Selasa, 24 Oktober 2017

500 peniaga ‘berkeras’ enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral

Sebahagian daripada 500 peniaga berkumpul menyatakan bantahan enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasar Besar Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin.

PASIR PUTEH: Lebih 500 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh, di sini, berpiket secara aman hari ini bagi membantah arahan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) supaya mereka berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral.

Hari ini adalah hari terakhir tarikh ditetapkan oleh MDPP untuk menutup operasi Pasar Besar Pasir Puteh.

Difahamkan, peniaga ber­kenaan bersepakat dengan keputusan majoriti dan menganggap keputusan MDPP mengeluarkan arahan mengosongkan premis perniagaan di kawasan itu sebagai satu paksaan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil dan Pembekal Pasar Besar Pasir Puteh, Kamarzaman Che Ngah berkata, peniaga juga keliru dengan arahan berpindah yang dikeluarkan MDPP sedangkan kes tuntutan enggan pindah yang dikemukakan mereka di Mahkamah Rayuan Putrajaya masih belum diperoleh.

Menurutnya, walaupun kes kali pertama dikemukakan peniaga pada 27 September 2017 lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tidak berpihak kepada mereka namun ianya masih lagi di peringkat rayuan.

“Isu berpindah ini semakin serius dan kami telah buat laporan polis pada 5 Oktober lepas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh. Peniaga enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar selagi belum mendapat keputusan mahkamah rayuan.

“Kami bukan degil atau keras kepala sengaja mahu melawan MDPP. Apa yang kami harap tuntutan kami berhubung beberapa perkara diambil tindakan khusus oleh MDPP dengan pertimbangan yang adil kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kamarzaman berkata, mengikut arahan yang dikeluarkan MDPP, peniaga diarah berpindah ke Pasar Siti Hajar bermula 15 Oktober manakala pada 20 Oktober bekalan elektrik dan air akan dipotong, manakala semalam adalah hari terakhir kawasan pasar lama akan ditutup dan dikunci.

“Sekiranya tindakan mengunci dan memotong bekalan eletrik dan air dilaksanakan MDPP ia hanya akan menimbulkan polemik tidak berkesudahan di antara pihak berkuasa tempatan dengan peniaga,” katanya.

Seorang peniaga, Rohani Mat Zimin, 45, berkata kerajaan negeri perlu campur tangan dan menyiasat isu bantahan ini untuk mencari jalan tengah menyelesaikan isu yang yang semakin berpanjangan.

“Kami menganggap ada sesuatu yang tidak kena dan tidak mengikut beberapa peraturan termasuk arahan yang dikeluarkan kebanyakan dibuat dalam bentuk lisan dan tidak formal,” katanya yang berniaga di pasar itu sejak lebih 20 tahun.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman berkata, pihak berkuasa tempatan harus bertindak adil dan mencari keputusan terbaik demi kebajikan rakyat khususnya 100 peratus peniaga Melayu yang terbabit dengan kes berkenaan.

“Kita berharap mereka mendapat keadilan dan menyelesaikan masalah yang dibangkitkan dengan mengguna apa juga kaedah yang membolehkan peniaga selesa berniaga di pasar baharu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 23 Oktober 2017 | Terbitan 24 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan