah berlarutan seminggu lalu.

Petani, Husien Dollah, 67, berkata, sejak sampah berlonggok atas jalan dia dan petani lain tidak dapat ke bendang. “Kami tak dapat nak lalu sebab jalan tersekat dengan sampah. 

"Macam mana sampah yang diangkut oleh lori sampah dibuang di atas jalan raya dan bukannya dibawa masuk di tempat pelupusan sampah,” katanya.

Menurutnya, mereka mula resah kerana tidak dapat ke bendang sedangkan tanaman padi perlu ditabur baja.

Mohd Hafizi Ismail, 29, pula berkata, jalan sepanjang kira-kira 500 meter itu adalah laluan utama mereka.

“Sebelum ini, kami boleh melalui jalan ini dengan motosikal tapi sejak sampah dilonggokkan atas jalan, kami tersekat.

"Jalan ini satu-satunya yang ada untuk ke bendang padi di belakang Stadium Mini Tumpat seluas kira-kira 60 hektar,” katanya.

Tambahnya, sekiranya petani mahu juga ke bendang, mereka perlu berjalan kaki dan meredah semak samun sambil memikul baja seberat 25 kilogram.

"Keadaan ni betul-betul menyusahkan kami," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat, Rosnazli Amin berkata, masalah jalan tertutup itu berpunca daripada jengkaut sampah rosak di hadapan pintu masuk tempat pelupusan sampah.

“Jengkaut yang rosak itu menghalang lori sampah masuk ke tempat pelupusan sampah menyebabkan berlakunya longgokan sampah di pintu masuk yang menjadi laluan petani ke bendang padi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jengkaut itu sedang dibaiki sejak hari pertama rosak lagi dan kelewatannya disebabkan syarikat pengurusan tapak terpaksa menunggu alat ganti.

“Kami berharap petani bersabar kerana masalah ini sudah mendapat perhatian pihak Majlis Daerah Tumpat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 April 2017

14 rumah di Kuala Balah rosak dipukul ribut

JELI: Sebanyak 14 rumah rosak akibat dipukul ribut di Kampung Kuala Balah di sini, semalam.

Seorang mangsa Fauziah Shafien, 40, berkata ketika kejadian pada 6.30 petang itu, dia bersama suami serta empat orang anak berusia antara 17 dan 20 berada di dalam rumah.

“Ketika angin membadai, saya yang berada di dapur sempat melihat bumbung rumah tercabut akibat ribut yang berlangsung selama satu jam itu. Saya kemudiannya menyelamatkan diri dengan anggota keluarga yang lain berkumpul di ruang tamu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, Selasa.

Fauziah berkata dia kerugian kira-kira RM10,000 apabila sebahagian daripada bumbung di bahagian dapur dan ruang tamu rumahnya tercabut dalam kejadian itu.

Seorang lagi mangsa Hamzah Abdullah, 58, berkata ketika kejadian, dia dan isterinya sedang berehat di rumah mereka sebelum terdengar deruan angin yang kuat.

"Keadaan bertambah cemas apabila rumah kami bagaikan bergoncang akibat dipukul angin kencang sehingga mengakibatkan bumbung di hadapan rumah 'terbang' dibawa ribut. Ini merupakan kejadian ribut pertama yang saya alami sejak tinggal di kampung ini kira-kira 30 tahun lepas,” kata Hamzah.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Balah Datuk Abdul Aziz Derashid berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan seperti zink dan wang tunai secepat mungkin kepada mangsa yang terlibat bagi meringankan beban mereka.

Sumber: Bernama | 25 April 2017

Awasi anak tidak terjebak ketagih dadah pil kuda

Ketagihan pil kuda secara berterusan boleh mendatangkan bahaya termasuk penagih menjadi gila (gambar hiasan).
KOTA BHARU: Ibu bapa diingatkan supaya mengawasi pergerakan sehari­an anak-anak supaya mereka tidak terlibat dengan pil kuda yang dilihat semakin membimbangkan.

Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu, Mohd. Nazar Hussin berkata, kesan terhadap penggunaan pil kuda amat berbahaya termasuk mereka boleh menjadi gila.

Malah, katanya, golongan yang ketagihan pil kuda mampu membuat sesuatu perkara di luar jangkaan untuk mendapatkan wang membeli barangan terlarang tersebut.

“Ibu bapa yang mengetahui penglibatan anak-anak mereka dengan pengambilan dadah ini supaya tidak membiarkannya, sebaliknya perlu menghubungi AADK untuk tindakan dan rawatan,” katanya ketika dalam majlis pertandingan perahu cantik, di sini baru-baru ini.

Mohd. Nazar berkata, sejak ak­hir-akhir ini, didapati ramai dalam kalangan mereka terlibat dengan pil kuda adalah pelajar sekolah.

“Kita berharap supaya ibu bapa dan orang ramai boleh mengesan andainya anak-anak mereka terlibat dengan dadah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ibu bapa atau keluarga boleh mendapatkan bantuan pemulihan dengan menghubungi talian 09-7414724 untuk bersama membantu anak-anak mereka terlibat dengan dadah.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2017 | Terbitan 25 April 2017

Mahkamah isytihar 
Pos Belatim sebagai Tanah Adat Orang Asli

Sebahagian daripada Orang Asli yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Pos Belatim sebagai Tanah Adat Orang Asli selain membatalkan perjanjian Ladang Rakyat di Kota Bharu, Kelantan semalam.
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengiktiraf kawasan seluas 9,361.5 hektar di Pos Belatim yang sebahagiannya dibangunkan oleh Kerajaan Pas Kelantan untuk projek Ladang Rakyat sebagai Tanah Adat Orang Asli.

Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Zai­nal Azman Ab. Aziz pada prosiding semakan kehakiman berkaitan kes yang berlarutan sejak enam tahun lalu itu.

Permohonan semakan kehakiman itu dibuat oleh Rosli Along, Angah Along dan Hassan Alang yang mewakili penduduk Orang Asli Pos Belatim dengan menama­kan Kerajaan Pas Kelantan dan Pengarah Tanah dan Galian ne­geri sebagai responden pertama dan kedua kes.

Pada prosiding itu, pemohon diwakili oleh peguam, Lim Heng Seng, S. Yogeswaran, M. Rajkuman dan Tan Hooi Ping manakala responden diwakili Penolong Penasihat Undang-undang negeri Kelantan, Nazlyza Mohd. Nazri.

Dalam permohonan tersebut, penduduk Orang Asli Pos Belatim memohon suatu Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan kerajaan negeri yang memberikan sebahagian tanah yang diduduki Orang Asli di Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang bagi pembangunan Ladang Rakyat.

Ketika membuat keputusan tersebut, Zainal Azman berkata, kerajaan negeri sebelum ini jelas telah mengiktiraf hak Orang Asli di negara ini dan pihaknya membenarkan permohonan yang dilakukan oleh pemohon.

Dalam masa sama beliau turut mengarahkan pihak responden membayar kos RM50,000 sebagai kos untuk prosiding semakan kehakiman.

“Kawasan hutan ini macam supermarket (pasar raya) dan farmasi kepada penduduk Orang Asli. Mahkamah mengeluarkan satu perintah untuk membatalkan keputusan kerajaan negeri untuk membangunkan Ladang Rakyat,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 90 orang penduduk Orang Asli dari Gua Musang turut hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes yang difailkan pada tahun 2011 itu.

Sementara itu, Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asal Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, penduduk Orang Asli menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi tersebut yang mengiktiraf hak penduduk asal terhadap penempatan mereka.

“Kira-kira 800 penduduk dari Kampung Kenben, Kampung Chachu, Kampung Belatim, Kampung Cemal, Kampung Cegrok, Kampung Sempadik dan Kampung Kenset yang terletak di dalam Pos Belatim berasa lega dengan keputusan ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Mahkamah | 23 April 2017 | Terbitan 24 April 2017

9,000 peserta hangatkan Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama pemenang-pemenang yang menjuarai kategori masing-masing pada Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Baru Tunjung hari ini.
KOTA BHARU: Lebih 9,000 peserta termasuk pelari profesional dari luar negara menghangatkan Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017 yang berlangsung di sini hari ini.

Program peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan di negeri itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pelepasan peserta yang membabitkan empat kategori iaitu 21 kilometer (km), 10km, 5km dan 3km itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut menyertai dan menamatkan larian dalam kategori 3km.

Khairy berkata, penganjuran julung-julung kalinya acara tersebut di negeri ini mendapat sam­butan yang cukup hebat apabila menarik lebih 9,000 penyertaan termasuk melibatkan pelari profesional dari beberapa negara luar.

Sehubungan itu katanya, program tersebut bakal dijadikan sebagai acara tahunan di negeri ini.

Acara besar seperti ini akan kita bawa ke setiap negeri. Semua negeri ada larian peringkat antarabangsa termasuk Perlis. Hanya Kelantan tidak pernah menganjurkan acara tersebut sebelum ini.

“Dua tahun lalu saya ada berjanji untuk mengadakan acara ini di Kelantan dan hari ini telah ditunaikan. Melihat kepada sambutan yang cukup hebat, maka kita teruskan acara ini di Kelantan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kelantan International Half Marathon 2017, Datuk Rosmadi Ismail dan Timbalan Pengerusi MSN negeri, Mohamad Azam Ismail.

Dua pelari profesional dari Kenya iaitu James Barmasai, 32, dan Cynthia Chelagat Towett, 26, masing-masing memenangi tempat pertama bagi kategori Lelaki dan Wanita Terbuka yang mela­yakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.

Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 22 April 2017 | Terbitan 23 April 2017

Separa Maraton Antarabangsa Kelantan dijadikan acara tahunan

Khairy Jamaluddin menyampai hadiah kepada pemenang Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017 di RTC, Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan akan menjadikan Separa Maraton Antarabangsa Kelantan sebagai acara tahunan di negeri ini.

Beliau berkata, penganjuran julung-julung kalinya acara tersebut di negeri ini mendapat sambutan yang cukup hebat apabila menarik lebih 9,000 penyertaan termasuk melibatkan pelari profesional dari beberapa negara luar.


Kita akan terus beri komitmen dan menaja acara maraton ini selain menjadikannya sebagai acara tahunan di Kelantan. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak yang menjayakan program tersebut dengan begitu cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan acara tersebut di Pusat Tranformasi Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017, Datuk Rosmadi Ismail dan Timbalan Pengerusi MSN negeri, Mohamad Azam Ismail.


Khairy turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang marathon tersebut yang melibatkan kategori 21 kilometer (km), 10 km, lima km dan tiga km.

Sumber: Utusan Online | 22 April 2017

GRE1M serah sumbangan kelengkapan pengurusan jenazah berjumlah RM32,000

Rozainee Nawawi (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan keperluan set jenazah kepada wakil Masjid Binjal, Pasir Mas, Kelantan, semalam.
PASIR MAS: Gerakan Elit 1Malaysia (GRE1M) telah menye­rahkan sumbangan berupa set kelengkapan pengurusan jenazah membabitkan peruntukkan berjumlah RM32,000 kepada waris bagi membantu meringankan beban mereka.

Pengerusinya, Rozainee Na­wawi berkata, jumlah tersebut melibatkan seramai 80 penerima dari seluruh negeri ini sejak ia diperke­nalkan pada tahun lalu.

Menurutnya, set yang berjumlah RM400 setiap satu ini lengkap dengan segala peralatan diperlukan untuk urusan itu termasuklah kain sarung.

“Kita sediakan set ini bagi membantu keluarga waris dan mereka tidak lagi perlu bersusah payah untuk mendapatkan kelengkapan tersebut.

“Besar harapan kami, agar sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban waris,” katanya kepada pemberita sele­pas menyerahkan sumbangan ke­lengkapan jenazah kepada Masjid Mukim Binjal, Tok Uban di sini hari ini.

Rozainee memberitahu, membantu golongan kurang berkemampuan merupakan satu ke­puasan buat seluruh warga GRE1M.

Katanya, pihaknya akan terus berusaha untuk mengumpul dana bagi membanyu meringankan beban golongan tidak bernasib baik.

“Selain membantu, kami turut memberikan cadangan dan idea serta bimbingan kepada pene­rima untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rozainee ber­kata, GR1M yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tekad membela nasib golongan asnaf dan kurang berkemampuan di negeri ini.

Katanya, walaupun NGO itu berpengkalan di Kota Bharu namun ia bukan satu masalah untuk pihaknya turun padang bagi membantu golongan berkenaan.

“Membantu golongan tersebut merupakan salah satu bentuk khid­mat sosial kami.

“Walaupun ia merupakan tugas berat, namun kami tetap akan berusaha membantu golongan berkenaan melalui sumbangan yang dikumpulkan dari pihak korporat,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 20 April 2017 | Terbitan 21 April 2017

FAMA Kelantan pasar 500 tan metrik tembikai wangi

Mohd. Fadlee Hassan (dua dari kanan) dan Salleh Kasim bertukar-tukar dokumen perjanjian jual beli tembikai wangi di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan akan membantu memasarkan sebanyak 500 tan metrik tembikai wangi yang diusahakan sekumpulan petani di Kampung Banggol, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Sharifah Hashim berkata, tembikai tersebut dianggarkan bernilai RM800,000 dan diusahakan oleh 29 peserta Ladang Kontrak Agrotourism Kampung Banggol sejak 2002.

“Dengan kerjasama FAMA, tembikai wangi yang dihasilkan oleh peserta ladang itu akan kita bantu pasarkan ke seluruh negara sepanjang musim buah itu kali ini.

Memandangkan buah tersebut berkualiti ladang dan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, kita juga berhasrat mahu memasarkannya ke negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand,” katanya selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai Wangi Antara FAMA dengan Peserta Ladang Kontrak Agropelancongan Kampung Banggol di sini baru-baru ini.

FAMA diwakili oleh Pengurus Operasi FAMA Jajahan Kota Bharu, Mohd. Fadlee Hassan, manakala Ladang Kontrak Agropelancongan Kampung Banggol diwakili salah seorang peserta, Salleh Kasim.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Khari Yusof. Dalam majlis itu juga, FAMA membuat bayaran pembelian berjumlah RM250,000 kepada 15 peserta ladang kontrak kampung itu.

Dalam perkembangan lain, Sharifah berkata, FAMA sentiasa mengalu-alukan mana-mana peladang atau petani yang mahu melibatkan diri dengan bidang agropelancongan secara serius bagi menambah pendapatan masing-masing.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 20 April 2017 | Terbitan 21 April 2017

Pok Ceng peniup serunai Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan

Yap Chong Sing (kiri) telah berkhidmat hampir 20 tahun dengan Pasukan Gendang Besar Diraja dan merupakan satu-satunya anggota bukan kaum Melayu.
TUMPAT: Raut wajah Kemelayuan dan kepetahannya bertutur bahasa Melayu dialek Kelantan menyebabkan ramai menyangka “Pok Ceng” seorang Melayu.

Pok Ceng sebenarnya berbangsa Tionghua dan mahir meniup serunai mengalunkan pelbagai lagu tradisional Melayu Kelantan.

Tiupan serunainya begitu luar biasa hingga beliau ditawarkan me­nyertai Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan yang telah wujud selama lebih 150 tahun.

Pok Ceng atau Yap Chong Sing, 63, mendapat tempat istimewa mempersembahkan tiupan serunai setiap kali sambutan Puja Umur (Hari Keputeraan) Sultan Kelantan.

Pok Ceng yang berasal dari Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu di sini, berkata beliau mula bermain serunai sekitar 1980-an dan diajar seorang pemain serunai muslim Tionghua dikenali sebagai Che Sahak Muallaf.

“Pada mulanya saya hanya belajar bermain lagu untuk persembahan silat sahaja, namun sekitar 1990-an, saya diajak oleh seorang juruserunai Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan, Che Hussin Che Soh, 57, untuk sama-sama berlatih memainkan lagu-lagu khusus bagi kerabat diraja Kelantan.

“Saya belajar memainkan lagu-lagu khusus itu dan berlatih lebih dua tahun sebelum dite­rima menyertai pasukan itu secara rasmi pada 1997,” kata pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu kepada Bernama ketika menjalani latihan di Wakaf Tembesu, Berangan di sini.

Pok Ceng berkata, antara lagu-lagu khusus untuk kerabat diraja Kelantan ialah Raja Berangkat, Raja Bertabal dan Seri Istana.

“Juru serunai merupakan nadi kepada kumpulan ini kera­na kami yang mencorakkan ke­se­luruhan permainan muzik tradisional ini.

“Jika serunai sumbang, maka instrumen lain juga akan turut sumbang dan lagu tidak dapat dimainkan dengan sempurna,” katanya.

Sumber: Bernama | 19 April 2017

Polis dan MDPM banteras iklan haram

Ismail Jusoh (kanan) bersama angggota MDPM menurunkan iklan ceti haram di sekitar jajahan Pasir Mas hari ini.
PASIR MAS: Polis dan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) akan terus berganding bahu menurunkan poster dan gegantung iklan pinjaman haram di jajahan ini bagi memastikan orang ramai tidak terpengaruh dengan perkara tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supritanden Ismail Jusoh berkata, pihaknya memandang serius perkara itu bagi mengelakkan masyarakat tidak terus terjebak dengan janji manis yang diberikan oleh pihak terbabit.

"Perkara ini kelihatan mudah tetapi masyarakat perlu ingat, kesan selepas meminjam kepada mereka.

"Jika gagal melunaskan pinjaman tersebut mereka bukan sahaja menggunakan jenayah kekerasan kepada peminjam tetapi ahli keluarga turut akan menjadi mangsa," katanya kepada pemberita dalam operasi menurunkan iklan haram di sini hari ini.

Seramai 20 anggota polis bersama MDPM berpadu tenaga menurunkan gegantung dan iklan pinjaman haram.

Sumber: Utusan Online | 19 April 2017

Jangan pandang rendah petugas PBT – Yang Dipertua MDT

Masyarakat digesa bersama dengan MDT bagi merealisasikan impian menjadikan bandar Tumpat bersih dan bebas sampah sarap. Gambar hiasan.
TUMPAT: Masyarakat di­ingatkan supaya tidak meman­dang rendah, sebaliknya menghormati petugas Majlis Daerah Tumpat (MDT) yang melakukan kerja-kerja pembersihan terutama memungut sampah setiap hari.

Yang Dipertua MDT, Rosnaz­li Amin berkata, kerja tersebut merupakan satu tugas yang mulia dan perlu dihormati kerana menjadi insan di sebalik usaha mewujudkan persekitaran sihat dalam kalangan masyarakat.

“Saya cukup mengagumi pe­tugas kebersihan kerana sanggup berdepan sampah sarap serta bau yang kurang enak setiap hari demi keselesaan orang lain.

“Cuba bayangkan jika tiada orang yang sanggup melakukan kerja itu, saya percaya sampah menjadi bertimbun-timbun di seluruh kawasan kediaman kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosnazli memberitahu, pihaknya berharap orang ramai tidak melepaskan tanggungjawab menjaga kebersihan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata sebaliknya turut bersama-sama menggalas tugas itu.

Katanya, MDT sedang berusaha keras mengubah imej kawasan seliaannya menjadi kawasan bebas sampah, namun usaha tersebut menjadi lebih muda jika masyarakat turut memainkan peranan menjaga kebersihan terutama di kawasan kediaman masing-masing.

“Masyarakat perlu turut sama memainkan peranan tersebut bagi merealisasikan impian untuk melihat bandar Tumpat menjadi bersih dan bebas sampah sarap,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 17 April 2017 | Terbitan 18 April 2017

Polis Thai pintas trak bawa 1 juta pil dadah seludup ke Malaysia

Seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Mr T yang dipercayai anggota kanan sindiket dadah antarabangsa ditahan polis Thai di Lapangan Terbang Hatyai Rabu lepas setibanya dari Chiang Rai.
BANGKOK: Polis Thailand menumpaskan cubaan sindiket untuk menyeludup dadah ke Malaysia apabila ia memintas sebuah trak yang membawa satu juta pil 'yaba' atau dadah jenis methamphetamine, empat hari lepas di daerah Mae Chan, Chiang Rai di utara Thailand.

Menurut Komander Biro Penindasan Narkotik (NSB) Thailand, Mejar Jen Tanai Aphichartseni, dua warga Thailand dari Songkla di selatan Thailand ditahan pihak polis dalam serbuan awal pagi selepas polis memintas sebuah trak 10 tayar, yang mengangkut dadah itu.

"Kedua-dua suspek mengaku mereka diarahkan untuk membawa dadah itu ke Hatyai dan kemudian ke Sadao sebelum dadah itu diseludup ke Malaysia. Pihak polis menemukan 10 beg penuh diisi yaba di dalam trak itu," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu yang dibayar 400,000 Bath (kira-kira RM50,000) sepatutnya mengisi trak itu dengan buah oren apabila mereka berhenti di Chiang Mai ketika dalam perjalanan ke selatan Thailand, dalam usaha mengaburi pihak berkuasa daripada menemukan konsainan sebenar trak itu.

Tanpa pengetahuan kedua-dua lelaki itu, pihak berkuasa telah memantau pergerakan kedua-dua suspek, lima bulan sebelum penahanan mereka empat hari lepas.

Menurut Tanai, kedua-dua suspek juga membuat pengakuan kepada pihak berkuasa, mereka telah beberapa kali berjaya mengangkut dadah ke selatan Thailand dan Malaysia sebelum ini, dan menerima upah 200,000 Bath (kira-kira RM25,000) bagi setiap penghantaran.

"Kali ini mereka menerima 400,000 Baht kerana mengangkut jumlah dadah yang lebih banyak," katanya dan menambah pihak polis mensyaki dalangnya berada di Hatyai dan akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Beliau juga berkata, dadah yang diangkut oleh kedua-dua suspek dibungkus kemas dan mempunyai label '999' berwarna merah, menunjukkan ia dari utara Wa State, sebuah wilayah autonomi di Myanmar yang terkenal sebagai tempat penghasilan dadah.

Tanai berkata, kedua-dua lelaki itu bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

Sumber: Bernama | 24 April 2017

Tanah di Pos Belatim kekal milik Orang Asli

Anggota Jawatankuasa Bertindak Wilayah Tanah Adat Orang Asli Pos Belatim, Angah Along,60, (tengah) bersama masyarakat Orang Asli yang terlibat, gembira selepas Mahkamah Tinggi pada Ahad memutuskan tanah seluas 9,300 hektar di pos itu kekal sebagai tanah adat Orang Asli.
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi memutuskan tanah seluas 9,300 hektar di Pos Belatim, Gua Musang, kekal sebagai tanah adat Orang Asli.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz turut membatalkan perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan negeri untuk membangunkan projek Ladang Rakyat seluas 1,000 hektar di kawasan berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Zainal Azman mengarahkan kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan membuat pemetaan secara halus kawasan terbabit dalam tempoh sebulan bermula Ahad (23 April 2017).

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos RM50,000 kepada tiga plaintif iaitu Rosli Along, Angah Along dan Hassan Alang.

Pada 2011, Rosli, Angah dan Hassan yang mewakili penduduk Orang Asli Pos Belatim, memfailkan permohonan bagi perintah certiorari untuk membatalkan keputusan kerajaan negeri yang memberi milik tanah sebahagian yang diduduki Orang Asli di Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang, bagi pembangunan Ladang Rakyat.

Ketiga-tiga plaintif menamakan Kerajaan Negeri Kelantan dan Pengarah Tanah dan Galian negeri sebagai responden.

Kes itu dikendalikan pasukan peguam daripada Jawatankuasa Hak Orang Asli, Majlis Peguam terdiri daripada Lim Heng Seng, Dr Yogeswaran Subramaniam, Tan Hooi Ping dan M Rajkumar.

Kerajaan Kelantan pula diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang kerajaan negeri Nazlyza Mohd Nazri.

Sumber: Bernama | 23 April 2017

Manifesto khas Umno Kelantan hadapi PRU14

Mustapa (empat, kanan) diiringi Adun Kuala Balah, Datuk Abd Aziz Derasyid (lima, kanan) menyempurnakan gimik Pelancaran Negaraku: Komuniti 1Malaysia dan Jelajah Dikir Barat Kelantan di sini baru-baru ini.
JELI: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan Umno Kelantan yang akan bertanggungjawab menyediakan manifesto khas parti itu untuk menghadapi PRU14 nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, manifesto itu meliputi komitmen BN untuk memajukan Kelantan dan tumpuan terhadap keperluan rakyat serta kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan. “Manifesto ini merupakan janji BN kepada rakyat Kelantan.

“Walaupun kalah PRU13 lalu, tapi kami mampu laksanakan beberapa pembangunan termasuk projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang tidak termasuk dalam manifesto PRU13,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Negaraku Komuniti 1 Malaysia dan Jelajah Dikir Barat peringkat Negeri Kelantan 2017 di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan pertemuan dengan semua lapisan masyarakat untuk dapatkan maklum balas mereka sebelum diteliti dan di senaraikan dalam manifesto tersebut.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, tumpuan akan diberikan kepada aspek pembangunan tanah, peluang pekerjaan kepada golongan muda dan pemeliharaan alam sekitar di negeri ini.

“Manisfesto berkenaan mungkin boleh dimuktamadkan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang," katanya.

Mengulas mengenai Jelajah Dikir Barat pula, Mustapa berkata, Umno Kelantan akan menggunakan golongan pendikir sebagai medium menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.

“Seminggu atau dua minggu sekali kita akan adakan dikir barat ini. Setiap Parlimen akan lakukannya secara bergilir-gilir dan berterusan hingga menjelang PRU14," katanya.

Jelajah Dikir Barat menyaksikan 12 kumpulan dikir barat terkenal di daerah ini membuat persembahan masing- masing yang dimeriahkan dengab kehadiran tukang karut tersohor termasuk, Fadil Turbo, Jemi Intan Berlian, Pok Yee Gasi selain artis-artis seperti Man Khan, Roy Kapilla dan Fendi Kenali.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 April 2017

Kuala Sabak berpotensi menjadi tarikan pelancongan

KOTA BHARU: Nama Pantai Sabak bukan lagi asing apabila ia menjadi tanda sejarah penting negara apabila tentera Jepun buat pertama kali mendarat di Tanah Melayu.

Namun, tanpa ramai menyedari, terdapat banyak kawasan di sepanjang pantai ini boleh dibangunkan, terutama sebagai tarikan pelancong bertandang ke sini.

Melalui inisiatif Komuniti Nelayan Tanjung Kuala Sabak dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan berjaya mencungkil bakat nelayan tempatan dengan penganjuran program Pertandingan Hiasan Perahu Cantik.

Pengerusinya, Faizal Rasyid berkata, acara itu dirancang bagi memperkenalkan Kuala Sabak yang masih kekal dengan nelayan menggunakan perahu sebagai mata pencarian mereka.

Katanya, sebanyak 39 perahu penyertaan diterima di mana pemilik-pemilik perahu dikehendaki mencantikkan perahu mereka dengan kreativiti masing-masing.

“Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan ukhuwah antara golongan nelayan selain memperkenalkan orang luar terhadap produk yang kami ada,” katanya.

Program itu mendapat sokongan Jabatan Perikanan Negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan beberapa agensi berkaitan.

Perahu terbaik keseluruhan dimenangi oleh Ramli Mat dengan kreativiti kepala perahu dan hiasan dalaman yang menarik perhatian juri.

Hadir merasmikan majlis itu Pengarah Perikanan Kelantan, Mohd Zin Saad. Turut bersama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengarah Maritim Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria.

Sehubungan dengan itu, Faizal mengharapkan kerajaan dapat menyediakan infrastruktur termasuk membantu penduduk agar dapat menjana ekonomi yang lebih baik di masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengarah LKIM, Azib Yaacob berkata, pihaknya merancang membangunkan pasar nelayan di kawasan itu berskala sederhana termasuk lengkap dengan sebuah jeti.

“Ia secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan ini sekali gus menaikkan lagi pembangunan di kawasan tersebut,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 April 2017

TN50: Rakyat Kelantan perlu berfikiran jauh

MACHANG: Rakyat Kelantan perlu berfikiran lebih jauh ke hadapan jika tidak mahu ketinggalan dalam perancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dirangka kerajaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya minda mereka masih dalam keadaan sekarang, mereka akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

"Sehubungan itu rakyat Kelantan perlu berfikiran positif dan menerima hakikat dengan tuntutan semasa untuk mereka berubah mulai sekarang," katanya pada program Dialong TN50 Peringkat Negeri Kelantan bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir dalam dialog itu adalah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mustapa yang juga Pengerusi umno Kelantan berkata, TN50 adalah perancangan antaranya supaya rakyat menjuarai pelbagai bidang termasuk perdagangan hingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita mahu anak Kelantan mempunyai masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan menggalakkan golongan muda agar memberi pandangan mengenai pembentukan negara yang mereka inginkan menjelang 2050 kelak.

Antara inspirasi yang diketengahkan peserta yang terdiri daripada golongan muda di negeri ini adalah perhatian serius kerajaan terhadap aspek alam sekitar seperti kegiatan pembalakan dan pembukaan tanah untuk pertanian dan perlombongan supaya khazanah alam itu dapat kekal dinikmati generasi pada 2050.

Turut dicadangkan adalah penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, memelihara kesenian dan kebudayaan masyarakat, menyediakan kemudahan sukan mengikut selera anak muda dan menggalakkan penggunaan tenaga dari teknologi solar bagi mengelakkan kawasan masyarakat Orang Asli diambil untuk dijadikan empangan hidroelektrik.

Sumber: Bernama | 22 April 2017

Ke arah Kuala Krai bersih: Adun Guchil sumbang 500 tong sampah

Roslan (empat, kiri) menyerahkan tong sampah sumbangannya kepada Tengku Azmi.
KUALA KRAI: Bagi merealisasikan hasrat melihat Kuala Krai menjadi bandar bersih, sebanyak 500 tong sampah sumbangan Adun Guchil, Mohd Roslan Puteh diagih kepada Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK).

Mohd Roslan berkata, inisiatif ini dibuat setelah melihat tahap kebersihan di selatan Thailand ketika melawat negara itu, baru-baru ini.

Menurutnya, kemudahan tong sampah bersaiz kecil banyak disediakan di tepi jalan bagi mengelak orang ramai membuang sampah di merata tempat.

“Cara itu ternyata berkesan kerana tahap kebersihan di selatan Thailand berada pada tahap membanggakan.

“Sukar untuk melihat sampah di sana, jadi saya berhasrat untuk melihat keadaan serupa di daerah ini,” katanya ketika penyerahan tong sampah kepada Yang Dipertua MDKK, Tengku Azmi Tengku Jaafar di padang MDKK, di Guchil.

Roslan berkata lagi, bagi merealisasikan matlamat itu memerlukan kerjasama anggota masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami konsep asas kebersihan yang turut dituntut agama.

“Bagi orang beragama Islam, perkara utama kita digalakkan untuk menjaga kebersihan fizikal dan dalaman.

Bagi melihat bandar Kuala Krai bersih, saya memohon kerjasama individu, badan bukan kerajaan serta pihak berkemampuan untuk sama-sama menyumbang.

"Pihak berkuasa tempatan masih memerlukan beberapa peralatan, justeru semua pihak boleh membantu agar Kuala Krai akan menjadi daerah bersih,” katanya.

Sementara itu, Tengku Azmi berkata, beliau akan menitik beratkan aspek kebersihan dan memastikan pekerja terus fokus kepada aspek tersebut.

"Masih banyak peralatan diperlukan untuk melancarkan kerja pembersihan termasuk pelbagai jenis mesin pembersihan, mesin rumput, lori sapu jalan, lori untuk kegunaan memotong pokok serta tong sampah besar," katanya.

Mengulas mengenai keadaan padang MDKK, katanya, hingga kini beliau belum berpuas hati dengan keadaan padang itu.

“Kita akan keluarkan peruntukan untuk membersihkan padang ini seterusnya menyediakan kemudahan asas di sini.

“Mana-mana pihak boleh menggunakan padang ini dengan membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 21 April 2017

Rakyat Kelantan pelbagai kaum sukacita atas pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Agong

Gambar hiasan. 
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan pelbagai kaum, agama dan lapisan masyarakat hari ini menzahirkan rasa sukacita atas pertabalan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Seri Paduka yang terkenal dengan sifat prihatin terhadap rakyat akan membawa lebih kemakmuran kepada Kelantan dan Malaysia.

“Rakyat Kelantan sungguh gembira, kita mengenali dekat Seri Paduka iaitu seorang raja yang amat prihatin kepada rakyat, baginda dekat dengan rakyat dan bersederhana," katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap di bawah pemerintahan Seri Paduka, Kelantan akan maju seiring dengan negeri lain dalam semua bidang.

Anggota Exco Majlis Jaksa Pendamai Kelantan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata Seri Paduka memiliki ilmu, keperibadian dan kebijaksanaan yang tinggi, sekaligus mampu memberi inspirasi kepada rakyat.

Rosdi berkata dengan kewibawaan dan sikap kepimpinan tersebut, beliau yakin Seri Paduka akan memacu dan membawa imej negara ke arah yang lebih baik.

Beliau berkata dengan pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong hari ini akan memberi lebih kuasa kepada baginda untuk terus memayungi rakyat secara menyeluruh sepertimana yang dilaksanakan di Kelantan selama ini.

"Ketika menghadap, Seri Paduka selalu mengutarakan pelbagai idea bernas atau di luar kotak berhubung pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat dan baginda mempunyai kelebihan untuk berbicara mengenai apa sahaja isu yang diutarakan," katanya.

Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan Prof Tim Chau Dam berkata walaupun masyarakat Siam di Kelantan hanya berjumlah kira-kira 18,000 orang sahaja, namun masyarakat tersebut berjanji untuk menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka selaku raja yang memerintah negara ini.

“Walaupun tidak mengenali Seri Paduka secara peribadi tetapi banyak gambaran yang disebarkan khususnya melalui media sosial menunjukkan baginda seorang yang mesra dan tidak mementingkan protokol apabila bertemu dengan rakyat," katanya.

Pengerusi Persatuan Fizikal dan Kebudayaan India Kelantan Ganthi Raja Perumal berkata walaupun Sultan Muhammad V dikenali sebagai seorang yang taat mengamalkan ajaran Islam, namun beliau yakin Seri Paduka dapat menjaga kesucian agama yang dianuti oleh pelbagai kaum di negara ini.

"Seri Paduka dilihat seorang pemimpin yang prihatin terhadap rakyat jelata tidak kira kaum dan penganut mana-mana agama, malah baginda sentiasa mencemar duli turun padang untuk bertemu dengan rakyat jelata.

“Masyarakat India percaya pemerintahan Seri Paduka akan dapat meningkatkan lagi sektor ekonomi di negara ini," katanya.

Pemain bola sepak Kelantan Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim pula berharap Sultan Muhammad V akan dapat memajukan lagi arena sukan di negara ini khususnya bola sepak menerusi idea-idea yang lebih segar. 

Sumber: Bernama | 24 April 2017

MTPNK siasat dakwaan mangsa tercicir bantuan RKB - Mustapa


JELI: Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) akan menyiasat dakwaan bahawa masih terdapat mangsa banjir 2014 yang belum mendapat bantuan Rumah Kekal Baharu (RKB) di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebelum ini, jawatankuasa bencana di peringkat pusat dan negeri telah melakukan bancian terhadap mangsa bencana tersebut namun kini timbul pula isu terdapat beberapa mangsa yang masih gagal mendapatkan RKB.

"Kami akan melakukan siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh beberapa individu berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pengindahan Landskap Masjid Sultan Muhammad 1 di sini hari ini. 

Beliau berkata masalah berkenaan timbul kerana mungkin ada segelintir mangsa yang tidak berpuas hati dengan pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan bancian.

"Jawatankuasa bencana merasakan hal ini telah selesai dan fail telah ditutup sejak setahun lepas, namun selepas ada laporan-laporan ini kita akan buka semula fail. Kita akan selesaikan masalah ini dengan baik," katanya.

Sumber: Bernama | 23 April 2017

 

Tiada jangkitan baharu H5N1 dikesan di Kelantan - JPV


Operasi melupus unggas (gambar fail)
KOTA BHARU: Tiada jangkitan baharu penyakit selesema burung (H5N1) dikesan di Kelantan sejak 25 hari lalu, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.

JPV Kelantan dalam satu kenyataan hari ini berkata setakat ini sebanyak 36 lokasi kekal disahkan positif wabak itu membabitkan Kota Bharu (15 lokasi), Pasir Mas (6), Tumpat (5), Bachok (6), Pasir Puteh (3) dan Tanah Merah (1). “Secara keseluruhan sebanyak 56,953 ternakan unggas dan 17,531 biji telur dilupuskan setakat semalam serta 3,792 sampel diambil daripada 647 pemilik ternakan unggas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut melaporkan sebanyak 9,812 kenderaan telah diperiksa dan 43 kes rampasan dilakukan melibatkan 221 ekor unggas menerusi beberapa sekatan jalan raya di beberapa kawasan strategik.

Di GUA MUSANG, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan langkah pelbagai pihak dalam membendung penularan wabak berkenaan.

Che Abdullah berkata, sekatan jalan raya masih diteruskan di Jalan Gua Musang - Kuala Krai bagi menghalang pergerakan unggas termasuk ayam dibawa masuk ke Kota Bharu dan jajahan lain sehingga keadaan benar-benar selamat.

“Ini membuktikan penguatkuasaan larangan membawa masuk unggas dari luar (Kelantan) berjaya membendung penularan H5N1,” katanya selepas merasmikan Karnival Bertani Satu Ibadah di Tapak Pasar Malam Chiku 3 di sini, hari ini.

Kerajaan Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas.

Sumber: Bernama | 23 April 2017