Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 16 September 2017

Thailand berhasrat perluas IMT-GT ke Terengganu dan Pahang

KOTA BHARU: Thailand mahu memperluaskan kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) meliputi Pahang dan Terengganu, bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi menerusi perdagangan antara kawasan selatan negara itu dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Supanat Sirintawinet, berkata walaupun IMT-GT diperkenalkan kira-kira 12 tahun lepas, namun hasil yang diperoleh menerusi sektor perdagangan antara kawasan yang terlibat masih kurang memberangsangkan.

"Jika ia diperluaskan ke Terengganu dan Pahang, saya yakin ia mampu merancakkan lagi perdagangan antara kawasan-kawasan yang terlibat, terutama di sekitar sempadan Thailand dan Malaysia," katanya menerusi jurubahasa ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam anjuran Konsulat Diraja Thailand di sini malam tadi.

Hadir sama Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu Paitoon Songkaeo.

Supanat berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil dari Malaysia bulan lepas bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau berkata perkara lain yang dibincangkan termasuk meluaskan jambatan di Sungai Golok, Rantau Panjang dan pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Pekan Tak Bai dengan Pengkalan Kubor di Tumpat.

IMT-GT membabitkan 14 wilayah di Selatan Thailand iaitu Krabi, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Phattalung, Satun, Songkhla, Trang, Yala, Chumphon, Ranong, Surat Thani, Phang Nga dan Phuket manakala lapan negeri di Semenanjung Malaysia pula membabitkan Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Selangor.

Di Indonesia, 10 wilayah terlibat iaitu Aceh, Bangka-Belitung, Bengkulu, Jambi, Lampung, Sumatera Utara, Sumatera Selatan, Sumatera Barat, Riau dan Kepulauan Riau di Sumatera.

Terdapat sejumlah 54 juta penduduk di kawasan IMT-GT.

Sumber: Bernama | 15 September 2017

Boy Iman didakwa cuba menipu guna skim pembinaan rumah

LAMAN Facebook PW Community mendakwa pelakon dan usahawan Datuk Boy Iman cuba melakukan penipuan penjualan rumah melalui syarikat DBI Homes.

Dalam statusnya PW Community mendakwa, DBI cuba mengutip dana untuk menipu orang awam dengan menggunakan helah menjual rumah berharga semasa RM200,000 pada harga RM50,000.

Dakwanya, mustahil untuk membina rumah seperti rekaan yang dijanjikan dengan nilai tersebut dan ia kelihatan DBI Homes bersedia menanggung kerugian.

DBI bukan yang pertama menawarkan rumah pada harga rumah mampu milik, malah ada syarikat lain turut melakukan perkara yang sama sebelum ini iaitu Alfafa.

Syarikat tersebut juga turut melantik Boy Iman sebagai duta dan kini dia telah menukar jenama pembohongan Alfafa kepada DBI Homes,” tulisnya.

Posting tersebut yang di muat naik pada 6 September lalu mendapat lebih 10,000 likes dan lebih 11,000 perkongsian.

PW Community turut mendakwa, DBI Homes menggunakan teknik skim piramid dalam mengumpulkan dana dan menawarkan rumah dengan harga murah sebagai tarikan.

“Apabila perlu cari downline bermakna dana yang dikumpulkan oleh DBI akan menjadi berlipat kali ganda secara pyramid scheme dan semestinya permainan licik sebegini senang dapat sambutan.

“Kita lambat bertindak untuk kekang scam Alfafa. PW mula buat isu bila keadaan telah jadi serius dan dalam kes DBI kita berpeluang untuk lenyapkan penipuan sebelum ia kukuh bertapak.

“DBI kini hanya pada peringkat permulaan dan kita kena lenyapkan DBI dengan segera supaya masyarakat awam tidak menjadi mangsa,” dakwanya.

Menerusi status itu, lebih 2,000 komen telah ditinggalkan dan kebanyakan bersetuju dengan tulisan laman tersebut.

“Itu Fitnah” – Boy Iman

Sementara itu, Boy Iman atau nama sebenar Norul Iman Abd Rahman memaklumkan dia sudah membaca status yang dimuat naik di laman sosial tersebut.

Malah, pelakon filem Blok 404 itu menafikan dakwaan berkenaan dan memberitahu akan mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik laman Facebook tersebut

"Itu fitnah dan saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang minggu ini.

"Buat apa nak menipu, saya ini selebriti yang dikenali dan tidak boleh lari kemana-mana.

"Kalau ada sesiapa yang menjadi mangsa penipuan saya sila kemukakan bukti dan buatlah laporan polis," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Boy pula mendakwa pengendali laman Facebook tersebut telah dibayar oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan perniagaannya.

Boy turut menjelaskan harga rumah dibina murah kerana pembeli harus memiliki tanah sendiri.

"Saya mendapat tahu laman tersebut telah dibayar oleh kontraktor binaan yang tidak berpuas hati dengan harga rumah yang kami tawarkan.

"Rumah murah yang kami bina itu terhad dan kalau nak tahu kita ada bina rumah berharga lebih RM500,000.

"Tidak apalah, saya sudah biasa dihentam dan tunggulah tindakan saya selanjutnya," katanya yang tidak mahu terus dikaitkan dengan syarikat Alfafa Group.

Terdahulu, Boy pernah dilantik menjadi duta kepada syarikat tersebut pada tahun 2013.

Alfafa Group merupakan milik Norsham Abd Aziz turut menjalankan perniagaan yang serupa seperti DBI Homes.

Sumber: mStar Online | 11 September 2017

Rabu, 13 September 2017

Scoot mula jual tiket destinasi terbaharu di Malaysia

Scoot akan mengendalikan penerbangan harian dari Singapura ke Kuching dan terbang tiga kali seminggu ke Kuantan.
KUALA LUMPUR: Scoot, unit penerbangan tambang rendah jarak sederhana dan jauh Singapore Airlines Group memulakan jualan tiket bagi destinasi terbaharu di Malaysia iaitu Ku­ching dan Kuantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Lee Lik Hsin berkata, Scoot akan menawarkan penerbangan ke Kuching setiap hari bermula 29 Oktober 2017 dan ke Kuantan tiga kali seminggu bermula 2 Februari 2018.

Katanya, Scoot akan mengendalikan penerbangan harian dari Singapura ke Kuching dan terbang tiga kali seminggu ke Kuantan.

Lik Hsin berkata, penambahan Kuching dan Kuantan ke dalam laluan penerbangannya melengkapkan rangkaian meluas syarikat pe­nerbangan itu bagi Asia Tenggara.

“Kami akan terus mencari peluang untuk menawarkan ‘scootitude’, pengalaman perjalanan unik Scoot kepada lebih ramai penumpang di rantau ini,” kata­nya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Scoot juga telah menawarkan tambang sehala menarik bagi penerbangan ke Kuching serta Kuantan hingga 14 Ogos lalu.

Dua lokasi itu merupakan antara lima destinasi penerbangan baharu yang diumumkan pada 25 Julai lalu bersempena dengan penggabungan Scoot-Tigerair di bawah jenama Scoot.

Tiga destinasi lain itu ialah Ho­nolulu, Amerika Syarikat, Harbin, China dan Palembang, Indonesia.

Dalam perkembangan lain, jelasnya, Scoot menyasar untuk menggandakan jumlah pesawatnya dalam tempoh lima tahun.

“Scoot yang memiliki 14 Boeing 787 Dreamliners kerangka lebar dan 23 Airbus A320 ketika ini, akan menambah enam Boeing 787 Dreamliners dan 39 Airbus A320neo ke dalam kumpulan pesawatnya tidak lama lagi.

“39 pesawat Airbus A320neo itu akan diserahkan secara berperingkat bermula dari 2018 dan tahun-tahun seterusnya bagi pertumbuhan dan penggantian pesawat yang ada sekarang,” kata Lik Hsin.

Scoot juga melancarkan pesawat A320 pertamanya, yang sebelum ini dikendalikan oleh Tigerair dan mengecat semula de­ngan lambang pengenalan Scoot, dinamakan Conscious Coupling bersempena dengan penggabu­ng­an Scoot dan Tigerair.

Keseluruhan pesawat Tigerair akan menjalani transformasi dan perubahan lambang pengenalan itu dijangka selesai pada perte­ngahan 2018.
Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 1 September 2017 | Terbitan 2 September 2017

Khazanah, KWSP tingkat pelaburan di AS, beli lebih banyak pesawat Boeing untuk MAB

Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden Donald Trump selepas membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih hari ini.Kunjungan kerja Najib ke sini adalah atas jemputan Presiden Trump ketika Malaysia-AS menyambut ulangtahun ke-60 hubungan dua hala kedua-dua negara.Perbincangan dengan Trump adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Ke-45 negara itu, selepas 60 tahun menjalinkan hubungan dua hala.
WASHINGTON DC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat (AS) dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu, umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, KWSP sahaja dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di negara tersebut.

"Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di sini, hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.

Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB), "Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat."

Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi US$10 bilion, katanya.

Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan tersebut, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner merupakan pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.

Perbincangan dengan Trump itu merupakan kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 Sept atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu yang memegang jawatan pada 20 Januari tahun ini.

Najib berkata kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

"Keduanya, Kami memiliki KWSP, yang merupakan dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir US$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan US$3 bilion hingga US$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira US$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya.
Sumber: Bernama | 13 September 2017

Selasa, 12 September 2017

KKLW sukar laksana pembangunan berkaitan tanah di Kelantan

PASIR PUTEH: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menghadapi kesukaran melaksanakan projek pembangunan yang berkaitan dengan tanah di Kelantan terutama bagi memperluas ladang tanaman getah dan sawit.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kesukaran itu disebabkan Kerajaan Persekutuan tidak mendapat kerjasama penuh daripada Kerajaan Negeri Kelantan bagi mendapatkan tanah yang mencukupi untuk pelaksanaan projek tersebut.

"Ini termasuklah memperluas kawasan untuk dimajukan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) iaitu agensi di bawah kementerian ini," katanya ketika berucap merasmikan program Moh Ngeteh Merdeka KKLW sempena Hari Kemerdekaan 2017 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Gong Datuk di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata kekangan untuk mendapatkan tanah menyebabkan usaha melibatkan penyertaan lebih ramai rakyat Kelantan dalam projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan.

Sementara itu, beliau mengingatkan pekebun kecil getah dan penoreh supaya segera membuat permohonan dengan Lembaga Getah Malaysia bagi mendapatkan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan mulai November ini.

"Walaupun tarikh akhir pendaftaran ialah pada 31 Okt ini tetapi mereka harus segera membuat permohonan bagi mengelak kesulitan jika membuat permohonan di saat-saat akhir," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa bantuan kewangan RM200 sebulan selama tiga bulan dari November 2017 hingga Januari 2018 diberi kepada 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara berikutan musim tengkujuh.

Sumber: Bernama | 11 September 2017

Bajet 2018: Peruntukan dijangka RM50b

Gambar hiasan: Projek kereta api berkelajuan tinggi.
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memperuntukkan perbelanjaan pembangunan lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2018 sebanyak RM50 bilion berban­ding RM46 bilion pada tahun lalu.

Penganalisis Affin Hwang Capital, Loong Chee Wei berkata, ia selaras dengan sasaran per­­belanjaan sebanyak RM260 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bagi 2016-2020.

Katanya, pengumuman itu pastinya satu perkembangan yang baik kepada sektor pembinaan memandangkan lebih ba­nyak projek sektor awam akan dilaksanakan tahun hadapan.

“Kami melihat ada beberapa lang­kah akan dilaksanakan, an­taranya meneruskan insentif untuk mengga­lakkan penggunaan sistem bangunan perindustrian (IBS) dalam pembinaan.

Selain itu, terdapat kemungkin­an juga tambahan peruntukan perbe­lanjaan ini bagi fasa se­terusnya projek Cen­tral Spine Road (CSR) di bawah Bajet 2018.

Ini kerana projek ini berupaya menambah baik laluan antara kawasan pedalaman Semenanjung dan Kelantan.

“Daripada perspektif politik dan sosioekonomi, projek ini amat pen­ting terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang dijangka se­kitar Mac atau April 2018,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Bajet 2018 dijangka dibentangkan 27 Oktober ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Difahamkan buat masa ini, dua syarikat iaitu UEM Group dan WZ Satu Berhad (WZ Satu) sedang berunding bagi projek CSR yang bernilai RM4 bilion. Ia akan menyaksikan UEM Edgenta dijangka dilantik sebagai pengurus projek, manakala WZ Satu akan menjadi kontraktor utama ji­ka memperoleh pro­jek tersebut.

Projek CSR yang di­mulakan pada November 2015 itu bertujuan untuk mengalihkan aliran trafik dari Bentong, Pahang yang sering kali sesak pada hujung minggu dan cuti umum.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, apabila projek itu siap pada 2020, laluan CSR akan bermula selepas tol Bentong di Le­buh Raya Karak dan Fasa D bagi Bentong Bypass dijangka siap ta­hun depan, ma­nakala Fasa B dan C akan mula bero­perasi tahun depan.

Dalam pada itu, Chee Wei berkata, dianggarkan se­kurang-kurangnya terdapat kontrak infrastruktur bernilai RM145 bilion masih menunggu untuk diagihkan pada separuh kedua tahun ini termasuk projek-projek baharu yang akan dilaksanakan.

Katanya, antara projek tersebut ter­masuklah kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Baru (EDTP).

“Kami menjangkakan pakej utama projek LRT3 bernilai RM10 bilion akan diagihkan dalam tempoh separuh kedua ini manakala projek ECRL yang bernilai RM55 bilion pula akan diagihkan pada suku keempat 2017.

“Dijangka kontraktor utama bagi projek ECRL, China Communications Construction Co. Ltd (CCCC) akan menyerahkan sekurang-kurang­nya 30 peratus da­ripada nilai projek kepada kontraktor tempatan,” kata­nya.

Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 11 September 2017 | Terbitan 12 September 2017